PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa pasport Datin Seri Rosmah Mansor ditarik balik dan disekat kerana tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Memetik laporan Malaysiakini, desakan itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin.

“Jangan beri ruang untuk beliau ulangi kegagalan ini dan bertindak seolah olah beliau kebal dari tindakan undang-undang,” katanya.

Mahkamah Rayuan memerintahkan Rosmah hadir ke mahkamah pada Isnin lalu untuk pendengaran rayuan bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama kes.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai Hanipah Farikullah untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap Rosmah, perayu dalam permohonan itu.

Hakim mengambil maklum penjelasan peguam perayu, khususnya mengenai kesilapan peguam menasihati perayu hadir ke mahkamah.

Mahkamah juga mengambil maklum hujahan peguam perayu bahawa setakat ini perayu tidak pernah tidak hadir dalam prosiding Mahkamah Tinggi.

Pada 15 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa bersalin.

Hakim menetapkan Rosmah mesti kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 Nov dan pasport mesti diserahkan balik kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Dis 2021.

Peguam berkata, terdapat perubahan dalam rancangan perjalanan anak guamnya selepas mengambil kira Laluan Perjalanan Lengkap Vaksini (VTL) yang baru diperkenalkan.

Dalam kenyataan hari ini, Ulya juga berkata kegalan Rosmah hadir ke prosiding tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati sistem undang-undang negara.

“Jelas bahawa Rosmah Mansor tidak menghormati undangpundang dan tidak sepatutnya diberi sebarang kelebihan.

“Cukuplah peluang yang diberi disalah guna dan diambil kesempatan,” katanya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here