Tag: PDRM

  • 3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    POLIS Melaka menahan empat lelaki berusia antara 32 dan 42 tahun dipercayai terbabit dalam tiga kes samun bersenjatakan parang di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam di sini pada 9 hingga 15 Jan lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di sekitar Bukit Beruang dan Bukit Katil pada Selasa lepas.

    “Semasa tangkapan dilakukan, seorang suspek telah melarikan diri ke atas bumbung bangunan rumah pangsa empat tingkat namun berjaya ditahan.

    “Polis terpaksa meminta bantuan Bomba Ayer Keroh bagi menangkap lelaki tersebut yang bersembunyi di dalam tangki air di atas bumbung bangunan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kumpulan samun bersenjata itu terdiri daripada orang tempatan dan warga asing membabitkan kerugian wang tunai, telefon bimbit serta dokumen penting.

    Menurutnya, turut dirampas dua kenderaan, dua parang dan empat telefon bimbit dipercayai digunakan bagi kegiatan samun bersenjata itu.

    Christopher berkata, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 394, Seksyen 395/397 serta Seksyen 393 Kanun Keseksaan

    “Polis percaya dengan tumpasnya kumpulan samun bersenjatakan parang ini, tiga kes samun di daerah Melaka Tengah yang berlaku sejak awal Januari lepas berjaya diselesaikan.

    “Kami juga ingin mengingatkan bahawa sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya. – BERNAMA

  • Pengantin baharu maut motosikal dirempuh kereta

    Pengantin baharu maut motosikal dirempuh kereta

    MALANG tidak berbau bagi seorang pengantin baharu yang hanya sempat menikmati alam rumah tangga dalam masa beberapa minggu sahaja sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya malam tadi.

    Memetik laporan Sinar Harian, Anwarie Azim Rozi, 23, maut dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 196.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira pukul 8.15 malam.

    Pengantin baharu itu yang menunggang motosikal Yamaha Y15Z dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka dari tempat kerja di Seremban.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Arshad Abu berkata, setiba di lokasi kejadian sebuah kereta Proton Persona dipandu lelaki berusia 47 tahun dari arah sama dipercayai telah hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa.

    “Akibat rempuhan itu mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya.

    Beliau menambah, pemandu kereta terbabit diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kehilangan budak perempuan Orang Asli masih misteri

    Kehilangan budak perempuan Orang Asli masih misteri

    KEHILANGAN kanak-kanak perempuan Orang Asli dalam hutan di Kampung Selaur berhampiran Kampung Padang Jeri di Gerik masih menjadi misteri apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukannya walaupun sudah memasuki hari keenam hari ini.

    Kamaliah Anab, 10, yang berambut keriting dan tinggal di Hutan Temenggor Kampung Selaur kali terakhir dilihat memakai baju kuning dan berseluar biru.

    Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Kamaliah pada kira-kira 10 pagi Jumaat lepas iaitu sehari selepas dia keluar mencari sumber makanan dan hasil hutan seperti rotan bersama keluarga dan rakan sebayanya.

    “Mangsa (Kamaliah) disedari hilang selepas keluarganya pulang ke rumah. Pada hari kejadian, orang kampung ada mencari mangsa di kawasan sekitar berdekatan Hutan Temenggor namun gagal menjumpainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak Sapura telah memulakan pencarian selepas menerima laporan namun belum memperoleh sebarang petunjuk.

    “Pasukan SAR turut dipergiat dengan penglibatan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM,” katanya.

    Sementara itu, Jurucakap JBPM Perak berkata operasi pencarian yang diketuai pihak polis diteruskan pada 8.40 pagi tadi dalam jarak lapan kilometer.

    “Operasi hari ini dijalankan dengan bantuan unit dron dari agensi luar bagi memudahkan pencarian di udara,” katanya. – BERNAMA

  • Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    Wanita dakwa diganggu seksual oleh ADUN Johor

    POLIS menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi tadi.

    “Ya, ada terima. Kes berkenaan sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum meneliti laporan itu.

    Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.

    Mangsa, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit. – BERNAMA

  • Scam teka bola: Kerani wanita rugi RM132,000

    Scam teka bola: Kerani wanita rugi RM132,000

    SEORANG kerani di sebuah syarikat swasta kerugian RM132,000 selepas terpedaya mendapat pulangan keuntungan mengikut kadar dijanjikan dalam pertandingan teka bola sepak secara dalam talian, Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu wanita berumur 53 tahun telah terpengaruh menyertai pertandingan berkenaan menerusi aplikasi yang diperkenalkan oleh rakannya semasa berada di rumah di Jalan Tampin, Bahau, di Jempol.

    Tertarik dengan tawaran keuntungan dua peratus mengikut modal yang dimasukkan bagi setiap teka perlawanan bola sepak itu, wanita itu membuka lima akaun berasingan menerusi aplikasi tersebut untuk menyertai pertandingan itu.

    “Wanita itu membuat bayaran sebanyak enam kali transaksi pada hari sama ke sebuah akaun bank tempatan melibatkan jumlah RM132,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Bagaimanapun beliau berkata, semalam, wanita itu cuba untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh dengan menggunakan aplikasi tersebut namun akaun tersebut tidak dapat berfungsi selain mendapati baki modal pada akaunnya telah tiada.

    Katanya mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai orang dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

  • Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    Motosikal bertembung: Pelajar tahfiz, mekanik maut

    SEORANG pelajar tahfiz meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal yang dibawa oleh seorang mekanik di Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

    Pelajar tahfiz berkenaan, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 17, dan Mohd Aizat Abdul Ghani, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

    Memetik laporan BH hari ini, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Mohd Aizat yang menunggang dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu, manakala Muhammad Amirul dari arah bertentangan.

    “Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah laluan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar ketika itu, terjatuh di tengah jalan dan cedera parah di kepala.

    “Mohd Aizat yang tinggal di Kampung Kedondong Kubang Gadong, Pasir Mas dan Muhammad Amirul beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Kemalangan dipercayai akibat daripada kecuaian kedua-dua penunggang yang menunggang dalam keadaan laju di lokasi yang gelap dan jalan lurus,” katanya.

    Beliau menambah, kedua-dua motosikal remuk di bahagian hadapan dan kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

    Siasatan terhadap kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    Akibat selisih faham sesama keluarga, tiga rumah terbakar

    AKIBAT perselisihan faham dalam keluarga, seorang lelaki yang disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya hingga mengakibatkan dua lagi unit perumahan awam di Setapak Jaya dekat sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kebakaran tersebut pada kira-kira 4.30 petang.

    “Kita menerima maklumat awal berlaku pergaduhan keluarga di lokasi kejadian sehingga menyebabkan suspek disyaki membakar rumahnya sendiri sebelum api merebak ke dua unit rumah lain.

    “Suspek yang negatif ujian saringan air kencing itu dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama.

    Ashari berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun insiden tersebut telah mengakibatkan tiga unit rumah tersebut musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

    Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata seramai 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Keramat, Setapak dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran.

    “Kebakaran berlaku di tingkat empat rumah pangsa itu dan api berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    Lelaki tetak bekas bapa mentua dengan parang

    SEORANG lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya menggunakan sebilah parang di sebuah kedai makan di Pandan Jaya di Kuala Lumpur semalam selepas didesak supaya membayar ganti rugi.

    Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan mangsa, yang juga seorang warga asing berusia 51 tahun, mengalami luka di belakang kepala, pipi sebelah kiri dan bahagian lengan kiri.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga tempatan membawa sebilah parang dan menetak mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

    “Punca kejadian disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi seperti yang dijanjikan oleh suspek kepada mangsa namun akibat desakan itu, suspek bertindak menetak mangsa.

    “Susulan kejadian itu, mangsa kini berada di Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang tidak bekerja untuk membantu siasatan. – BERNAMA

  • 78 kg ganja bernilai RM194,000 dirampas dalam 2 serbuan

    78 kg ganja bernilai RM194,000 dirampas dalam 2 serbuan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS merampas hampir 78 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai lebih RM194,000 serta menahan empat lelaki dalam serbuan terhadap dua kenderaan di Kodiang, Kubang Pasu pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tangkapan pertama dibuat di sebuah stesen minyak di Jalan Kodiang membabitkan dua lelaki berusia 54 dan 60 tahun kira-kira jam 6 pagi hasil serbuan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

    “Polis kemudiannya memeriksa dua buah kenderaan iaitu Toyota Previa dan Mitsubishi Triton yang terletak di kawasan berhampiran.

    “Pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira 76 kg ganja berada dalam Toyota Previa manakala kira-kira dua kilogram lagi berada dalam Mitsubishi Triton,” katanya pada sidang media,di IPK di Alor Setar hari ini.

    Kesemua dadah itu dipercayai boleh digunakan oleh lebih 300,00 penagih dadah sekiranya terlepas ke pasaran.

    Wan Hassan berkata susulan daripada penahanan dua suspek terbabit, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 39 tahun di lokasi berasingan di Kuala Lumpur iaitu di Bangsar dan Sri Hartamas pada hari sama.

    Katanya, daripada kesemua suspek hanya seorang saja yang tidak memiliki rekod lampau iaitu penghantar surat berusia 39 tahun.

    “Hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

    Katanya, dalam serbuan kedua itu, pihaknya turut menyita dua kenderaan, dua jam tangan berjenama, dua motosikal, wang dalam akaun bernilai RM3,333 dan barangan kemas bernilai RM5,603.23.

    “Mereka dipercayai telah bergerak aktif dalam kegiatan ini sejak enam bulan lalu. Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    “Bagaimanapun siasatan sudah dijalankan. Jika benar majikan bersikap kejam dengan menindas pekerja, mereka akan diheret ke mahkamah,” katanya.

  • Long Tiger dituduh di mahkamah 19 Januari

    Long Tiger dituduh di mahkamah 19 Januari

    LELAKI berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang ditahan semula selepas melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, akan dituduh pada 19 Jan ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata Abdul Hamim Ab Hamid, 32, akan dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan, selepas tamat menjalani reman.

    “Ya, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Tangkak pada 19 Jan. Pertuduhan ini kerana melarikan diri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, di Johor Bahru hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah Long Tiger akan dituduh selepas menjalani reman bermula 5 Jan lepas dan berakhir pada 18 Jan ini, di Penjara Sungai Udang, Melaka.

    Pada 15 Dis lepas, Abdul Hamim meloloskan diri menerusi pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan bermula pada pukul 11.55 pagi, namun dia berjaya ditahan semula di Kedah pada 28 Dis.

    Semasa kejadian itu, Abdul Hamim menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    Sementara itu, ketika diminta pandangan mengenai ramai pihak yang tampil membantu kes remaja curi tabung masjid di Kuang, Rawang pada 8 Jan lepas, beliau berkata pihak polis menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula hukuman terhadap remaja berusia 19 tahun itu.

    “Buat masa ini tidak ada apa-apa komen, apa pun siasatan kita telah selesai dan remaja ini telah dituduh sebab mencuri wang tabung masjid. Kita tinggalkan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan,” katanya.

    Mahkamah Tinggi Shah Alam dijangka menjalankan pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang terhadap remaja itu, esok. – BERNAMA