DEWAN Pemuda PAS Kedah meminta UMNO Kedah menghentikan pendekatan politik anak manja apabila berdepan dengan kritikan daripada pihak lain.

Ketua Penerangannya, Adnan Yusof berkata, UMNO kelihatan begitu marah dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang didakwa kononnya memperlekehkan UMNO Kedah.

Menteri Besar itu dilaporkan berkata: “Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak.”

Sehubungan itu, Adnan dalam kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook Dewan Pemuda PAS Kedah mempertahankan kenyataan Muhammad Sanusi tersebut.

“Pertama, Muhammad Sanusi memuji sikap dan sifat wakil UMNO dalam kerajaan Kedah yang tiada masalah sekaligus mampu memberi kestabilan kepada kerajaan negeri dan hasilnya pelaburan negeri Kedah adalah yang tertinggi di Malaysia hari ini hasil kestabilan politik dan juga sikap UMNO di Kedah.

“Kedua, dalam mengeluar kenyataan sepanjang pembubaran DUN Johor, UMNO yang galak menyerang kesemua parti lain dan kelihatan marah melenting dan menjadikan MN ‘punching bag’ mengugut PAS apabila dijawab oleh PAS walaupun secara lunak. Ini kelihatan politik anak manja yang bukan patut ada pada sebuah parti tua.

“Ketiganya, UMNO seolah-olah melupakan kesemua kenyataan UMNO Terengganu dan Kelantan terhadap PAS di mana PAS tidak pernah menyerang dan memperlekeh UMNO di negeri pentadbiran PAS. Di mana waras UMNO semasa memutus hubungan dengan PAS di dua buah negeri berkenaan?” jelasnya.

Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Kedah berpandangan, kecaman terhadap Menteri Besar Kedah itu adalah satu lagi kenyataan untuk mewujudkan sekali lagi ketidakstabilan politik dalam negara seterusnya menjustifikasikan ketidakstabilan politik di Kedah dengan melanjutkan lagi operasi pilihan raya negeri (PRN) UMNO yang semakin rakus dan tamak kuasa.

“Di saat wabak masih memuncak, bencana alam yang silih berganti, kebajikan rakyat pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan banjir yang masih dan perlu diurus, UMNO galak berbicara soal kuasa mahu mengadakan pilihanraya dan mendesak rakyat memilih mereka semula secara mutlak.

“Ini satu pemikiran politikus yang tidak sihat dan patut direnung semula oleh rakyat jelata,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, Dewan Pemuda PAS Kedah mengikuti kenyataan demi kenyataan merujuk kepada kenyataan UMNO Kedah dan Pemuda UMNO Kedah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar hingga kini.

Beliau mendakwa, UMNO menjulang diri sebagai parti keramat yang merasakan merekalah sahaja dapat menyelamatkan negara dan Johor menyebabkan mereka menyerang juga PAS serta memperlekeh kenyataan PAS berkenaan agihan kerusi yang tidak dilakukan melalui perbincangan yang sihat.

“Akibatnya hasil muzakarah antara PAS bersama Bersatu menetapkan penyertaan sebagai satu pasukan dan diisytiharkan pada 29 Januari 2022 Perikatan Nasional (PN) bertanding dengan satu logo,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here