Tag: Lompat parti

  • DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

    Usul pindaan itu dibawa oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan mendapat sokongan sebulat suara tanpa dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Kelantan ke-14 di sini.

    “Tujuan pindaan dilaksanakan adalah bagi memastikan Enakmen Anti-Lompat Parti sekata dan selaras dengan apa yang telah diputuskan di Parlimen sebelum ini,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu. 

    Speaker Datuk Abdullah Ya’kub pula berkata pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    Akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 Sept lepas.

    Persidangan bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA

  • Saya bukan pengkhianat, tak pernah lompat parti – Azmin

    Saya bukan pengkhianat, tak pernah lompat parti – Azmin

    KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan mengatakan beliau dan kumpulannya sebagai pengkhianat kerana terbabit dalam ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.

    Bekas Timbalan Presiden PKR itu sebalikya menegaskan, pengkhianat sebenar adalah pihak yang terbabit dalam dua langkah politik lain iaitu Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson.

    Langkah Kajang merujuk pada rancangan menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dengan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 2014, namun gagal selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat.

    Langkah Port Dickson pula menyaksikan Ketua Pembangkang itu bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson bagi membolehkan beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, namun gagal selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan.

    Menurut Mohamed Azmin, pihak yang terbabit dalam kedua-dua langkah politik itu adalah pengkhianat sebenar, selepas wakil rakyat yang masih berkhidmat dipaksa meletakkan jawatan bagi memenuhi ‘nafsu serakah seseorang’.

    “Pengkhianat sebenar adalah mereka yang lakukan PRK di Kajang. Mengapa tidak fokus pada Langkah Kajang, Langkah Port Dickson, tetapi fokus pada Langkah Sheraton saja.

    “Sedangkan Langkah Kajang adalah satu pengkhianatan mutlak, apabila wakil rakyat yang masih hidup, masih berkhidmat dan dipilih pada pilihan raya umum (PRU), tetapi oleh kerana nafsu serakah seseorang, maka dipaksa meletak jawatan untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

    “Begitu juga di Port Dickson, apabila wakil rakyat yang masih hidup, berkhidmat dan dipilih ketika PRU, dipaksa meletak jawatan untuk memenuhi nafsu serakah seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri? Apakah ini bukan pengkhianatan?” katanya ketika temu bual dalam rancangan Agenda AWANI, lapor Berita Harian.

    Beliau mempertahankan Langkah Sheraton, yang merujuk pada tindakan BERSATU dan 11 Ahli Parlimen PKR dirinya keluar daripada Pakatan Harapan (PH), menyebabkan gabungan itu hilang majoriti sebagai kerajaan.

    Mohamed Azmin berkata, peristiwa itu berbeza dengan Langkah Kajang dan Port Dickson, yang mana tiada sesiapa dipaksa meletakkan jawatan, selain ia didakwa memperkukuh kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    “Malangnya, oleh kerana pergaduhan dan perebutan kuasa dalam PH itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir meletak jawatan.

    “Mengapa dipersalahkan saya atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan berlakunya kekosongan itu kerana Perdana Menteri meletak jawatan, maka proses penggantian dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Pada masa sama, Mohamed Azmin menegaskan tidak pernah melompat parti ketika itu, sebaliknya beliau dipecat oleh PKR, sekali gus tidak sepatutnya digelar ‘katak politik’.

    “Saya tak pernah lompat (parti). Tuduhan bahawa kita golongan katak adalah tidak berasas kerana saya dan kumpulan saya dipecat akibat tidak wujud demokrasi dalam parti lama.

    “Saya dipecat kerana menegur seseorang yang terlalu rakus untuk berkuasa dalam negara. Apakah itu salah? Saya menegur kerana melihat PH gagal melaksanakan dasar yang peduli dan prihatin rakyat,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menuduh PH gagal memenuhi aspirasi rakyat, menyebabkan kerajaan yang dibentuk dengan mandat rakyat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu gagal dipertahankan.

    Sebagai contoh, katanya, tindakan lapan menteri PH mendesak Perdana Menteri ketika itu menukar lapan Ketua Setiausaha kementerian dilihat sebagai cuba bergaduh dengan anggota pentadbiran awam.

    “Banyak juga peruntukan pembangunan dipadamkan, menyebabkan sesuatu kaum dalam negara rasa tertekan.

    “Selain itu, beberapa kenyataan keras bersifat keterlaluan (oleh pemimpin PH) menyebabkan rakyat tidak rasa harmoni duduk dalam pentadbiran PH,” katanya.

  • Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    Kalau BN kalah sama juga, ramai akan masuk Bersatu – Hamzah

    SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat andaian sama berhubung dakwaan ramai ahli dan pemimpin parti itu akan menyertai UMNO jika kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurutnya, amalan melompat daripada satu parti ke parti lain membabitkan ahli mahupun pemimpin mana-mana parti politik adalah perkara biasa sejak lama dahulu.

    Beliau menjelaskan, perbuatan itu adalah perkara sama yang dilakukan oleh semua pihak, bukan satu parti sahaja.

    “Kalau BN tidak berjaya dalam PRU-15 ramai ahli UMNO akan lompat masuk ke kita (Bersatu).

    “Jadi sama sahaja… akan ada ahli dan pemimpin akan melompat untuk sertai UMNO atau Bersatu,” katanya menurut Sinar Harian.

    Demikian reaksi ringkas beliau ketika menjawab dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan Bersatu akan menyertai UMNO atau Pas selepas PRU-15.

    Hamzah sebelum itu hadir pada majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Rabu.

    Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Pada 16 Oktober lalu, Isham dilaporkan berkata, kegagalan Bersatu untuk menang besar pada PRU-15 akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada UMNO atau menyertai PAS.

    15 Oktober lalu media melaporkan 338 ahli UMNO Bachok menyertai Bersatu dan akan membantu kemenangan parti itu pada PRU-15.

    Mereka menghantar borang permohonan keahlian diketuai Ketua Cawangan UMNO Senok Tok Pakeh, Che Ramli Haron ketika Program Selamat Tinggal UMNO di Pantai Senok.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Zulkifli Zakaria berkata, Bersatu menganggarkan lebih 5,000 lagi ahli UMNO menyertai parti berkenaan.

    Bagaimanapun, bagi ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menang kerusi masing-masing mungkin menghadapi masalah untuk melompat parti kerana undang-undang antilompat bakal dikuatkuasakan.

    Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen lompat parti diwartakan pada 6 September lalu setelah Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan, namun tarikh penguatkuasaannya belum ditetapkan lagi.

  • Ahli Parlimen dianggap lompat parti jika lakukan tiga perkara ini

    Ahli Parlimen dianggap lompat parti jika lakukan tiga perkara ini

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

    Beliau berkata, apabila seorang Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan telah melompat parti.

    “(Kedua) Seorang Ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

    “Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

    Wan Junaidi berkata tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

    Beliau berkata, ini kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana semasa pilihan raya, rakyat memilih Ahli Parlimen itu disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas serta berkemungkinan menolak calon lain.

    “Sekiranya Ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari beliau dipecat (sebagai Ahli Parlimen) dan ia akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Wan Junaidi berkata, jika rang undang-undang berkenaan diluluskan maka ia akan dikuatkuasakan secara prospektif dan bukannya retrospektif, malah majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan draf pentadbiran rang undang-undang itu menerusi hasil sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan rang undang-undang ini tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat kembali kepada rakyat sekiranya berlaku lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya.

    Beliau bagaimanapun berkata, rang undang-undang yang sedang digubal itu mempunyai tiga pengecualian iaitu apabila parti politik terbubar dengan sendirinya maka Ahli Parlimen daripada parti itu tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

    “Kedua, apabila seseorang itu (Ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahlian dia dalam parti tidak dikatakan melompat parti dan dia kekal menjadi ahli.

    “Ketiga, penggabungan antara parti dengan parti lain. Itu hak parti untuk bergabung. Contohnya dalam satu gabungan yang besar, satu parti hendak keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti,” katanya.

    Sementara itu dalam satu kenyataan, Wan Junaidi berkata rang undang-undang itu hanya akan melibatkan wakil rakyat sahaja dan bukan senator, kerana Ahli Parlimen mendapat mandat daripada rakyat di kawasan mereka dan ia perlu dilaksanakan.

    “Undang-undang yang akan digubal ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar.

    “Sehubungan itu, penggubalan rang undang-undang ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda,” katanya.

    Wan Junaidi berkata kerajaan telah melaksanakan enam sesi libat urus termasuk bersama Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, Ahli Dewan Negara serta wakil parti politik, bagi menjelaskan perkara-perkara dasar berkenaan rang undang-undang tersebut.

    Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik yang dijangka disertai wakil kerajaan dan pembangkang, untuk memperhalusi perkara-perkara utama berkenaan rang undang-undang itu juga akan bersidang.

    Menurut Wan Junaidi pada 24 Mac lepas beliau memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri, akan diadakan pada 11 April depan.

    Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini, katanya. – BERNAMA

  • Bapa Pengerusi DAP Sarawak pun pernah lompat parti

    Bapa Pengerusi DAP Sarawak pun pernah lompat parti

    PENGERUSI DAP Sarawak, Chong Chieng Jen diberi ‘peringatan mesra’ bahawa bapanya, Chong Siew Chang pernah melompat parti satu ketika dahulu.

    Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh berkata, Siew Chang meninggalkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menubuhkan DAP Sarawak pada tahun 1978.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan Chieng Jen agar tidak bersikap terlalu kritikal dengan mereka yang melompat parti.

    “Kami ingin secara mesra mengingatkan Chieng Jen agar tidak terlalu meletakkan dirinya atau DAP di kedudukan tinggi dengan menolak ‘katak’ dan mengaggap dia mempunyai moral yang tinggi, atau bersikap menghukum terhadap sesiapa yang menukar parti politik.

    “Pada masa sama, kami juga tidak menafikan ada beberapa contoh yang boleh memburukan imej semua yang berbuat demikian. Mengapa Chieng Jen begitu bersungguh untuk menyamakan setiap pemimpin atau ahli politik?

    “Mungkin dia juga perlu mengkritik bapanya sendiri yang lompat daripada SUPP, sebuah parti Sarawak, untuk menyertai DAP iaitu parti dari semenanjung dan dituduh SUPP melakukan sabotaj terhadap Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Rahman Yakub,” kata Wong seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Soon Koh berkata, beliau tidak mahu ‘membuka luka lama’ dan menghormati Siew Chang kerana meninggalkan SUPP kerana prinsip.

    “Ia memang soal prinsip dan PSB turut berpegang kepada perjuangan sama dengan senior Chong, menerusi platform politik berbeza tanpa berkompromi dengan prinsip kami,” katanya lagi.

    Terdahulu, Chieng Jen ketika mengulas berkenaan kemungkinan kerjasama dengan PSB, membayangkan DAP Sarawak tidak akan bekerjasama dengan ‘katak politik’.

    Terdapat dua penyandang kerusi DUN daripada PSB yang sebelum ini keluar daripada PH, iaitu See Chee How (Batu Lintang) dan Baru Bian (Ba’kelalan).

    “Bagi DAP, di kawasan kami, ada seorang ‘katak’ yang merupakan penyandang dan kami bertegas yang dia tidak patut dicalonkan semula. Inilah cara kami berpegang kepada prinsip dan keputusan parti,” katanya.

    PSB adalah parti serpihan SUPP yang ditubuhkan pada 2014. Parti itu memiliki enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum DUN Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu.

    Parti itu dijangka mencalonkan ramai ahli politik veteran dalam PRN yang akan dilaksanakan Disember ini.

    Kata Soon Koh, Chieng Jen patut menghargai Baru dan Chee How yang berpegang dengan prinsip yang sama seperti bapanya berkaitan hak orang Sarawak, dan membayangkan mereka meninggalkan PKR untuk membebaskan diri daripada kawalan bekas ketua mereka di Kuala Lumpur.

  • RUU Pemecatan Ahli Parlimen tangani lompat parti

    RUU Pemecatan Ahli Parlimen tangani lompat parti

    AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan menghantar notis usul Rang Undang-undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

    Menurut beliau, langkah itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

    “Usul RUU yang dicadangkan bertajuk ‘Rang Undang-undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ dan saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihan Raya Pecat atau Recall Election dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Berhubung usul RUU tersebut, Azalina berkata, setela 64 tahun meraikan kemerdekaan negara, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat membelakangkan parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka.

    Beliau menambah, mereka juga melakukan perkara serupa terhadap masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu, lebih-lebih lagi rakyat yang telah menundi untuk wakil rakyat tersebut di atas kepercayaan perwakilan mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto yang dijanjikan.

    “Ramai rakyat mempersoalkan: Apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak- gadaikan mandat rakyat selepas pilihan raya?

    “Pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat.

    “Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan yang munasabah, dan bukan dicetuskan dari perpecahan parti politik yang memudaratkan,” jelasnya.

    Azalina memberitahu, persaingan politik perlu dimurnikan dan bukannya dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan.

    Beliau bepandangan, demi kemajuan negara, pemimpin politik generasinya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci.

    “Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” ujarnya.

    Azalina juga amat berbesar hati dengan perbincangan di antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Blok Pembangkang dan Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.

    Walau bagaimanapun, beliau ingin menyarankan bahawa bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah untuk memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen di mana pengundi boleh menarik balik mandat yang telah diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangkan mereka.

    “Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baru atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” katanya.

    Di samping itu, Azalina juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan ‘Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti’ di antara Ahli- ahli Parlimen yang berminat.

    “Ini adalah untuk memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara kita,” jelasnya,

    Beliau turutmengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada penyelidikan asal yang dilakukan oleh BERSIH 2.0 yang telah berjaya memberi pemahaman kepada orang awam tentang mekanisme pemecatan wakil rakyat.

  • Segerakan akta lompat parti, elak tawar menawar akibat tiada parti dominan

    Segerakan akta lompat parti, elak tawar menawar akibat tiada parti dominan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN melompat parti dalam kalangan wakil rakyat akan terus berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selagi tiada undang-undang yang menyekat ahli politik daripada berbuat demikian.

    Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berpendapat, akta berkaitan perlu digazetkan segera memandangkan fenomena politik hari ini menyaksikan tidak ada parti yang dominan untuk mengetuai kerajaan.

    Malah, pelaksanaan undang-undang itu juga berupaya mengelak situasi politik yang tidak stabil hingga tumbangnya kerajaan berpunca daripada wakil rakyat yang berpaling tadah.

    “Apabila tiada parti yang dominan ini akan mendorong untuk tawar menawar atau membeli wakil rakyat. Kerajaan tidak pernah akan stabil jika ini berterusan dan segala rancangan untuk negara akan tergendala,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas program pemberian sumbangan kepada petugas barisan hadapan sempena Hari Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mid Valley di Johor Bahru.

    Razrul Anwar mengulas ciapan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said di akaun Twitternya mengenai Akta Mencegah Lompat Parti baru-baru ini.

    Azalina mencadang untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ perlu dipertimbangkan bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat daripada melompat parti.

    Sementara itu, Razrul Anwar berkata, semua wakil rakyat wajar menyokong akta itu dalam usaha mewujudkan politik yang sihat selain menjamin masa depan negara yang tidak lagi terjerumus dalam krisis berpanjangan.

    Jelasnya, ini akan meletakkan penamat kepada amalan lompat parti setelah hak itu dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia yang menyebabkan perbuatan itu berleluasa.