Tag: Pas

  • Audio tular cubaan jejas reputasi pemimpin kanan PAS

    Audio tular cubaan jejas reputasi pemimpin kanan PAS

    PENULARAN audio yang didakwa mirip suara seorang pemimpin kanan PAS dikatakan berlaku berikutan pemilihan parti yang akan diadakan pada bulan hadapan.

    Menurut sumber dalaman PAS, usaha untuk memburukkan reputasi pemimpin terbabit dilihat didalangi oleh pihak tertentu bertujuan menjejaskan peluang beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS.

    “Disebabkan beliau seorang bekas menteri yang ‘performed’ semasa menerajui kementerian berkaitan komoditi negara dengan pelbagai program dari peringkat industri sehinggalah kepada pekebun kecil di seluruh negara, beliau dilihat mampu memenangi hati perwakilan pada pemilihan parti itu nanti.

    “Beliau juga merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, memang seorang yang buat kerja untuk PAS. Jadi, tindakan memburukkan nama beliau mesti dilaksanakan sekarang menjelang pemilihan PAS November ini,” kata sumber itu.

    Dalam pada pada itu, menurut sumber itu lagi, gerakan ini dipercayai didalangi oleh mereka yang bertegas mahu PAS bersama BERSATU serta Perikatan Nasional (PN) dengan mengetepikan Muafakat Nasional (MN) yang tunggaknya adalah PAS dan UMNO.

    Katanya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka juga adalah medan ujian bagi melihat bagaimana kerjasama itu dapat dilaksanakan demi mengelakkan Pakatan Harapan menguasai semula negeri itu

    “Kita tahu yang PAS mahu menjadi jambatan kepada kedua-dua PN dan MN demi kepentingan umat Melayu dan Islam,” katanya.

    Media melaporkan bahawa audio mirip suara seorang pemimpin PAS yang didakwa mempertikai kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tular dalam media sosial semalam.

    Rakaman audio itu didedahkan seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Ahmad Rizqi Khairuddin.

    Menerusi hantaran di media sosial tersebut, individu yang menggunakan nama Ahmad Rizqi itu memberi amaran akan terus mendedahkan audio seterusnya pemimpin kanan PAS itu.

  • Lebih baik tumpu kerusi yang belum menang – Tuan Ibrahim

    Lebih baik tumpu kerusi yang belum menang – Tuan Ibrahim

    PAS mengajak parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) supaya menumpukan untuk menawan kerusi yang kini dimiliki pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain dapat mengukuhkan PN dan MN, langkah tersebut juga perlu dilakukan bagi mengelakkan pertembungan penjuru sesama parti komponen tersebut pada kerusi yang telah dimenangi sebelum ini terutama antara PAS, Barisan Nasional atau UMNO dan Bersatu.

    “Daripada kita bertembung pada kerusi yang kita telah menang, baik kita fokus pada kerusi yang kita tak menang dan masih di tangan PH (Pakatan Harapan) supaya kita elakkan pertembungan sesama kita dan menambah jumlah kerusi yang boleh kita menangi dalam PRU15,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Fasa Dua Pasaraya Wakaf Ummah di tapak Pasaraya Wakaf Ummah di Dungun, hari ini.

    Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS tetap berpegang teguh pada prinsip Penyatuan Ummah yang menjadi teras parti selama ini, serta akan terus berunding bersama parti-parti PN dan MN iaitu UMNO bagi mengelakkan pertembungan kerusi.

    Namun katanya, sekiranya masih berlaku pertembungan kerusi antara parti komponen PN, PAS akan menzahirkan sokongannya kepada parti penyandang kerusi tersebut.

    “Kita akan pastikan seluruh penyokong dan jentera PAS memberi sokongan kepada calon daripada parti penyandang. Kalau kerusi itu disandang Bersatu tetapi kalau UMNO masuk (bertanding), PAS tidak akan menyokong UMNO. Begitu juga kalau kerusi itu UMNO punya, kalau Bersatu masuk maka PAS tidak akan sokong Bersatu. Kita hendak elak pertembungan tiga penjuru. Itu asas kita,” katanya.

    Baru-baru ini parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam PRU15 dengan segera.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi dan mengadakan mesyuarat mulai minggu hadapan, walaupun masih tidak mendapat sebarang gambaran daripada UMNO atau Barisan Nasional (BN). – BERNAMA

  • UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    KEPUTUSAN UMNO menolak mentah-mentah kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) memang membingungkan banyak pihak termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

    Tidak dapat dilihat apa kewajaran yang digunakan oleh UMNO di sebalik keputusan yang bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

    Langkah semberono yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu boleh membuka jalan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dalam laporan media hari ini.

    Beliau menasihatkan agar UMNO mengkaji semula siapakah sebenarnya musuh dan kawan selain jangan menolak kerjasama dengan PN.

    Seperti yang dijelaskan oleh Hashim, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu dan Islam akan memberi keuntungan kepada PH.

    Sememangnya UMNO perlu memikirkan semasak-masaknya nasihat Hashim tersebut kerana parti itu telah kehilangan banyak kerusi pada PRU-14 dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), PAS dan PH.

    Seorang lagi tokoh ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani pula berpandangan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya berlapang dada serta menjauhkan sifat tamak dan ego.

    Seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook, beliau berkata, kedua-dua parti Melayu itu saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka perlu berdamai.

    UMNO PAS
    Ahmad Dusuki Abd Rani

    “Belum cukup lagikah pengajaran PRU-14 yang lalu memberi pengajaran kepada semua kita ini?

    “Belum cukup lagikah 22 bulan yang gelap di bawah PH itu menjadi iktibar yang berguna kepada kita semua umat Islam di bumi Malaysia ini?

    “Atau kita perlu ‘tamparan’ dari Allah COVID yang lebih dahsyat dari yang lalu? Atau apa sebenarnya yang menjadi ketamakan kepada semua ini?” soalnya.

    PAS memang berhak menyuarakan kebimbangan ekoran keputusan ‘muktamad’ UMNO menolak kerjasama dengan PN dan Bersatu pada PRU-15.

    Langkah UMNO itu akan meletakkan PAS dalam situasi serba salah sekiranya terpaksa berdepan calon sekutunya dalam MN itu kelak.

    Setakat ini, MN masih lagi wujud walaupun ramai pemerhati politik yang sangsi tentang kemampuannya bertahan selagi UMNO diterajui oleh Ahmad Zahid.

    Beliau dikatakan sering mengambil tindakan yang tidak selari dengan semangat MN sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS rasa tersinggung.

    Mungkin fikiran Ahmad Zahid terganggu dengan kes mahkamah yang dihadapi justeru wajar dicadangkan supaya beliau ‘bercuti’ dahulu supaya pemimpin yang fikirannya lebih rasional dapat mengemudi UMNO bagi menghadapi PRU-15.

  • PAS mesti jadi ejen penyatuan UMNO, Bersatu

    PAS mesti jadi ejen penyatuan UMNO, Bersatu

    SETAKAT ini masih belum nampak sebarang tanda UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Situasi itu agak membimbangkan bagi orang Melayu dan umat Islam kerana kegagalan kedua-dua parti tersebut bekerjasama bakal memberi ruang kepada Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.

    Mereka tidak sanggup lagi hidup menderita seperti yang dialami selama 22 bulan regim PH menguasai negara selepas PRU-14 dahulu.

    Cukuplah sekali sahaja PH memerintah negara dan majoriti rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam pasti tidak mahu mimpi ngeri itu berulang.

    Malangnya, pemimpin-pemimpin Melayu seolah-olah masih tidak sedar tentang malapetaka yang bakal menimpa bangsa dan ummah sekiranya mereka masih terus bercakaran sesama sendiri.

    Semua mahu menegakkan benang masing-masing dan tidak mahu beralah dalam usaha mencapai kata sepakat bagi memperkukuhkan strategi melawan PH.

    Mungkin ego yang sangat besar dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan menyebabkan mereka bersikap tidak rasional dan tidak matang.

    Keadaan yang merugikan orang Melayu dan umat Islam ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Api yang mula membakar mesti dipadamkan.

    Dalam hal ini, PAS dilihat boleh memainkan peranan sebagai ejen penyatuan dua parti Melayu yang serumpun tetapi tidak sehaluan itu.

    Komitmen itu telah ditegaskan sebelum ini oleh Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Kesediaan PAS menjadi ‘pendamai’ dalam hubungan UMNO dan Bersatu yang agak dingin itu seharusnya disambut baik oleh kedua-dua parti.

    PAS selama ini telah menunjukkan teladan yang baik dalam menjaga hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

    Dalam banyak perkara, PAS sentiasa bersedia untuk berkompromi dan memilih jalan perdamaian dalam menangani sebarang isu yang timbul bersama sekutu-sekutu politiknya.

    Pendekatan sedemikian tidak menjadikan PAS dianggap lemah, malah sebaliknya menjadikan parti tersebut dilihat semakin matang dalam berpolitik.

    Kematangan yang ditunjukkan oleh PAS itu sepatutnya dicontohi oleh UMNO dan Bersatu dalam mencari titik persamaan yang boleh mempertautkan kedua-dua parti.

    Rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam sentiasa memerhatikan perangai mereka yang tak ubah seperti kanak-kanak berebut gula-gula yang sebenarnya cukup untuk semua orang jika dibahagikan secara adil dan saksama.

    Justeru, PAS perlu meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu bahawa tiada siapa pun yang akan menang dalam pertelagahan yang memperlihatkan sifat kebudak-budakan mereka.

    Jika PAS berjaya menyempurnakan misi mendamaikan UMNO dan Bersatu, insya-Allah gabungan yang menyaksikan kerjasama ampuh ketiga-tiga parti politik boleh menang selesa dalam PRU-15.

  • Muktamar Pas tetap diadakan November ini- Takiyuddin

    Muktamar Pas tetap diadakan November ini- Takiyuddin

    MUKTAMAR Tahunan Pas ke-67 tetap diadakan pada November ini selepas arahan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), ianya tidak boleh ditangguhkan.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, muktamar itu terpaksa diadakan selewat-lewatnya sebelum 31 Disember 2021 berdasarkan arahan RoS.

    Beliau berkata, Pas pada asalnya memohon pada RoS untuk menangguhkan Mesyuarat Agung dan pemilihan jika ada pilihan raya, selepas pilihan raya namun hanya diberikan kebenaran oleh RoS sehingga hujung tahun ini.

    “Maknanya pemilihan dan muktamar perlu diadakan sebelum 31 Disember. Maka kita akur arahan sekarang kita adakan mesyuarat cawangan dan awal November kita akan adakan muktamar secara hibrid dan fizikal,” katanya hari ini.

    Beliau berkata pada sidang media selepas menyampaikan bantuan komputer riba kepada pelajar cemerlang Maahad Muhammadi perempuan di Kota Bharu hari ini.

    Difahamkan, Muktamar Tahunan PAS ke-67 tahun ini akan diadakan pada 6 dan 7 November depan di Kuala Terengganu secara hibrid dengan sesi sama ada melibatkan kehadiran perwakilan atau secara maya.

    Sekiranya membabitkan kehadiran, jumlah kehadiran dihadkan sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

    Dalam pada itu, Takiyuddin memberitahu, muktamar Pas kali ini membabitkan pemilihan kesemua jawatan tertinggi parti.

    Kaedah pemilihan akan dibincangkan sama ada secara maya atau hibrid.

    Muktamar tahun lepas diadakan di Kelantan dalam norma baharu dan pematuhan SOP yang ditetapkan.

  • Adab ikhtilaf (perbezaan pendapat) dalam perpaduan umat

    Adab ikhtilaf (perbezaan pendapat) dalam perpaduan umat

    Oleh DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

    Islam menegaskan konsep perpaduan umat melalui dua pendekatan. Pertama, perpaduan umat Islam pelbagai bangsa dalam satu agama. Kedua, perpaduan umat manusia dalam masyarakat majmuk pelbagai agama dan bangsa.

    Kedua-dua pendekatan ini berkonsepkan istiqamah dan tegas dalam perkara dasar dan rukun, serta menghormati kebebasan akal yang sihat dan tiada paksaan dalam beragama.

    Islam juga mewajibkan keikhlasan terhadap para penganutnya kerana sebarang paksaan supaya menganut Islam akan mencipta golongan munafik. Akhirnya, golongan itulah yang akan merosakkan imej Islam dan masyarakatnya. Pada masa yang sama, Islam mewajibkan berlaku adil kepada semua.

    Bagi penganut Islam yang beriman kepada rukun-rukun agamanya, sama ada rukun iman atau rukun Islam, mereka diwajibkan menerima ketetapan yang berada di luar kemampuan akal manusia dengan penuh kepercayaan kepada Allah SWT serta Rasulullah SAW yang dipilih dan dilantik oleh-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

    ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

    “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

    Dan juga firman Allah SWT:

    ﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦﴾

    “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak untuk memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

    Semua pihak hendaklah menghayati bahawa perbezaan pendapat itu berlaku dalam dua keadaan. Pertama, berlaku perbezaan pendapat yang negatif sehingga ia mencetuskan perpecahan dan membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Maka, Islam sama sekali mengharamkannya.

    Adapun dalam keadaan yang kedua, berlaku perbezaan pendapat yang membawa kepada kesan positif, hikmah dalam perbezaan dan kepelbagaian dalam kehidupan manusia. Maka, Islam mengizinkannya berlaku dengan sempadan adab yang perlu dijaga agar tidak mencetuskan ketegangan yang boleh merosakkan.

    Dalam menangani perubahan serta perbezaan realiti, situasi dan tahap kemampuan makhluk manusia dari segi akal dan fizikal, maka Allah SWT juga mengizinkan berlakunya perbezaan dalam menentukan hukum agama berkonsepkan maqasid al-syari‘ah yang lebih luas dan anjal (fleksibel).

    Dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang berbeza hukumnya setelah ia diwahyukan oleh Allah SWT. Termasuklah hukum yang paling tegas, ia disampaikan dengan uslub (pendekatan) tarbiah secara bertahap yang tidak mengejutkan masyarakat Arab yang terkenal dengan sifat kedegilan jahiliahnya. Khususnya apabila Allah SWT menetapkan pengharaman arak dan judi dengan beberapa kali penurunan wahyu, bermula dengan firman-Nya:

    ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ…٤٣﴾

    “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian menghampiri sembahyang (mengerjakannya), sedang kalian dalam keadaan mabuk, sehingga kalian sedar dan mengetahui akan apa yang kalian katakan…” (Surah al-Nisa’: 43)

    Kemudian diikuti dengan firman Allah SWT:

    ﴿يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا…٢١٩﴾

    “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada kedua-duanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Akan tetapi, dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya…” (Surah al-Ahzab: 36)

    Seterusnya pengharaman arak dan judi ditegaskan oleh firman Allah SWT:

    ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٩٠ إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ٩١﴾

    “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) termasuk daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kalian menjauhinya supaya kalian berjaya. (90); Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kalian lantaran (meminum) arak dan berjudi, dan mahu menghalang kalian daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kalian berhenti (daripada melakukan perkara tersebut)? (91).” (Surah al-Ma’idah: 90-91)

    Para ulama’ bersepakat menetapkan bahawa sesuatu hukum itu adalah berpandukan sejarah sebab ia diwahyukan.

    Terdapat di sana perkara furu‘ (cabang) dalam semua rukun agama dari aspek pelaksanaan hukum Islam, khususnya dalam perkara dasar yang bersifat umum. Maka, para ulama’ berijtihad (bersungguh-sungguh) dengan membuat kajian bagi menyatakan hukum berdasarkan kepada perubahan serta perbezaan situasi dan realiti masyarakat, atau berpandukan dalil yang paling kuat.

    Contohnya dalam hukum ihya’ al-mawat (penerokaan tanah), terdapat perbezaan antara mazhab Syafi‘i dengan mazhab Hanafi. Mazhab Syafi‘i menegaskan bahawa diberikan kebebasan untuk dimiliki tanah yang diterokai, sehingga ia tidak perlu mendapat keizinan pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan mereka berada di daerah Hijaz yang diliputi dengan padang pasir yang luas dalam keadaan masyarakat yang tidak ramai penduduk.

    Adapun mazhab Hanafi pula menegaskan adalah diwajibkan mendapat kebenaran kerajaan untuk meneroka tanah, kerana mereka berada di Iraq yang mempunyai kawasan subur dan kepadatan penduduk.

    Adapun al-Quran telah menyatakan dasar umum berkenaan perkara tersebut dalam beberapa ayat al-Quran, antaranya firman Allah SWT:

    ﴿هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ١٥﴾

    “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kalian, maka berjalanlah di segala penjurunya, dan makanlah sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah; serta (ingatlah), kepada Allah jualah kalian dibangkitkan untuk hidup semula (maka hargailah ni‘mat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).” (Surah al-Mulk: 15)

    Selain itu, berlaku perbezaan pendapat dalam masalah Ahli Zimmah (kerakyatan kepada bukan Islam) antara mazhab Syafi‘i dan Hambali dengan mazhab Hanafi dan Maliki.

    Mazhab Syafi‘i dan Hambali yang menetapkan bahawa Ahli Zimmah terdiri daripada kalangan penganut Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) dan Majusi sahaja. Hal yang tersebut disebabkan hanya itu sahaja penganut agama yang ada dalam masyarakat mereka.

    Adapun Mazhab Hanafi dan Maliki pula mengizinkan kepada penganut berbagai-bagai agama yang lebih banyak menjadi rakyat mereka berstatus Ahli Zimmah. Hal ini demikian kerana, mereka berada dalam sebuah masyarakat majmuk yang lebih besar berkonsepkan tiada paksaan dalam beragama dan bersikap adil terhadap semua. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

    ﴿لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ…٢٥٦﴾

    “Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)…” (Surah al-Baqarah: 256)

    Begitu juga firman Allah SWT:

    ﴿وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ٩٩﴾

    “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman sekalian manusia yang ada di bumi. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” (Surah Yunus: 99)

    Dan juga firman Allah SWT:
    ﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

    “Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum secara adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

    Ada juga berlaku kekhilafan dalam mentafsirkan satu perkataan yang memberikan makna kepada beberapa maksud yang berbeza. Sebagai contoh, hukum bertayamum bagi menggantikan wudhu’ apabila ketiadaan air atau berpunca daripada kesakitan yang tidak boleh menggunakan air. Perbezaan berlaku dalam mentafsirkan perkataan صعيد (so‘id), sama ada dengan maksud debu tanah atau apa-apa sahaja yang ada di atas tanah, sebagaima yang dijelaskan dalam firman Allah SWT:

    ﴿…فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا٤٣﴾

    “…Kemudian kalian tidak mendapat air (untuk mandi atau berwudhu’), maka hendaklah kalian bertayamum dengan so‘id (tanah yang suci), maka sapukanlah ke muka kalian dan kedua-dua tangan kalian. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Nisa’: 43)

    Apa yang menarik mereka tidak berpecah belah, sekalipun mereka berbeza pandangan dalam perkara kekhilafan seperti ini dan masih lagi menunaikan sembahyang berjemaah secara bersama.

    Dalam keadaan yang berbeza, agama Islam menggalakkan agar diadakan perbincangan atau dialog secara bijaksana dengan berhujah, bukannya bertengkar tanpa sopan dan adab. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

    ﴿ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ١٢٥﴾

    “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang tersesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl: 125)

    Dalam keadaan masyarakat majmuk yang bercampur aduk, Allah SWT menunjukkan adab terhadap kalangan bukan Islam dengan menjaga sensitiviti mereka. Hal ini penting untuk dipelihara supaya ia tidak menjadi punca berlakunya ketegangan, bertepatan dengan firman-Nya:

    ﴿وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكُوا وَمَا جَعَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِوَكِيلٍ١٠٧ وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٠٨﴾

    “Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukan-Nya; dan Kami tidak menjadikan kamu (wahai Muhammad) pemelihara bagi mereka, dan kamu sekali-kali bukanlah pemelihara bagi mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata)(107); Dan janganlah kalian memaki sembahan-sembah yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana mereka kelak akan memaki Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan bagi setiap umat menganggap baik akan perbuatan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (108).” (Surah al-An‘am: 107-108)

    Allah SWT mengajar Rasul-Nya, Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS bagaimana untuk menghadapi Firaun iaitu seorang pemerintah yang paling zalim dalam sejarah kemanusiaan. Sebagaimana firman-Nya:

    ﴿اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى٤٣ فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى٤٤﴾

    “Pergilah kalian berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufurannya). (43); Kemudian hendaklah kalian berbicara kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut. (44).” (Surah Taha: 43-44)

    Dalam hubungan antara negara-negara pula, Islam mendahulukan perdamaian sekalipun ketika berlakunya peperangan. Hal ini berpandukan kepada firman Allah SWT:

    ﴿وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٦١ وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ٦٢ وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٦٣﴾

    “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61); Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62); Dan (Dialah) yang mempersatukan antara hati mereka (yang beriman itu). Walaupun kamu membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan antara hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63).” (Surah al-Anfal: 61-63)

    Islam mewajibkan agar mendahulukan perdamaian, sekalipun ketika menghadapi pencerobohan yang memaksa untuk berperang bagi mempertahankan agama dan negara. Namun, apabila pihak lain yang menceroboh, maka diwajibkan untuk menentang mereka.

    Islam sama sekali mengharamkan daripada bertindak secara melampau, walaupun terhadap musuh yang menceroboh dengan melampaui batas. Hal ini disebabkan firman Allah SWT:

    ﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾

    “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

    Islam menerima hakikat wujudnya perbezaan bangsa dan bahasa, yang menjadi tanda kebesaran Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya:

    ﴿وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ٢٢﴾

    “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan warna kulit kalian. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

    Islam juga menegaskan wujudnya perbezaan dalam aspek ekonomi, namun diharamkan daripada melakukan penindasan terhadap sesama manusia dan wajib berkasih sayang antara satu sama lain tanpa menzalimi mana-mana individu.

    Hal ini demikian kerana, perbezaan kedudukan ekonomi dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat mempunyai hikmah tertentu. Khususnya apabila ia dihiasi dengan adab tolong-menolong sesama manusia dalam menggerakkan jentera perjalanan ekonomi, sekali gus mewajibkan adanya majikan dan pekerja, serta pembekal dan pengguna.

    Allah SWT berfirman:

    ﴿أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ٣٢﴾

    “Apakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan) rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, dan Kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; agar sebahagian daripada mereka mendapat kemudahan dalam menjalankan kehidupannya dengan (bantuan) sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

    Termasuklah sabda Rasulullah SAW:

    ‌رَحِمَ ‌اللَّهُ ‌رَجُلًا ‌سَمْحًا ‌إِذَا ‌بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى.

    “Allah merahmati seseorang yang bermurah hati jika dia menjual, (mempermudahkan urusan orang lain) ketika membeli, dan (mempermudahkan urusan) ketika menagih (hutang).” (Riwayat al-Bukhari 2076)

    Allah SWT menegaskan kewajipan konsep tolong-menolong, sekalipun ketika berada dalam permusuhan. Hal ini ditegaskan oleh firman-Nya:

    ﴿…وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٢﴾

    “…Dan jangan sekali-kali kebencian kalian kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kalian dari Masjid al-Haram itu mendorong kalian melampaui batas. Dan hendaklah kalian bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kalian bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

    Sejarah peradaban manusia menunjukkan hanya Islam sahaja yang berjaya menangani masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

    ﴿…وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

    “…Dan sekiranya Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang pencerobohan sebahagian yang lain (kebenaran menentang yang salah), tentu sekali telah dirobohkan gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah-rumah ibadat (kaum Yahudi), sembahyang-sembahyang dan masjid-masjid, yang sentiasa disebutkan nama Allah banyak-banyak padanya. Sesungguhnya pasti Allah akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah itu benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj: 40)

    Secara tegas, berlakunya penindasan ketika tamadun awal sejarah Asia Barat akibat daripada perbezaan agama, walaupun sesama dalam kalangan Ahli Kitab agama samawi (Yahudi dan Kristian). Demikian itu berlaku apabila mereka berkuasa, sehingga bertindak membunuh dan merobohkan rumah ibadat yang bukan penganut agama mereka.

    Hanya Islam yang memerintah sahaja memberikan hak kebebasan beragama, khususnya sebagaimana yang berlaku di Baitul Maqdis yang menjadi tanah suci bagi agama samawi tersebut.

    Penulis ialah Presiden PAS.

  • Jangan rungkai Muafakat Nasional, bina kekuatan ummah

    Jangan rungkai Muafakat Nasional, bina kekuatan ummah

    Oleh NASRUDIN HASSAN

    LEBIH 60 tahun negara kita menyaksikan pertelagahan, pertelingkahan dan pergaduhan politik dalam kalangan umat Islam di bumi tercinta ini.

    Khasnya melibatkan UMNO dan PAS. Malah ia merebak sehingga pergaduhan fizikal yang mencetuskan peristiwa Lubuk Merbau, Memali dan lainnya.

    Takdir Allah SWT pada 14 September tahun 2019, PAS dan UMNO kembali dapat duduk dalam satu saf lalu memeteraikan piagam Muafakat Nasional. Ia menjadi noktah bersejarah untuk langkah penyatuan umat Islam di Malaysia.

    Umum tahu benar bahawa penyatuan ummah itu membawa kepada kekuatan dan kehebatan. Sebagaimana pertelingkahan pula membawa malapetaka dan musibah.

    Bukankah Allah SWT sudah menegaskannya dalam al-Quran :

    وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

    Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu bertelingkah, kelak kamu akan binasa dan hilang kekuatan dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran) sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.

    Surah al-Anfaal: 46

    PAS PH Muafakat Nasional
    NASRUDIN HASSAN

    Peristiwa menandatangani piagam Muafakat Nasional itu menyaksikan tumpahnya air mata para pencinta Islam di seluruh negara.

    Setelah sekian lama mereka menanti, kini dua musuh tradisi bersalaman dan berpelukan guna menamatkan sengketa umat. Lengan disilang dan tangan saling mendekap tanda mahu menyatu erat

    Tidak sedikit harga yang terpaksa dibayar. Bukan setahun dua usaha untuk menyatukan dua kumpulan umat Islam ini dilakukan.

    Akhirnya 14 September 2019 menjadi saksi syaitan-syaitan perpecahan menangisi kegagalan mereka.

    Kini setelah dua tahun piagam muafakat dimeterai, Muafakat Nasional sedang melalui denai yang sukar dan sulit. Mereka kini sedang diuji dengan kuasa pemerintahan, kedudukan dan pengaruh.

    Pelbagai justifikasi mula dicipta untuk membenarkan sikap masing-masing. Jari jemari dibuka kembali untuk saling menuding. Sudah kelihatan rekahan di sana sini. Tentu sahaja fenomena ini membuatkan agen-agen perpecahan menari girang.’

    Saya hanya mampu kembali mengingatkan diri dan semua pihak khasnya saf kepimpinan dari kedua pihak, bahawa jangan biarkan Muafakat Nasional ini retak. Jangan biarkan semangat penyatuannya pudar apalagi menyimpan hasrat untuk membubarkannya.

    Bersabarlah atas kepayahan dan kesukaran. Maklumlah kita telah lalui lebih 60 tahun tempoh sengketa. Hanya setahun dua ini mahu disuaikan segalanya. Tentu sahaja mengambil masa.

    Justeru, “Hargai dan akuilah kelebihan rakan sebagaimana kita menerima dan memaafkan kelemahan kita sendiri.”

    Tidak perlu saya leteri perkara yang telah difahami oleh semua mengenai kepentingan menyatukan umat Islam di bumi bertuah ini.

    Tinggal lagi kita sering alpa dan leka dengan hasutan syaitan perpecahan dan belitan Iblis yang menipu daya. Sehingga kita mula saling curiga mencurigai antara satu sama lain.

    Kita mula rasa kuat dan tidak lagi memerlukan dukungan.

    “Aku perlu bangkit atas kekuatan sendiri”, “aku tidak akan biarkan kumpulan aku dijadikan sandaran”, “aku yakin boleh menang tanpa dia” , “dia tidak ikhlas dalam penyatuan” dan 1,001 getusan yang mula memberi isyarat untuk meronta dan merombak ikatan perpaduan.

    Masih ada masa untuk perbaiki keadaan. Asal semua dari kalangan kita kembali kepada paksi ajaran agama, bahawa kita diperintah oleh Allah dalam al-Quran (surah asy-Syura ayat 13),

    أنْ أَقيمُوا الدِّيْن و لا تَتَفَرَّقُوا فِيْهِ

    “Tegakkan agama dan jangan berpecah” padanya.

    Insafilah,

    Meskipun kita rasa boleh menang sendiri, maka menyatukan itu lebih membesarkan saiz kemenangan. Meskipun kita rasa kuat sendiri, maka menyatukan itu pula menambah kehebatan dan kekuatan.

    Lalu apa kewajaran dan dimana kebijaksanaan untuk kita merombak penyatuan yang telah kita usahakan sekian lama.

    Boleh jadi mereka yang menatang penyatuan setelah atau pada hari dimeterai ikatan perpaduan itu, kurang menjiwai betapa tingginya harga dan nilai penyatuan dua parti umat Islam di Malaysia ini.

    Boleh jadi juga ada yang berkata “tiada siapa yang mahu merombaknya…”

    Jika benar begitu, ayuh lakukan sesuatu untuk memperkasakan Muafakat Nasional ini.

    Usahakan agar semua parti atau kumpulan umat Islam bersatu dan bersama dengan Muafakat Nasional ke arah membina kekuatan ummah di persada politik tanah air mahupun penguasaan di sektor ekonomi.

    Jangan keluarkan kenyataan yang mengeruhkan suasana perpaduan. Begitu juga tulisan atau status di media sosial yang boleh mengundang resah dan kecewa terhadap kedudukan perpaduan umat Islam.

    Alangkah indah …….

    Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

  • Timbalan Speaker: PAS sokong Ahmad Maslan

    Timbalan Speaker: PAS sokong Ahmad Maslan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENCALONAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan disokong sepenuhnya oleh kesemua 18 Ahli Parlimen dari PAS.

    Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, sokongan itu akan dinyatakan apabila usul berkaitan perkara itu dibentang dalam sidang Parlimen bermula 13 September nanti.

    Katanya, kes dihadapi Ahmad Maslan di mahkamah tidak seharusnya dijadikan isu kerana seseorang individu itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dijatuhkan hukum.

    “Insya Allah 18 Ahli Parlimen Pas akan beri sokongan kepada Ahmad Maslan.

    “Selagi hukuman tak dijatuhkan, tak boleh anggap orang itu bersalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi terjejas akibat tragedi kepala air di Titi Hayun, dekat Yan, Kedah, hari ini.

    PENCALONAN Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapat sokongan daripada PAS.

    Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO merupakan calon tunggal daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan baru-baru ini.

    Mohamed Nazri berkata, pencalonan Ahmad bagi menggantikan Azalina adalah satu keputusan tepat kerana kerusi itu perlu diisi oleh calon blok kerajaan.

    Pada masa yang sama, blok pembangkang turut mengitar semula Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon mereka bagi mengisi jawatan tersebut.

  • Saya akan main peranan sebaik mungkin – Abdul Hadi

    Saya akan main peranan sebaik mungkin – Abdul Hadi

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pelantikan semula sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sebagai langkah tepat untuk membolehkan beliau menggerakkan semula setiap perancangan yang sudah dirangka sebelum ini.

    Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan tersebut, Ahli Parlimen Marang itu berjanji akan memainkan peranan dengan sebaik mungkin.

    “Ya, saya bersedia untuk meningkatkan peranan di samping menggerakkan perancangan baharu yang bakal dirangka nanti.

    “Yang pasti, lantikan semula ini akan membolehkan saya menyambung semula perancangan yang telah dirangka,” katanya kepada pemberita di Masjid Rusila, Marang hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, pertemuan diplomatik dengan 10 duta negara Timur Tengah telah diadakan sebelum ini bagi membincangkan kerjasama dua hala khususnya membabitkan bidang politik, ekonomi dan pendidikan.

    Malah katanya, tindakan susulan juga telah dilakukan menerusi siri lawatan oleh menteri dan ada yang menunjukkan perkembangan positif antaranya berhubung peningkatan harga kelapa sawit.

    “Selain itu, kita turut membincangkan mengenai sektor pendidikan di Mesir dan Jordan serta kerjasama untuk membantu rakyat Palestin.

    “Kerja-kerja asas sudah dibuat, cuma kita hanya perlu sambung semula dan ditingkatkan lagi,” ujar beliau.

    Menerusi mesyuarat Kabinet pertama yang berlangsung pada Rabu lalu, Perdana Menteri bersetuju melantik semula Abdul Hadi sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.

    Turut dikekalkan ialah Datuk Seri Tiong King Sing (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri Richard Riot (Duta Khas ke Asia Timur).

  • Perspektif Islam bersama keluarga majmuk Malaysia

    Perspektif Islam bersama keluarga majmuk Malaysia

    Oleh DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

    TASAWWUR Islam telah dikelirukan oleh pandangan pihak yang jahil berkenaannya. Tambahan lagi, terdapat dalam kalangan mereka yang mempunyai semangat permusuhan dan berdendam terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh Islam.

    Sering kali isu serpihan daripada segelintir umat Islam yang terseleweng daripada ajaran Islam sebenar dijadikan contoh. Walhal ia hanya dilakukan oleh seorang individu dalam kalangan berjuta orang umat Islam.

    Walaupun kesilapan yang berlaku itu laksana satu titik yang kecil dalam lautan yang luas, lalu dibesar-besarkan aspek yang negatif seperti gunung yang besar dan tinggi, kemudian ia dilihat daripada jarak yang jauh. Maka, kefahaman yang lahir terhadap Islam adalah terlalu salah dan zalim.

    Apa yang berlaku itu, laksana kumpulan orang buta yang mahu mengenal gajah tanpa melihat keseluruhan jasadnya. Maka, mereka yang meraba perut gajah menggambarkan gajah seperti dinding, manakala mereka yang meraba belalai pula membayangkan gajah seperti ular.

    Mereka yang meraba ekor gajah pula memikirkan gajah seperti tali, manakala mereka yang meraba telinganya pula merasa-rasa gajah seperti kipas. Sedangkan mereka yang buta, tuli dan pekak pula menghidu bahu najis gajah, maka mereka menyangka yang dikatakan gajah itu hanyalah bau-bauan najis semata-mata.

    Begitulah sudut pandang para orientalis terhadap Islam dalam penulisan mereka. Bahkan, di negara kita pun terdapat kalangan mereka yang terpengaruh dengan pandangan sedemikian dan turut menyebarkan kesesatannya.

    Malah, ada juga yang sengaja tidak membaca daripada rujukan Islam yang sebenar, lalu memberikan pandangan secara terpilih berdasarkan kesalahan yang telah dilakukan oleh penganut Islam yang sengaja dicari dan dibesar-besarkan. Mereka tidak melihat keseluruhan umatnya dan tidak merujuk sumber ilmu Islam yang tetap terpelihara.

    Kini, dirujuk pula kepada media yang jahil dan fasiq, sehingga menjadikan persepsi negatifnya terhadap Islam terlalu parah dan akhirnya mencipta penyakit Islamofobia.

    Al-Quran merupakan firman atau kalam Allah SWT dan sebuah kitab suci umat Islam yang diimani tanpa sedikit pun keraguan dan dipelihara akan kebenarannya.

    Al-Quran menegaskan betapa eratnya hubungan sesama manusia yang berkonsepkan sebuah keluarga besar. Mereka menjalinkan hubungan silaturrahim dan diwajibkan berta‘aruf serta berta‘awun (berhubungan untuk kenal-mengenal bagi tolong-menolong) dalam perkara yang baik dengan semua pihak. Hal tersebut dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

    ﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

    “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang memkembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-yebutkan nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

    Ayat di atas menegaskan bahawa manusia adalah berasal daripada satu keluarga yang beribubapakan Nabi Adam AS dan Hawwa’ AS. Walaupun sudah menjadi masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa setelah berlalu tempoh masa yang panjang, namun mereka diwajibkan bersilaturrahim antara satu sama lain.

    Jalinan hubungan bersama mereka yang dekat dan jauh atas asas kemanusiaan yang berkonsepkan taqwa, iaitu memelihara sempadan ketetapan Allah SWT yang akan memerhati dan melakukan muhasabah pada Hari Akhirat kelak.

    Firman Allah SWT yang menjelaskan perkara tersebut:

    ﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

    “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat: 13)

    Ayat di atas pula menegaskan bahawa kehidupan bermasyarakat madani dalam konteks hubungan sesama manusia yang diciptakan daripada berbagai-bagai suku kaum dan bangsa adalah wajib dijalinkan. Termasuklah hubungan sesama manusia yang diciptakan dengan perbezaan dari sudut kemampuan akal, ilmu, tenaga serta pendapatan. Kebaikan bagi setiap manusia itu adalah ukuran sebenar ketaqwaan dan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT.

    Oleh itu, diwajibkan Islam untuk memimpin kerana taqwa itu wujud bersama Islam dan iman yang mengawal hati manusia. Maka, disyaratkan juga kepimpinan itu dipimpin oleh mereka yang berpengaruh dalam kalangan bangsa dan penganut Islam yang mendukungnya.

    Perkara ini sentiasa berubah dalam senario perjalanan sejarah Islam pada zaman kejayaannya yang tidak terikat kepada satu-satu bangsa sahaja. Jangan dilihat dan dijadikan ukuran setelah Islam tidak berkuasa dan berdaulat kerana ditumbangkan kerajaannya, tetapi ajarannya tetap menjadi ilmu yang terpelihara dengan selamat.

    Semua negara di dunia pada hari ini memilih kepimpinan negara masing-masing daripada kalangan penganut ideologi tertentu, sama ada ideologi Timur ataupun Barat, fahaman sederhana ataupun ekstrem. Justeru, Islam juga mewajibkan kepimpinannya agar beriman dan budiman mengikut neraca Islam, bagi melaksanakan penyelesaiannya terhadap masalah negara.

    Dalam skop Malaysia, tanpa dinafikan bahawa kaum rumpun Melayu Islam dan bumiputera adalah penduduk asal negara ini dan mereka mendominasi masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum. Kepelbagaian yang terbentuk mengikut acuan penjajah yang membawa masuk rakyat dari tanah jajahan mereka, lalu dikumpulkan di tanah air ini.

    Semua mereka yang dibawa masuk diperhambakan oleh penjajah dengan cara yang telah diaturkan di tempat masing-masing untuk diadu dombakan sesama masyarakat. Perkara tersebut dilakukan supaya rakyat sentiasa berada dalam masalah, sekali gus memberikan peluang seterusnya kepada para penjajah itu.

    Semua kaum dan bangsa bersama-sama menentang penjajah dengan ideologi yang berbeza, tetapi berkongsi hala tuju yang sama iaitu mahu mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah yang zalim. Inilah bentuk masyarakat majmuk yang telah bertapak di negara ini pada asalnya.

    Penjajah meletakkan syarat kemerdekaan yang berkonsepkan jus soli, bermaksud hak kerakyatan yang sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan dengan syarat yang longgar. Pada masa yang sama, mereka juga memberikan beberapa kelonggaran yang lain, sehingga menyebabkan berlaku kebanjiran kerakyatan kepada golongan pendatang yang tidak boleh berbahasa dan menghormati budaya tempatan.

    PAS bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan sebahagian daripada kalangan UMNO menentang konsep tersebut. Akan tetapi, kedudukan PAS yang hanya mewakili satu kerusi pembangkang tidak mampu menghadapi gabungan Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang menguasai Majlis dan mereka telah menerima konsep jus soli yang disyaratkan oleh penjajah British.

    Penyusunan masyarakat pada zaman penjajah yang membiarkan kawasan majoriti Melayu Islam dan bumiputera, kawasan yang paling besar di Malaysia Timur, Pantai Timur Semenanjung dan di kawasan utaranya mengakibatkan mereka terpinggir daripada kemudahan asas (infrastruktur). Termasuklah kemudahan dari aspek pendidikan dan pelajaran. Selain itu, lebih banyak kawasan petani miskin dan nelayan yang terbiar.

    Hal ini berbeza dengan kawasan yang paling ramai didiami kaum yang dibawa masuk, apabila mereka ditempatkan di bandar utama seperti kawasan perindustrian, perdagangan dan pelabuhan, serta ladang dan kebun yang luas. Sehingga mereka menguasai ekonomi, sedangkan bangsa Melayu dan bumiputera terus ketinggalan dalam semua perkara.

    Masyarakat Melayu Islam yang berpegang dengan agama mereka, sekali-kali tidak mengambil tindakan yang agresif. Sehingga kelompok kecil daripada kalangan kaum lain walaupun hanya satu keluarga, boleh hidup di tengah-tengah majoriti masyarakat Melayu yang sangat besar.

    Bahkan, kaum tersebut juga boleh berniaga dengan bebas dan maju dalam keadaan orang Melayu tidak berminat atau tidak mampu berniaga kerana menghadapi saingan dengan mereka yang lebih berpengalaman dan berpersatuan. Mereka juga masih bebas menganut agama masing-masing, juga diizinkan membuka sekolah bahasa dan menghidupkan budaya kaum masing-masing. Suatu keadaan yang tidak berlaku di negara-negara yang lain.

    Maka, tuduhan fanatik perkauman terhadap orang Melayu dan golongan bumiputera adalah satu tohmahan yang sangat zalim dan menyentuh sensitiviti masyarakat yang perlu dijaga.

    Apakah penyelesaian kepada isu masyarakat majmuk yang dibentuk masalahnya oleh penjajah ini?

    Mereka membentuk masyarakat majmuk laksana meninggalkan bom jangka yang boleh diletupkan pada bila-bila masa sahaja. Bahkan, boleh merosakkan kita semua yang berada dalam satu bahtera Malaysia yang melayari perjalanannya menghadapi gelombang politik dalaman dan antarabangsa. Dalam pada itu, kita tidak boleh membuang atau menghapuskan sifat majmuk yang terbentuk sebegini rupa.

    Penyelesaian pelbagai ideologi yang lain dalam dunia telah menemui kegagalan, apabila kita menyaksikan terungkainya Kesatuan Soviet (Soviet Union) pada abad yang lalu. Mereka itu berideologi komunis atau sosialis yang paling ekstrem. Kejatuhan mereka menandakan kegagalan blok sosialis dan juga semua mazhabnya.

    Kini pula, kita menyaksikan kekalahan liberal kapitalisme yang bersifat tidak adil dalam politik yang menjajah dan memonopoli kuasa besar di negara Barat (Eropah dan Amerika). Kekalahan yang dihadapi di Afghanistan adalah suatu permulaan ajal bagi liberal kapitalisme.

    Golongan liberal kapitalisme berslogankan kebebasan demokrasi Barat yang menjajah atas nama demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia dengan pendekatan neo-kolonialisme yang mempermainkan negara dan bangsa yang lemah. Keadaan yang pernah berlaku sebelum ini, sebagaimana yang berlaku di Vietnam dan Iraq.

    Sikap yang sederhana pada dasarnya telah ditunjukkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai sebuah parti yang berlandaskan Islam mendahului konsep bangsa, bahkan termasuk juga UMNO yang meletakkan asas kebangsaan di hadapan juga tidak melampau kerana masih mempunyai roh Islam. Begitu juga parti yang paling baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mempunyai persamaan.

    Jangan mengambil kira tindakan yang sangat terpencil dengan kenyataan lisan dan tulisan sahaja, kerana ia tidak akan mampu membakar hangus situasi hubungan antara kaum. Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, ia tidak akan melarat sepertimana yang berlaku di negara lain.

    Walaupun terdapat parti perkauman yang ekstrem dengan tuntutan-tuntutan melampau tanpa menghormati hak yang telah diberikan, bahkan ada juga yang membawa ideologi yang melampau bertapak di sini, tetapi semuanya tidak boleh menguasai keadaan stabil yang wujud.

    Namun begitu, cahaya Islam sekali-kali tidak boleh dipadamkan oleh penjajah yang bertali arus datang ke negara ini. Bermula dengan kedatangan Portugis pada tahun 1511 ke Melaka, dan kemudiannya diikuti dengan penjajah Belanda dan Inggeris.

    Walau bagaimanapun, cahaya Islam masih tetap hidup dalam masyarakat rumpun Melayu yang menganutnya. Sekalipun bangsa Melayu masih belum berkuasa sepenuhnya sepertimana yang telah diaturkan oleh penjajah sebelum kemerdekaan, dan bangsa Melayu pernah berdaulat sebelum kedatangan penjajah.

    Hal ini menjadi suatu hikmah yang berharga, apabila kemerdekaan yang dicapai menerusi rundingan kemerdekaan akhirnya berjaya meletakkan beberapa tonggak yang penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya ialah Islam menjadi Agama bagi Persekutuan, hak Melayu Islam dan bumiputera serta kedudukan institusi Raja Berperlembagaan.

    Perkara tersebut melahirkan keadaan yang istiqamah, sekiranya Islam diberikan peranan untuk menunjukkan semula konsep perpaduan umat dalam masyarakat majmuk yang pernah dijayakan dalam sejarahnya. Konsep perpaduan umat mengikut ‘road map’ yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan negara masyarakat majmuk yang membawa kejayaan yang bersejarah, walaupun selepas kewafatan Baginda SAW sehingga beberapa abad selepas itu.

    Rasulullah SAW memulakan langkah mendirikan negara dengan mendahulukan perpaduan umat dalam kalangan penganut Islam daripada kelompok Muhajirin yang berasal daripada Makkah, dan kelompok Ansar iaitu penduduk Madinah daripada kalangan Aus dan Khazraj. Termasuklah juga kabilah Arab yang lain, bersama individu bukan Arab seperti Bilal bin Rabah RA dan Salman al-Farisi RA.

    Seterusnya, diikuti dengan penyertaan kaum bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam daripada kalangan Yahudi, Kristian dan Musyrikin. Mereka semua menerima kepimpinan Islam yang diberikan peluang memimpin, setelah melihat kegagalan kepimpinan mereka sendiri.

    Dalam konteks kehidupan bermasyarakat majmuk, Rasulullah SAW menggalakkan kepada umat agar menimba ilmu dan mengambil pengalaman yang berfaedah daripada kaum bukan Islam dalam urusan duniawi. Sehingga, akhirnya berjaya mewujudkan ilmu yang dimasukkan roh Islam dan dapat mengawasi kemajuannya kepada perkara-perkara yang positif dan menolak segala aspek yang negatif.

    Sejarah mencatatkan bahawa revolusi yang berlaku di Eropah adalah hasil daripada mereka memanfaatkan Tamadun Islam, tetapi tanpa panduan agama yang memberikan hidayah. Kini, dapat disaksikan tanda-tanda kemusnahannya kerana kemajuan Barat yang terpisah daripada agama atau agamanya tidak berkuasa.

    PAS mengambil teladan daripada Rasulullah SAW dengan memulakan langkah penyatuan umat Islam. Kita bermula dengan pembentukan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan PAS bersama UMNO dan BERSATU di Semenanjung. Setelah itu, diikuti dengan gagasan yang lebih besar bersama parti-parti di Sarawak, Sabah dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem atas nama Perikatan Nasional (PN). Sehingga akhirnya berjaya mengambil alih kuasa secara Demokrasi Berparlimen.

    Penyelesaian Islam wajib diberikan peranan bagi menyelamatkan negara yang bermasyarakat majmuk, walaupun ia dipaksa oleh penjajah untuk dijadikan sebagai bom jangka. Adapun kita semua wajib mematikan tujuan jahat penjajah itu. Apa yang berlaku sebenarnya mengandungi hikmah yang besar, supaya Islam diberikan gilran semula bagi menyelamatkan manusia.

    Para ulama’ membahagikan umat manusia yang disampaikan mesej Islam kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah “ummah al-ijabah”, iaitu mereka yang telah menganut Islam, manakala kumpulan kedua ialah “ummah al-da‘wah” iaitu seluruh manusia yang diajak bersama Islam. Sama ada mereka menganut Islam tanpa paksaan, atau berada di bawah naungan pemerintahan Islam yang adil kepada semua.

    Kita semua hendaklah menjadikan titik pertemuan yang asal iaitu masyarakat manusia merupakan sebuah keluarga besar yang berasal daripada kedua-dua ibu bapa yang sama (Adam AS dan Hawwa’ AS). Kemudiannya, masyarakat dipecahkan kepada berbagai-bagai bangsa dan suku kaum yang bertebaran di seluruh pelosok dunia.

    Setelah itu, keadaan manusia yang bertebaran telah menemukan mereka untuk hidup bermasyarakat dan saling berhajat antara satu sama lain. Hal ini demikian kerana, kebolehan setiap orang dan pemilikan sumber hasil yang berlainan tetapi masing-masing saling memerlukan.

    Islam pernah memerintah wilayah yang besar dan masyarakat yang lebih majmuk pada zaman belum ada kemudahan sepertimana pada hari ini. Maka, masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia adalah lebih kecil daripada itu.

    Islam tidak melarang kecintaan kepada kaum dan bangsa, tetapi yang dilarang ialah sifat ‘asabiyyah (fanatik perkauman). Ini kerana sabda Rasulullah SAW:

    لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ.

    “Bukan daripada kalangan kami orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar ‘asabiyyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati atas dasar ‘asabiyyah.” (Riwayat Abu Dawud 5121)

    Kemudian dalam riwayat hadis yang lain, Rasulullah SAW ditanyakan:

    يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ؟

    “Apakah yang dimaksudkan dengan ‘asabiyyah itu wahai Rasulallah?”

    Sabda Baginda SAW:

    ‏أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ‏.‏ ‏

    “Bahawa kamu menolong kaummu atas dasar kezaliman.” (Riwayat Abu Dawud 5119)

    Oleh yang demikian, kami memperkenalkan penyelesaian Islam yang menjadikan manusia sebagai satu keluarga besar daripada Adam AS dan Hawwa’ AS. Sekali gus mewajibkan bertolong-tolongan antara satu sama lain dalam hubungan masyarakat madani yang majmuk laksana sebuah keluarga.

    Kita janganlah sekali-kali mengundang kuasa asing untuk membuat perubahan yang gopoh, semata-mata bagi mendapatkan kuasa. Laksana merawat masalah dengan racun yang membunuh.

    Kita menolak teori perpaduan berasaskan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menghapuskan rupa bangsa yang diciptakan oleh Allah Pencipta alam, dan juga melupakan peristiwa jus soli yang telah ditelan zaman.

    Marilah kita bersatu pada titik persamaan dengan semangat Keluarga Malaysia. Janganlah bertindak melampau dalam perbezaan sesama kita, tetapi sentiasa berbincang dengan penuh kebijaksanaan mencari kebenaran dalam perkara yang berbeza dan bertelingkah antara satu sama lain.

    Firman Allah SWT:

    ﴿وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ٣٤ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ٣٥ وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٣٦﴾

    “Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’ (33); Dan tidaklah sama (kesan dan hukum) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34); Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan, melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar. Dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan, melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat. (35); Dan jika kamu dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36).” (Surah Fussilat: 33-36)

    Datuk Seri Abdul Hadi Awang ialah Presiden PAS. Artikel ini dipetik dari Facebook beliau.