PARTI Warisan Sabah (Warisan) ketika ini masih menimbang untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, Warisan perlu meneliti banyak perkara sebelum memutuskan untuk bertanding antaranya kerjasama dengan rakan politik di Semenanjung seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) malah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu sahaja diumumkan petang semalam.

“Saya sudah berhubung dengan Syed Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), saya maklumkan kepadanya perlu ada persediaan sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, walaupun kita ada penyokong di kawasan tertentu.

“Ramai orang Sabah, Sarawak di situ (Johor) namun kita tidak hanya bergantung kepada penduduk Sabah dan Sarawak. Kita akan lihat bagaimana keadaan di situ dan kita putuskan apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Warisan di Likas di Kota Kinabalu malam tadi.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor, selepas baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Mohd Shafie berkata, tindakan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung tahun lepas adalah penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berharap PRU15 berjalan serentak dengan PRN Johor.

“Selepas Melaka, Sarawak dan sekarang Johor dan mungkin negeri lain lagi, ini kerja yang sangat memenatkan. Sekiranya diadakan serentak dengan PRU lagi bagus dan menjimatkan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai di Selangor, Bryan Lai mengumumkan beliau menyertai Warisan yang disifatkannya sebagai sebuah parti berbilang kaum di negara ini.

“Saya buat keputusan sertai Warisan dan berjanji akan bekerja keras untuk parti. Warisan parti sebenar yang berbilang kaum di Malaysia dan saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri (Mohd Shafie) untuk menerajui negara,” katanya yang kini menjadi ADUN pertama parti itu di Semenanjung.

Pada April tahun lepas Lai mengumumkan keluar daripada DAP dan bergerak sebagai ADUN bebas yang menyokong Pakatan Harapan. 

Warisan memiliki 17 kerusi DUN di Sabah. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here