Oleh RAHIMI MOHAMAD

PERBINCANGAN berkaitan calon Menteri Besar Johor masih belum dibuat Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun, Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak khabar angin bahawa Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik mungkin bertanding dan dinamakan sebagai calon Menteri Besar gabungan berkenaan.

“Setakat ini masih belum ada perbincangan secara rasmi dibuat kepimpinan PH tetapi kita tidak menolak mana-mana calon, sedang beri pertimbangan.

“Kebiasaannya kita tidak akan campur calon bagi Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri), itu polisi parti, tetapi kita tidak mahu terlalu ketat dalam soal berkenaan.

“Nama-nama calon bagi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sedang dipertimbangkan di peringkat PKR negeri dan mungkin akan umum sebahagian kerusi terlebih dahulu,” katanya selepas melancarkan Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Johor Bahru hari ini.

Pada 27 November lalu, Anwar menerima borang keahlian PKR daripada Maszlee beserta 500 ahli baharu ke dalam Cabang Simpang Renggam di Dewan JKKK Kampung Baru Machap.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, calon-calon parti itu yang akan disenaraikan dalam PRN Johor terdiri daripada rakyat Johor atau mereka yang mempunyai talian persaudaraan ahli keluarga.

“Setakat ini mestilah orang Johor atau mereka yang ada ahli keluarga di Johor, saya pun ada ahli keluarga di Johor,” ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum memberitahu jumlah kerusi DUN yang dimahukan mereka sekiranya membentuk jalinan kerjasama dalam PRN Johor.

Katanya, rundingan kerjasama dengan Muda ketika ini dibuat di peringkat kepimpinan negeri dan mereka bersedia memberi ruang kepada parti itu.

“Ini masih perbincangan dalam PH, soal agihan kerusi akan dibuat secara bersama, iaitu sebahagian kerusi Parti Amanah Negara dan sebahagian kerusi DAP juga.

“Kita akan tengok berapa mereka minta dan perkara ini masih dalam perbincangan, mereka tidak umum, kami pun tidak umumkan,” katanya.

Semalam, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perbincangan kerjasama antara Muda dan PH sedang berjalan lancar namun perincian akan diumumkan kemudian.

Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab. Rahani sebelum ini memberitahu mereka mahu lebih daripada 10 kerusi jika jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dicapai menjelang PRN Johor akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here