Oleh RIZQI ZABIDI

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 103 bungkusan plastik hitam yang mengandungi lebih setan daun ketum ke negara jiran di perairan Kuala Kedah, hari ini.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, aktiviti itu dibanteras selepas pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor sedang menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan pada 6.45 pagi.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui bungkusan plastik warna hitam disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat 1.03 tan yang disorokkan di dalam bahagian bot yang sudah diubah suai.

“Kesemua bungkusan hitam daun ketum, bot serta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400, dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Noor Azreyanti berkata, pada kira-kira jam 6.20 pagi, empat nelayan bot kelas C ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

“Bot tempatan itu ditahan di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah. Semasa ditahan mereka enggan bekerjasama dan bertindak memotong pukat dengan tujuan melupuskan bahan bukti.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama seorang kru warga tempatan dan dua kru lagi disyaki warga Thailand yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memukat ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai.

“Kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon APMM Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here