ADAKAH esok boleh rentas negeri? Itulah berita paling dinanti-nantikan oleh orang ramai selepas Malaysia mencatat 89.7 peratus populasi dewasa atau 21,003,074 orang telah lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat 11.59 malam tadi (9 Okt), menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus hanya berbaki 0.3 peratus.
Pada masa sama, sidang media khas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pukul 3 petang ini yang akan disiarkan secara langsung oleh RTM, Astro Awani dan beberapa stesen televisyen turut menjadi perhatian.
Ramai mengharapkan Ismail Sabri akan mengumumkan rentas negeri akan dibenarkan selepas ia dikuatkuasa sejak lebih setahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 22 September lalu Ismail Sabri berkata, aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan disiarkan portal COVIDNOW, sebanyak 94.7 peratus atau 22,176,018 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Ketika ini hanya tinggal Kelantan dan Sabah sahaja belum mencapai 80 peratus populasi lengkap divaksinasi. Kelantan mencatatkan 73.2 peratus manakala Sabah 64.6 peratus. Perak dan Kedah pula dijangka mencapai 80 peratus hari ini apabila Perak mencatatkan 79.2 peratus manakala Kedah (79.1 peratus).
Negeri-negeri lain melepasi kadar 80 peratus populasi dengan Lembah Klang tertiggi dengan 112.1 peratus diikuti Labuan 99.1 peratus dan Negeri Sembilan 98.6 peratus.
Selain itu di seluruh negara, sejumlah 83,443 dos suntikan vaksin diberikan semalam bagi golongan dewasa melibatkan 8,236 suntikan dos pertama, manakala 75,207 lagi dos kedua.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lalu meningkat kepada 43,067,793.
Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam sebanyak 204,536 atau 6.5 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin manakala 71.5 peratus atau 2,248,867 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.