SIAPAKAH yang akan dinamakan UMNO sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?

Soalan itu sememangnya sentiasa berlegar dalam fikiran rakyat termasuk ahli-ahli UMNO sendiri menjelang PRU-15 yang dikatakan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Kalau ikut amalan terdahulu, sepatutnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebab beliau ialah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.

Tetapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang berdepan puluhan pertuduhan berkaitan rasuah dan penyelewengan di mahkamah.

Reputasi BN dan UMNO khususnya dalam kalangan pengundi muda pasti terjejas teruk sekiranya Ahmad Zahid dijadikan ‘poster boy’.

Jadi, beranikah BN / UMNO menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri? Rasanya lebih baik jangan. Malah, lebih molek kalau beliau tidak dibenarkan bertanding lagi.

Jika bukan Ahmad Zahid, siapa lagi? Adakah ‘Bossku’ Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam skandal SRC International?

Memang ramai juak-juak Najib yang mengharapkan bos mereka kembali semula sebagai pemimpin nombor satu negara.

Namun, majoriti rakyat Malaysia tidak berkongsi pandangan yang sama. Mereka telah membuktikannya pada PRU-14 di mana BN mengalami kekalahan memalukan akibat penolakan rakyat terhadap kepimpinan Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sememangnya, langkah mencalonkan Najib sebagai Perdana Menteri sekali lagi pasti akan mengundang padah terhadap BN dan UMNO. Itu pun kalau Ahmad Zahid setuju.

tok mat calon BN mohamad hasan
MOHAMAD HASAN (Gambar: Facebook)

Baru-baru ini timbul cadangan daripada akar umbi UMNO agar Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadikan ‘poster boy’ pada PRU-15.

Dalam diam, ramai juga ahli UMNO yang mahu Tok Mat diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri dari BN.

Cadangan mereka itu ada kewajarannya sebab Tok Mat dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersih dan bebas daripada sebarang skandal.

Selain beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat mempunyai kaliber untuk kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15, sekiranya BN menang.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Malang sekali, kedua-dua Tok Mat dan Pak Long Mail bukan pemimpin nombor satu dalam UMNO dan BN sekali gus menyempitkan peluang mereka untuk dicalonkan oleh parti sebagai Perdana Menteri.

Mereka ada peluang sekiranya Ahmad Zahid mempunyai jiwa yang besar dengan memberi laluan kepada Tok Mat atau Ismail Sabri untuk menerajui kepimpinan parti.

Memandangkan agak mustahil untuk melihat perkara itu berlaku, satu-satunya jalan yang tinggal adalah dengan mengadakan pemilihan UMNO sebelum PRU-15.

Kalau tidak, jentera UMNO terpaksa berdepan cabaran yang amat besar untuk meyakinkan rakyat memilih BN dalam keadaan kluster mahkamah masih menguasai parti.

Mahu tidak mahu, pemilihan UMNO mesti diadakan segera agar mereka boleh memilih barisan kepimpinan yang lebih bersih, berintegriti dan diterima oleh rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here