Tag: meninggal dunia

  • Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat meninggal dunia

    Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat meninggal dunia

    BEKAS Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Idris Jusi dilaporkan meninggal dunia semalam.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan berita pemergian Mohd. Jusi
    melalui perkongsian dalam Facebook miliknya lewat malam tadi.

    Anwar dalam hantarannya semalam turut menyatakan rasa duka dan mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham.

    “Menerima khabar duka, sahabat lama saya yang juga mantan Ahli Parlimen Batu Pahat dan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Mohd. Idris Jusi telah meninggal dunia.

    “Saya utuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga mereka tabah menempuh dugaan ini.

    “Moga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Dalam kemas kini menerusi Facebook lewat malam tadi, Anwar dilihat bersama ahli keluarga Allahyarham menantikan persiapan jenazah.

    “Bersama keluarga Allahyarham Datuk Mohd. Idris Jusi tatkala menunggu jenazah diuruskan sebelum di bawa ke Kepong untuk dikebumikan,” tulis Anwar.

    Allahyarham yang juga calon PKR sebelum ini pernah bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan menewaskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

  • Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    Isteri ADUN Pengkalan Kubor meninggal dunia

    ISTERI kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, meninggal dunia, petang tadi.

    Allahyarham Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, menghembuskan nafas terakhir jam 6.55 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

    Pengawai Khas Wan Roslan, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, arwah sebelum ini menghidap penyakit jantung dan baru sahaja menjalani pembedahan pintasan (bypass) di sebuah hospital swasta.

    “Arwah mengalami masalah paru-paru berair selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital swasta selama 26 hari sebelum dipindahkan ke HUSM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Anas Karimi berkata jenazah Allayarham akan dikebumikan di Kampung Kutan, di Tumpat, malam ini.

    Terdahulu pengendali laman Facebook Wan Roslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, turut memaklumkan mengenai pemergian Wan Norihan. – BERNAMA

  • Bekas isteri Trump mungkin mati akibat jatuh tangga

    Bekas isteri Trump mungkin mati akibat jatuh tangga

    IVANA Trump, bekas isteri Donald Trump, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian perut, kata ketua forensik bandar raya New York dan memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat kemalangan.

    Paramedik Manhattan menemui wanita berusia 73 tahun itu di pangsapuri Upper East Side selepas menerima panggilan kecemasan akibat serangan jantung pada Khamis. Ivana Trump diisytihar meninggal dunia pada tengah hari berkenaan.

    Pejabat forensik tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara yang menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut itu, lapor United Press International (UPI) yang dipetik CBS News.

    Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Bandar Raya New York memberitahu NBC News, kematiannya disyaki akibat terjatuh tangga di pangsapurinya.

    Sumber berkata kematiannya tidak dikategorikan sebagai mencurigakan.

    Ivana Trump adalah isteri pertama kepada bekas presiden Donald Trump dan pasangan itu dikurniakan tiga anak, Donald Trump Jr., Eric Trump dan Ivanka Trump.

    Beliau bercerai dengan Trump pada 1992. – BERNAMA

  • ‘Giant killer’ Sabah Kadoh Agundong meninggal dunia

    ‘Giant killer’ Sabah Kadoh Agundong meninggal dunia

    VETERAN politik Sabah yang juga digelar ‘giant killer’, Datuk Kadoh Agundong, meninggal dunia di Hospital KPJ Damai dekat Kota Kinabalu akibat sakit tua pada kira-kira 12 tengah malam tadi.

    Berita itu disahkan oleh sepupu mendiang, Stanis Buandi ketika ditemui pada persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka di Kota Kinabalu, hari ini.

    “Ya, mendiang (Kadoh) lama sudah sakit tenat sebelum dimasukkan ke KPJ beberapa bulan lepas dan semalam beliau meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

    Kadoh, 74, meninggalkan isteri, Datin Catherine Soledad Kadoh, 60, dan empat orang anak serta sembilan cucu.

    Mendiang Kadoh yang mewakili PBS, terkenal dengan nama gelaran ‘giant killer’ kerana berjaya menumbangkan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dari Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), pada Pilihan Raya Negeri Sabah 1985.

    Mendiang yang berasal dari daerah Tenom merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap dan bekas Ahli Parlimen Ulu Padas kini dikenali Parlimen Tenom.

    Sepanjang berkecimpung dalam politik, Kadoh pernah menggalas jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri pada era kerajaan PBS.

    Beliau juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden PBS pada era 80-an bagaimanapun mengumumkan menyertai Parti Warisan pada 21 Dis 2019. – BERNAMA

  • Penyanyi, pelakon terkenal Adibah Noor meninggal dunia

    Penyanyi, pelakon terkenal Adibah Noor meninggal dunia

    PENYANYI dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar atau lebih dikenali sebagai Adibah Noor, 51, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, pada kira-kira 7.45 malam tadi.

    Berita kematian itu disahkan dan dikongsi oleh rakan-rakan artis menerusi media sosial antaranya Datin Emylia Rosnaida Abdul Hamid.

    Sementara itu, penyanyi dan pelakon Ani Mayuni atau nama penuhnya Aishah An-Nur Osman ketika dihubungi berkata Adibah pernah memberitahunya bahawa dia menghidap penyakit kanser namun meminta agar perkara itu dirahsiakan.

    “Arwah minta jangan hebohkan mengenai dia sedang menanggung kesakitan,” katanya menambah kesihatan arwah semakin merosot selepas menyertai program pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV).

    “Selepas habis GV dan masa nak shooting GV Raya, masa itu Arwah mula demam sekejap sekejap dan lama sangat dia dimasukkan ke dalam wad. Rasa macam pelik kenapa tak keluar (dari hospital)?, ingatkan COVID-19 tetapi bila tanya secara peribadi, baru dapat tahu dia ada kanser dan baru sahaja jalani pembedahan.

    “Arwah sedang berpantang, nak berehat dan tak ambil show semua, yang kamu tengok dia muat naik gambar, masa dia dah kurus baru-baru ini, itu adalah shownya yang pertama selepas berehat,” kata Ani yang merupakan bekas peserta GV pada musim sama disertai Adibah Noor.

    Sementara itu, Emylia Rosnaida dalam hantaran di laman Facebooknya berasa terkejut dan sedih dengan berita pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang artis yang serba boleh.

    Pelakon Dynas Mokhtar turut meluahkan kesedihannya menerusi hantaran di akaun Instagram beliau.

    “Saya masih terkejut! KakDip (Adibah Noor) seorang periang, mengambil berat dan mempunyai suara yang merdu. Saya akan merindui awak KakDip. Hilang di mata, tapi di dalam hati jangan,” katanya.

    Allahyarhamah Adibah merupakan penyanyi dan penulis lirik lagu hit ‘Terlalu Istimewa’ pada 2005, dicipta khas sebagai penghormatan terhadap tragedi pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa kes jenayah pedofilia.

    Pelakon filem Sepet dan Mukhsin itu juga dikenali dalam pelbagai iklan televisyen dan pernah bertugas sebagai penyampai Radio Suria FM.

    Sebelum melangkah ke dalam karier seni, penyanyi bersuara lunak itu merupakan guru bahasa Inggeris, penterjemah untuk syarikat korporat dan duta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Sepanjang karier seninya, Adibah pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Balada Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006. – BERNAMA

  • Hamid Gurkha meninggal dunia hari ini

    Hamid Gurkha meninggal dunia hari ini

    PELAKON komedi Hamid Gurkha dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang petang ini.

    Memetik laporan Astro Awani, Allahyarham yang berusia 90 tahun meninggal dunia akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain pada pukul 2.19 petang tadi.

    Hamid Gurkha dimasukkan ke hospital enam hari lalu, namun keluarganya menafikan arwah dalam keadaan tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan hanya terlantar atas katil selepas dijangkiti COVID-19 pada Februari lalu.

    Bintang yang dikenali menerusi komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978, dilaporkan tidak pernah menghidap penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan keadaannya yang semakin uzur pada usia menginjak 90 tahun.

    Beliau juga pernah membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombie Kampung Pisang.

    Hamid mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid, 80 pada April 1957 dan dikurniakan lapan cahaya mata.

    Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.

  • Mahaguru Taekwondo Saberi Salleh meninggal dunia

    Mahaguru Taekwondo Saberi Salleh meninggal dunia

    TOKOH seni bela diri Taekwondo dan Pengasas Global International Taekwondo Federation (GITF ), Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh meninggal dunia pada usia 72 tahun pada pukul 7.33 pagi tadi.

    Perkara tersebut telah disahkan oleh anak Allahyarham, Shareen dan Suzlan.

    Allahyarham Saberi, bekas dekan pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu dilaporkan berada dalam keadaan yang tenat dan telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam akibat pelbagai komplikasi awal Mei lepas.

    “Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya dimaklumkan bahawa ayahanda kami Md Saberi Md Salleh telah kembali menemui penciptanya pada pukul 7.33 pagi, Selasa 14, Jun 2022.

    “Dengan rendah diri, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan agar ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dikasihi-Nya” menurut kenyataan ringkas daripada keluarganya.

    Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Amin Kuarters Polis Seksyen 20 Shah Alam untuk urusan selanjutnya.

    Pada 2006 Allahyarham mendapat sokongan 32 negara anggota gabungan untuk menubuhkan GITF sekali gus menjadi presiden.

    Beliau seorang antara bukan warga Korea yang dilatih secara peribadi oleh mendiang Jeneral Choi Hong Hi iaitu pengasas taekwondo di negara Asia Timur dan mantan Presiden Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF).

    Saberi juga terkenal sebagai Pengasas Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF), Pengasas Akademi Taekwondo Sabree dan penerima International Hall of Fame Award 2008 The World Head of Family Sokeship Council yang hanya dianggotai pakar seni bela diri seperti Jackie Chan dan Chuck Norris.

    Pada Januari 2010, Saberi dianugerahkan Tali Pinggang Hitam Tahap Ke-10 dan gelaran Mahaguru Agung (Grandmaster Chong Kwan Jang Nim) daripada Persekutuan Song Do Kwan Kong Soo Doo. – BERNAMA

  • Pengarah APM Melaka meninggal dunia selepas rebah di pejabat

    Pengarah APM Melaka meninggal dunia selepas rebah di pejabat

    PENGARAH Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini.

    APM Melaka dalam kenyataan memaklumkan, Cuthbert John Martin, 47, menghembuskan nafas terakhir di jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira 10 pagi tadi.

    Mendiang yang berasal dari Keningau, Sabah dilaporkan rebah secara tiba-tiba di pejabatnya di Ayer Keroh sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu.

    Beliau pernah berkhidmat di APM Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Pengarah APM Melaka berkuat kuasa 1 Jan 2021.

    Menurut kenyataan itu, bedah siasat ke atas mendiang akan dijalankan di hospital tersebut sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Keningau untuk disemadikan. – BERNAMA

  • Tun Arshad tokoh pendidikan negara, perkasa sistem pengajian tinggi

    Tun Arshad tokoh pendidikan negara, perkasa sistem pengajian tinggi

    NEGARA kehilangan seorang tokoh pendidikan dihormati dan disegani yang banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi apabila pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM), Tun Arshad Ayub, 93, menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi.

    Allahyarham berkhidmat sebagai Pengarah ITM sejak 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sepanjang tempoh hampir lapan tahun menerajui institusi pengajian tinggi itu, menyaksikan ITM meraih pelbagai kemajuan dalam melahirkan modal insan Bumiputera sehinggakan Arshad digelar ‘arkitek’ pembangunan dan perkembangan unggul ITM.

    Sepanjang hayatnya, Arshad menabur bakti di UiTM seterusnya dilantik sebagai Pro-Canselor setelah bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.

    Allahyarham juga pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri selain pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

    Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik sebagai Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

    Ketika berusia 23 tahun, Allahyarham mula berkhidmat dengan Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) pada September 1951 sebagai Penolong Pegawai Kadet Pembangunan Kampung.

    Allahyarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

    Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan menyifatkan jasa Allahyarham dalam mendidik anak bangsa sebagai tiada tolok bandingnya.

    “Tun Arshad adalah tokoh yang mencipta sejarah dan memberi peluang kepada semua pelajar sama ada yang baik atau kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memperoleh ilmu sehingga mencapai tahap tertinggi (ijazah dan kelayakan profesional).

    “Pada hari ini, ramai pemimpin perniagaan di sektor korporat dan sebagainya adalah anak-anak didik ITM, ini (hasil) jasa Allahyarham semasa mengasaskan ITM, beliau memperkenalkan kursus-kursus dalam bidang profesional termasuk peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),” katanya.

    Keluarga Allahyarham menerusi satu kenyataan pagi ini memaklumkan jenazah Allahyarham ketika ini masih berada di hospital.

    Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.

    Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, Arshad yang pernah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Gaji Harun berada di luar negara untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958) dan IMD Business School, Lausanne, Switzerland (1963).

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan. – BERNAMA

  • Bekas Speaker Dewan Negara Abang Ahmad Urai meninggal dunia

    Bekas Speaker Dewan Negara Abang Ahmad Urai meninggal dunia

    BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya di Kuching, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

    Berita kematian tersebut disahkan pembantu peribadi Allahyarham ketika dihubungi Bernama hari ini.

    “Tan Sri (Abang Ahmad Urai) telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Normah selepas rebah ketika menghadiri satu acara di sebuah hotel (di Kuching). Beliau meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi.

    “Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Jalan Muda Hashim pagi ini,” katanya.

    Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Masjid Bahagian di Kuching, selepas Zohor.

    Abang Ahmad Urai, 89, merupakan Yang Dipertua Dewan Negara dari 1988 hingga 1990.

    Allahyarham juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

    Sementara itu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Abang Ahmad Urai sebagai seorang yang banyak berjasa dalam arena politik Sarawak.

    Beliau berkata allahyarham telah terlibat dalam politik sebelum kemerdekaan dan turut menyumbang jasanya dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    “Sudah tentu PBB kehilangan pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman, dan secara peribadi saya kehilangan seorang ayah saudara (Allahyarham Tan Sri). Beliau di antara  generasi tua yang banyak memberi nasihat kepada kita generasi muda dalam sudut bagaimana hendak berkhidmat dengan masyarakat,” katanya.

    Beliau yang juga Presiden PBB berkata demikian semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Gawai di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini. – BERNAMA