Tag: Pejuang

  • Pemimpin AMK perlekeh Pejuang parti yang sangat lemah

    Pemimpin AMK perlekeh Pejuang parti yang sangat lemah

    SEORANG pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) memperlekehkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai parti yang sangat lemah.

    Memetik laporan Malaysiakini, Naib Ketua AMK Cabang Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman turut menganggap Pejuang belum berupaya membuktikan sebarang pencapaian politik setakat ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai kepimpinan parti lain.

    “Mukhriz sendiri ditolak dan dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali dan ini adalah cerminan kegagalan dan ketidakupayaan beliau untuk memimpin.

    “Sebagai seorang pemimpin yang sangat lemah dan gagal, beliau tidak layak langsung berbicara soal kepimpinan parti lain.

    “Saya optimis parti Pejuang tidak akan punya masa depan yang gemilang jika Mukhriz terus menerajui parti tersebut,” katanya.

    Kenyataan itu dibuat susulan temu bual Mukhriz bersama stesen radio BFM semalam yang mengatakan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi calon untuk menjadi Perdana Menteri memandangkan masa presiden PKR itu sudah berlalu.

    Mukhriz berkata demikian ketika ditanya jika dirinya mempunyai ‘sebarang isu’ dengan Anwar sebagai calon Perdana Menteri selepas beliau berkata bahawa Pejuang tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH.

    Syed Badli turut menyifatkan dakwaan Mukhriz bahawa kononnya PH memerlukan kumpulan bhaaru untuk mengambil alih pucuk pimpinan sebagai dangkal sekali.

    Selain Syed Badli, beberapa pemimpin PKR lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan itu semalam.

    Antara mereka, termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membalas kenyataan Mukhriz dengan membandingkan pimpinan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu bersama kerajaan PH, yang mengecewakan banyak pihak kerana memungkiri janji dengan enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar.

    Sementara itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan pula mempertahankan kenyataan Mukhriz dengan mengatakan bahawa pembangkang harus menerima teguran ikhlas Mukhriz itu dengan hati yang terbuka demi meneruskan kelangsungan politik pembangkang.

    “Seandainya pemimpin-pemimpin pembangkang mahu terus relevan serta diterima oleh rakyat jelata, Anwar harus digantikan dengan muka baharu untuk memimpin gagasan pembangkang.

    “Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak merupakan signal jelas para pengundi sedang menolak kepimpinan Anwar yang dianggap lapuk serta ketinggalan zaman.

    “Politik ‘baling batu sorok tangan,’ ‘tikam belakang,’ ‘pecah dan perintah’ serta agenda kepentingan peribadi Anwar yang hanya mahu jadi perdana menteri Malaysia sudah tidak boleh diterima lagi di alaf moden ini,” jelasnya.

  • Pejuang tidak letak calon pada PRN Sarawak

    Pejuang tidak letak calon pada PRN Sarawak

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau berkata, Pejuang juga tidak akan menyokong mana-mana pihak yang bertanding dalam PRN itu.

    “Kita akan bertanding hanya dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Kita tak terlibat (PRN Sarawak),” katanya kepada media selepas melancarkan buku ‘Speaking of Mass Destruction … A Journey To Iraq As Seen By Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali’, di sini hari ini.

    Buku itu mencatatkan perjalanan Dr Siti Hasmah ke Iraq pada tahun 2000 ketika negara itu berada di bawah sekatan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis.

    Dr Siti Hasmah dalam sidang media itu berkata buku tersebut adalah berdasarkan pengalaman tiga hari beliau di negara yang dilanda peperangan itu, pada ketika orang luar sukar untuk memasuki negara tersebut.

    “Saya telah diminta oleh suami saya (Dr Mahathir), yang merupakan perdana menteri ketika itu, untuk melawat Iraq bagi pihaknya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai situasi di negara tersebut.

    “Oleh kerana ia diminta oleh beliau, saya tidak rasa risau atau takut untuk ke sana. Dalam buku ini, anda akan belajar mengenai bagaimana negara itu alami kerosakan yang juga telah menjejaskan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

    Buku Mewah 170 muka surat, ditulis dalam bahasa Inggeris dan memaparkan pelbagai gambar keperitan orang ramai yang Dr Siti Hasmah dan delegasi seramai 10 orang wani daripada pelbagai organisasi bukan kerajaan bertemu, boleh dibeli menerusi Instagram aliandalimedialinks pada harga RM120.

    Hasil daripada jualan buku itu akan disumbangkan kepada organisasi yang menguruskan kanak-kanak di negara bergolak. – BERNAMA

  • Tarik balik, sekat pasport Rosmah Mansor – Pejuang

    Tarik balik, sekat pasport Rosmah Mansor – Pejuang

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa pasport Datin Seri Rosmah Mansor ditarik balik dan disekat kerana tidak hadir ke mahkamah hari ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, desakan itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin.

    “Jangan beri ruang untuk beliau ulangi kegagalan ini dan bertindak seolah olah beliau kebal dari tindakan undang-undang,” katanya.

    Mahkamah Rayuan memerintahkan Rosmah hadir ke mahkamah pada Isnin lalu untuk pendengaran rayuan bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama kes.

    Ini berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai Hanipah Farikullah untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap Rosmah, perayu dalam permohonan itu.

    Hakim mengambil maklum penjelasan peguam perayu, khususnya mengenai kesilapan peguam menasihati perayu hadir ke mahkamah.

    Mahkamah juga mengambil maklum hujahan peguam perayu bahawa setakat ini perayu tidak pernah tidak hadir dalam prosiding Mahkamah Tinggi.

    Pada 15 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa bersalin.

    Hakim menetapkan Rosmah mesti kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 Nov dan pasport mesti diserahkan balik kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Dis 2021.

    Peguam berkata, terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya selepas mengambil kira Laluan Perjalanan Lengkap Vaksini (VTL) yang baru diperkenalkan.

    Dalam kenyataan hari ini, Ulya juga berkata kegalan Rosmah hadir ke prosiding tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati sistem undang-undang negara.

    “Jelas bahawa Rosmah Mansor tidak menghormati undangpundang dan tidak sepatutnya diberi sebarang kelebihan.

    “Cukuplah peluang yang diberi disalah guna dan diambil kesempatan,” katanya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

  • Pejuang tidak bertanding dalam PRN Melaka – Tun M

    Pejuang tidak bertanding dalam PRN Melaka – Tun M

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 Nov ini.

    Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu beranggapan PRN berkenaan cuma mainan politik pihak tertentu selain keadaan semasa negara yang masih berdepan COVID-19 bukan masa terbaik mengadakan pilihan raya.

    “Kita sedar dengan COVID-19 dan melalui pengalaman kita apabila diadakan PRN di Sabah, selepas itu bilangan kes meningkat akhirnya sampai 25,000. Sekarang ini baru turun sikit tetapi kalau kita ada pilihan raya ini kita khuatir akan ada sekali lagi satu pandemik yang besar berpunca daripada pilihan raya di Melaka.

    “Jadi pilihan raya ini tidak patut diadakan sama sekali dan kejatuhan kerajaan di Melaka juga tidak patut diusahakan. Ini seolah-olah mereka anggap Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah hak mereka untuk membuat apa sahaja yang mereka suka sebaliknya kita adakan DUN untuk tangani masalah dalam negeri,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan kepimpinan Pejuang.

    Dr Mahathir berkata, meskipun tindakan menarik diri atau melompat parti di kalangan ADUN tidak menjadi kesalahan di negara ini kerana tiada undang-undang yang boleh menghalang aktiviti seperti itu, namun ia membabitkan soal moral.

    “Mereka harus ingat, mereka dipilih oleh rakyat dan sebab itu mereka patut akur kepada segala janji mereka kepada rakyat. Sebaliknya mereka bukan fikir tentang pilihan oleh rakyat, mereka lebih utamakan kepentingan diri mereka,” katanya.

    Beliau berkata, negara akan hancur sekiranya terdapat pihak yang dengan sewenangnya menjatuh dan kemudian mendirikan kerajaan.

    “Sebab itu Pejuang tidak ingin terlibat dengan gejala seperti ini. Kita tidak akan ambil bahagian dan kita percaya siapa juga yang dipilih untuk mendiri kerajaan, keadaannya sama tak ada perubahan,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.

    PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • Sudikah Pejuang, Warisan masuk khemah besar PH?

    Sudikah Pejuang, Warisan masuk khemah besar PH?

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti dalam blok pembangkang dalam masa terdekat.

    Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh Anwar serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu hari ini menjelaskan bahawa pertemuan itu bertujuan menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan PH.

    “Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan PH di Port Dickson pada bulan April yang menyatakan keterbukaan PH berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘Khemah Besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen.

    “Pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September,” kata mereka.

    Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada parti-parti pembangkang yang di luar kerangka rasmi PH bersetuju untuk bernaung di bawah Anwar dalam khemah besar yang ingin didirikan.

    Bukan rahsia lagi bahawa Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad kurang berkenan untuk berada di bawah telunjuk Anwar.

    Begitu juga dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hubungannya dengan Anwar pernah menjadi dingin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabah tahun lalu.

    Sekiranya mereka boleh menerima kepimpinan Anwar, sudah lama Pejuang dan Warisan menyertai gabungan PH.

    Namun, sehingga kini, perkara itu masih belum berlaku dan ikatan kerjasama antara PH serta Pejuang dan Warisan masih longgar.

    Pendirian pucuk pimpinan Pejuang dan Warisan terhadap keanggotaan dalam PH mungkin berubah sekiranya gabungan pembangkang itu tidak lagi diterajui oleh Anwar.

    Memandangkan Guan Eng dan Mat Sabu tidak mempunyai karisma yang mencukupi untuk menjadi ketua khemah pembangkang, pilihan yang tinggal hanyalah Dr Mahathir dan Mohd Shafie.

    Dr Mahathir telah membuktikan keupayaannya menerajui PH dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan begitu juga dengan Mohd Shafie yang berjaya merampas Sabah.

    Setakat ini, Anwar masih belum menunjukkan prestasi yang sama walaupun pernah beberapa kali mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi sejak 2008 sehingga baru-baru ini.

    Maka, tidak hairanlah pemimpin-pemimpin muda dalam PH menggesa agar diwujudkan semula PH Plus bagi menarik minat parti-parti pembangkang yang lain bersama mereka.

    Mungkin mereka juga kurang yakin dengan kewibawaan pucuk pimpinan PH untuk menarik minat sekutu-sekutu pembangkang untuk masuk ke dalam khemah besar secara rasmi.