SEORANG warga emas yang juga petugas kempen Perikatan Nasional (PN) diserang beberapa individu ketika memasang bendera partinya di Kampung Tebing Runtuh, Gelah Patah, petang semalam.
Mangsa, Sujali Ahmad mendakwa, lapan individu yang dikaitkan dengan parti lawan melarangnya memasang bendera PN di kampung tersebut.
Dia yang juga dikenali sebagai Pak Ali Teksi mendakwa, tiga daripada individu terbabit memukul tangan, mencekik leher dan merosakkan kenderaannya.
“Saya telah didatangi tiga orang, kemudian disusuli lima orang. Sepanjang provokasi, saya telah dikasari tiga orang yang memukul dan memaki hamun serta mengugut saya dengan kata-kata kesat.
“Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan di bahagian dada dan kedua belah tangan serta kereta saya dirosakkan,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama Senai, selepas membuat laporan di Balai Polis Iskandar Puteri 10 pagi tadi.
Video memaparkan beberapa individu bertengkar itu tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang.
Sujali menambah, jenteranya dilarang memasang bendera di kawasan itu oleh lapan individu terbabit kerana mendakwa PN bukan parti yang mereka sokong.
“Mereka tak bagi masuk sebab bendera parti kami nak pasang bukan daripada parti dia dengan mendakwa jalan tersebut jalan mereka, sedangkan kami pasang bendera di jalan utama. Kejadian itu tak sepatutnya berlaku, ini pilihan raya, semua bebas berkempen dan pasang bendera,” jelasnya.
Namun, insiden tersebut tidak mematahkan semangat warga emas berkenaan yang bertekad untuk meneruskan kempen bagi memastikan kemenangan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, kejadian yang disifatkannya biadab, ‘gengster’ dan tidak menghormati prinsip demokrasi itu tidak sepatutnya berlaku.
“Insiden tersebut amat membimbangkan kerana ia juga melibatkan nyawa dan keselamatan petugas PN,” katanya.
TUDUHAN yang dilemparkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) dengan mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) membazir hanya kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau menyediakan pakej-pakej bantuan rakyat dan rangsangan ekonomi bernilai RM600 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, tuduhan itu adalah amat tidak sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dan komuniti perniagaan sewaktu pandemik.
“Saya sebenarnya hairan dengan sikap Pekan. Apabila saya sebagai Perdana Menteri menyalurkan bantuan bernilai ratusan billion ringgit kepada rakyat dan perniagaan di kala susah dikatakan membazir.
“Tetapi ketika dia menjadi Perdana Menteri, puluhan billion duit rakyat lesap begitu sahaja tidak pula dikatakan membazir. Mungkin kerana dia mendapat untung, tidaklah membazir bagi dia,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Muhyiddin menjelaskan, ramai individu yang ditemuinya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PN atas pelbagai bentuk bantuan yang mereka terima termasuk Makcik Kiah, Pak Salleh dan lain-lain peniaga, penjaja kecil dan orang-orang biasa yang menerima bantuan kerajaan semasa pandemik.
Beliau menambah, ia termasuk pelbagai bentuk bantuan tunai bernilai RM17 billion yang disalurkan terus kepada rakyat pada tahun lalu sahaja.
“Program subsidi upah bernilai RM20 billion juga telah banyak membantu pekerja memperolehi gaji dan pemilik perniagaan meneruskan operasi perniagaan semasa pandemik walaupun ekonomi terjejas teruk.
“Selain itu, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang saya umumkan telah menyumbang sebanyak 3.7 hingga 4.0 mata peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 dan menjadi antara penyumbang utama pemulihan ekonomi pada masa ini.
“Ini menunjukkan pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang disediakan oleh kerajaan PN memberikan banyak kesan positif kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara,” ujarnya.
Hakikatnya, Muhyiddin berkata, dunia semasa dan pasca-pandemik memerlukan negara-negara termasuk Malaysia mengambil langkah luar biasa.
Beliau berkata, kerajaan PN pada ketika itu memastikan perniagaan dapat terus berjalan, gaji dan upah pekerja tidak terhenti dan makanan berada di atas meja untuk keluarga yang terjejas.
“Peruntukan yang besar tersebut tidak masuk dalam akaun peribadi saya, tetapi untuk kepentingan rakyat yang benar-benar terkesan akibat pandemik. Pembelian vaksin, bantuan tunai terus ke akaun rakyat, pembukaan pusat-pusat kuarantin dan PPV – semuanya untuk rakyat. Di mana yang saya membazir?
“Kesemua wang yang diperuntukkan itu adalah bagi membantu rakyat dan negara menjana pendapatan yang menyumbang kepada kesan berganda ekonomi atau dengan izin, multiplier effect.
“Oleh sebab itu, sejumlah peruntukan yang besar telah dibelanjakan secara telus dan bersasar bagi maksud pemberian pelbagai bentuk insentif dan bantuan kepada rakyat dan perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) dan industri yang amat terkesan sepanjang dua tahun suram yang turut dirasai di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.
MINGGU terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin sengit dan panas dengan menyaksikan pihak lawan melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bermacam-macam tuduhan tidak masuk akal yang mereka lontarkan sekali gus menunjukkan pihak lawan khususnya Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk mengemis sokongan Bangsa Johor yang meluat dengan mereka.
Walau bagaimanapun, calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyifatkan serangan pihak lawan tidak memberi kesan terhadap Muhyiddin.
Malah, beliau percaya tindakan tersebut akan menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada pihak lawan.
“Biasa dalam mana-mana pilihan raya memang mereka berusaha sungguh nak mengorbankan imej tokoh kita.
“Tapi sebagaimana kita tahu abah ni apa pun kalau lawan cakap akhirnya akan jadi backfire la.
“Akhirnya akan menimbulkan rasa simpati rakyat kepada beliau dan rakyat tahu dalam tempoh yang singkat itu mana-mana rata-rata saya pergi mereka memang mengagumi kebolehan pentadbiran zaman Tan Sri Muhyiddin.
“Macam-macam dia bagi walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19 itu pun bantuan-bantuan tidak putus-putus untuk rakyat,” jelasnya dalam sidang media di Pejabat Bersatu / PN Parit Sulong hari ini.
Ariss menambah, serangan terhadap Muhyiddin sebenarnya akan menjadi senjata paling ampuh untuk melumpuhkan lawan.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, bekas Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor itu memang disayangi oleh Bangsa Johor termasuk di DUN Semerah.
“Ramai orang Semerah yanya bila Abah nak datang,” katanya.
Bagi mengubat kerinduan penduduk di DUN Semerah, Muhyiddin akan menyantuni mereka pada 9 Mac ini, pukul 9 malam dengan program ramah mesra di pekarangan Pejabat Bersatu / PN Parit Sulong.
Ariss yakin aura Muhyiddin akan menjadi gelombang saat akhir yang membawa kemenangan kepada PN di Johor khususnya di DUN Semerah.
TIDAK banyak yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah sewaktu gabungan politik tersebut memerintah negara dan Johor selama 22 bulan.
Begitu juga dengan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan gagal membawa pembangunan yang signikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan semasa kembali menjadi kerajaan negeri Johor.
Sehubungan itu, calon PN bagi kerusi DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin bertekad untuk memastikan penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi dipinggirkan setelah diberi mandat untuk mewakili mereka pada 12 Mac ini.
Hari ini, beliau membentangkan ikrar dan janji khusus bagi DUN Semerah yang serba lengkap dengan merangkumi aspek keagamaan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, sosioekonomi, keusahawanan, kesejahteraan wanita, kesejahteraan generasi muda, kesejahteraan pasukan beruniform dan kesejahteraan komuniti.
“Ini selaras dengan kedudukan DUN Semerah yang majoritinya dalam kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang media di Pejabat Bersatu / PN Parit Sulong, hari ini.
Yang turut hadir, Penasihat Bilik Gerakan PN Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad.
Calon Perikatan Nasional DUN Semerah, Datuk Ariss Samsudin (tengah) bersama penyokong-penyokongnya menunjukkan Ikrar Perikatan Nasional untuk DUN Semerah selepas mengadakan sidang media di Pejabat Bersatu, Parit Sulong, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Berikut adalah butiran terperinci 10 perkara yang terkandung dalam ikrar PN khusus bagi DUN Semerah:
Keagamaan
Memperjuangkan pembinaan sekolah agama, surau dan masjid.
Menaikkan taraf keselesaan sekolah agama, surat dan masjid.
Mempesatkan proses pendidikan Islam secara tidak formal yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang terlatih dan berwibawa.
Infrastruktur
Memperjuangkan pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Simpang Kiri untuk menghubungkan Jalan Parit Jalin dengan Jalan Parit Sulong – Simpang Lima, iaitu dari Kampung Sungai Nipah menuju ke Seri Sulong.
Pendidikan
Memperjuangkan pembinaan Kolej Komuniti yang telah dipohon rakyat setempat sejak 2000 di lokasi berhadapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat dan berhampiran dengan Kawasan Perindustrian Seri Sulong.
Memperjuangkan pembinaan pusat tuisyen komuniti bagi para pelajar sekolar rendah dan sekolah menengah di sekitar kawasan DUN Semerah secara percuma.
Kesihatan
Memperjuangkan pembinaan Pusat Kesihatan Kecil di dua lokasi khusus yang sudah dikenal pasti oleh PN Parit Sulong dalam kawasan DUN Semerah.
Sosioekonomi
Memperjuangkan pembangunan sosioekonomi bagi rakyat dalam DUN Semerah menerusi pelbagai pendekatan pembangunan industri mikro, kecil dan sederhana; termasuk pembangunan perniagaan dalam talian yang selari dengan dasar digitalisasi negara.
Memperjuangkan pembinaan Kompleks Perniagaan MARA berhampiran Kawasan Perindustrian Seri Sulong sebagai hab baharu kepada usaha memperkasakan kumpulan peniaga bumiputera di DUN Semerah.
Memperjuangkan usaha memperkasakan pertumbuhan sosioekonomi para petani dan nelayan dalam DUN Semerah menerusi pelbagai skim serta program bantuan modal, kelengkapan dan lain-lain.
Keusahawanan
Memperjuangkan usaha membangunkan kumpulan usahawan bumiputera di DUN Semerah supaya mereka menerima bimbingan asas mengenai ilmu perniagaan, pengurusan perniagaan, kaedah mendapatkan sumber modal perniagaan dan pengembangan pasaran perniagaan.
Kesejahteraan wanita
Memperjuangkan kesejahteraan wanita dalam DUN Semerah menerusi usaha menggesa pemilik kilang untuk menambahkan tenaga pengurusannya daripada kumpulan wanita dalam kilang masing-masing.
Memupuk dan memperkasakan usahawan wanita dalam industri mikro, kecil, sederhana dan perniagaan dalam talian.
Kesejahteraan generasi muda
Memperjuangkan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan industri setempat dan menerusi penyediaan pusat rekreasi seperti pembinaan stadium mini di sekitar Kawasan Perindustrian Seri Sulong.
Pembinaan Pusat Komuniti dan kawasan perumahan kos rendah bagi generasi muda dalam DUN Semerah yang baru mendirikan rumah tangga.
Kesejahteraan pasukan beruniform
Memperjuangkan pembinaan kompleks kuarters berkelompok bagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi berhampiran Kawasan Perindustrian Seri Sulong.
Keselamatan komuniti
Memperjuangkan keselamatan komuniti dalam DUN Semerah, terutamanya dalam usaha membantaras penagihan dadah dalam kalangan generasi muda.
Memperjuangkan penyelesaian segera untuk menghapuskan ancaman binatang liar seperti babi hutan, monyet dan anjing liar yang kini menggugat nyawa penduduk setempat serta merosakkan hasil pertanian mereka.
Memperjuangkan pembinaan sebuah balai bomba dan penyelamat di Kawasan Perindustrian Seri Sulong.
Memperjuangkan usaha mendidik pemilik kilang serta pekerja kilang di kawasan Perindustrian Seri Sulong terhadap keselamatan industri demi kesejahteraan para pekerja dalam DUN Semerah.
Memperjuangkan pelbagai skim untuk meningkatkan perpaduan kaum dan keharmonian agama dalam DUN Semerah.
ANGKATAN Bersatu Anak Muda (ARMADA) Johor mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan segera ke atas aduan berhubung kesalahan pilihan raya sehingga menyebabkan kerosakan pada beberapa poster milik Perikatan Nasional (PN) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketuanya, Mohd Shamsuddin Paijan berkata, kejadian merosakkan kanvas atau menumbangkan struktur poster kempen PN dikesan berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan DUN Buloh Kasap.
“Kami mahu supaya pendakwaan dan hukuman turut dilakukan segera dalam tempoh kempen PRN Johor sekarang supaya memberi iktibar kepada semua penyokong mahupun kepemimpinan parti lain.
“Berdasarkan laporan media setakat 1 Mac lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka tujuh kertas siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Pada masa sama, ARMADA Johor mencadangkan pihak PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanggil wakil parti yang terlibat dengan mana-mana kesalahan tersebut untuk tujuan kaunseling supaya mereka memainkan peranan atau menyumbang kepada usaha ke arah memahami dan mencapai aspirasi kempen politik lebih beretika serta berintegriti pada masa depan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, seiring komitmen kepemimpinan PN yang diterajui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan pembaharuan dan perubahan pada landskap politik negara, ARMADA Johor menyarankan semua pendokong serta kepemimpinan parti politik di negara ini harus berusaha membentuk persekitaran politik lebih bersih, matang, profesional, berintegriti serta beretika termasuk merangkumi proses kempen pilihan raya.
Mohd Shamsuddin memberitahu, dalam keghairahan semua parti untuk meraih sokongan dan seterusnya calon masing-masing mencapai kemenangan bagi kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Johor pada 12 Mac kelak, perkara asas yang amat penting untuk mempertahankan ketenteraman adalah sikap saling menghormati.
Beliau menjelaskan, saranan ARMADA itu berikutan kebimbangan kami terhadap keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh kempen PRN Johor ini apabila PDRM menyatakan pihaknya mengenal pasti lokaliti panas melibatkan 17 DUN dengan mengambil kira sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap serta pelbagai aktiviti jenayah lain.
“ARMADA Johor turut menyarankan PDRM mengadakan sidang akhbar harian berhubung tindakan-tindakan tegas yang dilakukan berkaitan kesalahan pilihan raya bagi mewujudkan suasana kempen yang lebih beretika serta aman.
“Pada masa sama, ARMADA Johor mengucapkan syabas kepada Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) selaku badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang ditauliahkan oleh SPR untuk menjadi pemerhati PRN Johor ini menerusi 13 wakilnya yang telah ditempatkan di negeri ini sehingga 12 Mac nanti.
“Semoga MCW memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan PRN Johor sifar rasuah dan salah guna kuasa serta tidak melanggar integriti sekali gus menyumbang kepada pembaharuan landskap politik negara ke arah yang lebih bersih,” jelasnya.
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil melihat perubahan yang luar biasa dari segi penerimaan pengundi khususnya kaum Cina terhadap wakil PAS.
Beliau yang bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya sejak 2004 sebelum ini mendapati agar sukar bagi kaum Cina memberi sokongan terhadapnya lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Namun kali ini, situasi agak berbeza apabila Khairul Faizi dan calon-calon PAS yang lain bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di bawah tiket PN.
Malah, berdasarkan pemerhatiannya semasa turun padang bertemu pengundi di sekitar kawasan DUN Senggarang semalam, sebahagian besar pengundi Cina berjanji akan menyokongnya kerana beliau ialah ‘orang Tan Sri Muhyiddin Yassin’.
“Bila turun tadi bila mereka lihat kepada profil calon, mereka lihat risalah-risalah yang kita edarkan, ada seorang uncle tanya, ‘You orang Tan Sri ah?’
“Saya kata ‘ya’. Saya orang Tan Sri Muhyiddin. Kalau you orang Tan Sri, kita akan support sama you dan PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.
Khairul Faizi dijangka mengatasi calon-calon lain yang turut bertanding di kerusi DUN Senggarang iaitu Mohd Yusla Ismail (BN-UMNO), Baharudin Bin Abdullah (Bebas), Abd Hamid Jamah (PH-Amanah) dan Zalihah Jaffar (Pejuang).
Khairuddin A Rahim yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 dengan majoriti 809 undi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dalam ucapannya berkata, ‘graf’ sokongan rakyat Johor terhadap PN telah naik.
“KIta berharap PN akan menumbangkan dan menafikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kita menang PRN Johor,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju dalam ucapannya menyifatkan UMNO seperti ‘Belanda diberi tanah’.
Beliau menjelaskan, walaupun Bersatu telah memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk kerajaan Pusat yang baharu, pemimpin-pemimpin masih tamak kuasa.
“Lepas jadi kerajaan, UMNO dan BN kini tak ingat janji siapa yang mengangkat mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan,” ujarnya.
NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penguatkuasaan lebih ketat semasa proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, ini termasuk mengeluarkan larangan membawa masuk telefon bimbit ke dalam pusat pengundian pada 12 Mac ini.
Astro Awani melaporkan, Mohd. Rafiq mencadangkan mekanisme itu dilaksanakan bagi mengelak senario ‘sogokan’ dengan cara mengambil gambar kertas undi seperti yang didakwanya berlaku pada PRN Melaka, November tahun lalu.
“Saya minta SPR untuk cari satu mekanisme kerana saya hendak beritahu secara terus terang, pada PRN Melaka lalu, sesiapa yang tunjuk kertas undi, dapat sejumlah wang daripada parti tertentu.
“Saya ada bukti rakaman video perbualan telefon antara jentera parti politik itu, meminta pengundi ambil gambar dan ditunjuk kepada jentera, supaya dapat dituntut wang RM200.
“Jadi, ini satu perkara yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya. Bukan sahaja pemberian wang itu melanggar Akta SPR, tetapi tindakan mengambil gambar kertas undi itu juga menjadi satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM juga perlu masuk campur dan memantau perjalanan proses pengundian PRN Johor.
“Saya mohon sokongan daripada semua pemimpin politik supaya menjaga kerahsiaan.
“Kalau SPR tak mampu tempatkan petugas untuk pantau proses pengundian supaya tidak ada tindakan mengambil gambar undi itu, ketatkan prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak perlu bawa telefon pintar di tempat pembuangan undi.
“Saya mohon SPRM juga untuk memantau dengan lebih ketat proses-proses pembelian undi ini menjelang PRN Johor, yang saya yakin ia akan semakin rancak, untuk merasuah para pengundi,” katanya.
BERANIKAH Barisan Nasional (BN) dan UMNO meletakkan poster Pengerusi dan Presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor?
Cabaran itu diutarakan oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.
“Hei UMNO! Kita tak halanglah kamu letak poster Zahid Hamidi tepi jalan tu. Letaklah. Berani?” soalnya.
BN dan UMNO mungkin terpaksa berfikir berjuta kali untuk menyahut cabaran itu memandangkan Ahmad Zahid sedang berdepan 87 pertuduhan berkaitan kes rasuah di mahkamah.
Seperti yang didakwa oleh Wan Ahmad Fayhsal, UMNO kini tidak berani menegur pimpinannya yang melakukan kesalahan.
Walau bagaimanapun, situasi adalah berbeza ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu di mana beliau berani ‘berkata benar meskipun pahit’.
Muhyiddin juga tidak gentar dengan tekanan yang dihadapi sehingga akhirnya beliau dipecat dari UMNO kerana lantang bersuara menegur Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Pimpinan-pimpinan UMNO dan BN, saya cukup pelik. Dulu masa Tan Sri dalam UMNO, apa dia buat? Apakah mereka mempertahankan Tan Sri?
“UMNO dan pimpinannya tidak berani menegur orang yang salah kecuali orang seperti Tan Sri. Kerana apa?
“Kerana mereka sudah biasa dengan kepimpinan yang membodek. Ini benih-benih kehancuran orang Melayu,” jelasnya.
Tambah beliau, keputusan mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam kes membabitkan SRC International membuktikan Muhyiddin berada di pihak yang benar.
“UMNO yang salah kerana bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin yang rosak dan mengajar anak-anak kita bahawa rasuah itu tidak apa,” ujarnya.
Wan Ahmad Fayhsal percaya anak muda zaman sekarang tidak terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu kerana mereka lebih bijak menilai dan membuat pilihan.
NAIB Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melepaskan geram terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang digelarnya sebagai ‘musibat’ kerana menjadi dalang yang mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Beliau kesal kerana rakyat di kedua-dua negeri terbabit diheret dalam kancah politik tidak berkesudahan akibat sikap rakus kuasa UMNO dan BN.
“Musibat mana yang meruntuhkan kerajaan negeri Melaka, bagitahu saya? Orang UMNO, yang jatuhkan kerajaan di Melaka, siapa?
“Dalam pandemik, dalam kepayahan ekonomi, dalam kepayahan kita nak cari sesuap rezeki, orang dibuang kerja, nah dia buat perangai sekali lagi di bumi Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) mengecam kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO kerana gagal memberi sumbangan signifikan selepas menang PRN Melaka.
Justeru, beliau menasihatkan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar tidak mengulangi kesilapan sama memberikan UMNO kuasa seperti mana yang berlaku pada PRN Melaka pada 20 November lalu.
Beliau juga berkata, tindakan UMNO yang mendesak pilihan raya diadakan di kedua-dua negeri bukan sahaja telah menyusahkan rakyat tetapi juga telah menaburkan pelbagai janji manis kepada pengundi, namun apabila telah mendapat kuasa melupakannya.
“Selepas 100 hari memerintah Melaka dan menaburkan pelbagai janji manis kepada rakyat negeri itu apa sumbangan yang telah UMNO berikan?
“Satu-satunya kejayaan UMNO dalam memerintah Melaka selama 100 hari selapas PRN ialah menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka,” jelasnya.
Jelas beliau, UMNO amat berbeza dengan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin yang setakat ini belum lagi pernah memungkiri janji-janji yang telah diberikan baik ketika pilihanraya mahupun di luarnya.
Menurut Mas Ermieyanti, semua janji yang ditunaikan telah terbukti dengan perlaksanaan dan faedahnya yang dapat dinikmati rakyat selama ini baik ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan selepas itu.
Jelas beliau, kesemua itu membuktikan bahawa berbanding UMNO dan BN, pilihan yang terbaik untuk mentadbir Johor adalah PN.
KURANG seminggu lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berlangsung dan calon-calon Perikatan Nasional (PN) menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada Bangsa Johor.
Perkembangan yang luar biasa itu menyaksikan kebangkitan Bangsa Johor yang inginkan perubahan dan bebas daripada cengkaman UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Mereka juga tidak mahu kembali mengalami igauan ngeri hidup menderita di bawah kekuasaan rejim Pakatan Harapan (PH).
Namun, pihak lawan dipercayai cuba menggunakan taktik kotor bagi mensabotaj kempen yang dianjurkan PN di Johor.
Seperti yang didedahkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam Majlis Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks PAS Batu Pahat, malam tadi, pihak lawan tergamak menggunakan beberapa individu untuk menyamar sebagai ‘penguat kuasa Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR)’.
Beliau berkata, insiden memalukan itu berlaku pada program anjuran PN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani malam kelmarin.
“Saya duk mempengerusi majlis kat atas. Ada pulak dua tiga orang perasan kenapa saya duk pandang kiri dan kanan.
“Saya duk nampak kat belakang tu ada dua tiga orang masuk. Dan apabila dua tiga orang masuk ni dia macam duk tercari-cari sana sini, macam nak buat kacau sikit.
“Tapi pakai baju penguat kuasa. Dan apabila saya duk nampak kat belakang tu saya bagitau tengok apa tengah jadi tu.
“Rupa-rupanya ada dua orang datang dan mengatakan mereka mewakili SPR, mengarahkan supaya program kita dihentikan serta-merta.
“Bila diperiksa betul-betul oleh pegawai-pegawai kita, pembantu-pembantu, petugas-petugas kita, rupa-rupanya yang datang tu dah la berjanggut berjambang rambut panjang tapi kad kuasanya namanya ‘Halina’.
“Nama ayu, gambarnya putih melepak tapi datang lelaki, kad kuasa perempuan,” katanya dengan disambut gelak ketawa daripada hadirin.
Sehubungan itu, Wan Saiful mengingatkan pihak lawan agar ‘menyambung wayar otak’ mereka betul-betul kalau ingin mensabotaj program kempen PN.
“Jangan datang sini, datang program kita dengan niat tak baik. Bukan sekali, berkali-kali sebelum ini pun ada lagi,”
Beliau turut menerima laporan dan gambar-gambar daripada Bilik Gerakan Utama PN tentang insiden tersebut.
Antara kegiatan sabotaj yang dilakukan termasuk menjatuhkan dan mengoyakkan poster PN serta menampal kain putih dengan tulisan ‘Rakyat Johot tolak PN’ pada kain rentang PN.
“Ini adalah kerja-kerja yang umurnya puluhan tahun. Bagi saya, ini menunjukkan bahawa di sebelah sana sedang bimbang dengan kebangkitan rakyat Johor,” jelasnya.