BERBEZA dengan calon yang lain, Muhd. Nur Iqbal Abd Razak, 37, memilih untuk lebih fokus usaha menekankan pembangunan modal insan jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir, Johor.
Baginya, sebagai wakil parti Pas yang bertanding di atas tiket Perikatan Nasional (PN), pembangunan modal insan itu adalah asas utama untuk mencipta kejayaan lain dalam pelbagai sektor.
“Itulah keutaaman parti. Sudah tentu kita juga fokus kepada soal pembangunan serta isu utama di sini iaitu soal kemudahan asas,” katanya ketika ditemui SatuBerita.
Antaranya ialah membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan berkenaan dan masih gagal ditangani secara berkesan sehingga ke hari ini.
“Kawasan ini berada di pinggir bandar, dikelilingi kawasan bandar. Sudah tentu kita mengharapkan limpahanya akan sampai ke sini dan penduduk mendapat manfaatnya.
“Tetapi beberapa isu utama harus diselesaikan terlebih dahulu iaitu kemudahan asas dan pada masa sama, kita mahu membentuk pembangunan modal insan,” katanya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik.
Mengulas isu pembangunan ekonomi rakyat, Iqbal yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Kemasyarakatan Bukit Pasir serta ahli perniagaan berkata, PN akan lebih fokus kepada pendekatan bagaimana nak membantu anak mudah mendapatkan pekerjaan.
“Ramai antara mereka yang masih belum habis bekajar dan ada yang belum mendapat kerja. Jadi, kita perlu bantu mereka membentuk ekonomi sendiri walaupun bukan dengan bekerja secara makan gaji,” katanya.
Ini kerana, katanya peluang menjana pendapatan di Bukit Pasir memang terbuka luas kerana terdapat banyak peluang untuk diteroka terutama dalam bidang pertanian dan penternakan.
Jika diberi peluang untuk dilantik sebagai ADUN, Iqbal mahu menarik lebih ramai generasi muda terbabit dalam kedua-dua sektor berkenaan bagi menjana pendapatan.
Katanya, ketika ini dianggarkan terdapat kira-kira 32,000 pengundi muda atau pengundi kali pertama di DUN Bukit Pasir yang perlu diberi perhatian dan dibimbing.
“Saya mengharapkan mereka, pertama kali mengundi, kalau boleh bagi 100 peratus sokongan untuk keluar mengundi, pada kali ini dan dan bagi sokongan kepada PN, insha Allah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac dan hari mengundi awal pada 8 Mac ini.