Author: Hussaini Amran

  • Sogok polis RM200,000: Peniaga makanan didenda RM100,000

    Sogok polis RM200,000: Peniaga makanan didenda RM100,000

    SEORANG peniaga makanan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini kerana memberi suapan RM200,000 kepada seorang anggota polis bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap lima rakannya yang ditahan dalam satu serbuan pada tahun lepas.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zaed Asan, 34, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 24 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh telah membayar denda itu.

    Menurut pertuduhan pilihan, Mohd Zaed bersama seorang yang masih bebas, pada 14 Nov 2021, pada kira-kira pukul 1.20 pagi bertempat di dalam kereta Volkswagen Passat 2, di tepi jalan berhampiran stesen minyak di Nilai Square Commercial Centre dengan niat secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM200,000 kepada Koperal Mohamad Taufiq Sudiman.

    Suapan itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakan peniaga makanan tersebut yang ditahan semasa serbuan oleh pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai pada 13 Nov 2021 di sebuah unit Residensi Mesa Putra Nilai atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Adha Mohd Harozi.

    Wan Shaharuddin turut memuji tindakan tiga anggota polis yang terbabit dalam kes berkenaan yang tidak terpedaya dengan wang rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200,000 bagi kes ini dilucut hak melalui Ketua Pesuruhajaya SPRM kepada kerajaan Malaysia. – BERNAMA

  • Kenaikan harga barangan jejas proses pemulihan ekonomi

    Kenaikan harga barangan jejas proses pemulihan ekonomi

    PROSES pemulihan ekonomi negara dikhuatiri akan terjejas sekiranya isu kenaikan harga barangan keperluan asas tidak ditangani secara strategik.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baru-baru ini, pelbagai isu dan rintihan rakyat telah diutarakan terutamanya melibatkan peningkatan harga barang asas makanan.

    Menurut beliau, Jabatan Perangkaan turut melaporkan inflasi makanan pada April lalu meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan telah merekodkan kenaikan harga.

    “Peningkatan harga bahan makanan disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya perubahan cuaca tidak menentu, perkembangan geopolitik antarabangsa yang menjejaskan rantaian bekalan dunia, peningkatan harga input pertanian seperti benih dan baja, kos logistik yang meningkat dan kekurangan sumber tenaga manusia di tapak pertanian.

    “Isu-isu di sebalik peningkatan harga bahan makanan ini, sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh dan bersepadu boleh menjejaskan lagi rantaian bekalan makanan dan sekuriti makanan negara serta menggugat kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kuala Lumpur hari ini.

    Pada masa yang sama, Muhyiddin memberitahu, usaha pemulihan negara masih berjalan dan indikator-indikator ekonomi terbaharu menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan membuktikan pemulihan ekonomi sedang giat berlangsung.

    Beliau menambah, antara indikator positif termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5 peratus pada suku pertama 2022 yang disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara.

    “Kadar pengangguran pula buat pertama kalinya berkurangan di bawah paras 4.0 peratus semenjak negara dilanda wabak COVID-19 dua tahun dahulu, apabila merekodkan kadar 3.9 peratus dalam bulan April 2022.

    “Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini membuktikan dasar-dasar yang diambil kerajaan ketika pandemik telah pun membuahkan hasil terutamanya lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bernilai RM530 bilion,” jelasnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, MPN berpandangan, situasi COVID-19 dalam negara adalah terkawal dengan lebih 99 peratus kes baharu adalah kategori 1 dan 2 serta penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) masih berada pada paras yang rendah.

    Beliau menambah, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), 97.7 peratus dewasa dan 93.6 peratus remaja di Malaysia telah menerima dua dos vaksin.

    “Ini meletakkan Malaysia antara negara dengar kadar vaksinasi yang tertinggi di dunia. Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dan usaha semua rakyat Malaysia.

    “Namun begitu, kadar kematian akibat COVID-19 adalah tinggi dalam kalangan kes yang belum menerima vaksin.

    “Oleh itu, MPN ingin menyeru bagi mereka yang belum mengambil vaksin COVID-19 untuk mengambilnya kerana ia terbukti untuk mengurangkan risiko dan kesan jangkitan COVID-19,” ujarnya.

    Muhyiddin turut memaklumkan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menjalankan tindakan intervensi yang berorientasikan pengguna, pengeluar dan perdagangan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.

    Menurut beliau, antara intervensi jangka pendek yang diambil adalah mewujudkan stokpail ayam, semakan prosedur import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan semakan semula Tarif Elektrik Sektor Pertanian.

    “MPN berpendapat terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan industri input kepada makanan ternakan supaya negara mencapai tahap self-sufficiency
    dan kos input makanan ternakan terurus dan tidak terjejas akibat faktor-faktor luaran,” katanya.

    Muhyiddin berkata, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan beliau semasa menjadi Perdana Menteri pada Jun 2021 dengan peruntukan RM115.4 bilion telah memanfaatkan 26.8 juta rakyat dan 327,300 perniagaan.

    Menurut beliau, antara inisiatif utama PEMULIH yang telah siap dilaksanakan adalah Bantuan Khas COVID-19 sebanyak RM4.6 bilion, Geran Khas Prihatin 4.0 sebanyak RM1 bilion dan Bantuan Kehilangan Pekerjaan sebanyak RM420.51 juta.

    “MPN mengesyorkan agensi LAKSANA mengemukakan laporan yang komprehensif mengenai impak dan kesan inisiatif-inisiatif pakej bantuan yang telah diumumkan
    sebelum ini terutamanya pada rakyat dan sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

    “MPN berpendapat indikator-indikator ekonomi yang memberangsangkan ini akan lebih bermakna apabila kesejahteraan dan ekonomi rakyat turut berkembang seiring.

    “Semua pemegang taruh harus bekerjasama dalam menangani kenaikan harga barang terutamanya barang makanan supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna,” jelasnya.

  • Kerajaan setuju mansuh hukuman mati mandatori – Wan Junaidi

    Kerajaan setuju mansuh hukuman mati mandatori – Wan Junaidi

    KERAJAAN telah bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian, tertakluk budi bicara mahkamah.

    Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaatar, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.

    Wan Junaidi berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

    Menurut beliau, jawatankuasa tersebut diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada institusi pengajian awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

    Wan Junaidi turut mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajjan lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

    “Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian/Jabatan berkepentingan.

    “Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada Kerajaan nanti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau menambah, kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

    Wan Junaidi menjelaskan bahawa keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.

    “Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian ini yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif,” jelasnya.

    Sementara itu, Bernama melaporkan, Wan Junaidi berkata, kerajaan belum menetapkan sebarang jangka waktu bagi menguatkuasakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang telah dipersetujui.

    Beliau berkata, banyak perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu termasuk cadangan menubuhkan satu tribunal untuk mengkaji kes yang sudah dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah.

    “Dari sudut keperlembagaannya, perlu diteliti oleh pihak AG (Peguam Negara) dan kementerian saya kerana kalau bercanggah dengan perlembagaan, ia tidak dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Kuching, hari ini.

    Wan Junaidi berkata, semua kes semasa yang melibatkan mahkamah menjatuhi hukuman mati mandatori namun belum dilaksanakan hukumannya akan ditangguh sehingga pemansuhan itu dikuat kuasa.

    “Semua ini kena dikaji satu persatu dan apakah jenis hukuman yang perlu kita buat. Itu tugas saya sekarang sebab kerajaan sudah luluskan menurunkan hukuman-hukuman ini,” katanya yang berharap kajian lanjut akan dilaksana kerana kelulusan pemansuhan itu mendapat sokongan penuh semua pihak di negara ini.

    Beliau berkata definisi hukuman mati mandatori perlu difahami kerana terdapat beberapa akta yang tidak memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman lain. 

    “(Apabila) hukuman mati mandatori ini dihapuskan, kita akan menyerahkan kembali kepada hakim sama ada (untuk menjatuhkan) hukuman mati atau hukuman lain,” katanya.

  • Pemilihan PKR: Farhash dakwa berlaku manipulasi kiraan undi

    Pemilihan PKR: Farhash dakwa berlaku manipulasi kiraan undi

    FARHASH Wafa Salvador Rizal Mubarak yang tewas dalam persaingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Gombak mendakwa berlaku manipulasi dalam proses pengiraan undi pemilihan parti.

    Beliau yang dikalahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya.

    Menurut bekas pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, semua undi dikumpul dan dikira oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang terdiri dari ahli-ahli parti, lalu diumumkan, tanpa sebarang semak dan imbang.

    “Proses ini tidak berlaku dengan kehadiran pihak ketiga atau wakil-wakil calon, maka persoalan sama ada berlaku manipulasi adalah logik.

    “Tiada siapa dari pihak calon mahupun pihak ketiga hadir dalam kiraan undi untuk mengesahkan bahawa angka-angka yang dicatat adalah benar.

    “Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.

    “Bayangkan, dalam pilihan raya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Farhash Wafa Salvador menambah, agak ketara dapat dilihat begitu banyak bantahan terhadap keputusan Pemilihan PKR 2022 setelah keputusan tidak rasmi disiarkan Ahad lepas.

    Beliau memberitahu, bantahan bukan sahaja daripada pihaknya, tetapi ramai calon yang bertanding turut menyuarakan berbagai keraguan terhadap keputusan tersebut.

    “Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” jelasnya.

    Farhash Wafa Salvador mengingatkan bahawa PKR adalah antara suara besar dalam memperjuangkan ketelusan dan keadilan dalam proses pilihan raya di negara ini.

    “Kita turun ke jalan raya memprotes ketidakadilan dalam pilihan raya melalui himpunan Bersih.

    “Maka seharusnya perkara-perkara yang kita perjuangkan itu dipraktikkan dalam pemilihan parti kita sendiri, tetapi nampaknya yang sebaliknya berlaku,” katanya.

    Maka, katanya, gesaan daripada semua calon yang membuat bantahan untuk satu audit forensik oleh entiti bebas ke atas mekanisme pemilihan parti disusuli satu kiraan semula undi-undi di hadapan saksi terdiri dari wakil-wakil calon adalah wajar.

    “Setelah segala kesangsian dan keraguan bahawa pemilihan parti ini telah tercemar oleh manipulasi dapat di atasi, kita semua, termasuk saya sendiri, boleh berlapang dada menerima keputusan itu sebagai sesuatu yang sah.

    “Keputusan pun dapatlah dikira sebagai rasmi dan yang menang boleh terus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa sangsi.

    “Syor saya supaya pertikaian sebegini tidak berulang di pemilihan akan datang adalah supaya sistem pemilihan parti ini benar-benar bebas dari campur tangan pihak yang berkepentingan.

    “Aplikasi-aplikasi yang digunakan tidak boleh ada kaitan dengan mana-mana ahli. Ia sepatutnya dikendalikan oleh entiti bebas.

    “Begitu juga proses kiraan undi, sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih terbuka dengan keputusan disiarkan secara langsung.

    “Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan-pandangan ramai calon-calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambil kira cadangan-cadangan untuk penambahbaikan.

    “Jika kita melaungkan Reformasi, ia haruslah dipraktikkan dalam parti kita sendiri,” tegasnya.

  • Apakah Rafizi ada formula selamatkan PKR?

    Apakah Rafizi ada formula selamatkan PKR?

    SEPERTI yang sudah dijangka, Rafizi Ramli tidak berdepan masalah besar untuk menumpaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Secara tidak rasmi, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendahului jauh di hadapan dengan kelebihan hampir 20,000 undi.

    Malah, Saifuddin sendiri telah mengangkat ‘bendera putih’ dan mengucapkan tahniah kepada Rafizi atas kemenangannya itu.

    Setelah melepasi halangan pertama dalam usaha menempatkan semula dirinya dalam arus perdana politik tanah air, kini Rafizi berdepan ujian yang lebih getir.

    Mampukah beliau memulihkan semula prestasi PKR yang jatuh merudum sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menjadi Presidennya?

    Golongan muda dalam PKR mungkin sedar bahawa ketaksuban Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kini menjadi liabiliti yang menyukarkan parti itu untuk bergerak jauh ke hadapan.

    Jika dahulu, Anwar dijulang dan disanjung sebagai ikon reformasi namun kini, beliau sering dijadikan bahan ‘troll’ oleh para netizen.

    Lebih-lebih lagi selepas episod memalukan di mana Tun Dr Mahathir Mohamad lebih rela membubarkan Kabinet daripada menyerahkan terus jawatan Perdana Menteri kepada Anwar yang pernah menjadi seteru nombor satunya.

    PKR di bawah kepimpinan Anwar juga kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka dan antara faktor yang menyumbang kepada prestasi buruk itu adalah berkaitan dengan strategi yang digunakannya.

    Pada PRN Melaka, PKR mengutip Datuk Seri Idris Haron yang ditendang dari UMNO manakala pada PRN Johor pula, parti itu memilih untuk bertanding menggunakan logonya sendiri.

    Masalah yang paling besar dalam PKR adalah tiada siapa yang berani menegur atau membantah keputusan yang dibuat Anwar walaupun ia merugikan parti.

    Sebagai tokoh yang dikenali sebagai ‘raja formula’, Rafizi yang pernah menjadi Pengarah Strategi PKR pasti mempunyai idea segar dan baharu untuk memastikan parti yang berusia hampir 24 tahun itu kekal relevan sebagai kuasa pembangkang yang disegani.

    Namun, Rafizi dan pemimpin-pemimpin muda PKR yang seangkatan dengannya terpaksa menelan hakikat yang pahit iaitu mereka terpaksa tunduk terhadap segala perintah Anwar.

    Selagi Rafizi tidak berani menongkah arus dalam partinya sendiri, rakyat tidak akan memberi kepercayaan kepada PKR yang didominasi oleh Anwar.

    Sifirnya mudah. Kalau PKR sendiri gagal melakukan reformasi dalam parti, tak usah haraplah pembaharuan akan berlaku di negara ini sekiranya mereka berkuasa.

    Terpulanglah kepada Rafizi sama ada beliau ingin menyelamatkan PKR atau sekadar berpuas hati menjadi orang nombor dua yang hanya mampu berkata ‘yes’ terhadap setiap perintah bosnya.

  • Bukan Islam tak berhak campur urusan Islam – Abdul Hadi

    Bukan Islam tak berhak campur urusan Islam – Abdul Hadi

    PIHAK bukan Islam tidak berhak campur dalam urusan Islam, sehingga melanggar sempadan hak yang telah ditetapkan kepada mereka.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bagi umat Islam pula, haram dan berdosa besar bahkan merosakkan keislamannya apabila mereka terpengaruh dengan pihak bukan Islam.

    “Mutakhir ini terdapat kalangan yang bernama Islam pada bin dan bintinya, tetapi mereka bertindak merobekkan Islam secara terbuka.

    “Sehinggakan, ia merendahkan kedudukan Islam yang sebenar apabila masih mempertahankan tafsiran sesat penjajah terhadap Islam.

    “Tindakan tersebut adalah menghina Islam, penganutnya dan raja-raja yang diberikan kewajipan memeliharanya,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS hari ini.

    Justeru, Ahli Parlimen Marang itu berkata, wajib dilakukan islah dalam memahami dan mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan yang telah meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

    Lebih-lebih lagi, menurut beliau, apabila negara sudah merdeka, maka janganlah masih lagi memahami Islam mengikut tafsiran ideologi sekular oleh pihak penjajah dahulu.

    “Islam pula diletakkan dalam hak raja-raja yang tidak berani dibuang oleh penjajah.

    “Sekalipun mereka salah mentafsirkan makna Islam itu, kemudiannya ia dikekalkan selepas negara ini diberikan kemerdekaan,” jelasnya.

    Abdul Hadi menambah, pandangan telah diberikan oleh beberapa orang tokoh undang-undang yang beriman seperti Tan Sri Hashim Yeop Sani yang berpendapat bahawa Perkara 3 (1) dalam perlembagaan sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama negara ini ialah Islam.

    Maka, katanya, mana-mana tafsiran yang mewujudkan percanggahan (antara dokumen ciptaan manusia dalam perlembagaan dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran dan al-Sunnah), maka tafsiran itu tidak boleh dipakai dan tafsiran ini disokong oleh Prof Ahmad Ibrahim.

    “Manakala Tun Salleh Abbas, Tun Fairuz dan lain-lain pula berusaha melalui tindakan secara bijaksana bagi meletakkan Islam di tempat yang sebenar dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Suatu realiti yang perlu dikenal pasti oleh ramai orang adalah kita sedia maklum bahawa kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan yang tertinggi di Malaysia. Acuannya pula mempunyai unsur-unsur keislaman.

    “Memang tidak disebutkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber hukum tertinggi di Malaysia, tetapi agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia juga sebenarnya sudah merangkumi hal yang demikian atau sekurang-kurangnya memperuntukkan usaha ke arah yang demikian.

    “Islam merupakan agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain masih lagi boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 (1). Mengapa kuasa agama Islam pula yang disekat dan cuba dihapuskan?” katanya.

  • Kaji kesan mansuh AP terhadap industri pertanian tempatan

    Kaji kesan mansuh AP terhadap industri pertanian tempatan

    KERAJAAN diminta mengkaji kesan pemansuhan permit import (AP) sebahagian besar bahan makanan terhadap industri pertanian tempatan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tujuan asal AP diperkenalkan adalah untuk melindungi pengeluar hasil pertanian dan perikanan tempatan.

    “Adakah kita boleh beri bantuan lepada kepada sektor pertanian, subsidi dan pembiayaan mudah, tempoh pajakan tanah yang panjang?” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Pagoh di Pagoh, hari ini.

    Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa tiada lagi AP dikenakan bagi mengimport bahan makanan berkuat kuasa serta-merta, di mana keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya, bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

    Walau bagaimanapun, semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan bahawa AP masih dikuatkuasakan terhadap beras.

    Pada masa ini, rakyat sangat terbeban dengan peningkatan mendadak harga bahan makanan di seluruh negara.

    Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berpandangan, langkah pemansuhan AP tersebut secara dasarnya adalah pendekatan yang baik.

    Beliau berkata, cadangan agar tiada sekatan dikenakan terhadap import pernah dibuat dahulu agar selari dengan keputusan persidangan perdagangan antarabangsa.

    “Mungkin disebabkan oleh situasi sekarang di mana rakyat menanggung beban kos sara hidup yang lebih tinggi harga makanan mahal.

    “Jadi ini langkah untuk melonggarkan pada dasarnya itu pendekatan yang baik,” ujarnya.

  • Kalau tak gaduh, tak kecoh, bukan pemilihan PKR namanya

    Kalau tak gaduh, tak kecoh, bukan pemilihan PKR namanya

    PROSES pemilihan PKR yang membuka tirainya pada 13 Mei lalu dicemari dengan dakwaan terdapat unsur penipuan termasuk kewujudan pengundi hantu.

    Dakwaan yang masih disiasat oleh Jawatan Pemilihan Parti (JPP) itu menambahkan lagi bahang kehangatan yang tercetus ekoran pertembungan antara dua kem calon Timbalan Presiden iaitu Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Kekecohan dilaporkan berlaku di beberapa pusat pemilihan di seluruh negara yang dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati terhadap kepincangan semasa pengundian secara fizikal dijalankan.

    Malah, kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di pusat pengundian Cabang Port Dickson pada 16 Mei lalu tidak berupaya menenteramkan keadaan.

    Laporan BH pada hari yang sama menyatakan proses pengundian terganggu akibat protes yang dilakukan oleh kumpulan yang tidak menyokong Aminuddin yang baru sahaja ‘meloncat’ dari Cabang Tampin ke Port Dickson.

    Tidak diketahui apa punca sebenar mereka mengadakan protes namun yang pasti, situasi yang tegang menyebabkan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa campur tangan bagi mengawal keadaan.

    Memang memalukan apabila keadaan sedemikian berlaku di hadapan seorang Menteri Besar dan Pengerusi MPN, seolah-olah beliau tidak dihormati oleh akar umbi parti sendiri.

    Lebih mengharukan, Parlimen Port Dickson diwakili oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim justeru cabang berkenaan sepatutnya menunjukkan contoh terbaik dari segi kelancaran proses pengundian.

    Bagi mereka yang tidak ketinggalan mengikuti pemilihan PKR sejak dari kejayaan parti itu merampas Selangor dan seterusnya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan serta menjadi sebahagian daripada kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kekecohan yang berlaku bukan sesuatu yang asing.

    Seorang sahabat secara terang-terangan berseloroh: “Kalau tak gaduh, tak kecoh, bukan pemilihan PKR lah namanya.”

    Cuma, kegagalan PKR menangani dakwaan mengenai kepincangan yang berlaku semasa proses pengundian secara fizikal dan dalam talian sedikit sebanyak menyebabkan reputasi parti tersebut terjejas.

    Memandangkan Presiden PKR dan isterinya pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, PKR yang sudah hidup selama lebih 30 tahun sepatutnya menunjukkan kematangan dalam proses pemilihan kepimpinan di segenap peringkat.

    Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan Presiden PKR masih mengangankan jawatan Perdana Menteri dan masih berharap dapat mencapainya selepas PRU-15.

    Melihat kepada kekecohan yang berlaku, ramai rakyat bertanya: “Kalau pemilihan parti sendiri pun tunggang-langgang, bagaimana pula rupanya kalau Presidennya memerintah negara?”

  • Gagal capai tahap mampu diri antara punca harga makanan melambung

    Gagal capai tahap mampu diri antara punca harga makanan melambung

    KEGAGALAN dalam memastikan hasil pengeluaran bahan makanan sehingga mencapai tahap mampu diri dikenal pasti antara punca yang menyumbang kepada masalah peningkatan harga di negara ini.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akibatnya, Malaysia masih lagi mengimport bahan makanan dan menerima kesan peningkatan harga di peringkat global.

    Menurut beliau, kesan lonjakan harga tersebut seterusnya ditanggung pula oleh pengguna domestik yang terpaksa membayar harga lebih tinggi.

    “Sebab itu saya setuju supaya usaha untuk meningkatkan pengeluaran dalam negara yang belum diteroka secara meluas seperti penggunaan teknologi, isu tenaga kerja.

    “Saya jangka dalam situasi pandemik ini, ia perlu diberi perhatian segara dalam usaha menangani inflasi.

    “Beri tumpuan lebih kepada sektor agromakanan, tarik pelabur dan minat orang tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Putrajaya, hari ini.

    Muhyiddin mengulas tentang isu kenaikan harga bahan makanan yang melonjak tinggi di negara ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang terjejas.

    Beliau turut menyarankan agar majlis khas yang pernah dibentuk kerajaan dahulu untuk menangani masalah keselamatan makanan diaktifkan secara mendalam.

    Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, cadangan MPN sebelum ini agar Majlis Pemulihan Negeri ditubuhkan adalah masih relevan.

    Beliau menambah, sesetengah isu berkaitan proses pemulihan negara adalah berkaitan dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

    “Kita sudah bersetuju, Kabinet juga sudah bersetuju cuma nak menunggu Perdana Menteri menandatangani surat supaya kerajaan negeri nanti akan membentuk Majlis Pemulihan Negeri dalam tempoh yang terdekat,” jelasnya.

    Berhubung peningkatan kes COVID-19 selepas Aidilfitri, Muhyiddin berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam taklimatnya kepada MPN hari ini menyatakan bahawa situasi pandemik adalah tidak membimbangkan dan hospital awam tidak berdepan tekanan yang serius.

    “Kalau ikut laporan Menteri Kesihatan tadi, hampir 90 peratus kes itu daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menambah, Persidangan Kebangsaan MPN yang bakal diadakan nanti bertujuan membuka ruang yang lebih besar kepada pelbagai pihak di peringkat negeri, nasional atau antarabangsa untuk menyuarakan pandangan dalam proses pemulihan negara.

    “Mereka boleh mengemukakan kertas kita bincang secara mendalam, dapatkan pandangan dan resolusi yang boleh membantu negara kita pulih dengan seberapa segera,” ujarnya.

    Mengenai penutupan sempadan yang dikuatkuasakan oleh China, Muhyiddin berkata, itu adalah dasar negara berkenaan.

    “Kita bincang dalam kertas berkenaan pelancongan tadi dengan sebab itu jumlah pelancong dari China yang patut datang kalau ikut tempoh sebelum itu 3 juta, sekarang ini mereka tidak sampai lagi di Malaysia.

    “Jumlah yang sebesar itu kalau akan memberikan keuntungan kalau mereka datang melancong, berbelanja, tinggal di sini dan sebagainya.

    “Ini adalah dasar negara mereka, di peringkat kita kita sudah buka malah syarat-syarat yang dikenakan Kementerian Kesihatan dari segi prosedur operasi standard (SOP) sudah agak begitu longgar untuk membolehkan hampir sesiapa sahaja yang membenarkan warga mereka datang boleh datang ke Malaysia,” katanya.

  • Pemuda PAS mahu kelab malam, pub tutup selepas 12 tengah malam

    Pemuda PAS mahu kelab malam, pub tutup selepas 12 tengah malam

    DEWAN Pemuda PAS menggesa kerajaan menguatkuasakan peraturan yang meminimumkan masa operasi kelab malam dan pub dengan menutup premis-premis hiburan tersebut mulai pukul 12 tengah malam.

    Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata, pihaknya turut mencadangkan agar kelab malam dan pub tidak dibuka di lokasi yang bukan tumpuan pelancong asing serta di kawasan perumahan yang dihuni majoriti orang Melayu dan Islam.

    Beliau juga menggesa agar penguatkuasaan dilakukan terhadap kelab malam yang beroperasi tanpa lesen serta melanggar peraturan dan membenarkan orang Islam memasukinya.

    “Sehubungan itu, Pemuda PAS bercadang bagi pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberikan pantauan dan kawalan terhadap operasi pembukaan pusat hiburan kelab-kelab malam dan pub,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nazir turut menyifatkan pengumuman KPKT bahawa pub dan kelab malam dibenarkan beroperasi setelah ditutup sementara selama dua tahun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai sesuatu yang mengejutkan.

    Beliau menambah, Pemuda PAS meminta MKN, KPKT dan PBT untuk memberi penjelasan ke atas usaha pembukaan semula pub dan kelab malam walaupun umum tahu, pembukaan pusat hiburan terbabit akan membuka ruang kepada kenaikan semula kadar jangkitan COVID-19.

    “Walau bagaimanapun, pihak MKN dan KPKT perlu bersegera bersikap rasional dalam membuat keputusan terhadap pembukaan kelab-kelab malam ini beroperasi dengan pengawalan yang lebih ketat yang perlu dikenakan terhadap pusat-pusat hiburan.

    “Begitu juga dengan PBT yang memberikan lesen kepada kegiatan pusat-pusat hiburan ini, sepatutnya bertegas dalam pemantauan seperti membatalkan lesen bagi premis yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

    “Bahkan berdasarkan rekod, jumlah kelab malam dan pub terbanyak jatuh kepada negeri Selangor yang menyumbang kepada lebih daripada RM189 juta setahun,” jelasnya.