Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sambutan Nuzul al-Quran tahun ini lebih meriah

    Sambutan Nuzul al-Quran tahun ini lebih meriah

    KELONGGARAN yang dinikmati oleh umat Islam untuk meraikan sambutan Nuzul al-Quran secara beramai-ramai di masjid dan surau tahun ini adalah hasil tindakan pantas kerajaan terdahulu di bawah Perikatan Nasional (PN) melaksanakan program imunisasi besar-besaran.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia berasa sungguh beruntung kerana tahun ini mereka dapat melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan sambutan Nuzul al-Quran sebagaimana biasa seperti majlis tadarus dan tadabur serta majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai di masjid atau di surau.

    “Alhamdulillah, saya difahamkan hampir kesemua masjid dan surau di negara ini menganjurkan majlis seperti ini.

    “Keadaan ini berbeza ketika negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 dua tahun lalu yang mana semua majlis sedemikian hanya boleh diadakan di rumah masing-masing sahaja.

    “Ini adalah hasil tindakan pantas dan drastik Kerajaan ketika itu memperkenalkan program imunisasi besar-besaran kepada rakyat jelata yang menyaksikan hampir kesemua populasi dewasa sudah menerima dos lengkap vaksinasi masing-masing.

    “Keadaan ini membolehkan seluruh sektor kehidupan dibuka sepenuhnya seperti sediakala,” katanya dalam hantaran sempena sambutan Nuzul al-Quran di laman Facebook beliau, malam ini.

    Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri menyeru umat Islam agar menggunakan peluang itu untuk melipatgandakan amalan yang dituntut seperti solat fardu berjemaah, solat tarawih, qiamullail di masjid atau surau serta bersedekah terutama kepada golongan yang memerlukan.

    Muhyiddin berkata, sesungguhnya amalan tersebut sangat dituntut dan dijanjikan ganjaran besar oleh Allah SWT.

    “Selain menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa Nuzul al-Quran ini, marilah kita sama-sama memanfaatkannya dalam kehidupan seharian. Semoga kita memperoleh keberkatan daripadanya.

    “Saya juga berdoa semoga kita semua diberi kesihatan dan dipermudahkan Allah untuk menunaikan ibadah sepanjang Ramadan ini, insya-Allah,” jelasnya.

  • Pendang dilanda ribut, premis rosak, khemah bazar Ramadan terbang

    Pendang dilanda ribut, premis rosak, khemah bazar Ramadan terbang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HUJAN lebat selama lebih sejam dengan disusuli ribut petir di Pendang menyebabkan beberapa premis mengalami kerosakan, petang ini.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadiann itu bermula kira-kira pukul 4.40 petang tadi.

    “Pihak kami menerima beberapa aduan mengenai kejadian pokok tumbang. Malah khemah-khemah peniaga di bazar Ramadan turut diterbangkan angin.

    “Selain itu terdapat sekurang-kurangnya empat buah rumah yang mengalami kerosakan di Kampung Sukamari, Kampung Alor Parit dan Kampung Belakang Pendang,” katanya.

    Antara yang terjejas termasuklah persiapan dilakukan di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin di Pendang yang bakal menjadi lokasi majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, esok.

    Pendang
    Khemah di Masjid Sultanah Haminah, Tanjung Radin yang sepatutnya digunakan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan oleh Menteri Besar esok, ranap dalam kejadian ribut di Pendang, petang tadi.

    Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Besar, Afnan Hanimi Taib Azamudden memaklumkan, majlis melibatkan Menteri Besar itu diputuskan untuk dibatalkan berikutan kejadian itu.

    “Menteri Besar menzahirkan rasa simpati atas musibah yang berlaku dan meminta supaya majlis esok dibatalkan disebabkan musibah yang tidak terduga ini.

    “Walau bagaimanapun penyerahan bantuan yang dijadualkan itu boleh diurus terus oleh pihak Pejabat Daerah, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Datuk Dr. Hayati Othman dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob,” katanya.

  • Pemandu Singapura buat hal lagi, kali ini ‘curi’ elektrik pula

    Pemandu Singapura buat hal lagi, kali ini ‘curi’ elektrik pula

    SEBELUM ini kecoh tentang isu pemandu kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95 yang disubsidi oleh kerajaan di negara ini, walhal mereka tidak sepatutnya berbuat demikian.

    Kini, timbul pula isu kenderaan elektrik (EV) didakwa dari negara jiran itu mencuri bekalan elektrik yang dijual di stesen Shell Recharge di Tangkak.

    Memetik laporan portal paultan.org, sebuah van yang dijana kuasa elektrik jenis BYD T3 dilihat menggunakan pengecas pantas arus langsung (DC) Shell Recharge di lokasi tersebut.

    Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan bila kejadian itu berlaku.

    Untuk makluman, pengguna EV perlu membayar untuk mendapatkan elektrik yang dibekalkan melalui stesen pengecas Shell Recharge.

    Pemandu terbabit dilihat meletakkan van dipandunya secara menyenget kerana terdapat penghadang yang hanya boleh diturunkan setelah pembayaran dibuat melalui aplikasi ParkEasy.

    Namun, pengecas DC boleh digunakan tanpa proses pengesahan sekali gus membolehkan pemandu BYD dengan nombor plat Singapura itu ‘mencuri’ elektrik tanpa membayar walau satu sen pun.

    Bagi pilihan bayar setiap kali guna, caj yang dikenakan adalah yuran pengesahan sebanyak RM4 dan RM20 bagi setiap lima minit dalam 25 minit pertama tempoh mengecas, diikuti RM20 bagi setiap blok lima minit berikutnya.

    Bayaran adalah berdasarkan tempoh kenderaan diletakkan dalam petak parkir, tanpa mengira jumlah kW/jam yang dicas ke dalam EV.

    Paultan.org menasihatkan orang ramai agar jangan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

    “Sikap buruk daripada pemilik EV (tanpa mengira mereka dari negara mana) akan menyebabkan syarikat-syarikat swasta enggan melabur dalam infrastruktur pengecasan EV di negara ini yang kita perlukan bagi meningkatkan penggunaan EV di Malaysia,” jelasnya.

  • Dua lelaki cuba langgar polis, tembakan dilepaskan

    Dua lelaki cuba langgar polis, tembakan dilepaskan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah kini giat memburu dua lelaki yang melarikan diri daripada dikejar, dalam kejadian yang turut menyaksikan beberapa das tembakan dilepaskan di Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam ketika tiga anggota dari Balai Polis Tikam Batu melaksanakan penugasan pemeriksaan mengejut di kawasan Permatang Merbau.

    Menurutnya, ketiga-tiga anggota itu kemudiannya mengarahkan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki empat lelaki untuk berhenti.

    “Arahan tersebut bagaimanapun langsung tidak diendahkan dengan kenderaan terbabit hampir melanggar anggota polis terlibat.

    “Polis kemudiannya mengejar kenderaan tersebut yang dipandu secara merbahaya, hingga melanggar beberapa kenderaan awam di situ,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian itu bagi mengarahkan kenderaan tersebut berhenti demi keselamatan awam.

    “Mereka bagaimanapun dapat meloloskan diri dan seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu,” katanya.

    Tambahnya, polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 41 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Dalam masa sama, kami kini giat memburu dua lagi lelaki iaitu Muhammad Hakim Hakimi Abd Rahim, 19, atau lebih dikenali sebagai ‘Bob’ dan Muhammad Fakrul Aize Rofizan, 23, berhubung kejadian itu.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah diisytiharkan penjawat awam,” katanya.

  • Masih belum ‘move on’, PH kitar semula Anwar calon PM

    Masih belum ‘move on’, PH kitar semula Anwar calon PM

    UNTUK yang kesekian kalinya, Pakatan Harapan (PH) mengulangi pendirian untuk mengitar semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

    “Bagi DAP sudah pasti kita dalam PH, apa pun keputusan PH mesti dibuat bersama, secara konsensus.

    “Kami membuat keputusan lama dahulu. Itu keputusan tetap. Selagi tiada keputusan baru, maka keputusan itu masih kekal,” katanya seperti dilaporkan Malay Mail.

    Nampaknya PH masih belum dapat ‘move on’ dari naratif bahawa Anwar merupakan satu-satunya tokoh yang layak menjadi Perdana Menteri.

    Bagi mereka, Presiden PKR itu merupakan individu yang suci dan murni walaupun beliau pernah meringkuk dalam penjara.

    Selain sejarah silamnya itu, prestasi Anwar sejak mengambil alih kepimpinan PKR dan PH juga kurang memberangsangkan.

    Satu-satunya kejayaan Anwar yang boleh dibanggakan sejak keluar dari penjara adalah memenangi kerusi Parlimen Port Dickson yang dikosongkan oleh penyandangnya juga dari PKR (namanya juga kini semakin dilupakan).

    Selepas itu, PH dan PKR melingkup dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

    Walaupun Anwar sering diuar-uarkan sebagai seorang pemimpin ulung, karismanya yang semakin pudar tidak memberi sebarang kelebihan kepada PKR dan PH.

    Malah, PKR sendiri berantakan selepas Anwar kembali menjadi Presiden selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berundur.

    Sebahagian besar orang-orang kuat yang bersama Anwar sejak zaman reformasi termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Badrul Hisham Shaharin meninggalkan parti itu.

    Kini, PKR dilanda gelombang perpecahan ekoran perebutan jawatan-jawatan penting dalam parti antara kem Rafizi Ramli dan kem Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    PH di bawah Anwar juga kelihatan seperti tidak tentu arah di mana keputusan-keputusan yang dibuat, contohnya soal logo pada PRN Johor, tidak mencerminkan wujud konsensus dalam gabungan pembangkang itu.

    Boleh dikatakan Anwar layak diberi markah yang rendah dari segi kemampuannya untuk memimpin PKR, PH dan negara.

    Pokok pangkalnya, beliau memang tidak layak jadi Perdana Menteri dan Malaysia bernasib baik (dua kali) kerana bukan Anwar yang mengambil alih tampuk pentadbiran negara selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

  • Shafee tawar bela Sam Ke Ting secara percuma demi keadilan

    Shafee tawar bela Sam Ke Ting secara percuma demi keadilan

    PEGUAM terkenal, Tan Sri Shafee Abdullah menyertai beberapa peguam lain menawarkan khidmat secara percuma untuk membela kerani Sam Ke Ting, yang dipenjarakan baru-baru ini berhubung kes basikal lajak di Johor Bahru.

    Shafee yang menegaskan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman atau agama berkata, Sam sepatutnya diberikan penangguhan hukuman sejak awal.

    “Saya tertanya-tanya mengapa dia tidak diberi penangguhan sabitan sementara menunggu rayuannya.

    “Saya harap dia diberi jaminan secepat mungkin kerana sudah menjalani hukuman penjara enam tahun. Jika dia diberi jaminan, dia mempunyai prospek yang lebih baik untuk menyediakan rayuannya bersama peguam,” katanya kepada FMT.

    Pihak yang lain turut menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada Sam termasuk Biro Undang-undang Kebangsaan DAP dan Biro Hal Ehwal Undang-undang MCA.

    Sementara itu, permohonan Sam kepada Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 9 pagi Isnin di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

    Shafie, mengesahkan laporan The Star sebelum ini, berkata beliau telah menawarkan diri untuk menjadi peguam Sam kerana yakin wanita itu perlu dibela dalam keadaan sekarang.

    “Saya mengesahkan bahawa saya telah menawarkan perkhidmatan secara pro bono (percuma) kepada Sam. Saya rasa keadilan adalah yang paling penting.

    “Saya harap, saya boleh mewakilinya jika dia melantik saya sebagai peguam atau akan tampil sebagai amicus curiae, bergantung kepada perkembangan semasa,” katanya.

    Amicus curiae ialah orang atau kumpulan, yang bukan pihak dalam sesuatu tindakan tetapi mempunyai minat dalam perkara itu, tampil sebagai “sahabat mahkamah” dengan kebenarannya.

    Shafee berkata, mesejnya ialah semata-mata mahu membawa keadilan, sambil menambah bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan kaum atau agama, merujuk kepada ramai yang cuba memainkan isu “perkauman” dalam kes itu.

    Pada Rabu, Sam dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru kerana memandu secara melulu.

    Kerani itu didakwa menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

    Dia dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah majistret pada 28 Okt 2019 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil untuk pembelaan.

    Bagaimanapun, pada 18 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Johor Bahru membawa semula kes itu ke mahkamah majistret, meminta Sam membela diri selepas membenarkan rayuan oleh pihak pendakwaan.

    Pada 10 Okt 2021, mahkamah majistret sekali lagi membebas dan melepaskannya.

    Pihak pendakwaan kemudian merayu sekali lagi ke Mahkamah Tinggi.

  • Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

    Kanak-kanak maut jatuh tingkat 18 kondominium

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah kondominium di Jalan Saujana 2, Setapak, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan maklumat mangsa yang tinggal di salah sebuah unit di tingkat 18 kondominium terbabit, terjatuh dari balkoni rumahnya.

    “Polis menerima laporan kejadian kira-kira jam 2 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi. Siasatan awal mendapati mangsa tidur bersendirian dan ketika kejadian, ibunya difahamkan keluar dari rumah.

    “Pada waktu sama, penghuni lain di dalam rumah itu sedang tidur di bilik berasingan dan tidak mengetahui mangsa ditinggalkan bersendirian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi dan mayatnya dibawa ke hospital sama untuk tindakan lanjut.

    Ashari berkata, kes disiasat pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Polis lepaskan 5 das tembak henti kereta dinaiki penjenayah

    Polis lepaskan 5 das tembak henti kereta dinaiki penjenayah

    POLIS  terpaksa melepaskan lima das tembakan ketika cuba menghentikan sebuah kereta dinaiki empat lelaki di kawasan Pasar Awam Tikam Batu, Sungai Petani hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila kereta jenis Proton Wira terbabit dipandu secara berbahaya sewaktu cuba meloloskan diri daripada polis ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, kereta dinaiki empat lelaki itu pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang melakukan pemeriksaan di Jalan Permatang Merbau, Sungai Petani.

    Bagaimanapun, katanya ketika diminta berhenti untuk tujuan pemeriksaan, pemandu kereta terbabit terus memecut menghala pasar awam berhampiran.

    Beliau berkata, suasana di pasar terbabit agak sibuk ketika itu dan suspek terpaksa berhenti akibat kesesakan jalan.

    “Ketika itu anggota polis cuba menghampiri dan merampas kunci kereta, namun berlaku pergelutan. Pergelutan menyebabkan seorang anggota polis mengalami luka di siku,” katanya lapor Berita Harian.

    Anuar berkata, anggota polis melepaskan lima das tembakan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri, namun mereka tetap memecut kenderaan.

    “Setakat ini, kita masih mengesan semua suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Dalam keadaan kelam kabut untuk meloloskan diri itu, suspek turut merempuh beberapa kenderaan awam di kawasan terbabit.

  • KWSP terima 5.3 juta permohonan kemudahan pengeluaran libat amaun RM40.1 bilion

    KWSP terima 5.3 juta permohonan kemudahan pengeluaran libat amaun RM40.1 bilion

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu, yang membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.

    Melalui satu kenyataan,  KWSP memaklumkan jumlah permohonan itu merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak membuat pengeluaran dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat mulai 20 April ini.

    “Ia membabitkan 55 peratus ahli B40 yang layak (berpendapatan kurang daripada RM1,700); 59 peratus ahli M40 (RM1,701 – RM4,900), dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4, 900) manakala sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif turut mengemukakan permohonan.

    “Kaum Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon tertinggi iaitu sebanyak 65 peratus, diikuti Cina (12 peratus), India (tujuh peratus) manakala 17 peratus lagi terdiri daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukan warga negara.

    “Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan dibuat iaitu mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus), dan menambah sumber kewangan (14 peratus).

    “Manakala tujuan pengeluaran bagi menampung perbelanjaan keperluan asas harian dan bulanan (40 peratus), membayar tunggakan hutang (26 peratus), menambah simpanan dan dana kecemasan (8 peratus) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (tujuh peratus).

    “Sebanyak 27 peratus lagi adalah untuk tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan,” katanya.

    Dalam pada itu, KWSP menegaskan, bahawa setiap aspek keselamatan sudah diambil bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau ‘scammers’ daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan ahli.

    Justeru, setiap ahli dinasihatkan supaya tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan Pengeluaran Khas mereka di platform media sosial dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

    “KWSP mengingatkan ahli untuk mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu serta membelanjakan wang mereka dengan bijak untuk tujuan yang sesuai,” katanya.

    Tarikh tutup untuk kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April 2022 dan ahli boleh memohon melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

  • Sempat masak juadah berbuka untuk asnaf sebelum meninggal dunia

    Sempat masak juadah berbuka untuk asnaf sebelum meninggal dunia

    SEORANG aktivis kebajikan sempat memasak juadah berbuka puasa kepada 1,000 asnaf beberapa jam sebelum dilaporkan meninggal dunia pada pagi Jumaat di Kota Bharu, Kelantan.

    Pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Allahyarham Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni, 44, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat komplikasi jantung pada jam 2.30 pagi.

    Balu Allahyarham , Zurawati Zulkifli, 44, berkata, sebelum dikejarkan ke hospital suaminya mengadu sakit dada kira-kira pada jam 12 tengah malam dan sukar tidur.

    Katanya, sepanjang perjalanan, suaminya tidak berhenti-henti mengucap dua kalimah syahadah.

    “Apabila tiba di HUSM dia masih boleh berjalan sendiri untuk naik ke katil hospital sebelum pemeriksaan dilakukan dan mendapati bacaan jantung mulai menurun.

    “Pada waktu itu, doktor pula memintanya supaya mengucap dua kalimah syahadah dan selepas mengucap terus dia ‘pergi’.

    “Beberapa hari sebelum ini, kerap dia menyebut soal kematian dan seperti memberitahu ajalnya sudah dekat. Dia pergi dengan mudah pada hari ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Jenazah Allahyarham Meor Shamshir disembahyangkan di Masjid Padang Bongor, Kelantan dengan kehadiran lebih 5,000 orang bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

    Allahyarham adalah seorang jurutera yang bergiat aktif dalam banyak kerja kebajikan dan pernah menerima anugerah Tokoh Kebajikan Cakna Asnaf Miskin pada Hari Kebajikan Negeri Kelantan tahun 2020.

    Pemergian arwah meninggalkan dua isteri dan enam anak berusia antara dua tahun sehingga 19 tahun.