Tag: PRN Johor

  • Speaker serah warta mansuh DUN Johor kepada SPR

    Speaker serah warta mansuh DUN Johor kepada SPR

    SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menyerahkan warta kerajaan mengenai pemasyhuran memansuhkan DUN Johor yang ke-14 bertarikh 22 Jan 2022 kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon, hari ini.

    Dengan penyerahan warta kerajaan tersebut, Suhaizan berkata, secara langsung membolehkan SPR melaksanakan proses seterusnya untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Johor.

    “Saya telah terima surat pemakluman mengenai pemasyhuran itu pada pukul 10 pagi tadi, yang kemudiannya telah diwartakan.

    “Jadi petang ini, saya serahkan dan maklumkan kepada SPR mengenai pemansuhan DUN Johor. Selepas ini, SPR akan melaksanakan proses seterusnya iaitu mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

    Sementara itu, Nor Nekman berkata tarikh mesyuarat khas berkenaan PRN Johor akan diputuskan oleh SPR pusat. – BERNAMA

  • Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

    Mesyuarat Bersatu Johor bincang PRN dalam masa terdekat

    BERSATU Johor akan mengadakan mesyuarat bersama semua Ketua Bahagian dan jentera parti itu bagi membincangkan secara terperinci persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

    Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan hari ini berkata selain itu, pertemuan dan perbincangan bersama PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) selaku komponen dalam Perikatan Nasional negeri juga akan diadakan bagi tujuan sama.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Bersatu yang ketika itu di bawah payung Pakatan Harapan, bertanding 17 kerusi DUN Johor dan memenangi sembilan kerusi.

    Sementara itu di IPOH, Perak Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan bersama rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung PRN Johor.

    “Dewan telah pun dibubarkan dan kami menghormati keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar.

    “Tentunya Bersatu akan ambil bahagian dan kami akan berbincang dengan rakan strategik kami dalam PN untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di sini hari ini.

    Ahmad Faizal bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai perancangan kerjasama dalam menghadapi PRN itu antara UMNO dan PAS.

    Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kementeriannya sedang merancang bekerjasama dengan GABEM dan rakan kongsi lain untuk mengadakan program bagi membantu usahawan dalam kalangan belia di seluruh negara.

    “Saya lihat usaha GABEM untuk program pendigitalan perniagaan ini amat baik dan kami akan memulakan proses perundingan kerjasama dan insya-Allah jika ia sesuai, kita akan memulakan secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA

  • PRN Johor: PN diharap letak 30 peratus calon wanita

    PRN Johor: PN diharap letak 30 peratus calon wanita

    KETUA Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap Perikatan Nasional (PN) memberi ruang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita Bersatu dan Wanita PN untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Dalam mana-mana pilihan raya pun kita berharap diberikan tempat juga kepada calon-calon wanita khususnya kepada Srikandi dan Wanita PN.

    “Jadi kita harap agar sekurang-kurangnya 30 peratus yang akan bertanding terdiri daripada calon wanita,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Kotak Makanan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Kit Dana Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kampung Spang Loi di Segamat hari ini.

    Seramai 126 mangsa banjir di kampung berkenaan menerima sumbangan kotak makanan, dapur gas dan tong gas.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

    Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata lebih 90 peratus daripada 37,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan dengan banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat ini.

    “(Senarai) nama tu kita dah selesaikan. (Senarai) nama itu telah diberikan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan NADMA telah menyerahkan BWI kepada lebih 90 peratus KIR (yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat) di pusat pemindahan sementara,” katanya. – BERNAMA

  • Warisan belum putuskan bertanding PRN Johor

    Warisan belum putuskan bertanding PRN Johor

    PARTI Warisan Sabah (Warisan) ketika ini masih menimbang untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    Beliau berkata, Warisan perlu meneliti banyak perkara sebelum memutuskan untuk bertanding antaranya kerjasama dengan rakan politik di Semenanjung seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) malah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu sahaja diumumkan petang semalam.

    “Saya sudah berhubung dengan Syed Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), saya maklumkan kepadanya perlu ada persediaan sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, walaupun kita ada penyokong di kawasan tertentu.

    “Ramai orang Sabah, Sarawak di situ (Johor) namun kita tidak hanya bergantung kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Kita akan lihat bagaimana keadaan di situ dan kita putuskan apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Warisan di Likas di Kota Kinabalu malam tadi.

    Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor, selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Mohd Shafie berkata, tindakan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung tahun lepas adalah penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berharap PRU15 berjalan serentak dengan PRN Johor.

    “Selepas Melaka, Sarawak dan sekarang Johor dan mungkin negeri lain lagi, ini kerja yang sangat memenatkan. Sekiranya diadakan serentak dengan PRU lagi bagus dan menjimatkan,” katanya.

    Sementara itu, pada majlis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai di Selangor, Bryan Lai mengumumkan beliau menyertai Warisan yang disifatkannya sebagai sebuah parti berbilang kaum di negara ini.

    “Saya buat keputusan sertai Warisan dan berjanji akan bekerja keras untuk parti. Warisan parti sebenar yang berbilang kaum di Malaysia dan saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri (Mohd Shafie) untuk menerajui negara,” katanya yang kini menjadi ADUN pertama parti itu di Semenanjung.

    Pada April tahun lepas Lai mengumumkan keluar daripada DAP dan bergerak sebagai ADUN bebas yang menyokong Pakatan Harapan. 

    Warisan memiliki 17 kerusi DUN di Sabah. – BERNAMA

  • Mesyuarat Exco Johor tak bincang isu PRN – Tosrin

    Mesyuarat Exco Johor tak bincang isu PRN – Tosrin

    AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi.

    “Tiada apa-apa yang luar biasa dan mesyuarat hari ini berjalan seperti biasa. Kita membincangkan tentang kertas-kertas kerajaan, tiada perkara lain.

    “Langsung tiada perbincangan (mengenai PRN Johor),” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan di Kota Iskandar, hari ini.

    Sementara itu, Tosrin yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kulai berkata, pihaknya masih belum mendapat tarikh berhubung mesyuarat parti berkenaan di peringkat negeri.

    “Berhubung mesyuarat berkenaan, kita akan tunggu (makluman) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), buat masa ini belum dapat tahu lagi,” katanya.

    Khabar angin mengenai PRN Johor mula tersebar susulan kerajaan negeri hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lepas,

    Semalam, blok pembangkang menawarkan Komitmen Kestabilan kepada kerajaan negeri dan menolak PRN Johor. – BERNAMA

  • PRN Johor batu loncatan desak PRU-15 lebih awal

    PRN Johor batu loncatan desak PRU-15 lebih awal

    DAP Johor mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam UMNO yang mahu menjadikan Johor sebagai batu loncatan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak mahu memenangi PRU-15 agar mereka terlepas daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

    “UMNO adalah dalang dalam mendesak pilihan raya mengejut di Johor. Ia mahu Johor dijadikan batu loncatan untuk mencetuskan pilihan raya umum yang bertentangan dengan kehendak Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    “UMNO yang kini diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi mahu memenangi pilihan raya umum bagi membolehkan Najib dan Zahid terlepas daripada hukuman penjara atas kes rasuah mereka.

    “Puak UMNO yang dominan ini mempertaruhkan kepentingan rakyat. Mereka mengheret rakyat dan Sultan Johor, yang budi bicara mutlaknya diperlukan jika DUN mahu dibubarkan, ke dalam permainan kuasa UMNO,” katanya.

    Kenyataannya itu muncul ketika khabar angin mengenai pilihan raya mengejut di Johor semakin kuat.

    Pembangkang di negeri itu menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina bulan depan.

    Andrew mengulangi pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pimpinan tertingginya pada 27 Disember lalu, di mana gabungan itu berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Johor.

    “Banjir dan kesannya masih belum selesai di Johor, dan varian Omicron yang melanda dunia sudah pun berada di Malaysia. Kita perlu menangani keperluan rakyat terlebih dahulu.

    “PH Johor juga komited untuk tidak menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad ketika ini bagi mengelak ketidakstabilan di negeri itu,” jelasnya.

    Beliau menegaskan bahawa DAP Johor bagaimanapun bersedia untuk menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya ia diadakan.