Tag: terengganu

  • Sampah oh sampah! Pengunjung cemari imej pantai peranginan

    Sampah oh sampah! Pengunjung cemari imej pantai peranginan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ISU melibatkan sampah bertaburan di lokasi tumpuan ramai khususnya di taman rekreasi dan pantai peranginan di Terengganu tidak pernah reda.

    Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihak kerajaan negeri dan pertubuhan sukarela, namun bahan terbuang seperti plastik, serpihan kayu, botol minuman, bekas makanan, tali dan kertas masih kelihatan bertaburan di merata tempat di kawasan tumpuan ramai tersebut.

    Malah, keadaan sampah sarap yang berlonggok itu semakin menimbun pada setiap hujung minggu iatu hari Jumaat dan Sabtu.

    Perkembangan ini bukan sahaja  mewujudkan persekitaran kurang sihat serta menjejaskan imej pantai peranginan terbabit, namun ia juga boleh mengancam nyawa kehidupan marin.

    Ini terbukti apabila beberapa kejadian  bangkai penyu mati terdampar di pantai negeri ini beberapa  hari lalu dikatakan berpunca daripada memakan plastik.

    Justeru, suatu tindakan wajar perlu diambil bagi memastikan tiada  lagi longgokan sampah kelihatan menimbun di lokasi pantai peranginan negeri ini.

    Tinjauan WartaRakyat di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti Dataran Shahbandar, Pantai Batu Burok, Chendering di Kuala Terengganu, Pantai Teluk Ketapang dan Seberang Takir di Kuala Nerus serta Pantai Seberang Marang, Ru Renggeh dan Kelulut di Marang mendapati lokasi berkenaan seakan bertukar menjadi ‘pantai sampah’?

    Hal ini berlaku kerana beberapa faktor iaitu tiadanya tong sampah di lokasi berkenaan, penyediaan tong sampah tidak mencukupi dan juga sikap para pengunjung pantai atau taman rekreasi yang suka membuang sisa buangan di  merata tempat.

    Seorang penduduk Kampung Pantai Seberang Marang, Azmi Salleh memberitahu, kebanyakan pengunjung yang mengunjungi kawasan pantai di situ bersama keluarga dan sahabat handai.

    Menurutnya, pada hari Jumaat dan Sabtu, jumlah pengunjung semakin bertambah dan ada yang membawa bekalan makanan serta minuman.

    azmi salleh terengganu
    Azmi Salleh

    “Malangnya, selepas menikmati hidangan, ada di antara mereka bertindak meninggalkan bungkusan plastik, botol minuman dan kertas begitu sahaja.

    “Kadang-kadang saya bersama rakan rakan terpaksa mengutip dan kumpulkan sampah sarap yang dibuang untuk dibakar.

    “Namun, mereka tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana  tiada tong sampah disediakan di lokasi ini,” ceritanya kepada WartaRakyat.

    Bercakap mengenai masalah sampah, pada minggu lalu sekumpulan pelajar antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mengutip lebih satu tan sampah termasuk botol plastik dan jala ikan lama menerusi program pembersihan diadakan di Pantai Seberang Takir,  Kuala Nerus.

    Sampah pantai terengganu
    Pelajar antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) mengadakan aktiviti mengutip sampah di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.

    Sampah tersebut dikumpulkan dalam tempoh tiga jam, bermula Pukul 7.30 pagi dengan membabitkan seramai 37 penuntut  dari luar negara.

    Selain penuntut UniSZA, pertubuhan sukarela seperti Geng Plastik Ija (Kuala Terengganu) juga pernah mengadakan pelbagai aktiviti mengutip sampah di beberapa lokasi pantai  tumpuan pengunjung di negeri ini.

    Aktiviti yang dilakukan tertumpu kepada mengutip sampah sarap seperti botol minuman dan bungkusan makanan yang ditinggalkan di merata tempat di sekitar kawasan pantai.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak ketika bercakap kepada pemberita minggu lalu berkata, kerajaan negeri sentiasa  memandang serius berhubung masalah longgokan sampah di negeri ini.

    Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada mana mana kontraktor pembersihan yang secara berterusan melanggar syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dikenakan  tindakan tegas.

    DR ALIAS RAZAK
    DR ALIAS RAZAK

    Katanya, antara syarat ditetapkan termasuklah melibatkan isu kelewatan mengangkut longgokan sampah di kawasan berkaitan.

    Menurut Dr Alias, kerajaan negeri melalui MBKT ketika ini melonggarkan syarat dengan melanjutkan sewaan lori sampah MBKT sehingga Mac depan bagi mengatasi masalah tersebut.

    Bagaimanapun ujarnya, sikap segelintir kontraktor kutipan sampah yang tidak mematuhi syarat, iaitu memiliki lori sampah sendiri sebagaimana kontrak perjanjian menyebabkan timbul isu longgokan sampah.

    Sehubungan itu beliau meminta kontraktor terbabit agar dapat menyediakan sendiri lori-lori bagi mengangkut sampah sepertimana perjanjian awal.

  • Kelantan, Terengganu diramal banjir mulai 30 Dis

    Kelantan, Terengganu diramal banjir mulai 30 Dis

    MODEL ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 30 hingga 31 Dis ini. 

    JPS dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, kemungkinan tersebut dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Dis hingga akhir tahun ini. 

    Menurut kenyataan itu, risiko banjir diramal di Kelantan antara pukul 8 malam (30 Dis) dan 8 pagi keesokan harinya melibatkan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan sekitarnya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi aras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.

    Pada tempoh sama, ramalan risiko berkenaan turut melibatkan daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu ekoran aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga dijangka naik melepasi aras bahaya. 

    Justeru, JPS mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – BERNAMA

  • Objek ditemukan wanita Terengganu bukan muntah paus

    Objek ditemukan wanita Terengganu bukan muntah paus

    JABATAN Perikanan Negeri Terengganu hari ini mengesahkan ketulan objek yang ditemui seorang wanita ketika sedang memancing di perairan Marang pada akhir Nov lepas bukan muntah ikan paus.

    Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya telah mengambil sampel ketulan tersebut daripada wanita itu pada 15 Dis lepas untuk dianalisis di makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

    Beliau berkata, hasil uji kaji penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun dan UMT mendapati bahawa objek tersebut bukan muntah ikan paus kerana tidak menunjukkan kehadiran tiga bahan aktif iaitu ‘ambrein’, ‘epicoprosterol’ dan ‘coprostanone’ di dalamnya.

    “Sebaliknya, kandungan yang dijumpai pada sampel itu mendapati ia terbentuk daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak lalu membentuk ketulan sedikit berfiber (berserabut).

    “Secara saintifiknya, peratusan terbanyak yang terkandung di dalam ketulan tersebut ialah Pyrazole (94.56 peratus) dan Pyrrole (3.34 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 14 Dis lepas, media melaporkan seorang wanita dari Kemaman menjumpai objek yang dipercayai muntah ikan paus itu ketika memancing berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada akhir November lepas.

    Susulan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah berkunjung ke rumah wanita tersebut pada keesokan harinya untuk mengambil sedikit sampel bagi tujuan kajian sama ada ia benar-benar muntah ikan paus atau hanya gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.

    Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata sebaik sahaja keputusan rasmi dikeluarkan pagi semalam, satu perbincangan antara Jabatan Perikanan Malaysia dan UMT telah dilaksanakan dan keputusan itu turut disahkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Hasrizal Shaari.

    “Analisis termal turut dilaksanakan bagi mengetahui takat lebur ketulan yang dijumpai. Melalui analisis tersebut, takat lebur ketulan yang dijumpai adalah 76.04˚C sedangkan takat lebur ambergris tulen ialah 82.32˚C.

    “Dakwaan mengatakan ketulan tersebut mengeluarkan bau yang wangi adalah diandaikan daripada bahan 1H-Pyrazole yang terdapat bersama ketulan tersebut dan bahan ini mempunyai salah satu struktur gegelang heterosiklik dan akan mengeluarkan bau atau aroma apabila dibakar,” katanya.

    Di Malaysia, hanya UMT satu-satunya universiti yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan sampel ambergris itu berdasarkan kepakaran PPPL yang turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT serta Universiti Plymouth di England.

    Mengulas berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus pula, Ruzaidi berkata ia tertakluk kepada Akta 686 iaitu Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Mengenai Spesies Terancam (CITES) daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Tanpa permit tersebut, pihak yang terlibat boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BERNAMA

  • 2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    2 beradik, sepupu cari kepah ditemukan lemas

    PENCARIAN tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika mencari kepah berakhir, apabila mayat kesemua mangsa ditemukan di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok, Setiu awal pagi ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Husin, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya, Muhammad Arryan Faheem, 7, ditemui pada pukul 1.47 pagi.

    Afandi yang merupakan Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memberitahu, mayat mangsa ketiga pula iaitu Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada pukul 8.15 pagi tadi.

    “Kesemua mayat mangsa diditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

    Menurut Afandi, sebaik sahaja ditemui, mayat dua beradik dan seorang sepupu itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disertai 107 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), agensi berkaitan dan orang awam.

    Katanya, dengan penemuan ketiga-tiga mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan pada pukul 6 petang srmalam ditutup secara rasmi pada pukul 8.45 pagi ini.

    “Kami menasihati orang awam yang ingin berkelah di pantai atau mencari kepah supaya lebih berhati-hati disamping memahami keadaan pasang surut air di muara sungai untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

    Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Jabi, Dr Azman Ibrahim turut hadir menemui keluarga mangsa di lokasi kejadian.

  • Kebenaran rentas negeri bukan tiket rakyat leka

    Kebenaran rentas negeri bukan tiket rakyat leka

    KEPUTUSAN kerajaan memberi kebenaran rentas negeri bukan ‘tiket’ untuk rakyat berasa begitu selesa hingga mengambil mudah mengenai jangkitan COVID-19 yang masih lagi mencatatkan jumlah kes tinggi.

    Sebaliknya kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, rakyat di negeri ini mestilah sentiasa berwaspada di samping tidak leka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebaik sahaja sempadan negeri akan dibuka dalam tempoh terdekat ini.

    “Itulah perkara yang perlu kita beri keutamaan kerana keadaan yang kita perlu hadapi ini bukan sahaja di Terengganu malah juga melibatkan di negeri lain.

    “Oleh itu, semua pihak perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapinya kerana selepas ini kita akan hidup dengan suasana endemik yang semakin mencabar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

    Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, penganjuran Hari Sukan Negara perlu dimanfaatkan rakyat Terengganu dalam menggayakan cara hidup sihat dan aktif.

    Katanya, keadaan semasa yang melanda tidak seharusnya menghalang masyarakat daripada mengamalkan gaya hidup sihat.

    “Saya berharap semua rakyat Terengganu untuk mengambil peluang dan semangat Hari Sukan Negara dengan terus mengaktifkan anggota keluarga masing-masing supaya kita sihat dan mampu melawan apa jua virus di sekeliling kita,ujar,” ujar beliau.

  • Ambil ujian saringan COVID-19 sebelum masuk Terengganu

    Ambil ujian saringan COVID-19 sebelum masuk Terengganu

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ORANG ramai yang ingin berkunjung ke Terengganu akan dikenakan syarat khusus, iaitu diminta terlebih dàhulu mengambil ujian saringan Covid-19.

    Ia penting bagi memastikan setiap individu ke negeri ini itu tidak menjadi ejen jangkitan Covid-19 sekaligus mengelak berlakunya penularan wabak tersebut.

    Begitulah penegasan dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu sebaik sahaja kebenaran rentas negeri diumumkan dalam tempoh terdekat ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, syarat itu dibuat ekoran berlakunya peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Delta dan Beta di Terengganu.

    Malah katanya, kemunculan sebanyak 42 kes varian ganas itu yang direkodkan sejak Jun hingga Selasa lalu dilihat sebagai amat membimbangkan.

    DR ALIAS RAZAK

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan varian membimbangkan (VOC) ini.

    “Orang ramai yang bercadang ke Terengganu boleh mendapatkan ujian saringan sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau klinik swasta sebelum memulakan perjalanan.

    “Selain itu, mereka juga boleh melakukan ujian saringan dengan membeli kit ujian kendiri di farmasi berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Dr Alias, perkara itu tidak menimbulkan masalah memandangkan harga kit ujian kendiri kini adalah murah dan mudah didapati di kebanyakan farmasi sekarang ini.

    Beliau berkata lagi, sekiranya keputusan ujian didapati positif, individu terbabit dinasihatkan supaya terlebih dahulu menangguhkan perjalanan mereka ke negeri ini.

    “Ia penting bagi mengelakkan mereka bakal menjadi ejen pembawa kepada wabak Covid-19 sekaligus akan menyusahkan orang lain termasuk ibu, bapa dan keluarga,” jelas beliau.

  • Semua agensi bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

    Semua agensi bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MUSIM tengkujuh kini semakin menghampiri untuk membadai di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

    Malah, bermula akhir Oktober hingga Mac, sistem pengangkutan darat membabitkan tiga negeri ini pada kebiasaannya sedikit lumpuh apabila terdapat laluan utama terpaksa ditutup ekoran ditenggelami air akibat banjir.

    Di Terengganu, antara kawasan yang seringkali terjejas teruk setiap kali banjir melanda adalah daerah Hulu Terengganu.

    Justeru, sebagai persiapan awal, semua agensi yang terbabit dengan operasi banjir di daerah tersebut kini telah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, antara persiapan itu adalah melibatkan amaran awal, mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan dan urusan pasca banjir.

    Menurut beliau, sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah itu disediakan bagi menampung mangsa banjir yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November depan.

    Mohd Adli Mat Daud
    Mohd Adli Mat Daud

    Katanya, dalam suasana pandemik Covid-19 ini banyak persiapan terpaksa dilakukan dengan penuh mencabar kerana ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

    “Namun, Kita sudah memiliki pengalaman sama sewaktu melaksanakan operasi banjir pada tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Sungai Dusun, Hulu Terengganu, hari ini.

    Seramai 30 anggota mewakili pelbagai agensi menyertai program tersebut.

    Selain itu kata Mohd Adli, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga kini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut.

    “JKM sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini,”ujarnya.

    Tambah beliau, sebanyak tiga lokasi berisiko tinggi iaitu di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun akan diberikan tumpuan.

    Ujarnya, semua penduduk di kawasan terbabit akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya.

  • 1 pegawai, 9 anggota APM Terengganu positif Covid-19

    1 pegawai, 9 anggota APM Terengganu positif Covid-19

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pegawai dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu yang bertugas di pejabat daerah Kuala Terengganu disahkan positif Covid-19 dan 31 lagi sedang dikuarantin.

    Menurut Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, sehingga ini tujuh anggotanya yang positif Covid-19 sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus dan dua lagi menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

    Justeru katanya, pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pula diminta menjalani proses kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gong Badak.

    “Bagaimanapun keadaan sembilan anggota berkenaan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Mohd Rosman, salah seorang pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat APM negeri turut disahkan positif Covid-19.

    Sehubungan itu katanya, seramai 15 pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pegawai terbabit turut menjalani kuarantin dan setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai punca jangkitan terhadap pegawai dan anggota yang didapati positif.

    “Apapun perkembangan ini, APM tetap meneruskan aktiviti harian termasuk persiapan menghadapi bencana banjir,” jelas beliau.

  • Peruntukan RM1.4 juta bina 25 rumah baharu nelayan

    Peruntukan RM1.4 juta bina 25 rumah baharu nelayan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi pembinaan 25 unit rumah baharu untuk nelayan di setiap daerah, pada tahun ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, rumah nelayan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) itu berharga RM56,000 seunit.

    Katanya, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu.

    “Sehingga ini kita berjaya menyiapkan sebanyak 12 unit rumah baharu kepada nelayan termasuk di Paka, Marang, Setiu dan Besut.

    “Manakala baki 13 unit lagi dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat, bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya.

    Beliau memberitahu demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di bawah PKPN LKIM Terengganu di Kampung Alor Ketitir Merchang, Marang, hari ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

    Menurut Dr Azman, selain bina baru rumah, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kepada nelayan berpendapatan rendah yang melibatkan baikpulih rumah disamping membangunkan semula penempatan nelayan.

    Katanya, usaha ini adalah bertujuan untuk memberi kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

  • 323,000 rakyat Terengganu terima dos ketiga vaksin

    323,000 rakyat Terengganu terima dos ketiga vaksin

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SERAMAI 323,000 rakyat di Terengganu dikenal pasti bakal menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut membabitkan 31,000 petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.

    “Kita jangkakan pemberian dos ketiga akan dimulakan selepas mendapat arahan pelaksanaannya di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

    Turut hadir pada program pemberian vaksin jenis CanSino kepada 372 orang asli itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

    Selain pemberian vaksin Covid-19, program yang mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.

    Dr Kasemani memberitahu, proses suntikan dos ketiga dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan.

    “Dari segi bekalan vaksin dos ketiga, kita tidak menghadapi sebarang masalah kerana mempunyai jumlah yang mencukupi,” ujar beliau.