RAKYAT khususnya pengundi perlu diberi kuasa untuk menentukan sama ada wakil rakyat di kawasan mereka yang melompat parti diganti atau dikekalkan.

Cadangan itu dilontarkan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, mekanisme perlu diwujudkan melalui Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti agar senarionya lebih terbuka, kerana tidak semua wakil rakyat yang melompat parti itu sebenarnya mahu berbuat demikian.

“Mekanisme mesti ada kerana tidak semestinya yang pergi itu atas alasan hanya kerana lompat, kemungkinan dipecat atau berlaku disebabkan kerajaan gabungan.

“Apa yang kita hendak wujudkan ialah satu sistem di mana dia tidak boleh hanya lompat sesuka hati bila-bila masa.

“Perlu ada mekanisme, dan mekanisme paling penting serta wajar ialah rakyat menjadi penentu kepada pengganti,” katanya.

Saranan Azalina itu seharusnya diberi pertimbangan mendalam oleh semua parti politik bagi mengelakkan insiden lompat parti terus berleluasa pada masa akan datang.

Ramai pihak berpandangan, perbuatan itu adalah tidak adil kepada pengundi yang memilih Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.

Melainkan beliau bertanding atas tiket Bebas, majoriti pengundi di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) memilih wakil rakyat berdasarkan partinya.

Pertimbangan rakyat semasa mengundi adalah berdasarkan prestasi parti serta janji atau manifesto yang ditawarkan, lebih-lebih lagi jika calon yang diketengahkan bertanding untuk kali pertama.

Calon-calon yang bertanding atas tiket parti diberi sokongan sepenuhnya oleh jentera yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan mereka.

Sudah tentu ia tidak adil apabila calon yang menang itu melompat parti, sedangkan kemenangan yang membolehkan beliau menjadi wakil rakyat adalah hasil mandat yang diberikan oleh pengundi terhadap partinya.

Mungkin boleh dirangka satu mekanisme yang membolehkan seseorang wakil rakyat hilang kerusi Parlimen atau DUN yang disandangnya apabila beliau melompat parti tanpa alasan yang kukuh seperti pemecatan.

Langkah sedemikian pasti boleh menjadikan mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya umum lebih stabil dan tidak digugat oleh amalan lompat parti yang mungkin didalangi kepentingan peribadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here