CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Shazani A. Hamid menyeru pengundi terutama di kawasan itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Katanya, ini bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk benar-benar menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta negeri ini.

Sekiranya diberi mandat kata Shazani, antara tumpuan yang akan diberikan adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan agar dapat menjana ekonomi setempat dan juga menyumbang pembangunan ekonomi negeri.

“Apa yang saya harapkan supaya anak-anak muda dapat sama-sama membangunkan Ayer Hitam, khususnya DUN Semarang agar dapat mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih lagi kepada masyarakat di sini.

“Di samping itu, saya juga akan meneliti peluang warga DUN Semarang untuk memiliki rumah mampu milik, bukan sahaja sekadar mampu tengok,” katanya ditemui selepas Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Akuan Integriti di di Hotel Impiana, Senai, Kulai, hari ini.

Seramai 56 calon PN hadir dalam Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon PN PRN Johor 2022.

Pada PRN Johor bagi kerusi DUN Semarang, Shazani akan menentang penyandang kawasan itu Datuk Samsol Bari Jamali (BN), Adzlan Raju (Parti Pejuang Tanah Air), dan Haryati Abu Nasir (Parti Keadilan Rakyat).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here