Tag: Yang di-Pertuan Agong

  • Titah Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14

    Titah Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14

    SEGALA pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Yang Berkuasa memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

    1. Alhamdulillah, bersyukur Beta ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kekuasaan-Nya jua telah mengizinkan berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada hari yang penuh bermakna ini.
    2. Istiadat pada pagi yang mulia ini berlangsung dalam suasana negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19. Namun, Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat ini jelas membuktikan bahawa amalan Demokrasi Berparlimen masih lagi subur berakar di negara yang tercinta ini.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Pada 16 Ogos yang lalu, buat kali kedua dalam tempoh pemerintahan Beta, negara telah sekali lagi menyaksikan peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia.
    2. Pada kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin, Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 dan barisan Ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19 yang getir.
    3. Seperti yang berlaku pada tahun 2020 yang lalu ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.
    4. Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang AhliAhli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
    5. Menerusi surat-surat akuan tersebut, Beta mendapati seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera.
    6. Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 Ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.
    7. Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Kerajaan yang baru dibentuk ini hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara serta rakyat Beta keluar daripada ancaman pandemik ini.
    2. Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Beta percaya Kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.
    3. Melangkah ke hadapan, Beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan Kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.
    4. Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi “biduk lalu, kiambang bertaut”. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.
    5. Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah “Keluarga Malaysia” sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.
    Agong Parlimen
    Gambar: Facebook Istana Negara

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.
    2. Beta amat menghargai segala usaha berterusan Kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik COVID-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat. Manakala, peratus kes sembuh COVID-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2. Malahan, negara kita adalah antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia.
    3. Pencapaian tersebut sudah pasti merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta. Kini, hampir 75% pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap dan telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan.
    4. Di sebalik kejayaan ini, Beta menyeru supaya kita jangan cepat terleka dan berpuas hati. Usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu. Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.
    5. Menyedari hakikat tersebut, strategi “whole-of-society effort” perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan. Beta mengalu-alukan usaha Kerajaan dalam memperkasa “Agenda Nasional Malaysia Sihat” dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.
    6. Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
    7. Dalam kita menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan, seluruh rakyat hendaklah sedar akan bahayanya virus ini, khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain pada masa hadapan.
    8. Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard pada sebilang masa. Lebih utama, rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi.
    9. Kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baharu dapat dikawal. Pada masa yang sama, kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin.
    Azhar Azizan Harun
    Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat yang bernilai RM530 bilion. Di samping itu, belanjawan bagi tahun 2021 adalah belanjawan terbesar dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.
    2. Beta menyambut baik komitmen Kerajaan dalam memacu pertumbuhan prestasi ekonomi negara agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing, khususnya dalam pengukuhan sektor perdagangan dan pelaburan.
    3. Daripada keseluruhan RM107 bilion pelaburan yang diluluskan, Kerajaan telah memperoleh hampir RM40 bilion nilai pelaburan dari tiga misi perdagangan dan pelaburan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2021.
    4. Selain itu, jumlah dagangan negara telah mencapai RM1 trilion dalam tempoh 6 bulan pertama pada tahun ini. Pencapaian pelaburan negara bagi kesemua sektor ekonomi juga telah meningkat hampir 70%.
    5. Ini jelas memberi imej yang sangat positif bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang amat kompetitif, mesra perniagaan dan merupakan lokasi menarik bagi pelaburan antarabangsa dan domestik.
    6. Beta juga bersyukur kerana Keluaran Dalam Negeri Kasar pada suku kedua tahun ini telah berkembang sebanyak 16.1%. Secara keseluruhan, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai (well-diversified), telah berjaya menunjukkan trend pemulihan ekonomi.
    7. Pemulihan tersebut telah turut didorong oleh langkah yang diperkenalkan termasuk bantuan tunai kepada rakyat serta pakej sokongan bagi kelangsungan perniagaan.
    8. Untuk separuh tahun kedua 2021, Kerajaan telah memberi bantuan tunai kepada 10 juta penerima dari golongan B40 dan M40, termasuk Bantuan Khas COVID-19 yang bernilai RM10 bilion. Bagi perniagaan di bawah Pakej PEMULIH, Geran Khas PRIHATIN bernilai RM1,000 akan dibayar kepada lebih 1 juta perusahaan kecil sederhana mikro.
    9. Demi kelangsungan perniagaan, PEMULIH juga telah menyediakan subsidi upah sehingga 4 bulan tambahan bernilai hampir RM4 bilion yang bakal memberi manfaat kepada lebih 200,000 majikan.
    10. Meskipun pandemik COVID-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, Beta berkeyakinan ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur.
    11. Oleh yang demikian, Kerajaan hendaklah sewajarnya mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.
    12. Selain itu, perbelanjaan yang sewajarnya perlu turut disediakan bagi membiayai langkah kesihatan awam, menyediakan bantuan kepada golongan yang terjejas serta sokongan untuk menggiatkan aktiviti perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi.
    13. Untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi tujuan tersebut, Kerajaan akan membentangkan cadangan di Dewan yang mulia ini bagi meningkatkan siling perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 serta had statutori hutang Kerajaan.
    14. Peningkatan daya saing negara juga perlu difokuskan terhadap usaha menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan bagi meneroka penciptaan kekayaan baharu dan menambah nilai terutamanya oleh perusahaan kecil sederhana mikro.
    15. Perusahaan ini juga perlu diberi galakan untuk mengurus perniagaan secara digital demi untuk menjamin akses pasaran yang lebih luas. Selain itu, bidang-bidang pertumbuhan ekonomi baharu perlu segera dikenal pasti supaya Malaysia tidak ketinggalan di arena global.
    16. Sementara itu, inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian, industri makanan, pelancongan dan mineral perlu dipercepatkan pelaksanaannya. Sektor-sektor tersebut sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu negara di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negara.
    17. Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi tempoh 2016 hingga 2020. Dalam sesi Parlimen ini Kerajaan akan membentang pula Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025. Rancangan ini bakal memperkenalkan beberapa pembaharuan dasar dan transformasi struktur untuk membawa pembangunan negara pada asas yang lebih kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang bagi merealisasi semangat “Keluarga Malaysia” dan mencapai matlamat “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan”.
    18. Dasar jangka sederhana dan panjang akan turut diperkenalkan bagi menangani isu-isu kesihatan, keselamatan, kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan kelangsungan perniagaan, di samping melonjakkan pertumbuhan ekonomi bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
    19. Beta berkeyakinan pembangunan negara dan taraf hidup rakyat akan terus meningkat serta jurang pembangunan antara wilayah dan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak akan dapat dirapatkan.
    Agong Parlimen
    Gambar: Facebook Istana Negara

    Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian,

    1. Sesungguhnya, Beta amat prihatin dengan nasib rakyat Beta yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah-langkah tertentu oleh Kerajaan dalam usaha untuk membendung pandemik COVID-19.
    2. Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan semua agensi Kerajaan yang berkaitan untuk bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang telah diumumkan.
    3. Program Jaringan Keselamatan Sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan Usahawan Anak Muda Kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan.
    4. Pada masa yang sama, Program Pembangunan Luar Bandar hendaklah terus ditingkat dan diperkasakan. Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuk 198,015 orang penduduk Orang Asli. Kerajaan hendaklah menentukan Pelan Strategik Pembangunan Luar Bandar dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas yang meliputi infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
    5. Inisiatif untuk membantu masyarakat luar bandar dalam menghadapi pandemik COVID-19 juga wajar diteruskan bagi meringankan bebanan mereka.
    6. Kerajaan juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik. Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian Kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.
    7. Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi pemangkin kepada negara untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi. Di samping itu, ianya boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing.
    8. Walau apa jua cabaran yang dihadapi, bidang pendidikan tidak boleh dilupakan sama sekali. Pendidikan yang mencakupi pelbagai bidang ilmu hendaklah sentiasa diterokai terutamanya pendidikan sains dan teknologi. Akses pendidikan yang lebih inklusif perlu diberikan perhatian bagi melahirkan anak watan yang mampu menghasilkan pelbagai inovasi berimpak tinggi.
    9. Manakala pendidikan akhlak dan kerohanian turut wajar diberi tumpuan demi untuk membendung pelbagai agenda negatif dan menyimpang dari tatasusila masyarakat.
    10. Pendidikan pasca-pandemik COVID-19 memerlukan rancangan jangka masa panjang yang mampan dan telus serta bersifat holistik dan komprehensif. Formula pelan pendidikan pasca-pandemik yang tuntas memerlukan penglibatan dan kerjasama dari semua pemegang taruh merentasi politik, ideologi dan kepakaran.
    11. Aspek pertahanan dan keselamatan termasuk keselamatan siber turut berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat Beta. Agensi-agensi yang bertanggungjawab terhadap pertahanan dan keselamatan negara hendaklah sentiasa bersiap siaga pada sebilang masa dan terus meningkatkan keupayaan masing-masing. Sebarang bentuk tindakan yang cuba mencabar kedaulatan negara hendaklah segera ditangani agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman lagi berdaulat.
    12. Beta turut menyokong peranan aktif Malaysia serta pendekatan pragmatik yang diambil oleh Kerajaan dalam bidang diplomasi yang akhirnya telah meningkatkan imej dan reputasi negara di persada antarabangsa. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai bantuan vaksin yang telah diterima dari pada negara-negara lain.
    13. Justeru, Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, Republik Rakyat China dan Emiriah Arab Bersatu atas sumbangan vaksin tersebut.
    14. Beta juga menyambut baik langkah Kerajaan dalam menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti. Menerusi amalan ini sebuah sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berintegriti, telus dan cekap akan menjadi kenyataan. Oleh yang demikian, adalah amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk terus didokong bagi mencapai aspirasi rakyat Beta untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegriti.
    Agong
    Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    1. Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana negara bertuah ini telah dilimpahkan rahmat keamanan dan keharmonian yang berkekalan. Hasilnya rakyat Beta dari berbilang bangsa, budaya dan agama dapat hidup dengan penuh kemakmuran dan bekerja bersama-sama untuk kemajuan negara. Beta menyeru agar sebarang bibit-bibit pertelingkahan hendaklah segera dihentikan supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.
    2. Bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan tidak lama lagi, Beta menyeru kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Beta untuk menghayati sejarah kemerdekaan negara dan pembentukan Persekutuan Malaysia agar kita akan sentiasa berdiri tegap dan kukuh di atas asas patriotisme dan semangat cintakan negara yang tinggi.
    3. Pada kesempatan ini Beta ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang telah berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia.
    4. Beta juga amat menghargai taat setia dan sumbangan anggota-anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani.
    5. Dalam negara berhadapan saat getir mengharungi pandemik COVID-19, petugas barisan hadapan negara khususnya perkhidmatan kesihatan terus berusaha keras mencurah khidmat bakti tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sebuah landskap tempoh pandemik yang panjang.
    6. Justeru, marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya.
    Agong Anwar Ibrahim
    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan beramah mesra dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berangkat ke Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Parlimen, hari ini. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    1. Setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik COVID-19. Negara dan rakyat Beta telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi. Terlalu ramai rakyat Beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat Beta yang telah kehilangan sumber rezeki.
    2. Ratusan pucuk surat telah Beta terima dari rakyat Beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
    3. Nasihat Beta kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat Beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
    4. Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita. Semoga Malaysia serta rakyat yang Beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.
    5. Izinkan Beta untuk mengakhiri titah ini menerusi 3 buah rangkap pantun sebagai pesanan tulus ikhlas Beta buat Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

    Dari Segamat ke Kota Tinggi;
    Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
    Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti;
    Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

    Kalau memandang langit yang tinggi;
    Jangan lupa rumput di bawah;
    Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
    Martabatkan negara kembali bermaruah.

    Rempah halia digaul diuli;
    Buat ramuan nasi kebuli;
    Sumpah setia ketaatan diberi;
    Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

  • Berjaya tangani krisis Covid-19, bakti Muhyiddin dihargai

    Berjaya tangani krisis Covid-19, bakti Muhyiddin dihargai

    DALAM titah diraja ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet di bawah pentadbirannya dahulu.

    Seri Paduka bertitah demikian sebagai tanda menghargai usaha Muhyiddin dan barisan Kabinetnya yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.

    Sememangnya Muhyiddin menggalas tugas dan tanggungjawab yang amat berat sepanjang menyandang jawatan Perdana Menteri mulai 1 Mac 2020 sehingga 21 Ogos lalu.

    Beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan ketika negara dan rakyat berdepan situasi yang tidak menentu dan suram ekoran krisis pandemik Covid-19 yang meletus di seluruh dunia.

    Lebih-lebih lagi, pentadbiran kerajaan sebelum itu di bawah Pakatan Harapan (PH) gagal mengambil langkah konkrit bagi mengekang penularan Covid-19 di peringkat awal.

    Segala-galanya berubah dengan drastik sebaik sahaja Muhyiddin mengepalai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mana pelbagai langkah dan inisiatif dilaksanakan secara sistematik dan bersepadu untuk menangani kesan pandemik.

    Jentera pentadbiran kerajaan diperkemaskan dengan pembentukan kluster-kluster yang diketuai menteri kanan bagi memastikan sektor keselamatan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan berjalan lancar semasa krisis.

    Nasib rakyat yang terkesan juga terbela melalui pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Geran Khas Prihatin (GHP), Program Subsidi Upah, Program Bakul Makanan dan banyak lagi program seumpamanya.

    Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PN) telah berjaya mengawal penularan Covid-19.

    Kejayaan pentadbiran Muhyiddin yang paling memberangsangkan adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan 73.4 peratus populasi dewasa dan 52.5 peratus penduduk Malaysia telah melengkapkan vaksinasi semalam.

    Kepantasan program vaksinasi di bawah pentadbiran Muhyiddin menerima pujian dari negara-negara luar malah isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching pernah menyamakan kadar vaksinasi di negara ini dengan Amerika Syarikat (AS).

    Ketika itu, lebih 500,000 dos vaksin diberikan dalam masa sehari di bawah PICK.

    Malah, kepantasan program vaksinasi di negara ini turut disentuh oleh Seri Paduka dalam titah diraja hari ini.

    Sehubungan itu, tuduhan pihak tertentu kononnya pentadbiran Muhyiddin gagal adalah tidak berasas sama sekali.

    Sebaliknya, beliau telah meletakkan penanda aras yang tinggi dalam usaha memerangi Covid-19 di negara ini.

    Prestasi cemerlang negara dalam menangani pandemik di bawah kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pasti dapat diteruskan melalui peranan Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

    Rakyat juga amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh Muhyiddin selama ini dan bakti yang dicurahkan beliau pasti dikenang sampai bila-bila.

  • Jangan pertaruh masa depan negara, rakyat – Agong

    Jangan pertaruh masa depan negara, rakyat – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua Ahli-ahli Yang Berhormat agar jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

    Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.

    PANTUN dibaca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September 2021.

    “Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah subhanahu wata’ala dengan taufik dan hidayah; aman sentosa serta hidup bersatu-padu di bawah lindungan-nya,” titah Seri Paduka.

    Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 hari ini.

    Persidangan kali ini merupakan yang pertama dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaga Perdana Menteri.

    Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan ahli Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang getir.

    Di bawah pentadbiran Muhyiddin, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi memerangi kesan pandemik itu termasuk pemberian bantuan kepada rakyat yang terjejas serta penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi mengawal penularan virus.

    Pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula semasa era pentadbiran Muhyiddin juga berjalan sangat lancar sehingga menerima pujian daripada negara-negara lain di seluruh dunia.

    Al-Sultan Abdullah bertitah, seperti yang berlaku pada tahun 2020 ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh, amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri kesembilan telah dilaksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.

    “Selaras dengan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang ahli-ahli Dewan Rakyat untuk
    menamakan menerusi surat akuan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

    “Menerusi surat-surat akuan tersebut, beta mendapati seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.

    “Pada 19 Ogos 2021, setelah menerima menghadap semua 114 ahli Dewan Rakyat tersebut, beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Bera adalah dengan kerelaan mereka sendiri serta dengan tanpa sebarang paksaan. Jumlah ini adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

    “Justeru, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan,” titah Seri Paduka.

    Seri Paduka turut mengingatkan semua pihak bahawa setelah lebih setahun berlalu, negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

    Titah Seri Paduka, negara dan rakyat telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

    “Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini. Terlalu ramai juga rakyat beta yang telah kehilangan sumber rezeki.

    “Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan; agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi menerus-kan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Seri Paduka.

  • Agong zahir dukacita terhadap fenomena kepala air di Yan

    Agong zahir dukacita terhadap fenomena kepala air di Yan

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi banjir susulan fenomena kepala air berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, Kedah, yang meragut empat nyawa setakat ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

    “Seri Paduka turut menzahirkan harapan dan berdoa agar tiga lagi mangsa yang dipercayai masih hilang di satu kawasan di Titi Hayun dapat ditemukan dan diselamatkan dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

    Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua anggota agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, termasuk penduduk terjejas akibat banjir berkenaan.

    Seri Paduka turut menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta berpindah ke pusat pemindahan dengan segera sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa tempatan.

    Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

    Fenomena kepala air yang mencetuskan banjir di sekitar Yan dilaporkan berlaku pada kira-kira 5 petang, Rabu lepas dan setakat ini telah meragut empat nyawa.

    Menurut kenyataan itu, antara lokasi terbabit banjir adalah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

    Dilaporkan bagi daerah Yan yang terjejas akibat banjir dan fenomena kepala air itu, dua Pusat Pemindahan Sementara  (PPS) telah dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif COVID-19 dan individu yang dikuarantin. 

    Kedua-dua penempatan berkenaan bagaimanapun dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

    Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.- BERNAMA

  • PM baharu kemuka usul undi percaya di Parlimen – Agong

    PM baharu kemuka usul undi percaya di Parlimen – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Perdana Menteri yang bakal dilantik oleh Seri Paduka menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

    Titah itu terkandung dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

    “Dalam hal ini, baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

    “Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat),” jelas kenyataan tersebut.

    Semalam, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara.

    Dengan titah Seri Paduka, Sultan Nazrin telah disembah silakan turut berangkat hadir semasa sesi menghadap tersebut atas kapasiti baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

    Turut hadir dalam sesi menghadap tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

    Sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit bermula dari pukul 2.30 petang.

    Terdahulu, Seri Paduka B turut berkenan menerima menghadap secara maya pada pukul 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Seri Paduka telah menzahirkan bahawa baginda dan Sulltan Perak telah berkenan untuk menganjurkan sesi menghadap semalam bagi menyatakan pendirian untuk pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jawatan Jemaah Menteri yang telah berkuat kuasa pada 16 Ogos, 2021.

    Seri Paduka selanjutnya bertitah supaya semua 220 Ahli Parlimen mempersembahkan kepada baginda surat akuan yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.

    Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum pukul 4.00 petang.

    Seri Paduka turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Seri Paduka turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap semalam adalah untuk menyatakan bahawa:

    • Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

    • Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

    • Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

    • Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

    • Majoriti petugas barisan hadapan berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

    • Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara perlu dikekalkan.

    Seri Paduka dan Sultan Nazrin telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19.

    Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

    Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Parlimen dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

    Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, Ahli Parlimen yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

    “Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua,” jelas kenyataan itu.

    Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Parlimen yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa.

  • Raja-raja Melayu bincang calon PM Jumaat ini

    Raja-raja Melayu bincang calon PM Jumaat ini

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengadakan pertemuan khas dengan Raja-raja Melayu bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan kerajaan, Jumaat ini.

    Memetik laporan BH Online, perkara itu disahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, hari ini.

    Beliau menambah, Istana Negara juga akan mengeluarkan kenyataan itu dalam masa terdekat hari ini.

    “Benar, hari ini akan keluarkan kenyataan selepas jam 12 tengah hari, insya-Allah,” katanya.

    Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap pemimpin parti-parti politik termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Yang turut hadir menghadap Seri Paduka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Antara titah baginda adalah supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.

    Semalam, semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan surat akuan yang menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya pukul 4 petang, hari ini.

    Arahan itu terkandung dalam notis daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen.

    “Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoiti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” katanya.

  • Muhyiddin jalan tugas Perdana Menteri sementara – Agong

    Muhyiddin jalan tugas Perdana Menteri sementara – Agong

    TAN Sri Muhyiddin Yassin akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik.

    Perkara itu diumumkan oleh Istana Negara dalam kenyataan media, hari ini.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta hari ini.

    Menurut beliau, surat tersebut dipersembahkan kepada Seri Paduka ketika menerima Muhyiddin menghadap di Istana Negara selama 30 minit mulai pukul 12.30 tengah hari.

    Ahmad Fadil turut memaklumkan, sebelum itu, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri ldrus bin Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada pukul 11 pagi.

    “Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

    “Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” jelasnya.

    Beliau menambah, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

    Ahmad Fadil memberitahu, selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

    Menurut beliau, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613
    kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah COVID-19.

    “Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

    “Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

    Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.

    “Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.