SEORANG warga emas yang juga petugas kempen Perikatan Nasional (PN) diserang beberapa individu ketika memasang bendera partinya di Kampung Tebing Runtuh, Gelah Patah, petang semalam.

Mangsa, Sujali Ahmad mendakwa, lapan individu yang dikaitkan dengan parti lawan melarangnya memasang bendera PN di kampung tersebut.

Dia yang juga dikenali sebagai Pak Ali Teksi mendakwa, tiga daripada individu terbabit memukul tangan, mencekik leher dan merosakkan kenderaannya.

“Saya telah didatangi tiga orang, kemudian disusuli lima orang. Sepanjang provokasi, saya telah dikasari tiga orang yang memukul dan memaki hamun serta mengugut saya dengan kata-kata kesat.

“Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan di bahagian dada dan kedua belah tangan serta kereta saya dirosakkan,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama Senai, selepas membuat laporan di Balai Polis Iskandar Puteri 10 pagi tadi.

Video memaparkan beberapa individu bertengkar itu tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang.

Sujali menambah, jenteranya dilarang memasang bendera di kawasan itu oleh lapan individu terbabit kerana mendakwa PN bukan parti yang mereka sokong.

“Mereka tak bagi masuk sebab bendera parti kami nak pasang bukan daripada parti dia dengan mendakwa jalan tersebut jalan mereka, sedangkan kami pasang bendera di jalan utama. Kejadian itu tak sepatutnya berlaku, ini pilihan raya, semua bebas berkempen dan pasang bendera,” jelasnya.

Namun, insiden tersebut tidak mematahkan semangat warga emas berkenaan yang bertekad untuk meneruskan kempen bagi memastikan kemenangan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, kejadian yang disifatkannya biadab, ‘gengster’ dan tidak menghormati prinsip demokrasi itu tidak sepatutnya berlaku.

“Insiden tersebut amat membimbangkan kerana ia juga melibatkan nyawa dan keselamatan petugas PN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here