Oleh RAHIMI MOHAMAD

BERUSIA 72 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi tetap menawarkan diri untuk dicalonkan sekali lagi di kerusi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor itu berkata, faktor usia bukan penghalang kerana pemimpin seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lebih tua daripadanya juga masih bertanding sebelum ini.

Menurut Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kulai itu, walaupun sudah berumur, beliau yakin masih mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan itu.

“Walaupun ada pelbagai pandangan tentang calon yang sudah berusia dan tua, tetapi saya anggap perkara lebih penting adalah perkhidmatan dan sumbangan kita kepada rakyat.

“Tun Mahathir pun tua juga nak masuk 100 tahun boleh jadi pemimpin, jadi itu semua saya tidak peduli, lebih penting khidmat saya untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah keluarga orang kurang upaya (OKU) di Taman Setia Indah, Johor Bahru, hari ini.

Tosrin juga berkeyakinan dengan khidmat yang diberikan beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai selama ini.

“Saya percaya pengundi bijak membuat keputusan, kerana pada akhirnya adalah perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, faktor usia khususnya dalam kalangan orang muda juga bukan menjadi penentu bagi seseorang itu diterima pengundi.

Bagaimanapun Tosrin sedar cabaran utama yang bakal dihadapinya adalah kehadiran seramai hampir 8,000 pengundi baharu termasuk pengundi muda di kawasannya.

“Tetapi, saya bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya dicalonkan dan diberi mandat oleh rakyat kawasan ini bagi penggal kedua.

“Saya juga yakin Perikatan Nasional (PN) akan dapat membawa misi baharu kepada rakyat Johor,” jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Tosrin memperolehi 10,998 undi untuk mengatasi pencabarnya dari Barisan Nasional, Ali Mazat Salleh dan calon Pas, Abd. Aziz Jaafar dengan majoriti 2,531 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here