Oleh RIZQI ZABIDI

Polis menahan sembilan individu dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang Khamis lalu kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian.

Lapan lelaki serta seorang wanita berusia 19 hingga 51 tahun itu diberkas dalam operasi dijalankan sepasukan anggota risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman kira-kira jam 1.15 petang.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas tiga buah kereta, 21 telefon pintar, dua buah komputer, 18 buku catatan, kad kredit, kad bank serta wang tunai berjumlah lebih RM14,000.

“Ada yang ditangkap di rumah dan kawasan-kawasan lain, setakat ini kumpulan ini dikenal pasti terlibat dalam enam kes dengan anggaran kerugian RM150,000.

“Modus operandi mereka adalah dengan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta menyamar menjadi agensi penguat kuasa yang lain termasuk polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata hasil siasatan mendapati sindiket penipuan ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Melayu Yong dan Kumpulan India Yong.

Katanya, polis kini sedang mengesan dua lagi individu disyaki terbabit dalam kes ini dan berkemungkinan adalah dalang sindiket terbabit.

“Mereka ini sering berubah tempat operasi bagi mengelak kegiatan mereka terkesan, namun kita yakin penahanan kesemua suspek ini akan membantu polis menyelesaikan lebih banyak kes penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata les ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, densa atau sebat atau kedua duanya sekali.

Katanya, kesemua suspek telah direman dan akan disambung reman hingga Selasa ini,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here