SELEPAS musim perayaan Aidilfitri berakhir, pemimpin-pemimpin UMNO kelihatan semakin rancak mendesak kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal.

Melihat kepada situasi politik negara yang semakin membahang ketika ini, ramai pemerhati menjangka PRU-15 mungkin berlangsung lebih awal hujung tahun ini.

Namun, dalam keghairahan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO itu, mereka seolah-olah terlupa bahawa tidak semua pemimpin parti khususnya yang berjawatan menteri bersetuju dengan desakan tersebut.

Maka, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkan oleh Pakatan Harapan (PH) supaya melihat ke dalam partinya sendiri dan bukan hanya tahu menyalahkan pihak lain sekiranya rancangan mendesak kerajaan membubarkan Parlimen gagal.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuduh Ahmad Zahid seolah-olah cuba mengalihkan perhatian daripada pandangan berbelah bahagi dalam kalangan pemimpin-pemimpin partinya sendiri.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian ekoran kenyataan Ahmad Zahid dalam laman Facebook semalam yang mendakwa, pembangkang nampaknya mahu ‘membeli masa’ dengan menolak pilihan raya awal diadakan dan mereka cuba menipu pengundi.

“UMNO berbelah bahagi sama ada mahu pilihan raya diadakan.

“Mudah untuk menyalahkan pembangkang. Ada Ahli Parlimen dan menteri dalam UMNO yang juga tidak menyokong pilihan raya diadakan.

“Jika beliau mahu menunjukkan bercakap serupa bikin, kenapa tidak pecat saja mereka yang menentang pilihan raya mengejut daripada parti dan bukannya sekadar memberikan omongan kosong,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau menambah, Ahmad Zahid tidak sepatutnya mendesak pilihan raya diadakan, sebaliknya menasihatkan rakan-rakan dalam kerajaan memerintah supaya menangani isu kenaikan harga barangan, kekurangan tenaga kerja, dan nilai ringgit yang semakin lemah.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Faiz Fadzil memberitahu, dakwaan Ahmad Zahid bahawa pilihan raya akan membawa kepada kerajaan yang stabil adalah tidak benar.

Menurut beliau, BN yang sebenarnya bertanggungjawab mengakibatkan isu yang kini melanda negara, seterusnya dasar-dasar gabungan itu yang tidak stabil akan berterusan sekiranya ia menang.

Faiz mendakwa, pada masa lalu, BN tidak bijak menangani inflasi, dan memberi contoh kadar inflasi 4.2 peratus pada Februari 2016, yang melonjak kepada 5.1 peratus pada Mac 2017.

“Hari ini pula, Perdana Menteri tiada strategi keluar daripada krisis kekurangan makanan dan peningkatan harga barangan.

“Jadi apa relevannya mahukan kerajaan stabil sedangkan orang yang sama begitu yakin mereka akan kembali berkuasa?” soalnya.

Beliau menambah, mengadakan pilihan raya sekarang akan menelan belanja tinggi sedangkan dana boleh digunakan untuk menangani isu berkaitan inflasi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan komen Ahmad Zahid itu tidak perlu dilayan kerana beliau bukannya mampu membubarkan Parlimen.

“Kita patut tidak mengendahkannya saja,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi isu seperti kenaikan harga barangan adalah lebih mendesak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here