Tag: PDRM

  • Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    Padah lawan arus, penunggang motosikal parah langgar kereta

    PERBUATAN seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus membawa padah apabila dia cedera parah selepas terlibat kemalangan dengan dua kereta pagi tadi.

    Memetik laporan FMT, kejadian tersebut berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan menghala ke Gombak.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, sebuah Proton Saga dan sebuah motosikal Honda Wave.

    “Hasil siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dipercayai ditunggang secara melawan arus di lorong tengah MRR2 dan berlanggar dengan Proton Saga yang berada di lorong tengah.

    “Kejadian mengakibatkan Perodua Bezza yang berada di belakang tidak sempat brek dan melanggar belakang Proton Saga,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau memberitahu, akibat kemalangan itu penunggang motosikal yang berusia 22 tahun parah di muka serta kaki dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Ampang.

    Tambahnya, pemandu kedua-dua kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Nenek 74 tahun rugi RM52,300 gara-gara Love Scam

    Nenek 74 tahun rugi RM52,300 gara-gara Love Scam

    SEORANG wanita warga emas kerugian RM52,300 apabila wang simpanannya lesap gara-gara terperangkap dalam jerat cinta satu sindiket Love Scam.

    Wanita berusia 74 tahun itu yang juga seorang pesara dikatakan terpedaya dengan sindiket Love Scam tersebut selepas berkenalan dengan lelaki dikenali Nelson Michael melalui Facebook pada 18 Disember tahun lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, sepanjang perkenalan mangsa tidak pernah berjumpa dengan
    suspek yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat dan dikatakan bekerja dalam bidang cari gali minyak di Miri, Sarawak.

    Menurut beliau, selepas sebulan perkenalan berlangsung, suspek mahu meminjam wang daripada mangsa disamping melahirkan keinginannya untuk berkahwin dengan mangsa sekiranya permintaan dipenuhi.

    Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini Mohd Wazir memberitahu, ekoran itu mangsa telah melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek sehingga 31 Januari lalu berjumlah RM52,300.

    Katanya, selepas melakukan pemindahan wang, suspek tidak lagi menghubungi mangsa sehingga ke hari ini.

    “Ekoran itu, mangsa merasakan dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Khamis.

    “Modus operandi suspek ialah berkenalan dan menjalin hubungan dengan mangsa melalui Facebook bagi memperdaya mangsa agar memasukkan duit ke dalam akaun diberikan,” ujarnya.

    Selain itu jelas beliau, suspek turut menggunakan kata-kata manis termasuk akan mengahwini mangsa semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

    Ujarnya, polis telah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

  • Komando UTK digerak tangani ancaman Abu Sayyaf

    Komando UTK digerak tangani ancaman Abu Sayyaf

    TAHAP keselamatan di pantai timur Sabah akan dipertingkatkan termasuk menggerakkan satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuk di sempadan Sabah-Kalimantan.

    “Walaupun lebih dua tahun tidak berlakunya kes-kes penculikan khususnya di pantai timur Sabah tetapi kawalan keselamatan tetap dilaksanakan.

    “Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan dan pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM),” katanya kepada pemberita selepas Program ‘Tangan Bersalaman’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

    Mengulas lanjut, Hazani berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta J2 WESTMINCOM kerana terbabit dalam beberapa siri pertempuran dan pertembungan dengan pasukan keselamatan Filipina sejak Julai 2021.

    Berdasarkan makkumat risikan, kali terakhir dia dilihat adalah pada 10 Jan lepas di sebuah kawasan di Sulu ketika keluar mengambil makanan.

    Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan darat di sempadan Malaysia-Thailand, Hazani berkata, Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Kelantan pada Mac nanti.

    “Ketika ini, proses tinjauan sedang dilakukan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, kawasan rondaan serta kawasan sering berlakunya penyeludupan.

    “Kita juga sedang meninjau lokasi sesuai untuk menempatkan kuda-kuda ini sama ada di Pengkalan Kubor, Tumpat atau Rantau Panjang,” katanya.

    Beliau berkata dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU itu ia mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan. – BERNAMA

  • 19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    19 tahun diburu polis, penjenayah dikehendaki akhirnya tumpas

    POLIS merampas sepucuk pistol semi auto jenama Zaroki serta dua kelopak peluru berisi 10 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal berdekatan dengan keretanya di tepi jalan Kampung Kubang Endang, Bechah Keranji dekat Melor di Kota Bharu Isnin lepas.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, siasatan mendapati bahawa penarik kereta berumur 38 tahun yang ditahan pada pukul 9.30 pagi itu merupakan penjenayah yang diburu polis sejak 2003.

    Beliau berkata, polis turut menemukan dua bilah pedang samurai dan plastik putih mengandungi dua liter cecair disyaki dadah, selain dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s selepas memeriksa kereta Honda Civic milik suspek.

    Katanya, pistol berkenaan ditemukan dalam poket seluar hadapan sebelah kanan suspek bersama dua kelopak berisi 10 butir peluru, yang dikatakan dibeli lelaki itu dari seorang lelaki Thailand awal Sept lepas dengan harga RM2,200.

    “Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200 meter dari tempat kejadian, dan polis turut merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah,” katanya pada sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada hari ini.

    Shafien berkata, pada tahun 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta pihak polis.

    Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu secara berbahaya, termasuk memandu melawan arus trafik, selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama semasa diminta memberhentikan kereta ketika pemeriksaan Op Selamat di Kilometer 15 Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semasa lelaki berumur 25 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut menghala susur keluar ke Lukut, dipercayai kerana takut, berikutan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan telah tamat tempoh.

    Beliau berkata, lelaki bersama isteri dan tiga anaknya itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Port Dickson semasa kejadian.

    “Lelaki yang turut memandu secara melawan arus itu berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Sentosa, Lukut, dan polis mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang memiliki lapan rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis metamfetamina, dan dia dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk permohonan reman.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA

  • Lelaki mati dalam tahanan polis dipercayai sakit mental

    Lelaki mati dalam tahanan polis dipercayai sakit mental

    UNIT Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Kuala Kangsar, Perak.

    Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai pesakit mental yang mengamuk dan menyerang bapanya di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada 7 malam, semalam.

    “Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek dalam keadaan agresif dan sedang bergelut sebelum ditahan empat lelaki termasuk bapanya.

    “Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan. Lelaki itu bagaimanapun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azri berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh. – BERNAMA

  • 4 mat rempit ditahan, 43 motosikal disita

    4 mat rempit ditahan, 43 motosikal disita

    POLIS Pulau Pinang menyita sebanyak 43 buah motosikal dan menahan empat ‘mat rempit’ dalam Op Samseng Jalanan bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 6 pagi ini.

    Operasi di sekitar daerah Barat Daya dan  Seberang Perai Utara (SPU) dilakukan sempena Op Selamat (17) Tahun Baharu Cina dan diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zafri Zolkapli bersama lima pegawai dan 28 anggota.

    Menurut Zafri, operasi iti dijalankan hasil aduan dan maklumat orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan termasuk mat rempit yang sering berlumba dan menunggang motosikal secara bahaya di kawasan terbabit.

    Katanya, menerusi operasi itu sebanyak 37 buah motosikal disita di daerah Barat Daya dan enam lagi di SPU manakala empat lelaki ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

    Selain itu jelas beliau, sebanyak 117 saman tu dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan trafik.

    “Kita mengambil tindakan proaktif dengan mengaturkan pasukan untuk memantau dan menjalankan operasi bagi mencegah aktiviti kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini.

    Tambah Zafri,  tindakan penguatkuasaan akan diambil secara menyeluruh jika terdapat pengguna yang masih lagi enggan mematuhi peraturan di jalan raya terutama kepada pelaku-pelaku samseng jalanan.

  • ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    ESSCOM sahkan pembuat bom Abu Sayyaf masih hidup

    PEMBUAT bom yang juga sub ketua kumpulan Abu Sayyaf, Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan yang dilaporkan ditembak mati Mei lepas di Filipina, disahkan masih hidup.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), DCP Hamzah Ahmad berkata, status Mudzrimar yang dikehendaki di ESSCom, disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

    “Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup susulan beberapa siri pertempuran dan pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hamzah berkata, susulan itu, Mudzrimar yang dikeluarkan dalam senarai individu dikehendaki ESSCom pada tahun lalu kini disenaraikan semula sebagai suspek dikehendaki membabitkan kes penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Muzdrimar juga merupakan anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, dan selain itu mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’.

    Baru-baru ini tercetus persoalan berikutan kenyataan ESSCom menyenaraikan semula Mudzrimar antara 20 suspek warga Filipina dikehendaki terkini sedangkan dia dilaporkan telah ditembak mati. – BERNAMA

  • 1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    POLIS menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Supt Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi.

    Zulkafli berkata, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

    Sementara itu, katanya, dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.

    Beliau berkata, dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan. – BERNAMA

  • OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    OKT mati dalam tahanan di lokap Balai Polis Marang

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan menerima satu laporan berhubung kematian mengejut, melibatkan seorang lelaki yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Marang, Terengganu, hari ini.

    Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada 3 petang tadi.

    Beliau berkata, siasatan berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS.

    “OKT yang berumur 38 tahun itu, ditahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Azri berkata, OKT direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Jan di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu. – BERNAMA