SEORANG wanita warga emas kerugian RM52,300 apabila wang simpanannya lesap gara-gara terperangkap dalam jerat cinta satu sindiket Love Scam.

Wanita berusia 74 tahun itu yang juga seorang pesara dikatakan terpedaya dengan sindiket Love Scam tersebut selepas berkenalan dengan lelaki dikenali Nelson Michael melalui Facebook pada 18 Disember tahun lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, sepanjang perkenalan mangsa tidak pernah berjumpa dengan
suspek yang mendakwa berasal dari Amerika Syarikat dan dikatakan bekerja dalam bidang cari gali minyak di Miri, Sarawak.

Menurut beliau, selepas sebulan perkenalan berlangsung, suspek mahu meminjam wang daripada mangsa disamping melahirkan keinginannya untuk berkahwin dengan mangsa sekiranya permintaan dipenuhi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini Mohd Wazir memberitahu, ekoran itu mangsa telah melakukan tujuh transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek sehingga 31 Januari lalu berjumlah RM52,300.

Katanya, selepas melakukan pemindahan wang, suspek tidak lagi menghubungi mangsa sehingga ke hari ini.

“Ekoran itu, mangsa merasakan dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Khamis.

“Modus operandi suspek ialah berkenalan dan menjalin hubungan dengan mangsa melalui Facebook bagi memperdaya mangsa agar memasukkan duit ke dalam akaun diberikan,” ujarnya.

Selain itu jelas beliau, suspek turut menggunakan kata-kata manis termasuk akan mengahwini mangsa semata-mata untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

Ujarnya, polis telah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here