Tag: UMNO

  • Kalau nak main politik hati jangan tisu, Sanusi tempelak UMNO

    Kalau nak main politik hati jangan tisu, Sanusi tempelak UMNO

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kenyataan dibuatnya mengenai kestabilan politik tanah air yang didakwa akan lebih terjamin sekiranya UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit.

    Katanya, kenyataan itu dibuat bersandarkan pemerhatiannya sendiri dengan beliau sudah pun mengemukakan fakta berkaitan dalam pentas ceramah tersebut.

    Justeru katanya, mereka yang mahu membalas kenyataan tersebut perlu turut melakukannya secara berfakta selain menampilkan testimoni kepadanya.

    “Kerusi UMNO banyak di Perak, Melaka, Johor termasuklah di kerajaan Persekutuan. Semuanya bergolak dengan tukar Menteri Besar, tukar Ketua Menteri serta dibuat Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Semua itu disebabkan ketidakstabilan politik, antaranya disebabkan kerusi UMNO banyak. Mereka nak jawab, kena ada hujahlah, bawa testimoni kepada saya,” katanya.

    Muhammad Sanusi bercakap kepada pemberita selepas bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan melancarkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Hana Sik, hari ini.

    Dalam beberapa siri ceramah di Johor baru-baru ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat formula politik mudah yang mampu membawa kestabilan politik di tanah air iaitu dengan memastikan UMNO memiliki jumlah kerusi yang sedikit.

    Muhammad Sanusi menambah, kenyataannya itu juga dibuat dalam konteks PRN dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkara lain yang tidak berkaitan.

    “Janganlah orang kaitkan benda lain… Bawa balik Kedah kononnya negeri ini bergoncang dan sebagainya kerana itu bukan dalam konteks dia. Konteks saya berucap itu dalam pilihan raya.

    “Bila berlaku pertembungan takkanlah saya nak berkempen untuk parti yang bertembung dengan parti saya? Kalau nak main politik, hati jangan tisu, kena kental,” katanya.

  • PAS minta UMNO Kedah hentikan politik ala anak manja

    PAS minta UMNO Kedah hentikan politik ala anak manja

    DEWAN Pemuda PAS Kedah meminta UMNO Kedah menghentikan pendekatan politik anak manja apabila berdepan dengan kritikan daripada pihak lain.

    Ketua Penerangannya, Adnan Yusof berkata, UMNO kelihatan begitu marah dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang didakwa kononnya memperlekehkan UMNO Kedah.

    Menteri Besar itu dilaporkan berkata: “Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak.”

    Sehubungan itu, Adnan dalam kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook Dewan Pemuda PAS Kedah mempertahankan kenyataan Muhammad Sanusi tersebut.

    “Pertama, Muhammad Sanusi memuji sikap dan sifat wakil UMNO dalam kerajaan Kedah yang tiada masalah sekaligus mampu memberi kestabilan kepada kerajaan negeri dan hasilnya pelaburan negeri Kedah adalah yang tertinggi di Malaysia hari ini hasil kestabilan politik dan juga sikap UMNO di Kedah.

    “Kedua, dalam mengeluar kenyataan sepanjang pembubaran DUN Johor, UMNO yang galak menyerang kesemua parti lain dan kelihatan marah melenting dan menjadikan MN ‘punching bag’ mengugut PAS apabila dijawab oleh PAS walaupun secara lunak. Ini kelihatan politik anak manja yang bukan patut ada pada sebuah parti tua.

    “Ketiganya, UMNO seolah-olah melupakan kesemua kenyataan UMNO Terengganu dan Kelantan terhadap PAS di mana PAS tidak pernah menyerang dan memperlekeh UMNO di negeri pentadbiran PAS. Di mana waras UMNO semasa memutus hubungan dengan PAS di dua buah negeri berkenaan?” jelasnya.

    Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Kedah berpandangan, kecaman terhadap Menteri Besar Kedah itu adalah satu lagi kenyataan untuk mewujudkan sekali lagi ketidakstabilan politik dalam negara seterusnya menjustifikasikan ketidakstabilan politik di Kedah dengan melanjutkan lagi operasi pilihan raya negeri (PRN) UMNO yang semakin rakus dan tamak kuasa.

    “Di saat wabak masih memuncak, bencana alam yang silih berganti, kebajikan rakyat pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir yang masih dan perlu diurus, UMNO galak berbicara soal kuasa mahu mengadakan pilihanraya dan mendesak rakyat memilih mereka semula secara mutlak.

    “Ini satu pemikiran politikus yang tidak sihat dan patut direnung semula oleh rakyat jelata,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, Dewan Pemuda PAS Kedah mengikuti kenyataan demi kenyataan merujuk kepada kenyataan UMNO Kedah dan Pemuda UMNO Kedah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar hingga kini.

    Beliau mendakwa, UMNO menjulang diri sebagai parti keramat yang merasakan merekalah sahaja dapat menyelamatkan negara dan Johor menyebabkan mereka menyerang juga PAS serta memperlekeh kenyataan PAS berkenaan agihan kerusi yang tidak dilakukan melalui perbincangan yang sihat.

    “Akibatnya hasil muzakarah antara PAS bersama Bersatu menetapkan penyertaan sebagai satu pasukan dan diisytiharkan pada 29 Januari 2022 Perikatan Nasional (PN) bertanding dengan satu logo,” ujarnya.

  • Siti Nora cuma ahli biasa, bukan Ketua Srikandi Maran

    Siti Nora cuma ahli biasa, bukan Ketua Srikandi Maran

    SITI Nora Mohamad Noor yang menyertai UMNO semalam bukan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran, Pahang.

    Penjelasan itu diberikan oleh Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin dalam kenyataan media, hari ini

    Beliau menambah, kesemua 31 lagi individu yang turut menyertai UMNO bersama Siti Nora bukan ahli Srikandi Bersatu Bahagian Maran.

    Mereka didakwa ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Maran dan Bersatu Bahagian Maran tidak mempunyai rekod keahlian mereka.

    “Hanya Siti Nora seorang sahaja yang menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran sejak 10 April 2021 dan beliau tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran dalam persidangan dan pemilihan pada 28 November 2021.

    “Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih ialah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya.

    Semalam, media melaporkan Siti Nora dan 31 individu lain menyerahkan borang permohonan keahlian UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan.

    Sehubungan itu, Jasri mendakwa, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tidak meneliti dan memberi maklumat salah serta tidak tepat kepada Rosdy.

    “Saya juga ingin menegaskan bahawa kepimpinan Bersatu Bahagian Maran yang terpilih pada persidangan tahunan yang lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukanm bersama kepimpinan Srikandi dan Armada bahagian,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, beliau memberitahu, pimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Siti Nora.

  • Pastikan kluster mahkamah dalam UMNO tidak berjaya

    Pastikan kluster mahkamah dalam UMNO tidak berjaya

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO semakin terdesak kerana parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah.

    Menurut beliau, strategi mereka adalah untuk membunuh karakter Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan beliau mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.

    Menurut beliau, mereka mahu menghapuskan sejarah kecekapan Muhyiddin mengemudi negara semasa krisis.

    “Dan terkini, mereka juga seperti mahu membunuh karakter Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Mungkin segelintir mereka di dalam UMNO cemburu melihat kejayaan Muzakarah Bersatu-PAS minggu lalu.

    “Kita semua mesti pastikan usaha kluster mahkamah dalam UMNO ini tidak berjaya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Wan Saiful turut memberi amaran kepada UMNO agar tidak bertindak terlalu di luar batas kerana kesabaran Perikatan Nasional (PN) mempunyai hadnya.

    “Saya nak bagi amaran kepada kawan-kawan dalam UMNO, kesabaran kita ada had. Jangan mahu menguji bukan-bukan.

    “Kita boleh dedahkan pelbagai perkara yang membabitkan kepincangan-kepincangan yang dilakukan pemimpin UMNO semasa memerintah dahulu atau yang cuba dilakukan pemimpin kali ini,” ujarnya.

  • PRN Johor: Buktikan UMNO tidak dikawal kluster mahkamah

    PRN Johor: Buktikan UMNO tidak dikawal kluster mahkamah

    UMNO sewajarnya memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menampilkan imej baharu parti itu sekali gus menambat kembali keyakinan pengundi.

    Menurut Ketua Pemuda Bahagian UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros, PRN itu juga boleh digunakan untuk menepis dakwaan bahawa parti itu dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu.

    “Lebih-lebih lagi apabila banyak pihak yang mendakwa kononnya PRN Johor sengaja diadakan untuk memenuhi agenda politik peribadi ‘kluster mahkamah’ yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin utama parti,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

    Kluster mahkamah dipercayai merujuk kepada sekumpulan pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Najib Razak.

    Noor Azleen menambah, pucuk pimpinan UMNO perlu memaparkan imej baharu parti iu serta memberikan gambaran masa depan yang lebih ampuh dan malar segar.

    “Peluang ketika PRN ini haruslah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan UMNO, bukan sahaja dalam berdepan dengan kehendak realiti politik semasa malahdiguna pakai sebagai strategi jangka masa panjang bagi parti mendepani cabaran serta perubahan landskap politik mendatang,” jelasnya.

    Beliau menambah, PRN Johor perlu dijadikan kesempatan terbaik untuk UMNO menonjolkan bakat-bakat baharu yang kini berada di pelbagai peringkat.

    “Berdasarkan realiti serta kehendak politik semasa, UMNO tidak lagi mampu dengan hanya bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat serta pengundi.

    “UMNO perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan ia sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah berkesan membawa perubahan kepada dasar-dasar awam penting yang memberikan kesan langsung kepada aspek kehidupan rakyat,” katanya.

    Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu memberitahu, seiring dengan pelaksanaan Undi18, parti itu juga perlu mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda.

    Beliau berkata, UMNO wajar membuka peluang kepada bakat-bakat baharu untuk membina kewibawaan dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat dengan anak muda seperti peluang pekerjaan berkualiti dan kemampuan memiliki rumah.

    “Bakat-bakat baru dalam UMNO pula perlu berperanan membina kredibiliti parti dengan memperjuangkan isu-isu yang lebih besar dan bersifat universal seperti perubahan iklim, kewujudan kelompok kemiskinan baru, adaptasi teknologi dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat dan lain-lain,” katanya.

  • Khairuddin pertahan kenyataan Abdul Hadi sifatkan UMNO ‘itik patah kaki’

    Khairuddin pertahan kenyataan Abdul Hadi sifatkan UMNO ‘itik patah kaki’

    SETIAUSAHA Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempertahankan kenyataan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan UMNO seperti ‘itik patah kaki’.

    Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, Abdul Hadi hanya menggunakan perbandingan berupa binatang dalam banyak ucapan mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran.

    Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Khairuddin hari ini:

    Gaya bahasa al-Quran kaya dengan pelbagai peribahasa dan perbandingan. Perbandingan merupakan acuan yang menzahirkan sesuatu makna dalam bentuk yang lebih terasa dan lekat dalam pemikiran manusia. Antara peribahasa yang banyak dalam Al-Quran ialah melibatkan binatang.

    Al-Quran dalam Surah al-A’raf ayat 175-176 menggambarkan manusia berilmu yang meninggalkan ilmunya tanpa amal seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya ketika lapar atau kenyang. Anjing adalah binatang yang najis.

    Dalam Surah al-Jum’ah ayat 5 dibandingkan pula golongan berilmu yang tak beramal ini dengan keldai yang menanggung bebanan yang bermanfaat.

    Al-Quran juga menggunakan perbandingan binatang bernama lalat dalam Surah al-Hajj ayat 73 bagi menggambarkan kesesatan mereka yang menyembah patung berhala. Lalat adalah binatang yang hinggap di atas benda yang kotor seumpama tahi.

    Dalam Surah al-Furqan ayat 44 al-Quran menggunakan perbandingan binatang ternakan kepada golongan yang tidak mahu menggunakan akal, mata dan telinga untuk mencari kebenaran.

    Dalam Surah al-Ankabut ayat 41 pula Allah membandingkan golongan yang mengambil selain Allah sebagai pembantu ibarat labah-labah yang membina sarang.

    Dalam Surah al-Qari’ah ayat 1-4 manusia di hari Qiamat dibandingkan pula dengan rama-rama yang berterbangan.

    Demikianlah al-Quran menggunakan binatang sebagai perbandingan. Justeru, apabila Presiden PAS menggunakan perbandingan berupa binatang dalam banyak ucapan, beliau hanyalah mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran. Sekiranya beliau dituduh “ahli zoologi” bermaksud ahli ilmu tentang binatang dengan tujuan mempersendakan ia seumpama memperkecilkan juga gaya bahasa al-Quran.

    Bahkan bahasa Melayu juga kaya dengan perbandingan binatang kerana mereka hidup di alam yang dikelilingi oleh pelbagai jenis binatang.

    Antara binatang yang sering dijadikan perbandingan dalam peribahasa ialah obor-obor, ikan, harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak, kuda, dan sebagainya.

    Bagai obor-obor airnya hitam bermaksud daripada tingkahlaku dan bahasanya, diketahui orang itu jahat.

    Seperti ikan dalam belanga bermaksud memperoleh keuntungan yang tidak akan terlepas lagi.

    Antaranya lagi, gajah lalu rumpainya layu, seperti harimau beranak kecil, cacing hendak menjadi naga, seperti anjing dan kucing, kepala tersangkut dengan kulit babi, adakah buaya menolak bangkai, seumpama lintah darat, jika kepalanya ular takkan ekornya belut, seperti nyiur ditebuk tupai, musang berbulu ayam dan banyak lagi.

    Kesimpulannya, perbandingan dengan binatang adalah sunnah al-Quran dan adat Melayu yang kaya dengan bahasa. Jika mahu dikatakan ahli zoologi maka sememangnya al-Quran dan bangsa Melayu adalah ahli zoologi yang kaya dengan ilmu tentang binatang.

  • PRN Johor: Cabar UMNO guna Najib, Zahid sebagai ‘poster boy’

    PRN Johor: Cabar UMNO guna Najib, Zahid sebagai ‘poster boy’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMNO dicabar menggunakan Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ untuk Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka perlu berani jika benar UMNO masih satu parti yang harmoni dan tidak mahu berselindung di sebalik watak ‘baik’.

    Jelas beliau, ini termasuk membawa nama individu bermasalah dan mereka perlu membuktikannya dengan memaparkan dua pemimpin itu sebagai ‘poster boy’.

    Selain itu katanya, perkara itu juga bagi menjawab persoalan seringkali ditujukan oleh pimpinan UMNO adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu akan terus menjadi ‘poster boy’ bagi PRN kali ini.

    “Mereka (UMNO) sering mempersoalkan adakah kita berani lagi untuk membawa nama Tan Sri Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ dalam PRN Johor, ini apa punya soalan tak logik, dari awal sampai habis Tan Sri memang ‘poster boy’ kita, tiada persoalan dan tiada keraguan.

    “Beliau ini (Muhyiddin) adalah sosok dan lambang utama seorang pejuang yang sanggup kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta sebagai timbalan presiden parti hanya kerana mahu mengembalikan integriti dalam negara.

    “Sebab itu kalau kita memang sah akan gunakan Tan Sri, kita akan jemput secara hormat, UMNO berani?

    “Cuba tampal gambar Zahid satu pelosok Johor, ada yang mungkin fikir tiga ke empat kali sebab dalam UMNO ini Presiden sebenarnya Zahid, tapi bila tampal muka dia Najib marah, tampal muka Najib nanti kalah (PRN) pula,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di Kahang, Kluang, malam tadi.

    Wan Saiful berkata, dalam keadaan UMNO yang dilihat kucar kacir kini, pihaknya juga ingin mencabar beberapa nama pimpinan parti berkenaan untuk menamakan calon mereka sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, ketelusan sering disembunyikan itu juga terus ditonjolkan apabila UMNO sehingga kini tetap menolak nama presiden mereka yang merupakan individu utama mengepalai parti.

    “Saya nak cabar balik (Datuk Seri Dr.) Puad Zarkashi, (Datuk) Nur Jazlan Mohamed dan (Datuk Seri) Mohamed Khaled Nordin, kalau betul berani cuba sebut siapa yang kamu mahu namakan bakal Perdana Menteri daripada UMNO selepas PRU-15.

    “Saya cabar tolong namakan Zahid Hamidi yang akan jadi perdana menteri daripada UMNO. Kalau pengecut tak berani sebut nama Zahid jangan duduk sentuh nama presiden daripada Bersatu,” katanya.

    UMNO juga katanya, sehingga kini takut menamakan perdana menteri mereka adalah Zahid kerana kurangnya keyakinan ahli-ahli mereka kepada presiden yang sedang mempunyai kes mahkamah prima facie dan salah laku penggunaan wang.

  • Beranikah UMNO namakan Zahid, Najib sebagai calon PM?

    Beranikah UMNO namakan Zahid, Najib sebagai calon PM?

    SIAPAKAH yang akan dinamakan UMNO sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

    Soalan itu sememangnya sentiasa berlegar dalam fikiran rakyat termasuk ahli-ahli UMNO sendiri menjelang PRU-15 yang dikatakan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

    Kalau ikut amalan terdahulu, sepatutnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebab beliau ialah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.

    Tetapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang berdepan puluhan pertuduhan berkaitan rasuah dan penyelewengan di mahkamah.

    Reputasi BN dan UMNO khususnya dalam kalangan pengundi muda pasti terjejas teruk sekiranya Ahmad Zahid dijadikan ‘poster boy’.

    Jadi, beranikah BN / UMNO menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri? Rasanya lebih baik jangan. Malah, lebih molek kalau beliau tidak dibenarkan bertanding lagi.

    Jika bukan Ahmad Zahid, siapa lagi? Adakah ‘Bossku’ Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam skandal SRC International?

    Memang ramai juak-juak Najib yang mengharapkan bos mereka kembali semula sebagai pemimpin nombor satu negara.

    Namun, majoriti rakyat Malaysia tidak berkongsi pandangan yang sama. Mereka telah membuktikannya pada PRU-14 di mana BN mengalami kekalahan memalukan akibat penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sememangnya, langkah mencalonkan Najib sebagai Perdana Menteri sekali lagi pasti akan mengundang padah terhadap BN dan UMNO. Itu pun kalau Ahmad Zahid setuju.

    tok mat calon BN mohamad hasan
    MOHAMAD HASAN (Gambar: Facebook)

    Baru-baru ini timbul cadangan daripada akar umbi UMNO agar Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadikan ‘poster boy’ pada PRU-15.

    Dalam diam, ramai juga ahli UMNO yang mahu Tok Mat diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri dari BN.

    Cadangan mereka itu ada kewajarannya sebab Tok Mat dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersih dan bebas daripada sebarang skandal.

    Selain beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat mempunyai kaliber untuk kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15, sekiranya BN menang.

    ISMAIL SABRI YAAKOB
    ISMAIL SABRI YAAKOB

    Malang sekali, kedua-dua Tok Mat dan Pak Long Mail bukan pemimpin nombor satu dalam UMNO dan BN sekali gus menyempitkan peluang mereka untuk dicalonkan oleh parti sebagai Perdana Menteri.

    Mereka ada peluang sekiranya Ahmad Zahid mempunyai jiwa yang besar dengan memberi laluan kepada Tok Mat atau Ismail Sabri untuk menerajui kepimpinan parti.

    Memandangkan agak mustahil untuk melihat perkara itu berlaku, satu-satunya jalan yang tinggal adalah dengan mengadakan pemilihan UMNO sebelum PRU-15.

    Kalau tidak, jentera UMNO terpaksa berdepan cabaran yang amat besar untuk meyakinkan rakyat memilih BN dalam keadaan kluster mahkamah masih menguasai parti.

    Mahu tidak mahu, pemilihan UMNO mesti diadakan segera agar mereka boleh memilih barisan kepimpinan yang lebih bersih, berintegriti dan diterima oleh rakyat.

  • AJK PAS Pusat jangan provokasi tamat hubungan dengan UMNO – Khairuddin

    AJK PAS Pusat jangan provokasi tamat hubungan dengan UMNO – Khairuddin

    KEPUTUSAN untuk menjalin atau memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang ada kerjasama politik dengan PAS hendaklah ditentukan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) parti.

    Setiausaha MSU PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam Fasal 26 9(k) Perlembagaan PAS yang turut menyebut mengenai mana-mana kerjasama dengan pihak luar hendaklah selepas dipersetujui oleh MSU.

    “Dan tidak wajar juga mana-mana pihak dalam PAS termasuk Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat membuat kenyataan provokasi untuk menamatkan hubungan PAS dan UMNO sedangkan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin telah mengingatkan dalam kenyataan media selepas Muzakarah MSU pada akhir Disember iaitu MSU bersetuju untuk terus memperkasakan MN dn PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam di negara ini lebih-lebih lagi bagi berhadapan PRU-15,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau mengulas tentang kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin semalam yang mengingatkan UMNO bahawa kesabaran partinya terhadap kerenah puak tertentu dalam UMNO ada hadnya.

    Khairil Nizam mendakwa, segelintir pemimpin UMNO didakwa bertindak keterlaluan dengan memberi contoh, krisis politik di Melaka yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta krisis di Perak dahulu dan pembubaran DUN Johor.

    Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

    Khairil Nizam turut memberitahu, kluster yang menimbulkan masalah adalah mereka yang berdepan kes mahkamah dan telah ‘memalukan negara di peringkat dunia’.

    Beliau menambah, walau pun PAS bersabar, titik perubahan berhubung hubungan dengan UMNO boleh berlaku dan pada masa sama, beberapa pertimbangan perlu diambil kira.

    Jika ia menjejaskan penyatuan orang Islam, katanya lagi, PAS ‘tidak akan teragak-agak’ untuk mengambil tindakan terhadap hubungan dengan UMNO.

    Beliau berkata, jika isu tersebut terus disuarakan dengan kuat, muktamar khas mungkin diadakan untuk membincangkannya sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk menentukan dasar parti.

  • Jika benar diugut, kerajaan negeri Johor dianggap gagal

    Jika benar diugut, kerajaan negeri Johor dianggap gagal

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERAJAAN negeri Johor yang dipimpin Menteri Besar daripada UMNO, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini gagal jika benar diugut seperti kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan baik walaupun tidak ditentang secara terbuka oleh mana-mana pihak.

    “Jika dakwaan Mohamad itu benar maka kerajaan negeri yang ditubuhkan melalui pintu belakang pada Februari 2020 lalu telah gagal.

    “Rupa-rupanya pembubaran DUN tiada kaitan dengan rakyat yang sedang menderita sekarang.

    “Tetapi rakyat dipaksa mengundi dalam PRN nanti,” katanya menerusi entri di Facebook miliknya hari ini.

    Semalam, Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN berkata, kerajaan negeri dan Menteri Besar tidak seharusnya dibiarkan menerima ugutan daripada parti politik tertentu.

    “Itu sebabnya Menteri Besar maklumkan kepada kami bahawa PRN perlu diadakan kerana kita tidak mahu sebuah kerajaan negeri yang sentiasa diugut,” katanya.

    Timbalan Presiden UMNO itu berkata, setiap negeri berdepan situasi politik tersendiri di mana PRN Melaka dahulu diadakan kerana empat Ahli Dewan Undangan Negeri melompat ke pembangkang.

    Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Hasni.

    Hasni pada sidang akhbar selepas pembubaran itu berkata, kerajaan negeri tidak boleh diteruskan hanya dengan ihsan pembangkang selama ini.

    Kedudukan DUN Johor dikatakan semakin rapuh selepas ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada Disember lalu sekaligus menjadikan kerusi pada 28-27.

    Meskipun diberi jaminan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal, namun Hasni dan partinya tetap berusaha untuk membubarkan DUN.