PENYERTAAN Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat agak janggal dan serba tak kena.

Untuk apa sebuah parti yang tebal semangat dan jati diri kesabahannya bertanding di Johor? Apa yang boleh ditawarkan oleh sebuah parti dari Sabah kepada rakyat Johor?

Lebih-lebih lagi, Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak lagi menguasai selepas tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN Sabah dahulu.

Melihat kepada kecekapan GRS yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mentadbir Negeri Di Bawah Bayu itu, peluang bagi Warisan untuk merampas kembali Sabah adalah amat tipis.

Memang tak masuk akal sebuah parti yang tumbang di gelanggang sendiri ingin mengembangkan sayap di laman orang lain. Mengapa tidak tumpukan kekuatan di tempat sendiri?

Hakikat yang diketahui ramai adalah Warisan semakin hilang pengaruh di Sabah setelah ramai orang kuatnya meninggalkan parti tersebut.

Antaranya bekas Naib Presiden Warisan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony; ADUN Limbahau, Juil Nuatim; ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Sesiapa sahaja yang berada di tempat Mohd Shafie pasti pening kepala memikirkan krisis dalaman yang begitu hebat melanda Warisan. Sudahlah kalah, pemimpin dan ahli pula berpusu-pusu keluar parti.

Tidak mustahil strategi sia-sia mengembangkan sayap ke Semenanjung ada kaitan dengan usaha mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah dalaman yang membarah dalam Warisan.

Mohd Shafie juga cuba menghidangkan gagasan yang besar tetapi tidak realistik iaitu untuk menjadikan Warisan sebagai parti yang menubuhkan kerajaan negeri di Johor serta kerajaan Persekutuan.

Panjang nampaknya angan-angan beliau. Sekali lagi, kalau di Sabah pun tenggelam timbul, bagaimana hendak menang di Johor dan Pusat?

Kita tidak pasti berapakah jumlah kerusi yang bakal ditandingi Warisan pada PRN Johor dan adakah parti itu akan bersaing dengan sekutu-sekutu pembangkang yang lain dalam Pakatan Harapan.

Kalau hendak membentuk kerajaan negeri, Warisan mesti bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan memenangi sekurang-kurangnya majoriti mudah 29 kerusi.

Nampaknya sasaran itu sangat sukar dicapai dalam keadaan Warisan yang masih baru bertapak di Johor dan belum pulih dari krisis dalaman.

Mungkin lebih baik Warisan lupakan sahaja angan-angan kosong mahu menawan Johor dan Putrajaya.

Lebih baik kalau bersikap realistik dengan menumpukan usaha menampal bahtera Warisan yang banyak bocornya.

Kalau tidak dibaiki, belum sempat tiba di Semenanjung, nanti karam pula di Laut China Selatan.

12 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here