SEORANG lelaki yang dipercayai pemandu lori mati dalam keadaan tersepit di tempat duduknya setelah kenderaan itu melanggar bahagian belakang sebuah treler.

Memetik laporan Sinar Harian hari ini, kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu berlaku di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di lokasi berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, pada awal pagi tadi.

Selain itu, empat pekerja warga Pakistan dilaporkan dalam keadaan cedera parah akibat tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1.12 pagi tadi.

“Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 1.45 pagi.

“Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah tersepit dibahagian tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu,” katanya.

Menurut beliau, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari lori.

“Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Namun, dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here