Tag: Radzi Jidin

  • Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar – Radzi

    Sesi persekolahan bersemuka berjalan lancar – Radzi

    SESI persekolahan secara bersemuka melibatkan 47,000 pelajar dan murid di Terengganu, Kelantan serta di Pulau Langkawi, Kedah yang bermula hari ini berjalan lancar.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhannya pihak sekolah berjaya mematuhi tatacara dan garis panduan yang ditetapkan bagi menghindari penularan pandemik COVID-19 dengan baik, termasuk aspek pengudaraan bilik darjah yang telah ditekankan kementerian sebelum ini.

    “Hampir semua kelas pengudaraannya berada pada tahap optimum dan murid-murid serta guru memakai pelitup muka di dalam kelas.

    “Semua berjalan baik termasuklah penggiliran murid di dalam kelas seperti yang kita umumkan sebelum ini bahawa setiap kelas hanya separuh murid bersemuka dan separuh lagi belajar di rumah.

    “Ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik dan kesesakan sewaktu kemasukan dalam sekolah dan penyuraian sekolah juga diharapkan dapat dilakukan dengan baik,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun di Dungun, hari ini.

    Terdahulu, Radzi turut meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Agama Marang di Marang dan SMK Tengku Intan Zaharah di Dungun.

    Sementara itu, Radzi berkata, lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

    Beliau berkata secara umum pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima setakat ini berjalan dengan baik dan peningkatan jumlah penerima vaksin dalam kalangan golongan tersebut berlangsung dengan agak cepat dan tersusun.

    “Hampir kesemua murid Tingkatan Enam dan Tingkatan Lima telah divaksinkan. Sekarang ini sedang dilaksanakan secara berperingkat, ada yang dilaksanakan mengikut sekolah seperti SMK Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu) hari ini yang merupakan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) untuk dua buah sekolah,” katanya.

    Dalam perkembangan sama Radzi berkata, tindakan tidak membenarkan lebih kurang 2,000 guru yang enggan menerima vaksin untuk mengajar secara bersemuka, tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah mahupun di rumah.

    “Kita sudah teliti mereka di sekolah mana dan mata pelajaran apa yang mereka ajar, sebab itu bila saya sebut bahawa ada kemungkinan besar kena ditukar, ini tak bermaksud apabila ditukar ke sekolah lain dan (mereka boleh) ajar bersemuka. Tidak.

    “Ada hampir semua guru yang mengajar subjek yang sama enggan divaksinkan. Sebab itu kita buat ketetapan guru-guru ini perlu dibawa keluar sebab itu ada pertukaran sama ada dalam atau luar negeri untuk memastikan perjawatan yang ada itu tidak terjejas. Buat masa ini guru-guru ini diberi tugasan yang lain,” katanya. – BERNAMA

  • Radzi puas hati persiapan sekolah

    Radzi puas hati persiapan sekolah

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan penyediaan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan pada hari pertama pembukaan sekolah.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tahap pematuhan SOP sangat membanggakan susulan pengurusan sekolah mematuhi dan memenuhi garis panduan ditetapkan KPM.

    “Ya…saya amat berpuas hati. Hasil tinjauan dilakukan di beberapa sekolah semalam dan pagi ini, saya mendapati pengurusan sekolah mematuhi serta memenuhi garis panduan keselamatan kesihatan ditetapkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau pembukaan hari pertama sesi persekolahan untuk Tingkatan Lima dan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab. Ghani dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din.

    Terdahulu, Radzi yang tiba di SMK Sultan Sulaiman kira-kira jam 7 pagi meluangkan masa kira-kira satu jam bermesra dan memberi semangat kepada pelajar.

    Beliau turut melawat dan beramah mesra dengan petugas kesihatan serta guru yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di dewan SMK Sultan Sulaiman.

    Semalam, Radzi turut mengadakan tinjauan di 10 sekolah di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu bagi melihat persiapan akhir sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

    Sekolah yang dilawati adalah SMK Kuala Telemong, SMK Hulu Terengganu; Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu; SMK Seri Berang; SMK Tengku Ampuan Intan; SMK Tun Indera, SMK Ajil, SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu; SM Sains Kuala Terengganu dan SMK Padang Midin Kuala Terengganu.

    Sementara itu, kenyataan JPNT memaklumkan, seramai 22,066 pelajar Tingkatan Enam dan Lima memulakan sesi persekolahan hari ini.

    Daripada jumlah itu, seramai 2,725 pelajar Tingkatan Enam terbabit dengan kaedah penggiliran.

  • 86.7 peratus kekosongan guru diisi secara one-off

    86.7 peratus kekosongan guru diisi secara one-off

    SEBANYAK 86.7 peratus kekosongan guru sekolah di seluruh negara telah diisi melalui pengambilan seramai 18,702 guru secara one-off pada Jun lalu.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) tersebut dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa yang mengendalikan lantikan.

    Menurut beliau, calon bagi mengisi kekosongan itu mengutamakan graduan yang mempunyai kelayakan iktisas pendidikan, sama ada dari universiti awam (UA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

    “Berdasarkan data sehingga semalam, ada 21,564 kekosongan guru di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara.

    “Susulan pengambilan ‘one-off’ pada Jun lalu, ada baki 2,862 yang akan diisi menerusi proses lantikan biasa dan dilaksanakan secara berterusan oleh SPP,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai kriteria utama pemilihan guru seramai 18,000 orang dan keperluan sebenar kekosongan warga pendidik di seluruh negara.

  • Buka sekolah berperingkat petunjuk masuk fasa endemik

    Buka sekolah berperingkat petunjuk masuk fasa endemik

    PEMBUKAAN sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri memberi gambaran bahawa negara kini sedang bergerak ke peringkat endemik.

    Memetik laporan Bernama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pendekatan secara berfasa atau berperingkat itu juga menunjukkan bahawa negara akan kembali kepada keadaan sediakala.

    “Dalam konteks fasa PPN ini, kita sedang bawa negara kembali kepada keadaan sedia kala dengan memastikan tatacara dan peraturan yang kita bawa itu dapat dipatuhi dan sekolah dapat dibuka dengan selamat,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengenai mesyuarat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau berkata, ia bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembukaan sekolah dapat dilaksanakan dengan baik, lancar dan teratur.

    Katanya, perancangan itu penting sebagai tekad semua pihak untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama murid apabila sekolah dibuka kelak.

    Ahad lalu, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan bilangan dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

    Pengoperasian sekolah secara bersemuka bermula di Fasa 2 PPN dengan pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober.

    Ditanya mengenai tindakan terhadap guru yang memilih untuk tidak divaksin beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan akan diumumkan kemudian.

  • Guru antivaksin tetap bertugas, bukan duduk goyang kaki

    Guru antivaksin tetap bertugas, bukan duduk goyang kaki

    Oleh RIZQI ZABIDI

    WALAUPUN guru-guru yang menolak vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka, itu tidak bermakna mereka boleh goyang kaki sahaja.

    Sebaliknya, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kira-kira 2,500 guru terbabit akan diberi tugasan-tugasan lain di sekolah.

    Sehubungan itu beliau berkata, dakwaan yang mengatakan guru-guru tersebut hanya akan goyang kaki dan dibenarkan bekerja dari rumah adalah tidak benar.

    “Kalau ada yang mengatakan mereka tak ada kerja hendak dibuat, itu tak betul.

    “Di sekolah ada banyak perkara lain yang perlu dilaksanakan dan mereka akan diberi tugasan itu.

    “Itu tindakan segera di pihak kementerian. Pada masa sama, kami juga sebenarnya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai tindakan selanjutnya terhadap guru-guru ini selaku penjawat awam,” katanya.

    Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Haji Nyak Gam di Yan, Kedah hari ini.

    Semalam Radzi mengumumkan, guru-guru yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 ataupun antivaksin tidak akan dibenarkan mengajar, berinteraksi atau bersama murid dalam kelas menjelang pembukaan sekolah bulan depan.

    Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga akan mengeluarkan garis panduan kepada guru terlibat mengenai tugas sesuai bakal dilakukan mereka apabila tidak boleh mengajar di kelas.

    Radzi juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan guru-guru terlibat selepas ini bagi bagi membincangkan perkara itu.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, inisiatif Kementerian Pendidikan untuk bertanya kepada ibu bapa mengenai kebenaran untuk pemberian vaksin kepada pelajar sekolah baru-baru ini hanyalah satu bentuk kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal mengenai pekrara itu.

    Beliau menambah, kaji selidik itu masih dilaksanakan kini dan kementerian dijangka akan mendapat maklum balas dalam masa terdekat.

    “Itu bukan satu arahan sebaliknya kaji selidik bagi mendapatkan gambaran awal kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF),” jelasnya.

    Radzi berkata, hasilnya akan diketahui dalam masa terdekat dan secara keseluruhannya, Kementerian Pendidikan hanya ingin melihat secara umum gambaran awal dari ibu bapa berkaitan vaksinasi.