Author: Wartawan WartaRakyat

  • Muhyiddin hargai jasa semua pihak jayakan PICK

    Muhyiddin hargai jasa semua pihak jayakan PICK

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, berkat usaha semua pihak terutama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal dari jangkaan.

    Bekas Perdana Menteri berkata, kerjasama semua pihak dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) – program vaksinasi terbesar negara telah membuahkan hasil apabila Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia. 

    ‘’Trend jangkitan pandemik Covid-19 kini menunujukkan penurunan dan ini boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke  Unit Rawatan Rapi (ICU).

    ‘’Ini jelas membuktikan usaha dan perancangan  kerajaan selama ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengurus program vaksinasi negara dan seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.

    Muhyiddin yang membuat pengumuman itu sejam sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Ismail berkata, dua minggu lalu, selepas 150 hari beroperasi, PPV Mega World Trade Centre KL (WTCKL) akhirnya melabuhkan tirai operasi.

    Katanya, sejak pembukaan pada 5 Mei, PPV WTC KL telah berjaya memberikan 1.2 juta dos vaksinasi kepada penduduk Lembah Klang.

    ‘’Saya sendiri sempat melawat PPV Mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka  pada bulan Mei lepas.  Saya masih ingat ketika itu, betapa kagumnya saya dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada  skala besar,’’ katanya.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, semakin menghampiri sasaran vaksinasi negara yang akan menjangkaui 90 peratus populasi dewasa di Malaysia, semakin banyak PPV bakal ditutup secara berperingkat-peringkat.

    ‘’Ini bermula dengan PPV Mega WTCKL, yang mana sudah lebih 100 peratus  populasi dewasa di Lembah Kelang  lengkap menerima vaksin.

    ‘’Walaupun pembukaan PPV Mega ini pada mulanya dikritik oleh sesetengah pihak, namun Kerajaan di bawah kepemimpinan saya pada masa itu  memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di bawah Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia.

    Muhyiddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerja keras,  siang dan malam bagi menjayakan PICK.

    ‘’Jasa dan pengorbanan anda sekalian menjadi bukti jelas bahawa semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam kita berhadapan cabaran yang cukup getir ini.

    Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital-hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP,’’ katanya.

    Beliau turut menyeru rakyat agar terus menumpukan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

    ‘’Marilah kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selaras dengan hasrat Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah,’’ katanya.

  • KKM lancarkan fitur baharu perincian vaksinasi peringkat sekolah

    KKM lancarkan fitur baharu perincian vaksinasi peringkat sekolah

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan fitur baharu mengenai perincian vaksinasi bagi peringkat sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam laman sesawang covidnow.

    Menteri Pendidikan Datuk Dr.Radzi Jidin berkata, melalui fitur baharu itu, ibu bapa atau penjaga boleh membuat semakan mengenai kadar vaksinasi murid bagi sekolah anak masing-masing.

    ‘’ Semakan boleh dibuat melalui pautan https://covidnow.moh.gov.my/school. Kongsi-kongsikan maklumat ini. Usaha ini dapat menyediakan maklumat telus kepada masyarakat, khususnya ibu bapa/penjaga.

    ‘’Ini juga merupakan sebahagian daripada langkah peralihan negara ke fasa endamik. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

    Beliau berkata, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM dalam pelaksanaan program vaksinasi kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun, atau PICK Remaja yang telah bermula pada awal September lalu.

    ‘’KPM memantau rapi pelaksanaan PICK Remaja, khususnya bagi murid sekolah bawah KPM. Sehingga kini, hampir 80% murid berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin,’’ katanya.

    Dr.Radzi berkata, KPM dan KKM telah mengadakan perbincangan bagi meneliti pendekatan terbaik untuk menyediakan maklumat berkaitan status pelaksanaan PICK Remaja bagi murid sekolah KPM dan maklumat tersebut boleh dikongsikan kepada umum sepertimana data vaksinasi yang lain.

  • 7,373 kes baharu COVID-19, terendah sejak 7 Julai

    7,373 kes baharu COVID-19, terendah sejak 7 Julai

    SEBANYAK 7,373 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan di seluruh negara hari ini, jumlah yang terendah direkodkan sejak 7 Julai lalu.

    Pada hari tersebut, sebanyak 7,097 kes positif baharu direkodkan.

    Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    Pecahan kes mengikut negeri pula adalah seperti berikut:

    Selangor – 1,351 (689,317)

    Sarawak – 1,126 (223,507)

    Sabah – 761 (204,954)

    Johor – 859 (204,655)

    Kuala Lumpur – 288 (188,152)

    Kedah – 437 (140,067)

    Pulau Pinang – 537 (136,337)

    Kelantan – 940 (124,527)

    Perak – 724 (108,530)

    Negeri Sembilan – 198 (98,885)

    Pahang – 553 (70,079)

    Terengganu – 590 (61,624)

    Melaka – 289 (60,603)

    Labuan – 1 (9,985)

    Putrajaya – 23 (6,417)

    Perlis – 66 (4,582)

    Jumlah itu juga menunjukkan penurunan mendadak berbanding 8,743 kes semalam.

    Kelmarin sebanyak 9,751 kes baharu COVID-19 dicatatkan dan angka-angka sebelum itu adalah 9,890 kes (Khamis), 9,380 kes (Rabu), 8,817 kes (Selasa) dan 8,075 kes (Isnin).

    Secara kumulatif, sebanyak 2,339,594 kes COVID-19 dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara awal tahun lalu.

    Maklumat terperinci berhubung perkembangan harian COVID-19 di Malaysia boleh diakses melalui laman COVIDNOW https://covidnow.moh.gov.my selepas tengah malam.

    Dalam hantaran berasingan, Dr Noor Hisham menasihatkan rakyat Malaysia agar terus berhati-hati dalam situasi pandemik yang masih belum reda.’

    Beliau mengingatkan orang ramai agar jangan memandang remeh terhadap kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP).

    “Kita mesti terus mematuhi semua langkah berjaga-jaga termasuk melakukan ujian kendiri. Sentiasa berhati-hati sepanjang masa,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Dr Noor berkata, Malaysia mencatatkan kes sembuh COVID-19 sebanyak 10,959 kes, mengatasi angka kes baharu berjumlah 7,373.

    Beliau berkata, daripada 7,373 kes baharu COVID-19 itu, 98.2 peratus atau 7,240 kes adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

    “Sementara 133 kes atau 1.8 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

    Beliau berkata ,daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 hari ini, dua adalah kes import melibatkan masing-masing satu warganegara dan bukan warganegara, manakala 7,371 adalah kes tempatan membabitkan 6,991 kes atau 94.8 peratus warganegara sementara 380 atau 5.2 peratus bukan warganegara.

    Dr Noor Hisham berkata, 762 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 410 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Katanya, sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan dengan lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan.

    Kelantan menjadi negeri dengan kluster baharu tertinggi iaitu sebanyak empat kluster komuniti.

    Dr Noor Hisham berkata, nilai kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.86 dengan negeri kadar Rt tertinggi adalah Perlis iaitu 1.10.

  • Kes basikal lajak: Jurujual kekal dibebas dan dilepaskan

    Kes basikal lajak: Jurujual kekal dibebas dan dilepaskan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG jurujual wanita kekal dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak, empat tahun lalu.

    Majistret Siti Hajar Ali membacakan keputusan kes di akhir pembelaan selepas tertuduh diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Februari lalu.

    Tertuduh, Sam Ke Ting, 26, sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan, 28 Oktober 2019.

    Namun, Siti Hajar sekali lagi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan selain keterangan diberikan tertuduh ketika membela diri adalah munasabah dan bukan penafian atau rekaan semata-mata.

    “Setelah mendengar keterangan dikemukakan dan menimbang hujah pendakwaan serta pembelaan di akhir kes pembelaan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan ke atas tertuduh. Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

    Siti Hajar berkata, antara alasan mahkamah membuat keputusan itu ialah mengambil kira keterangan tertuduh yang tidak ada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di lokasi kejadian pada pukul 3 pagi itu adalah munasabah.

    “Tertuduh yang dalam perjalanan pulang dari perarakan dewa Pesat Chingay menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu itu dan tiada sebarang amaran terhadap keberadaan kumpulan basikal lajak di situ.

    “Keterangan tertuduh dia yang memandu di bawah had laju dan berada di lorong paling kiri lokasi kejadian iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam,” katanya.

    Kata Siti Hajar, faktor permukaan lokasi kejadian itu yang mendaki bukit, berselekoh dan dalam keadaan gelap menyebabkan tertuduh menyatakan tidak nampak ada kumpulan basikal lajak di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.

    “Terdapat juga keraguan identiti sebenar pemandu kereta yang didakwa dipandu tertuduh. Ini berikutan terdapat kewujudan seorang lagi lelaki berbangsa Cina di lokasi kejadian dan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan itu.

    “Timbul keterangan saksi lain yang mencetuskan persoalan yang gagal dijelaskan. Oleh itu, tertuduh tidak boleh boleh dihukum atas kegagalan pegawai penyiasat melaksanakan tanggungjawab beliau dalam menyiasat kes dengan sempurna,” ujarnya.

    Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu jurujual wanita itu dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta setelah digantung sepanjang perbicaraan.

    Pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala Ke Ting diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

  • Rentas negeri mulai esok: Jangan sambil lewa, hanya untuk lengkap dua dos – PM

    Rentas negeri mulai esok: Jangan sambil lewa, hanya untuk lengkap dua dos – PM

    *#MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia turut dimansuhkan

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan berita paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia iaitu rentas negeri dibenarkan mulai esok.

    Perdana Menteri menegaskan, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk keluarga Makaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    ‘’Dengan keputusan, Keluarga Malaysia bebas melalukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya,’’ katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

    Perdana Menteri mengingatkan mereka tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

    ‘’Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemi dengan selamat. Jika diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19,’’ katanya.

    Beliau berkata, sebagai contoh sekiranya ingin pula ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, keluarga Malaysia disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

    ‘’Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkan dahulu perjalanan. Sekiranya positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera,’’ katanya.

    Bagaimanapun Perdana Menteri menegaskan, kebenaran rentas negeri itu bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.

    Katanya, walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

    ‘’Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),’’ katanya.

    Sementara itu,Ismail Sabri juga memaklumkan kerajaan juga turut bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Walau bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

    ‘’ Kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa mulai esok. Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan. Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin,’’ katanya.

  • Datuk Seri, peguam diambil keterangan kes guna nama TMJ

    Datuk Seri, peguam diambil keterangan kes guna nama TMJ

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETERANGAN dua individu melibatkan seorang wanita yang didakwa bergelar Datuk Seri dan seorang lelaki yang merupakan peguam telah selesai dirakamkan oleh polis berhubung kes pemalsuan dokumen menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini masih mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes itu.

    “Keterangan mereka sudah diambil, siasatan sekarang masih berjalan dan apabila cukup (bukti) baru kita bawa ke Pejabat Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

    Jumaat lalu, polis menerima laporan berkenaan satu dokumen ‘letter of undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit Malaysia (RM) membabitkan nilai antara AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion.

    Dokumen itu didapati dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri yang mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan dikenakan sebat dan denda.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, siasatan masih dijalankan sama ada kes itu turut melibatkan individu berkaitan politik dan menasihati semua untuk tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan di media sosial.

  • Hina Sultan Johor dalam Twitter, tukang cat dicekup polis

    Hina Sultan Johor dalam Twitter, tukang cat dicekup polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki warga tempatan ditahan polis kelmarin selepas mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam laman sosial Twitter miliknya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram pada pukul 9.25 malam, Jumaat lalu.

    “Pada 8 Oktober lalu, polis menerima laporan daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berkaitan satu kenyataan di akaun Twitter bernama zion74rey@reymizion74 pada pukul 2.03 petang.

    “Hantaran berkenaan mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    Tambah Ayob Khan, suspek yang bekerja sebagai pengecat kereta sambilan itu bagaimanapun dilepaskan setelah keterangannya diambil bagi membantu siasatan.

    Ujar beliau, lelaki berkenaan juga mempunyai dua rekod lampau bersabit kes ceroboh dan khianat.

    Katanya, polis turut merampas peralatan dan peranti yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat ciapan berkenaan termasuk satu unit komputer, satu telefon bimbit dan satu unit adapter.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

    “Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserah kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Ayob Khan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak menyalah guna media sosial dengan membuat hantaran yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

  • Pulau Batu Puteh: Bawa pihak terkhilaf ke muka pengadilan

    Pulau Batu Puteh: Bawa pihak terkhilaf ke muka pengadilan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menggesa pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran dalam kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dibawa ke muka pengadilan.

    Hasni berkata, isu tuntutan Pulau Batu Puteh amat dekat dengan rakyat Johor sama ada daripada sudut sejarah mahupun kedudukan lokasinya.

    “Kerajaan negeri setuju dan akan memberikan sokongan penuh tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut.

    “Perkara itu perlu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    MM2H Johor Pulau Batu Puteh
    HASNI MOHAMAD

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

    Menurut Perdana Menteri, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

    Sehubungan itu, Hasni memberi jaminan kerajaan negeri Johor akan bekerjasama dan membantu kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan dokumen dan pandangan yang diperlukan oleh pasukan petugas khas berkenaan.

    Tambah beliau, kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan dibuat Jemaah Menteri untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

    “Berdasarkan hasil siasatan itu kelak, kerajaan negeri juga bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

    “Johor amat berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mendoakan semoga usaha tersebut dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan,” ujarnya.

  • Bot tunda, tongkang ditahan bersauh tanpa kebenaran

    Bot tunda, tongkang ditahan bersauh tanpa kebenaran

    SEBUAH bot tunda dan tongkang (barge) ditahan pada jarak 0.92 kilometer timur Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran serta menggajikan kru asing tanpa permit yang sah. 

    Bot tunda bersama tongkang itu ditahan kapal Maritim (KM) SIKUATI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang yang sedang melaksanakan Op Pertiwi, sekitar pukul 9 pagi.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda itu dikendalikan lima kru termasuk nakhoda terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia 22 hingga 34 tahun.

    Menurutnya, kesemua tahanan didapati memilki dokumen pengenalan diri serta permit kerja namun gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia. 

    bot tunda Maritim Malaysia
    Bot tunda dan tongkang yang ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pinang.

    Sementara itu katanya, tongkang bermuatan jentera dan bahan binaan pula dikendalikan tiga warga Myanmar berumur 29 hinggga 50 tahun dan mereka ditahan kerana disyaki tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.

    “Nakhoda bersama dua kru bot tunda serta tiga kru tongkang itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

    “Kes akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Abd. Razak, jika sabit kesalahan mereka boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu katanya, di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Tegas beliau, Maritim Malaysia mengingatkan semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

    “Pihak Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara dipelihara. 

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • PRN Melaka: Bersatu sedia berunding dengan parti lain

    PRN Melaka: Bersatu sedia berunding dengan parti lain

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa bersedia mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik dalam merangka kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Memetik laporan BH, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, partinya mengamalkan politik mesra dan kasih sayang.

    Menurut beliau, Bersatu juga tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

    “Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

    “Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat,” katanya.

    Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

    Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

    Walau bagaimanapun, difahamkan, pucuk pimpinan UMNO masih belum membincangkan mengenai cadangan kerjasama dengan Bersatu atau mana-mana parti lain.

    Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berpandangan, penolakan kerjasama antara UMNO dan Bersatu itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti itu.

    “Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili.

    “Saya percaya masyarakat, terutamanya orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

    “Sebaliknya mengerat dan merapatkan saf dan pada masa yang sama mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili,” jelasnya.