Tag: ketum

  • Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Kereta bawa 5kg ketum musnah terbakar, pemandu hilangkan diri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAH kereta ditemukan terbakar dalam keadaan mencurigakan apabila pemandunya menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu di Jalan Kampung Tala, Sik Kedah, pagi ini.

    Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu dari orang awam kira-kira pukul 6 pagi.

    “Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Proton Saga itu terbabas sendiri di selekoh.

    “Pemeriksaan dijalankan terhadap kereta itu menemukan satu beg plastik terbakar yang disyaki berisi daun ketum seberat kira-kira lima kilogram,” katanya.

    Tambahnya, pemandu kenderaan itu tidak berada di lokasi kejadian.

    “Setakat ini kami masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu jurucakap bomba memaklumkan, kemusnahan kereta itu akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 90 peratus.

    “Kereta itu dipercayai terbabas lalu melanggar penghadang jalan dan terbakar. Pemandu tiada di lokasi dan nombor pendaftaran kereta tidak diperolehi.

    “Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki jentera. Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.22 pagi,” katanya.

  • Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    Suri rumah kantoi ‘meniaga’ jual air ketum

    POLIS menahan seorang suri rumah dipercayai menjadi pengedar air ketum menerusi satu serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di sekitar Jalan Tambun Tulang, Kampung Baru Arau semalam.

    Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menjumpai 150 bungkusan plastik dan sembilan botol berpenutup dipercayai mengandungi air ketum di lantai tandas di bahagian dapur rumah.

    “Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terlibat menjual air ketum dengan harga RM4 sebungkus dan RM10 sebotol di sekitar kawasan Kampung Baru Kepala 10 Tambung Tulang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Mohsin berkata, suspek berumur 40 tahun itu dipercayai mula aktif menjual air ketum sejak enam bulan lepas.

    Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Jun.

    “Barang rampasan dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – BERNAMA

  • 2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    2 lelaki gagal seludup 1.35 tan ketum ke Johor

    CUBAAN dua lelaki menyeludup daun ketum seberat 1.35 tan ke Johor Bharu gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, Kedah malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Supt Mohd Mahiri Hussin berkata, kedua-dua suspek berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam semasa sekatan jalan raya Op Bersepadu Luaran dijalankan.

    Katanya, semasa operasi, pegawai dan anggota dari Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 1 telah menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki di R&R Gurun dalam keadaan mencurigakan dan membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menjumpai 135 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun hijau yang dipercayai ketum. Setiap satu bungkusan plastik itu adalah seberat 10 kilogram dan anggaran keseluruhan berat bungkusan 1.35 tan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Alor Setar hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Johor Bahru itu dipercayai mengambil daun ketum berkenaan di Pokok Sena untuk dihantar ke Kluang dan Johor Bahru.

    “Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

    Dalam pada itu, Mohd Mahiri berkata operasi yang bermula pukul 9 malam itu melibatkan sembilan pegawai dan 56 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

    “Pihak polis mengeluarkan 52 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya manakala JPJ mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan temasuk membawa lebih muatan, membawa muatan berbahaya dan lesen tamat tempoh.

    “AADK pula melakukan saringan air kencing terhadap 33 individu dengan enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan heroin,” katanya. – BERNAMA

  • Penganggur kantoi jual ketum online

    Penganggur kantoi jual ketum online

    PERBUATAN seorang lelaki yang juga penganggur berjinak-jinak dalam kegiatan memproses, mengedar dan menjual ketum secara dalam talian sejak sebulan lalu membawa padah apabila dia ditahan polis Jumaat lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, suspek berusia 26 tahun tersebut ditahan di tepi jalan berhampiran Arena Square, Bandar Dungun oleh pasukan Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun (IPD) Dungun pada pukul 12.30 tengah malam.

    Susulan penahanan tersebut kata beliau, polis menerima maklumat mengenai sebuah rumah dipercayai disewa khas bagi memproses ketum di Kampung Sura Tengah, Dungun.

    Berdasàrkan hasil pemeriksaan ke atas rumah itu ujarnya, membawa kepada rampasan 14.2 kilogram (kg) daun dipercayai ketum, 289 liter cecair ketum (dibungkus dalam 289 plastik), 30 mililiter kodin, wang tunai berjumlah RM2,240 serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses ketum.

    Beliau berkata, sebahagian daripada 289 liter cecair itu dipercayai ketum yang diproses penganggur terbabit.

    Tambah beliau, siasatan awal ke atas suspek mendapati jualan ketum turut dilakukan secara dalam talian selain mengedar di tepi jalan kepada pelanggan dikenali.

    “Semua barangan rampasan (terutama ketum) yang dianggarkan bernilai lebih RM3,200 itu dipercayai mampu dibekalkan kepada 350 penagih di sekitar Dungun”, katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Tambah beliau, polis percaya suspek mungkin baharu sahaja mendapatkan bekalan beberapa hari lalu berdasarkan barangan yang dirampas.

    Selain itu katanya, polis juga percaya suspek mendapat bekalan daun ketum dari negeri di utara tanah air.

    Beliau berkata, suspek itu telah mendirikan rumah tangga dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin di mana kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Gagal seludup 3.1 tan ketum ke Thailand

    Gagal seludup 3.1 tan ketum ke Thailand

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan individu tertentu untuk menyeludup keluar daun ketum seberat 3.1 tan ke negara jiran, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya telah mengesan kegiatan pemunggahan bungkusan hitam yang mencurigakan di muara Kuala Sala di Kuala Kedah kira-kira pukul 6.45 pagi semalam.

    Sehubungan itu katanya, bot Perkasa 1226 yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman, digerakkan ke lokasi tersebut dan menemui sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama empat suspek, sedang memunggah bungkusan hitam tersebut di atas bot berkenaan.

    “Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek dipercayai warga tempatan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap bot tersebut mendapati terdapat 310 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum dianggarkan bernilai RM558,000, cuba disorok di bahagian tempat simpanan ikan,” katanya.

    Tambahnya, modus operandi kegiatan penyeludupan tersebut didapati berbeza kerana menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar, berbanding menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran sebelum ini.

    Tindakan itu katanya, dipercayai dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Kami percaya bot tersebut sedang menunggu masa sesuai untuk keluar ke sempadan negara.

    “Kesemua bungkusan ketum tersebut termasuk bot nelayan yang dianggarkan bernilai RM60,000, dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Kalau penyeludup ketum sanggup beri pandangan, apa salahnya? – MB Kedah

    Kalau penyeludup ketum sanggup beri pandangan, apa salahnya? – MB Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak terlibat bagi mendapatkan pandangan dan pendapat mereka sebelum mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan pengeksportan ketum ke Thailand.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara pihak yang dimaksudkan termasuklah agensi penguatkuasaan, pekebun serta penanam ketum.

    Malah menurut beliau, sesi libat urus itu juga mungkin akan turut disertai penyeludup ketum sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mahu memberi pandangan.

    “Kalau dapat jumpa orang yang seludup ketum itu, mungkin ada sesi libat urus bersama mereka. Kalau mereka sanggup beri pandangan, apa salahnya?

    “Semua itu kemudiannya akan kita kemukakan kepada kerajaan Persekutuan. Kita akan buat ikut peraturan dan tak salah untuk kita buat cadangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar, hari ini.

    Minggu lalu Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengusulkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membenarkan Kedah mengeksport ketum ke Thailand.

    Selain membolehkan kerajaan memperolehi cukai eksport, langkah itu katanya akan turut membantu mengatasi masalah penyeludupan ketum yang berleluasa di sempadan Malaysia Thailand.

    Ketika ini Thailand membenarkan penggunaan ketum secara terbuka dengan tumbuhan tersebut turut digunakan dalam bidang perubatan di negara jiran itu.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah menyerahkan sepenuhnya segala keputusan kepada kerajaan Persekutuan untuk membuat pertimbangan terhadap perkara tersebut.

    “Kalau kerajaan Persekutuan buat keputusan bahawa cadangan ini tak dapat dipertimbangkan, maka kita akurlah dan kita hadapilah suasana yang sememangnya sedang terjadi pada masa ini,” katanya lagi.

  • Penyeludup ketum nekad guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

    Penyeludup ketum nekad guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

    DUA penyeludup daun ketum warga tempatan yang menaiki bot penumpang mewah bertindak nekad merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam cubaan meloloskan diri, di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar di Kuala Perlis, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, suspek mengemudi bot secara berbahaya dan bertindak merempuh bot penguat kuasa Maritim Malaysia.

    “Maritim Malaysia berjaya menahan dua suspek lelaki berumur 37 dan 48 tahun, setelah bot yang mereka naiki mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan bocor akibat rempuhan itu.

    “Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemukan 300 bungkusan plastik berwarna hitam serta 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki daun ketum dengan berat 3.2 tan metrik dianggarkan bernilai RM576,000 dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Menurutnya, turut dirampas tiga enjin sangkut dianggarkan bernilai RM380,000 dan bot fiber bernilai RM180,000.

    Mohd Hashim berkata, ini merupakan kali pertama penyeludup menggunakan bot penumpang mewah berkuasa tinggi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Daripada hasil siasatan, kami dapati bot tersebut akan berlabuh di negara jiran dan hanya bergerak ke Malaysia untuk menyeludup keluar daun ketum,” katanya.

    Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. – BERNAMA

  • Kereta langgar pokok semasa seludup daun ketum

    Kereta langgar pokok semasa seludup daun ketum

    Oleh RIZQI ZABIDI

    CUBAAN seorang penyeludup daun ketum melarikan diri daripada polis gagal apabila kereta dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pada kira-kira pukul 1.15 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) yang sedang melaksanakan operasi pelbagai di Kilometer 25 di Jalan Alor Setar- Bukit Kayu Hitam telah terserempak dengan sebuah kereta Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    “Kenderaan itu diarahkan berhenti namun suspek bertindak memecut laju kenderaan bagi mengelak ditahan.

    “Anggota trafik kemudiannya bertindak mengekori kereta suspek dan kenderaan itu terbabas melanggar sebatang pokok di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Lelaki yang ditahan polis kerana cuba menyeludup 35 bungkusan plastik hitam mengandungi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 350 kg di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Perlis pagi tadi.

    Rodzi berkata, suspek berjaya ditahan dan dan pemeriksaan mendapati 35 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan 350 kg.

    Katanya, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

    “Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

  • Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    Lelaki dicekup polis ketika leka proses air ketum

    SEORANG lelaki ditahan ketika leka memproses bahan untuk menjual air ketum dalam satu serbuan di Kampung Permatang Raja, Padang Gajah dekat Taiping malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Osman Mamat berkata, dalam serbuan pada 11.15 malam itu, pihaknya berjaya merampas air ketum bernilai kira-kira RM7,000 yang disimpan di dalam plastik dan tong untuk dijual di pasaran tempatan.

    “Semasa ditahan lelaki berumur 51 tahun itu sedang memproses bahan untuk menjual air ketum yang sudah dibotolkan.

    “Suspek, yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak, telah terlibat dengan kegiatan penjualan air ketum hampir empat tahun di kawasan itu sejak 2018,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

    Beliau berkata bekalan air ketum yang dirampas dijual pada harga RM10 seliter.

    Osman berkata, siasatan mendapati suspek memiliki empat kesalahan lampau berkaitan ketum dan ditahan reman tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Katanya, polis telah menahan seramai 1,254 pengedar dan penagih dadah dengan nilai sitaan berjumlah RM657,632 sepanjang tahun lepas. – BERNAMA

  • Cubaan seludup setan ketum ke negara jiran gagal

    Cubaan seludup setan ketum ke negara jiran gagal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup 103 bungkusan plastik hitam yang mengandungi lebih setan daun ketum ke negara jiran di perairan Kuala Kedah, hari ini.

    Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, aktiviti itu dibanteras selepas pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor sedang menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan pada 6.45 pagi.

    Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan melarikan diri.

    “Pemeriksaan ke atas bot menemui bungkusan plastik warna hitam disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat 1.03 tan yang disorokkan di dalam bahagian bot yang sudah diubah suai.

    “Kesemua bungkusan hitam daun ketum, bot serta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400, dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Noor Azreyanti berkata, pada kira-kira jam 6.20 pagi, empat nelayan bot kelas C ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.

    “Bot tempatan itu ditahan di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah. Semasa ditahan mereka enggan bekerjasama dan bertindak memotong pukat dengan tujuan melupuskan bahan bukti.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong bersama seorang kru warga tempatan dan dua kru lagi disyaki warga Thailand yang telah tamat tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memukat ikan kurang dari 15 batu nautika dari pantai.

    “Kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon APMM Kuala Kedah di talian 05-7310579,” katanya.