MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad hari ini memberi jaminan solat sunat tarawih dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada bulan Ramadan ini.

Idris berkata, pelaksanaan solat Tarawih berkenaan akan dilaksanakan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar yang akan diumumkan kelak.

Menurutnya, setakat ini SOP itu masih belum diputuskan, namun operasi masjid akan berjalan seperti biasa meskipun ketika ini situasi COVID-19 dalam negara masih mencatatkan angka melepasi 20,000.

“SOP nanti akan agak longgar, bergantung kepada keadaan semasa. Kita akan ikut nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan ) dan buat panduan Tarawih dari situ,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sumbangan Tablet kepada Pelajar dan Bantuan WiFi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Surau Jumaat At-Taqwa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Baru Air Panas, Kuala Lumpur.

Menurutnya, SOP dikeluarkan KKM itu akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut negeri masing-masing.

“Insya Allah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT supaya COVID-19 (penularan) tidak serius. Kalau semakin teruk, kita akan ikut nasihat KKM dan bila sudah ada SOP baharu, kita akan jaga elok-elok,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyumbang tablet beserta pakej data internet bernilai RM9.3 juta, kepada 5,000 pelajar asnaf di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, sumbangan hasil kutipan zakat MAIWP itu, akan membantu pelajar kurang berkemampuan menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara lebih berkesan.

“Saya sedar banyak kekangan dalam melaksanakan PdPR kerana tidak semua ada akses internet yang baik, malah tidak semua mempunyai peranti yang sesuai.

“Jadi program hari ini adalah tanggungjawab sosial kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan menerusi kutipan zakat MAIWP,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan tersebut juga bukti komitmen MAIWP sebagai pemegang amanah pengeluar zakat, untuk disampaikan kepada mereka yang berhak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Sumbangan ini akan meliputi kesemua Wilayah Persekutuan yang berada bawah MAIWP. Namun, keadaan di Kuala Lumpur adalah yang ketara memerlukan bantuan ini,” katanya sambil menambah jumlah penerima sumbangan akan ditambah pada masa hadapan.

Sementara itu, Idris berkata, bantuan WiFi juga akan dipasang di 10 buah PPR terpilih di Wilayah Persekutuan, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM600,000.

“WiFi akan dipasang di dewan atau ruang serbaguna di surau di setiap blok perumahan PPR. Diharapkan pemasangan WiFi ini akan memudahkan pelajar mendapat capaian internet untuk belajar, sekali gus menghidupkan suasana di surau,” katanya.

Pada majlis sama, Idris turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM614,000 kepada Pertubuhan Dana Kita bagi projek Pusat Komuniti Bergerak MAIWP, iaitu sebuah bas dijadikan makmal internet bergerak yang akan berada di kediaman penduduk di Kuala Lumpur secara berkala, untuk meluaskan jaringan internet kepada golongan asnaf dan B40. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here