KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak boleh diberi laluan secara mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.

Beliau berkata, daripada memberi kebenaran mengeluarkan KWSP apabila bencana menimpa negara khususnya banjir, kerajaan boleh menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa.

“Ada pandangan bahawa perlu beri kelonggaran bagi pencarum mengambil wang mereka sendiri… tetapi saya cenderung walaupun (pandangan) tidak popular, kita tidak boleh beri laluan mudah kerana wang ini yang sedikit adalah untuk menjamin masa depan mereka.

“… dan ini kumpulan agak miskin, kalau diambil wang (KWSP) ini, dalam tempoh lima, enam tahun selepas bersara tidak ada jaminan keselamatan hidup mereka dan keluarga,” katanya ketika perbahasan mengenai bencana banjir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, kerajaan seharusnya menyalurkan bantuan kewangan tambahan antara RM5,000 dan RM10,000 bagi mengurangkan beban golongan yang terjejas banjir.

Anwar turut mencadangkan supaya kerajaan menghentikan sementara pembalakan termasuk yang telah diluluskan sehinggalah kajian berkaitan risiko aktiviti tersebut selesai dijalankan bagi mengelak kawasan tadahan hujan terjejas.

“Janganlah beri kelulusan baharu pembalakan tanpa mengira kedudukan, darjat, pengaruh politik. Kalau ada ketegasan, Parlimen akan beri sokongan penuh tanpa kira siapa,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here