Oleh RIZQI ZABIDI

PERUNTUKAN sebanyak RM2.4 juta akan disalurkan oleh Kementerian Pendidikan bagi membaik pulih dan menggantikan aset di empat sekolah yang terjejas akibat fenomena aliran debris di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, empat sekolah yang menerima peruntukan itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC) York Khoon dan SK Haji Nyak Gam.

“Insya-Allah kita akan pastikan pelaksanaan projek kecil ini dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan sekolah-sekolah terlibat berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk menerima murid apabila sekolah dibuka nanti.

“Berdasarkan pemantauan hari ini, kita yakin sekolah-sekolah ini dapat kembali dipulihkan sebelum tarikh pembukaan sekolah nanti,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Haji Nyak Gam di Yan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Radzi berharap orang ramai tidak terkeliru dengan kenyataannya semalam mengenai pembukaan sekolah yang akan bermula pada 3 Oktober ini.

“Apabila saya katakan demikian, ramai yang anggap semua sekolah akan dibuka pada 3 Oktober. Itu tak betul kerana pembukaan sekolah ini akan dibuat mengikut fasa serta berperingkat dengan kami akan kembali berbincang bersama Kementerian Kesihatan selepas ini.

“Daripada situ kita akan tetapkan kaedahnya untuk negeri di fasa satu, dua, tiga dan empat.

“Semua itu akan dijelaskan satu per satu selepas ini kerana kita memiliki pelan komprehensif merangkumi prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan,” jelasnya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak terlibat untuk mendapatkan input-input berkaitan.

“Hasil daripada sesi libat urus itu nanti akan dibawa dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. Segala kaedah dan prosedurnya nanti akan saya umumkan dalam satu sidang khas nanti,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here