Oleh RIZQI ZABIDI

TINDAKAN menggugurkan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat diyakini tidak akan membawa perpecahan kepada parti tersebut termasuk dalam kalangan akar umbi.

AJK PAS Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, perkara itu merupakan sesuatu yang biasa dalam sesebuah organisasi atau parti dengan beliau sendiri turut pernah digugurkan sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kedah sebelum ini.

Akuinya, beliau merupakan antara individu yang hadir dalam mesyuarat bagi membincangkan pengguguran Mohd. Khairuddin itu dan keputusan tersebut buat secara konsensus.

“Saya pun ada dalam mesyuarat itu dengan semua pihak setuju serta akur. Ini perkara biasa kerana saya dulu pun digugurkan juga sebagai Setiausaha Pemuda PAS Kedah dan perkara itu saya ambil sebagai pengajaran hingga dapat meningkat menjadi AJK PAS Pusat, Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri.

“Macam saya katakan tadi, itu perkara biasa dalam organisasi. Kita mengambil keputusan secara konsensus dalam segala hal dan insya Allah takkan berlaku perpecahan dalaman hingga jadi dua, tiga puak,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan, Hussain Mohamad Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari, Pendang hari ini.

Hussain merupakan penuntut di sebuah universiti di Kaherah, Mesir. Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan secara sambilan sewaktu bercuti terlibat dalam kemalangan pada Jun lalu ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan hingga menyebabkan tulang pinggul dan paha kirinya patah.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kelmarin mengesahkan bahawa Mohd Khairuddin yang baru dilantik ke jawatan itu kurang dua bulan lalu, digugurkan daripada jawatan tersebut.

Keputusan mengenai pengguguran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu dibuat menerusi mesyuarat diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu Awang berkata, kementeriannya baru-baru ini turut menerima aduan daripada mangsa banjir di Selangor yang mendakwa mereka dianiaya kerana dibuang kerja setelah tidak hadir bertugas akibat banjir.

“Tindakan telah diambil sebaik kita menerima aduan tersebut menerusi aplikasi ‘Working For Workers’. Namun setakat ini saya tiada angka yang tepat mengenai jumlah aduan diterima.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here