Tag: Sabah

  • Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    Budak lelaki 3 tahun mati lemas dalam parit

    SEORANG kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam parit di Kampung Kuridak Gadong, Beaufort pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, mangsa, Muhammad Qays Izhar Abd Alim dilaporkan hilang semalam.

    Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari kawasan dilaporkan hilang.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi, semalam.

    Menurut beliau, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

    “Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    “Mayat kanak-kanak terbabit ditemui penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi.

    Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

    Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

    “Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

  • Projek IC Sabah: Darell tanya kenapa Najib tak ambil tindakan?

    Projek IC Sabah: Darell tanya kenapa Najib tak ambil tindakan?

    TIMBALAN Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking membidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak bertindak terhadap saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa dokumen di Sabah.

    Memetik laporan FMT, Darell berkata, teguran tajam Najib terhadap pertanyaannya mengenai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa dokumen hanya menyerlahkan bahawa tiada tindakan diambil walaupun pihak yang bertanggungjawab diketahui.

    “Apa berlaku kepada saranan RCI? (Laporannya) lengkap pada 2014, dan pilihan raya umum berikutnya (PRU-14) diadakan pada 2018, cukup empat tahun selepas (siasatan) RCI selesai.

    “Adakah anda, sebagai Perdana Menteri, mengarahkan Peguam Negara untuk mengemukakan tuduhan terhadap mereka yang katanya dikenal pasti dalam laporan itu?” soalnya.

    Dalam catatan Facebook semalam, Najib menjawab pertanyaan asal Leiking dengan mendedahkan pihak yang terlibat.

    “Parti BN yang terlibat projek IC di Sabah pada 1990-an ialah UMNO di mana pelaku utamanya ialah (Dr Mahathir Mohamad),” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

    “Tapi Mahathir kata timbalannya masa itu Anwar yang buat pula ketika Anwar ditugaskan untuk menang Sabah masa itu.”

    Tambahnya, inisiatif yang diambilnya menubuhkan RCI pada 2013 untuk mencari kebenaran menyebabkan Mahathir “marah” padanya.

    Najib turut mempersendakan Leiking kerana menerima Mahathir dan Anwar sebagai “bos” bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

    Namun, Leiking berkata, laporan RCI itu tidak mendedahkan siapa yang bertanggungjawab.

    “Terima kasih kerana akhirnya mengakui bahawa UMNO mendapat manfaat daripada skandal IC. Tetapi saya tak jumpa nama Mahathir atau Anwar disebut dalam laporan RCI itu,” katanya.

    Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili mendakwa bahawa sebuah parti komponen BN memberi kad pengenalan Malaysia kepada pendatang tanpa dokumen di Sabah untuk meraih undi mereka.

    Tanpa menyebut nama parti itu, presiden PBS itu berkata, penglibatannya menggunakan pendatang tanpa izin untuk kepentingan politik telah dibuktikan oleh RCI.

    Tambahnya, tindakan parti BN itu menimbulkan ancaman kepada kedaulatan Sabah, dan PBS telah membuat aduan dan laporan polis mengenai perkara itu tetapi tiada tindakan diambil.

  • ‘Giant killer’ Sabah Kadoh Agundong meninggal dunia

    ‘Giant killer’ Sabah Kadoh Agundong meninggal dunia

    VETERAN politik Sabah yang juga digelar ‘giant killer’, Datuk Kadoh Agundong, meninggal dunia di Hospital KPJ Damai dekat Kota Kinabalu akibat sakit tua pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

    Berita itu disahkan oleh sepupu mendiang, Stanis Buandi ketika ditemui pada persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka di Kota Kinabalu, hari ini.

    “Ya, mendiang (Kadoh) lama sudah sakit tenat sebelum dimasukkan ke KPJ beberapa bulan lepas dan semalam beliau meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

    Kadoh, 74, meninggalkan isteri, Datin Catherine Soledad Kadoh, 60, dan empat orang anak serta sembilan cucu.

    Mendiang Kadoh yang mewakili PBS, terkenal dengan nama gelaran ‘giant killer’ kerana berjaya menumbangkan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dari Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), pada Pilihan Raya Negeri Sabah 1985.

    Mendiang yang berasal dari daerah Tenom merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap dan bekas Ahli Parlimen Ulu Padas kini dikenali Parlimen Tenom.

    Sepanjang berkecimpung dalam politik, Kadoh pernah menggalas jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri pada era kerajaan PBS.

    Beliau juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden PBS pada era 80-an bagaimanapun mengumumkan menyertai Parti Warisan pada 21 Dis 2019. – BERNAMA

  • Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    SEORANG pengendali forklift maut dihempap oleh jentera angkat-susun itu ketika beliau sedang menjalankan kerja mengangkat sebuah mesin berat di Pelabuhan Sandakan pagi tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan berkata, insiden kira-kira pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan Said Hassan yang berumur sekitar 60-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kejadian berlaku apabila forklift itu dipercayai tiba-tiba tumbang ketika ia sedang mengangkat sebuah mesin berat, dan bahagian kepala pengendali jentera itu tersepit di sisi kiri bumbung forklift berkenaan.

    Menurut bomba, operasi mengeluarkan mayat Said dijalankan dengan menggunakan sebuah lagi forklift. – BERNAMA

  • Peruntukan lebih RM100 juta bina jalan di Pulau Sebatik

    Peruntukan lebih RM100 juta bina jalan di Pulau Sebatik

    KERAJAAN telah meluluskan peruntukan lebih RM100 juta bagi pembinaan jalan raya di Pulau Sebatik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan secara berterusan di kawasan itu.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek itu melibatkan pembinaan jalan raya dari Kampung Sungai Pukul ke Kampung Sungai Bergosong bernilai RM59 juta, yang dilaksanakan pada tahun ini menerusi Pelan Tindakan Kedua, RMK12.

    “Satu lagi projek bernilai kira-kira RM64 juta melibatkan jalan raya dari Kampung Sungai Melayu ke Kampung Sungai Pukul akan dilaksanakan dalam Pelan Tindakan Ketiga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau prasarana untuk rakyat di Pulau Sebatik hari ini.

    Selain itu katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan di bawah kementerian lain bagi projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 6) di Sungai Tamang.

    “Pada saya, selepas lawatan di Pulau Sebatik ini, ada banyak perkara yang perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar antaranya menaik taraf sama ada jalan raya, jeti dan bekalan air luar bandar yang patut diambil tindakan segera,

    “Perkara ini juga diambil perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] 100 pintu rumah kongsi terbakar, 900 hilang tempat tinggal

    [VIDEO] 100 pintu rumah kongsi terbakar, 900 hilang tempat tinggal

    DIANGGARKAN kira-kira 900 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran melibatkan kira-kira 100 pintu rumah kongsi di Penempatan Sementara Kampung Bangau-Bangau di Semporna dalam kejadian bermula pukul 11.35 malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 dan menggerakkan 12 anggota bersama pegawai dengan dua jentera termasuk EMRS ke lokasi kejadian.

    “Operasi turut dibantu sepasukan lima anggota dari BBP Air Semporna, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati 10 blok rumah kongsi menempatkan lebih 900 penduduk telah musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    rumah kongsi bangau-bangau
    Gambar: JBPM Sabah

    Tambahnya, pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman bagi mengelak api merebak ke kawasan penempatan lain sebelum berjaya dikawal pada 12.46 tengah malam.

    “Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat dan operasi ditamatkan pukul 3.05 pagi tadi. Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran tersebut,” katanya.

    https://www.youtube.com/watch?v=pxty69-voGA
    Rakaman video yang tular dalam media sosial memaparkan insiden kebakaran di Kampung Bangau-bangau malam tadi. (Kredit video: Saluran YouTube Yudi Dzaenal Arifin.)

    Kawasan itu merupakan penempatan sementara yang dibina kerajaan untuk mangsa kebakaran rumah atas air Kampung Bangau-bangau yang berlaku pada 2017. – BERNAMA

  • [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Budak perempuan 2 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan 11 rumah atas air di Kampung Sabah Baru, Jalan Nipah di sini, pagi tadi.

    Mayat Nurul Alisha Putri Abdullah ditemukan selepas operasi pemadaman.

    Bapa saudara mangsa, Alsad Albani, 32, berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas dan dia tidak menyedari berlakunya kebakaran sehinggalah ternampak api marak dari dalam sebuah bilik.

    “Apabila saya nampak api marak, saya berteriak memberitahu ahli keluarga lain supaya menyelamatkan diri, tetapi malangnya kami terlupa Alisha yang tidur dalam buaian di bilik lain,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.

    Menurutnya, apabila mereka menyedari Alisha masih di dalam rumah, laluan untuk memasuki rumah telah dihalang api yang semakin besar.

    “Namun, bapa saya berusia 62 tahun (didorong) naluri hati seorang datuk, masih mencuba memasuki rumah kami, tetapi kami halang sebab keadaan tidak selamat,” katanya.

    Katanya, Alisha dijaga oleh datuknya dan sangat rapat dengan warga emas itu ekoran kedua ibu bapanya bekerja di luar kawasan.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 9.52 pagi dan anggota bertugas bersama jentera telah bergegas ke lokasi.

    Sumsoa berkata, pihaknya mengalami kesukaran memasuki kawasan kebakaran berikutan jambatan usang serta sempit.

    Selain itu, katanya pihak bomba terpaksa ‘membuka’ empat rumah dengan bantuan penduduk kampung bagi mengawal api daripada merebak ke rumah yang lain.

    https://youtu.be/hJe8O9_8nOY

    Kebakaran dapat dikawal pada 10.55 pagi dengan bantuan BBP Kunak termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam, polis serta penduduk kampung, katanya.

    Kecuali mangsa, tiada kecederaan dilaporkan memandangkan penduduk lain sempat menyelamatkan diri.

    Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

  • Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    LIMA individu ditemukan lemas apabila sebuah bot pam membawa 21 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata dekat Semporna, lewat malam tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, 14 penumpang bot pam itu berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari Kampung Sungai Nakit dekat sini, masih hilang.

    Beliau berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki, berumur antara satu hingga 33 tahun.

    Katanya, bot tersebut dipercayai membawa beban lebih muatan.

    “Semua 21 mangsa ini dipercayai warga tempatan dan mereka ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam tadi dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Norrimi berkata, operasi tersebut membabitkan 11 anggota serta dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta satu bot aluminium.

    Katanya, kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan Semporna.

    Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah terletak lebih 555 km dari Kota Kinabalu.

    Sementara itu, polis akan menyiasat kejadian bot pam karam berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata malam tadi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan melibatkan semua aspek insiden tersebut yang mengakibatkan kematian lima penumpang terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

    Dalam kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur 7 dan 14 tahun masih hilang, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bot dinaiki kesemua penumpang ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Insp Khadijah di talian 019-8718002 atau di balai polis berdekatan.

    Mohd Farhan turut menasihatkan pengusaha bot serta pengguna laut lain agar berwaspada dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Tiket harga kayangan, aktivis pengguna bidas syarikat penerbangan

    Tiket harga kayangan, aktivis pengguna bidas syarikat penerbangan

    KENAIKAN harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching pada tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianggap melampau dibidas oleh aktivis pengguna, Patrick Sindu.

    Memetik laporan FMT, beliau menyifatkan harga yang dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan adalah terlalu tinggi.

    Sehubungan itu, Patrick merayu kepada syarikat penerbangan supaya bersimpati dengan orang ramai yang tidak dapat melakukan perjalanan selama dua tahun kerana pandemik COVID-19.

    “Ini tidak adil kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga di Sabah atau Sarawak. Syarikat penerbangan mesti mempunyai tanggungjawab sosial, terutama dalam mengambil kira kesan COVID-19.

    “Pengguna masih belum pulih daripada pandemik dan oleh itu kuasa beli mereka mungkin tidak ada untuk kebanyakan perkara, apatah lagi tiket penerbangan yang terlalu mahal,” jelasnya.

    Minggu lalu, Bernama melaporkan tiket pergi balik itu meningkat sebanyak 566 peratus bagi tempoh perayaan bermula 29 April hingga 8 Mei.

    November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa syarikat penerbangan menyelesaikan isu harga tiket mahal ke Sabah dan Sarawak terutamanya ketika cuti akhir tahun dan musim perayaan.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan menetapkan harga siling kerana memahami keadaan syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik.

    Patrick menambah, lonjakan harga itu akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi kerana ia akan menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan walaupun sempadan negara dibuka semula.

    Beliau menggesa supaya Putrajaya mewujudkan satu sistem untuk mengawal harga, terutamanya untuk rakyat Malaysia.

    “Jika syarikat penerbangan tidak dapat menurunkan harga mereka kepada kadar yang boleh diterima, maka lebih baik untuk membuka ruang udara. Saya pasti ada syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan laluan ini.” katanya,

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan bersimpati dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin bertemu keluarga selepas sekian lama berjauhan namun kini berdepan ‘satu lagi halangan’.

    “Anda (syarikat penerbangan) boleh menjalankan perniagaan dan menjana keuntungan, tetapi jangan bersikap kejam terhadap pengguna,” katanya.

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu pagi tadi.

    Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

    “Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

    Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu. – BERNAMA