Oleh MOHD LAZIM ENDUT

SERAMAI 323,000 rakyat di Terengganu dikenal pasti bakal menerima dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut membabitkan 31,000 petugas barisan hadapan kesihatan diikuti 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komorbiditi.

“Kita jangkakan pemberian dos ketiga akan dimulakan selepas mendapat arahan pelaksanaannya di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir pada program pemberian vaksin jenis CanSino kepada 372 orang asli itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Selain pemberian vaksin Covid-19, program yang mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.

Dr Kasemani memberitahu, proses suntikan dos ketiga dijangka dilakukan di pusat pemberian vaksin (PPV) klinik kesihatan atau hospital memandangkan PPV awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan.

“Dari segi bekalan vaksin dos ketiga, kita tidak menghadapi sebarang masalah kerana mempunyai jumlah yang mencukupi,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here