Oleh RIZQI ZABIDI

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan individu tertentu untuk menyeludup keluar daun ketum seberat 3.1 tan ke negara jiran, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya telah mengesan kegiatan pemunggahan bungkusan hitam yang mencurigakan di muara Kuala Sala di Kuala Kedah kira-kira pukul 6.45 pagi semalam.

Sehubungan itu katanya, bot Perkasa 1226 yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman, digerakkan ke lokasi tersebut dan menemui sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama empat suspek, sedang memunggah bungkusan hitam tersebut di atas bot berkenaan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua suspek dipercayai warga tempatan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot tersebut mendapati terdapat 310 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum dianggarkan bernilai RM558,000, cuba disorok di bahagian tempat simpanan ikan,” katanya.

Tambahnya, modus operandi kegiatan penyeludupan tersebut didapati berbeza kerana menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar, berbanding menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran sebelum ini.

Tindakan itu katanya, dipercayai dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kami percaya bot tersebut sedang menunggu masa sesuai untuk keluar ke sempadan negara.

“Kesemua bungkusan ketum tersebut termasuk bot nelayan yang dianggarkan bernilai RM60,000, dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here