MUFTI Pulau Pinang menasihatkan umat Islam menjauhi perbuatan rasuah dan mereka yang melakukannya segera meninggalkan perbuatan terkutuk tersebut.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka yang pernah melakukan perbuatan itu perlu memohon maaf kepada golongan yang teraniaya selama ini disebabkan mereka telah menceroboh hak-hak orang lain melalui rasuah.

Ujar beliau, setiap warga Malaysia tentu berasa risau dan cemas mengikuti  berita kebelakangan ini tentang kejadian-kejadian rasuah yang melanda negara.

Jelasnya, perbuatan itu seakan-akan sudah membarah di dalam negara membabitkan pelbagai sektor termasuk golongan pemimpin yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan urusan rakyat di dalam jabatan kerajaan mahupun di dalam syarikat tertentu yang ada kaitan dengan kerajaan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor

Selaku Mufti jelasnya, beliau terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan isu itu, setidak-tidaknya dapat dijadikan panduan dan nasihat kepada masyarakat Islam dari sudut hukum syarak.

“Perlu dinyatakan kecenderungan kepada pemilikan harta benda merupakan satu naluri semula jadi manusia.

Agama Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memang mengiktiraf kebebasan setiap individu untuk memiliki harta kekayaan sebagai salah satu hak asasi kemanusiaan.

“Bagaimanapun sebagaimana di dalam bidang-bidang lain, kebebasan yang diberikan kepada individu adalah disyaratkan ia tidak memudaratkan kepentingan umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, walaupun Islam tidak melarang umatnya mencari kekayaan, namun Islam juga mengingatkan mereka supaya tidak terpedaya dengan harta benda yang dimiliki sehingga terlupa kepada mengingati Allah dan menjaga hukum yang ditetapkan di dalam agama-Nya.

“Mungkin  juga kerana kesibukan mengejar kekayaan dan kemewahan hidup, ada yang terlalai tentang sifat sementara kehidupan dunia ini.

“Ingatlah keinginan yang melampau kepada harta dunia sering mendorong seseorang kepada mengambil hak orang lain secara batil yang dilarang oleh syariat Islam,” katanya.

Tambah Wan Salim, perbuatan memberi dan menerima rasuah dikutuk oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Pelaku rasuah katanya, dipandang hina oleh masyarakat di dunia ini lagi manakala di akhirat akan dihumban ke dalam seksaan neraka yang tidak terperi dahsyatnya.

“Dosa kepada Allah mungkin diampun dengan taubat, namun dosa kepada manusia termasuk mengambil hak mereka secara batil tidak akan terampun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here