Author: Hussaini Amran

  • MPPK kemuka 8 resolusi Pelan Pemulihan IPT

    MPPK kemuka 8 resolusi Pelan Pemulihan IPT

    Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) membentangkan lapan resolusi bagi memastikan Pelan Pemulihan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang bakal dibentangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad lebih berkesan.

    Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pihaknya menyambut baik perkara tersebut serta berharap ia memberi manfaat kepada mahasiswa serta menjamin keselamatan warga kampus.

    Lapan resolusi tersebut adalah:

    Pergerakan pulang mahasiswa secara pilihan dan berperingkat. Memberi pilihan kepada mahasiswa sama ada mahu pulang ke kampus atau sebaliknya dan pergerakan pulang mahasiswa ke kampus dilakukan secara berperingkat.

    Mengutamakan mahasiswa yang telah mendapat vaksinasi lengkap.

    Menyeragamkan SOP untuk semua IPT bagi urusan pergerakan keluar masuk kampus mengikut kesesuaian dan panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)

    Sesi pengajaran dan pembelajaran secara hybrid (bersemuka dan atas talian).

    Pemberian kit antigen ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada mahasiswa.

    Pemberian insentif diskaun penerbangan atau sewa khas kepada mahasiswa untuk pulang ke kampus.

    Bantuan One-off sebanyak RM300 kepada mahasiswa menerusi Belanjawan 2022.

    Penetapan elaun minimum latihan industri, latihan mengajar dan praktikal sebanyak RM500 menerusi Belanjawan 2022.

    Beliau menambah, MPPK berharap agar lapan resolusi tersebut dipertimbangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan semua IPT dapat mewujudkan gelembung kampus selamat dan pada masa yang sama dapat terus menjaga kebajikan mahasiswa.

    “MPPK juga memohon kepada pihak KPT untuk memastikan satu garis panduan yang jelas dan mudah difahami dapat dikeluarkan bagi memastikan mahasiswa dan warga kampus dapat kembali ke kampus dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK juga berharap agar semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan semua dapat kembali menjalani hidup seperti biasa di kampus.

  • Kurang komitmen laksana Undi 18 jauhkan pengundi muda

    Kurang komitmen laksana Undi 18 jauhkan pengundi muda

    SEBARANG tindakan yang seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak komited untuk melaksanakan Undi 18 akan hanya terus menjauhkan lagi pengundi muda dari terlibat dalam sebarang usaha kerajaan.

    Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN), Datuk Sivarraajh Chandran berkata, untuk berdepan dengan pandemik, kerajaan memerlukan penglibatan segenap masyarakat.

    Beliau yang juga Naib Presiden MIC memberitahu, ia termasuk penglibatan secara langsung ataupun tidak langsung pengundi muda dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

    “Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN juga berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan segera bergerak untuk melaksanakan beberapa usaha termasuk penganjuran kelas-kelas pendidikan politik dan pentadbiran secara dalam talian melibatkan kerjasama rentas parti disamping menggerakkan pelbagai inisiatif untuk menggalakan pengundi muda untuk terus bersiap sedia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Sivarraajh mengulas tentang pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengarahkan SPR bersiap sedia melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember 2021 seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

    Beliau menambah, walaupun Wan Junaidi dalam pengumuman yang sama telah menyatakan bahawa kerajaan belum memutuskan sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching atau sebaliknya, sekretariat berharap agar kerajaan tidak akan merayu keputusan tersebut.

    SivArraajh juga berpandangan, pengumuman Wan Junaidi itu menunjukkan komitmen kerajaan melaksanakan inisiatif berkenaan adalah selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia yang memberi penekanan pada usaha membina negara bangsa yang lebih inklusif dengan penglibatan segenap masyarakat.

    “Sekretariat Undi Automatik 18 Tahun BN berharap agar semua pihak yang terlibat akan terus mendukung dan menyokong usaha pemerkasaan hak anak muda demi ini masa hadapan masyarakat dan negara,” jelasnya.

    Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

  • Anwar mungkin jadi ketua PKR Negeri Sembilan?

    Anwar mungkin jadi ketua PKR Negeri Sembilan?

    KEM yang menolak kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun membayangkan kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan.

    Kemungkinan itu dinyatakan oleh Ketua PKR Cabang Rasah, Datuk Ismail Ahmad dalam sidang media yang disiarkan melalui laman Facebook Sinar Harian, hari ini.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan berkata demikian ketika ditanya tentang siapa calon yang paling layak dilantik untuk menggantikan Aminuddin.

    “Itu terserah kepada nanti, sebenarnya kalau ikut dalam peraturan, terserah perbincangan semua ketua-ketua cabang, lepas tu mencadangkan kepada Presiden, Presiden dia akan buat keputusan lah.

    “Kuasa, kuasa Presiden. Kita pun tak tahu siapa. Hanya kita sekarang mengemukakan nama, jadi kita serah kepada Presiden lah.

    “Tak semestinya siapa-siapa yang ada dalam itu. Tengok, mungkin Presiden jadi, kita pun tak tahu.

    “Sesuatu yang diputuskan parti atau pun orang lain dari Pusat… mungkin mengetuai. Ini kita tak tahu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu di Seremban, hari ini.

    Ismail Ahmad PKR Negeri Sembilan
    Ismail Ahmad dalam sidang media berhubung krisis kepimpinan PKR Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

    PKR Negeri Sembilan kini dalam keadaan kucar-kacir setelah sebahagian besar pemimpinnya secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi MPN.

    Mereka terdiri daripada empat Ketua Cabang PKR iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang (Rembau, Rasah dan Port Dickson); dua Timbalan Ketua Cabang PKR (Seremban dan Rembau); Ketua Wanita PKR Negeri, Amni Idris; Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri, Rusnani Saring; Setiausaha Penerangan PKR Negeri, Madon Mislan; Ketua Penerangan PKR Negeri, Yusuf Tapar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan mantan Ketua Jurulatih Jentera Pilihan Raya Negeri, Mdd Nordin Ismail.

    Memetik laporan Sinar Harian, kesemua mereka menegaskan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Yusuf yang mewakili mereka berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam MPN bagi memastikan parti itu kekal relevan.

    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, Pengerusi MPN Negeri Sembilan itu didakwa tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) untuk terus kekal memerintah.

    Dakwa mereka, beliau tidak melakukan sebarang penyusunan dan koordinasi yang berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutamanya di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan keutamaan.

    “Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

    “Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti.

    “Beliau juga tidak membuat perancangan bersifat holisitik terhadap perkembangan parti, tiada tindakan atau program pengukuhan dan pemantapan pengurusan parti di peringkat MPN serta cabang, selain tiada sebarang program dalam menyantuni ahli-ahli parti di peringkat cabang dan ranting,” katanya.

    Yusuf berkata demikian semasa membaca memorandum menolak kepimpinan Aminuddin di Seremban pada 5 September lalu.

    Ismail merupakan antara ketua cabang yang menghadiri sidang media malam itu selain Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Datuk Dr S Streram; Ketua Wanita PKR Negeri, Amni dan Ketua PKR Cabang Jelebu, Yuz Mazmi Ahmad Yusuf.

  • 25 unit ACMVT bantu vaksinasi seluruh negara

    25 unit ACMVT bantu vaksinasi seluruh negara

    SEBANYAK 25 unit Pasukan Vaksinasi Perubatan Medan ATM (ACMVT) telah diatur gerak di seluruh negara sejak 22 Jun lalu bagi memenuhi agenda nasional khususnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, memiliki kepakaran anggota, aset serta kelengkapan logistik yang mencukupi, keutamaan ACMVT ialah membantu pasukan Kementerian Kesihatan mencapai kawasan-kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak.

    Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 25 pasukan ACMVT telah diatur gerak bagi vaksinasi iaitu 18 di Sarawak dan tujuh di Sabah.

    “Alhamdulillah, pasukan berkenaan telah sampai ke 92 penempatan dan berupaya melaksanakan suntikan sebanyak 11,001 dos vaksin kepada penduduk di sana.

    “Tiada istilah berundur sebelum selesai dalam disiplin penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Gambar: Facebook Hishammuddin Hussein

    Hishammuddin juga telah menegaskan baru-baru ini, usaha membantu Kementerian Kesihatan untuk memberi vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan dilipatgandakan dan ACMVT akan ditambah mengikut keperluan Kementerian Kesihatan.

    “Terima kasih ACMVT – semoga gandingan ATM – Kementerian Kesihatan ini berupaya memerangi COVID-19 habis-habisan!” jelasnya.

  • UMNO serah kebijaksanaan Ismail Sabri tadbir negara

    UMNO serah kebijaksanaan Ismail Sabri tadbir negara

    UMNO menyerahkan kebijaksanaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah membuat pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Menurut beliau, pendirian parti itu juga boleh ditakwilkan bahawa Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan.

    “Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Ahmad Zahid menambah, UMNO konsisten dalam pendiriannya dan telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

    Bagi pihak parti, beliau akan memastikan UMNO terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara.

    “Inilah semangat dan prinsip demokrasi yang wajar kita suburkan. Kerajaan ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat.

    “Parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat,” jelasnya.

    Selaku ketua parti, Ahmad Zahid akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    Beliau menegaskan, fokus UMNO tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    Ahmad Zahid turut menyatakan kembali dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepada beliau dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT.

    “Pertamanya, kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat.

    “Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok dicapai, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

    “Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

    “Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya setelah Parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” jelasnya.

    Beliau berkata, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

    Ahmad Zahid berkata, kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.

    “Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan. Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan.

    “Kepada Allah jualah kita berserah dan mengharapkan petunjuk demi meneruskan agenda perjuangan untuk membela rakyat dan mensejahterakan negara,” katanya.

  • Siapakah dalang gerakan tolak kepimpinan Aminuddin?

    Siapakah dalang gerakan tolak kepimpinan Aminuddin?

    KRISIS kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan satu perkembangan yang mengejutkan.

    Kedudukan parti itu di Negeri Sembilan sememangnya tidak stabil walaupun Aminuddin bergelar Menteri Besar.

    Penolakan terbuka daripada pemimpin-pemimpin akar umbi yang diwakili Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar membuktikan masalah yang melanda parti itu memang benar-benar berlaku.

    Sebagai orang lama dalam gerakan reformasi, Yusuf pasti mempunyai asas pertimbangan yang kukuh bagi mendesak rombakan dilakukan terhadap struktur kepimpinan tertinggi MPN PKR Negeri Sembilan.

    Kalau main langgar sahaja, silap hari bulan beliau pula yang jatuh tersungkur. Lebih-lebih lagi Aminuddin diketahui menerima sokongan daripada sekutu-sekutunya dalam DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

    Namun, tidak diketahui dengan pasti sama ada tindakan Yusuf dan konco-konconya menyanggah kepimpinan Aminuddin itu didalangi oleh tokoh tertentu dalam PKR sendiri dan apa motif sebenar mereka berbuat demikian.

    Mungkin mereka benar-benar jujur menyuarakan pandangan akar umbi parti yang bimbang Pakatan Harapan (PH) akan kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum nanti.

    Tidak mustahil juga ada dalam kalangan pemimpin PKR Negeri Sembilan yang mengidam ingin merebut jawatan yang disandang oleh Aminuddin dalam parti atau pentadbiran negeri.

    Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, gelombang penolakan terhadap Aminuddin memang telah lama berlaku iaitu sejak pemilihan parti yang lalu.

    Walau bagaimanapun, Che’gu Bard melihat mereka yang menggerakkan gelombang tersebut tidak serius kerana cubaan menggulingkan Aminuddin sebelum ini tidak ke mana pun.

    Seperti yang didakwa beliau, segala-galanya bergantung kepada tindakan yang bakal diambil oleh Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis terbaharu ini.

    Pada masa yang sama, krisis PKR Negeri Sembilan telah membuka mata rakyat di negeri itu tentang kepincangan parti politik yang dianggotai Menteri Besar sendiri.

    Ramai dalam kalangan mereka, lebih-lebih lagi yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mula sedar bahawa mereka telah melakukan kesilapan yang amat besar.

    Mereka dapat melihat betapa maju dan stabilnya Negeri Sembilan ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu terutamanya semasa era Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar.

    Kalau hendak dibandingkan pencapaian Mohamad dan Aminuddin, memang jauh bezanya. Umpama langit dan bumi.

    Dengar-dengar, Selangor yang berjiran dengan Negeri Sembilan turut menyaksikan bibit-bibit pergolakan dalam PKR.

    Mungkin tokoh yang sama menjadi tok dalangnya. Mungkin juga tidak.

  • Benarkan hanya pelajar lengkap vaksinasi ke sekolah

    Benarkan hanya pelajar lengkap vaksinasi ke sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan disarankan supaya hanya membenarkan pelajar tahun peperiksaan yang telah melengkapkan dos vaksin sahaja untuk bersekolah semula pada 3 Oktober ini.

    Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, selain itu, mereka juga mesti telah melepasi tempoh 14 hari selepas tarikh melengkapkan vaksinasi.

    Beliau turut mencadangkan agar sekolah dibuka semula untuk pelajar-pelajar tahun peperiksaan yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di seluruh negara tanpa mengira fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    pelajar perkara
    ANUAR AHMAD

    “Semua guru yang mengajar tahun peperiksaan, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan sekolah dan pemandu bas telah lengkap dua dos vaksin dan telah melepasi 14 hari vaksinasi kedua.

    “Semua ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan murid-murid tahun peperiksaan telah lengkap dua doktor vaksin dan melepasi 14 hari vaksinasi kedua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar menambah, sebelum sekolah dibuka semula, Kementerian Pendidikan seharusnya telah selesai membentangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan secara terperinci, jelas dan mudah difahami oleh semua pihak.

    Menurut beliau, SOP tersebut merangkumi keluarga pelajar, perjalanan pergi dan balik sekolah serta peraturan di dalam kawasan sekolah.

    “Murid-murid lain (bukan tahun peperiksaan) boleh teruskan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga hujung tahun ini atau sehingga kes baharu Covid-19 turun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh Kementerian Kesihatan di negeri-negeri berkaitan.

    “Bagi guru-guru yang berkeras tidak mahu vaksin, mereka bolehlah diarahkan mengajar secara PdPR pada pelajar bukan tahun peperiksaan,” jelasnya.

    Hari ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan, kementeriannya bersetuju untuk membuka semula sekolah di Labuan mulai 3 Oktober dengan fasa pertama melibatkan pelajar tingkatan 5 dan 6.

    Beliau berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan jangkitan COVID-19 yang dapat dikawal.

  • Aduhai Siti Kasim! Jam Buruj disangka Rolex

    Aduhai Siti Kasim! Jam Buruj disangka Rolex

    BARU-baru ini, peguam kontroversi, Siti Kasim secara semberono mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad memakai jam emas jenama Rolex.

    Dia membuat dakwaan itu melalui ciapan Twitter yang kini telah dipadamkan.

    Walau bagaimanapun, tangkap layar ciapan Twitter yang mengandungi tuduhan tidak berasas itu telah tular secara meluas dalam media sosial.

    Ciapan dalam bahasa Inggeris tersebut berbunyi, “Heard he’s the new Religious Minister now. Goes around praying on the floor of an office wherever he goes. Also wears Jawi name tag only. No BM. But check out his Rolex gold watch.”

    Terjemahan dalam bahasa Melayu: “Dengar beliau Menteri Agama yang baharu sekarang. Solat di atas lantai pejabat di mana-mana sahaja beliau pergi. Juga pakai tag nama Jawi sahaja. Tiada BM. Tetapi tengok jam emas Rolex dipakainya.”

    Entah apa yang difikirkan Siti ketika dia menulis ciapan tersebut kerana jam yang dipakai Idris bukan jenama Rolex.

    Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden PAS itu dalam hantaran Facebook, jam yang dilihat dalam gambar dikongsi oleh Siti adalah berjenama Buruj.

    “Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat. Boleh solat kat mana-mana.

    “Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” jelasnya.

    Sementara itu, Siti dalam ciapannya di Twitter memohon maaf kepada Idris yang didakwa memakai jam berjenama Rolex.

    “Minta maaf ustaz sebab saya memang salah,” katanya merujuk hantarannya sebelum ini.

    Pada masa yang sama, kontroversi semberono yang dicetuskan Siti telah menyebabkan model jam Buruj yang mempunyai warna sama dipakai oleh Idris laku keras.

    Rolex Buruj
    Sumber: Facebook Buruj Watches HQ

    Perkara itu disahkan oleh pengedar jam berkenaan dalam Facebook hari ini.

    Namun, model yang dipakai oleh Idris tersebut masih boleh didapati dalam warna selain rose gold stainless steel.

    Maklumat lanjut tentang jam Buruj boleh didapati dalam laman Facebook Buruj Watches HQ.

  • MKN mula bincang SOP, kelonggaran fasa endemik

    MKN mula bincang SOP, kelonggaran fasa endemik

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, selain beliau, tiga lagi menteri iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan dilibatkan dalam perbincangan itu.

    Beliau juga akan memanggil ketiga-tiga mereka dalam masa terdekat.

    “Pada masa yang sama, saya juga telah mengarahkan MKN untuk terus mengemas kini SOP-SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini agar ia lebih mudah difahami,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Hishammuddin menambah, sebagai persediaan ke arah fasa endemik, kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian termasuk rentas negeri bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

    Namun pada masa yang sama, beliau yang mengetuai MKN memberitahu, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

    “Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor.

    “Bagi menetapkan kelonggaran-kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” jelasnya.

  • Tiada keperluan absah pelantikan PM – Peguam Negara

    Tiada keperluan absah pelantikan PM – Peguam Negara

    PEGUAM Negara, Tan Sri Idrus Harun berpandangan, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.

    Kenyataan penuh beliau yang dikeluarkan hari ini adalah seperti berikut:

    Pada 21 Ogos 2021, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka Baginda untuk melantik Perdana Menteri harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mana Perdana Menteri hendaklah dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

    Ternyata sekali pelantikan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab perlembagaan (constitutional responsibility) dan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

    Tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.

    Bagi tujuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah diminta untuk menyatakan nama ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration).

    Seterusnya, nama-nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021 lalu.

    Susulan daripada penerimaan surat-surat akuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera.

    Seterusnya, pada 21 Ogos 2021 juga YAB Perdana Menteri yang baharu telah pun mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka Baginda menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

    Selaras dengan proses pemilihan yang telah dijalankan oleh Seri Paduka Baginda dengan teliti dan telus untuk melantik YAB Perdana Menteri ke-9 seperti yang dinyatakan di atas, secara jelasnya pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9 adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

    Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

    Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.