AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa semua menteri Kabinet telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Beliau menyatakan perkara itu melalui Insta Story miliknya.

“Kabinet telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kami kepada Agong.

“Terima kasih sekali lagi atas peluang berkhidmat untuk negara. Semoga Tuhan memberkati Malaysia,” katanya.

Khairy Kabinet jawatan
Sumber: Insta Story khairykj

Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

Sementara itu, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali gembira dengan pencapaian eksport komoditi negara yang baik sejak beliau memegang portfolio tersebut sehingga kini.

Menurut beliau, nilai eksport produk agrikomoditi melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion berbanding hanya RM64 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Namun, terserah kepada rakyat untuk menilainya setelah bertawakal kepada Allah dengan mengharapkan reda dan ganjaran daripada-Nya.

“Terima kasih kepada semua yang mendukung saya dalam tugasan ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

Wee Ka Siong
Gambar: Facebook Wee Ka Siong

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu, memegang portfolio besar di kementerian itu ketika berdepan pandemik COVID-19 pastinya sukar namun dengan semangat kerja berpasukan, ia berjalan lebih lancar dalam usaha menjadikan industri pengangkutan kekal bertahan.

Beliau gembira dapat bekerja bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan walaupun berdepan dengan keadaan serba mencabar.

“Saya sudah berusaha melakukan yang terbaik. Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan andai ada kekurangan selama setahun, lima bulan, lima hari saya memikul tanggungjawab di Kementerian Pengangkutan,

“Saya doakan warga Kementerian Pengankutan terus maju jaya dan berjaya menjadikan Pengangkutan Mampan Nadi Pembangunan Negara,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk berkhidmat kepada negara di bawah portfolio berkenaan.

“Marilah kita berdoa agar negara ini terus diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here