TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, berkat usaha semua pihak terutama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal dari jangkaan.
Bekas Perdana Menteri berkata, kerjasama semua pihak dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) – program vaksinasi terbesar negara telah membuahkan hasil apabila Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia.
‘’Trend jangkitan pandemik Covid-19 kini menunujukkan penurunan dan ini boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
‘’Ini jelas membuktikan usaha dan perancangan kerajaan selama ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengurus program vaksinasi negara dan seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.
Muhyiddin yang membuat pengumuman itu sejam sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Ismail berkata, dua minggu lalu, selepas 150 hari beroperasi, PPV Mega World Trade Centre KL (WTCKL) akhirnya melabuhkan tirai operasi.
Katanya, sejak pembukaan pada 5 Mei, PPV WTC KL telah berjaya memberikan 1.2 juta dos vaksinasi kepada penduduk Lembah Klang.
‘’Saya sendiri sempat melawat PPV Mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka pada bulan Mei lepas. Saya masih ingat ketika itu, betapa kagumnya saya dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada skala besar,’’ katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, semakin menghampiri sasaran vaksinasi negara yang akan menjangkaui 90 peratus populasi dewasa di Malaysia, semakin banyak PPV bakal ditutup secara berperingkat-peringkat.
‘’Ini bermula dengan PPV Mega WTCKL, yang mana sudah lebih 100 peratus populasi dewasa di Lembah Kelang lengkap menerima vaksin.
‘’Walaupun pembukaan PPV Mega ini pada mulanya dikritik oleh sesetengah pihak, namun Kerajaan di bawah kepemimpinan saya pada masa itu memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di bawah Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia.
Muhyiddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerja keras, siang dan malam bagi menjayakan PICK.
‘’Jasa dan pengorbanan anda sekalian menjadi bukti jelas bahawa semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam kita berhadapan cabaran yang cukup getir ini.
Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital-hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP,’’ katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus menumpukan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
‘’Marilah kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selaras dengan hasrat Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah,’’ katanya.