PERGOLAKAN dalaman yang parah ekoran penolakan terhadap kepimpinan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat membuka ruang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa di negeri itu.

Orang-orang UMNO dengarnya semakin bersemangat untuk melipatgandakan usaha menawan semula Negeri Sembilan selepas terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi mereka, maruah yang tercalar teruk akibat kekalahan itu mesti ditebus semula dan Negeri Sembilan mesti ditadbir oleh BN / UMNO selepas PRU-15.

Namun, krisis kepimpinan yang melanda PKR Negeri Sembilan tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa PH semakin lemah di bumi Adat Perpatih itu.

Yang menjadi punca masalah adalah Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, bukannya PH itu sendiri.

Mungkin PKR Negeri Sembilan bermasalah tetapi yang menjadi tunjang sebenar kekuatan PH adalah DAP.

Parti cauvinis itu menguasai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding enam kerusi PKR dan tiga kerusi PAN.

Semua DUN yang dikuasai DAP iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah merupakan kawasan yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

Kecuali MCA mampu melakukan keajaiban, agak sukar bagi BN untuk menawan 11 DUN yang kini boleh dianggap sebagai kerusi tradisi DAP.

Begitu juga dengan kawasan majoriti bukan Melayu yang dikuasai PKR seperti Sri Tanjung dan Chuah.

UMNO dilihat berpeluang mengambil semula kerusi-kerusi DUN yang tewas dalam PRU-14 iaitu Klawang (PAN), Pilah (PKR) Labu (PKR), Paroi (PAN) dan Lenggeng (PAN).

Usaha membebaskan dua lagi DUN yang dikuasai PKR agak getir memandangkan Sikamat yang diwakili Aminuddin serta Ampangan yang diwakili Dr Mohamad Rafiei Ab Malik merupakan kerusi selesa bagi parti itu sejak PRU-12.

MIC pula memenangi hanya satu kerusi iaitu di DUN Jeram Padang yang merupakan kawasan tradisinya sejak dahulu lagi.

Melihat kepada realiti sebenar, UMNO memang tidak mampu bertindak secara bersendirian untuk menawan semula Negeri Sembilan.

Sekiranya parti itu benar-benar ingin mencapai objektif tersebut, langkah terbaik adalah bekerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru atau lebih, UMNO boleh memberi tumpuan untuk mempertahankan 15 kerusi yang disandangnya ketika ini.

Kerusi-kerusi tersebut adalah Pertang, Sungai Lui, Serting, Palong, Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Johol, Chembong, Rantau, Kota, Bagan Pinang, Linggi, Gemas dan Gemencheh.

Tujuh lagi kerusi iaitu Sikamat, Ampangan, Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng boleh diserahkan kepada Bersatu dan PAS.

Difahamkan, masalah dalaman merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon UMNO di Klawang, Labu, Pilah, Paroi dan Lenggeng.

Masalah yang sama dapat dielakkan daripada berulang jika UMNO Negeri Sembilan beralah dan memberi laluan kepada calon-calon PAS atau Bersatu untuk bertanding di kerusi-kerusi tersebut.

PAS dan Bersatu juga boleh membuktikan keupayaan mereka untuk merampas DUN Sikamat dan Ampangan yang dianggap sebagai ‘kerusi maut’ kepada calon-calon yang ingin mencabar Aminuddin dan Mohamad Rafiei.

Walaupun Aminuddin berdepan krisis kepimpinan, beliau masih mempunyai pengaruh yang besar di Sikamat setelah berkhidmat di sana selama tiga penggal.

Begitu juga dengan Mohamad Rafiei. Beliau merupakan seorang tokoh politik yang dihormati oleh masyarakat.

Andainya PAS dan Bersatu berjaya dalam misi yang diberikan, UMNO masih lagi menjadi parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar dan pemimpinnya berhak diberi jawatan Menteri Besar.

Kerjasama UMNO, PAS dan Bersatu berupaya memastikan sekurang-kurangnya 20 daripada 22 kawasan majoriti Melayu-Islam tidak jatuh atau terus dikuasai PH.

Melalui kerangka kerjasama BN, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) pula, sekurang-kurangnya 21 kerusi DUN boleh dikekalkan atau ditawan semula.

Memang UMNO dan BN dahulu begitu gah di Negeri Sembilan di mana sebelum PRU-12, hanya seorang dua sahaja wakil pembangkang dari DAP yang menjadi kera sumbang di dalam DUN Negeri Sembilan.

Zaman gemilang itu sudah lama berlalu dan situasi politik ketika ini semakin mencabar lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Undi 18 yang bakal menyaksikan kemunculan generasi pengundi muda yang kurang menerima sentuhan UMNO.

Kekalahan mengejut pada PRU-14 seharusnya menyedarkan pucuk pimpinan UMNO Negeri Sembilan bahawa mereka tidak boleh lagi hanya berasa selesa dalam silo masing-masing.

Lakukan apa sahaja yang perlu untuk kembali mentadbir Negeri Sembilan termasuk bekerjasama dengan Bersatu dan PAS.

Misi itu mesti dijayakan bagi menjaga air muka Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Nostalgia lampau sememangnya sangat indah namun ia tidak mampu menjamin kemenangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here