Tag: Kemalangan

  • Kes konvoi Lamborghini: Pemandu Ford Ranger, pengawal peribadi didenda

    Kes konvoi Lamborghini: Pemandu Ford Ranger, pengawal peribadi didenda

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA individu yang terlibat kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan sekumpulan pemandu yang berkonvoi kereta mewah Lamborghini masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kulai.

    Pemandu wanita berkenaan, Lee Jia Min, 28, dan pengawal peribadi, Nor Razman Abd. Razak, 44, mengaku bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin, hari ini.

    Jia Min dituduh gagal mengawal kenderaan pacuan empat roda dipandunya sehingga menyebabkan kemalangan dan didakwa mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Selain hukuman denda RM2,000, wanita itu turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal membayar wang denda berkenaan.

    Manakala, Nor Razman yang turut didenda amaun sama didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Jia Min dengan menampar di bahagian muka wanita itu.

    Dia yang merupakan penumpang dalam kenderaan Lamborghini itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan juga boleh dipenjarakan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Kilometer 36.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke arah Selatan pada pukul 6.10 petang, pada 18 Mac lalu.

    Nor Razman ketika ditanya Sharifah Maleeha mengapa menampar Jia Min memberikan alasan tindakannya itu adalah kerana wanita tersebut telah melanggar kenderaan dipandu majikannya sehingga menyebabkan kerosakan.

    Sharifah Maleeha kemudian menasihatkan Nor Razman agar tidak memilih perbuatan keganasan sebagai satu jalan penyelesaian sebaliknya menyerah perkara tersebut kepada pihak berwajib mengikut saluran undang-undang sedia ada.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala Jia Min diwakili peguam, Tan Cheng Yee manakala Nor Razman pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

    Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan sebelum meninggalkan kompleks mahkamah bersama peguam masing-masing.

    Sebelum ini, rakaman kemalangan berdurasi 1 minit 14 saat tular di media sosial yang memaparkan sebuah Ford Ranger berwarna putih dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan sebuah Lamborghini berwarna hijau.

    Pemandu pacuan empat roda berkenaan dilihat cuba memotong konvoi Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah kereta mewah tersebut ketika cuba memasuki lorong kiri.

    Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati lalu menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya dan berlaku perselisihan faham antara mereka.

  • Lima rentung: Pemandu treler ada 9 rekod kesalahan JPJ

    Lima rentung: Pemandu treler ada 9 rekod kesalahan JPJ

    PEMANDU treler membawa muatan besi yang ditahan berhubung kemalangan melibatkan lima mangsa rentung di Lebuhraya Utara Selatan Rabu lepas, mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Ibu Pejabat JPJ dalam kenyataan hari ini berkata, hasil semakan dalam sistem mySIKAP JPJ mendapati rekod kesalahan itu, dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA), akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

    Menurut kenyataan itu, siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dilaksanakan untuk menentukan tindakan undang-undang yang boleh diambil.

    “Sekiranya hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, permit dan lesen pengendali boleh digantung atau dibatalkan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    “Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

    Siasatan polis juga akan menentukan sabitan kesalahan terhadap pemandu terbabit di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan mahkamah, menurut kenyataan itu.

    “JPJ memandang serius insiden yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di negara ini,” menurut kenyataan itu.

    Polis menahan reman pemandu treler berusia 28 tahun terbabit selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara itu.

    Dalam kejadian melibatkan dua buah treler itu, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) terdiri daripada Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 (pemandu), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang juga rakan serumah, rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar.

    Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dinaiki kelima-lima pelajar itu sedang mengekori di belakang treler muatan mozek yang memandu di lorong kanan susulan lorong kiri ditutup bagi penyelenggaraan jalan, apabila sebuah lagi treler muatan besi merempuh bahagian belakang kereta mereka.

    Treler itu kemudian menyeret kenderaan itu ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan, menyebabkan kelima-lima mangsa tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri. – BERNAMA

  • Pemandu lori lari lepas langgar dua kenderaan lain

    Pemandu lori lari lepas langgar dua kenderaan lain

    LIMA individu termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.55 malam dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dengan kekuatan enam pegawai serta anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

    MPV Nissan Grand Livina yang dinaiki tujuh warga Bangladesh mengalami kerosakan teruk selepas dilanggar treler di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang malam tadi. (Gambar: Ihsan JBPM)

    Beliau berkata, saksi memaklumkan insiden tersebut membabitkan tujuh kenderaan namun apabila pihaknya tiba di tempat kejadian, hanya tiga kenderaan berada di lokasi iaitu lori yang melanggar kereta Perodua Axia dinaiki empat sekeluarga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaiki tujuh warga Bangladesh.

    “Lima mangsa yang cedera ringan masing-masing tiga mangsa menaiki kereta iaitu lelaki berusia 42 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 13 dan 10 tahun manakala dua lagi mangsa menaiki MPV iaitu wanita berusia 59 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian. (Gambar: Ihsan JBPM)

    Beliau berkata, kesemua mangsa terbabit dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dipercayai menghilangkan diri dari lokasi kejadian.

    Sementara itu, polis menyatakan, masalah brek dialami sebuah lori bermuatan getah beku menjadi punca kenderaan itu terbabas sebelum merempuh sembilan kenderaan lain dalam kemalangan di KM 9.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang di sini, malam tadi.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, DSP Ahmad Izuddin Mohd Juhari berkata, kemalangan kira-kira 11.44 malam itu menyebabkan tiga individu cedera.

    Beliau berkata, mereka yang cedera terdiri daripada dua warga Bangladesh iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia 10 tahun.

    Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori dari arah Slim River, Perak menghala Tampin, Negeri Sembilan itu terbabas dan merempuh sembilan kenderaan yang berhenti di lorong tengah serta paling kanan kerana terdapat kerja-kerja pembinaan jalan.

    “Dua kanak-kanak yang tersepit cedera di kepala dan peha serta diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya lalu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Izuddin berkata, pemandu lori berusia 54 tahun itu memberikan kerjasama yang baik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Penunggang motosikal maut dalam kemalangan 13 kenderaan

    Penunggang motosikal maut dalam kemalangan 13 kenderaan

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan 13 buah kenderaan termasuk sebuah treler yang mengalami masalah brek di Jalan Batu Kawan, Simpang Ampat di Nibong Tebal semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Lee Chong Chern berkata, kemalangan pada kira-kira 6.20 petang itu mengakibatkan Tang Hai Kok, 46, yang menunggang motosikal Y110 meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan serta kepala.

    “Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku selepas lori treler dipandu seorang lelaki yang mengalami masalah brek melanggar 12 kenderaan yang terdiri daripada lapan kereta, dua motosikal, sebuah pacuan empat roda dan sebuah van.

    “Seorang lagi penunggang motosikal, wanita warga emas berusia 64 tahun, mengalami kecederaan pada kaki dan bahu kiri, dan semua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu mengalami pelbagai kerosakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu berumur 28 tahun yang ditahan untuk siasatan lanjut itu negatif dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    HUKUMAN berat mengikut Akta Pengangkutan Jalan boleh dikenakan kepada sesiapa yang membenarkan anak atau remaja tidak cukup umur memandu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    “Bukan sahaja terhadap pemandu bahkan pemilik kenderaan juga akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak.

    “Sesiapa yang disabit kesalahan ini boleh diambil tindakan keras, sebab remaja itu tiada lesen memandu dan perlindungan insurans,” katanya ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden remaja berumur 16 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pemotong rumput hingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, remaja itu tidak memiliki lesen memandu dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu Wee berkata, krisis Ukraine-Rusia yang telah memacu harga minyak mentah dunia, menjadi antara sebab harga tiket penerbangan domestik dan antarabangsa naik mendadak, selain permintaan yang tinggi.

    Bagaimanapun, katanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diminta untuk memantau peningkatan harga tiket berkenaan.

    Wee turut mengulangi bahawa harga tiket penerbangan yang dibeli pada saat akhir boleh menjadi mahal kerana penggunaan mekanisme penetapan harga dinamik, dengan memberikan contoh pembelian tiket pada musim Tahun Baru Cina dibuka pada harga antara RM300 hingga RM400, tetapi pembelian tiket beberapa hari sebelum penerbangan pula menyaksikan harga yang jauh lebih tinggi. – BERNAMA

  • Nyawa manusia terlalu murah di jalan raya

    Nyawa manusia terlalu murah di jalan raya

    guane

    KADAR kematian di jalan raya sempena musim perayaan terus berlaku dan ia agak membimbangkan, seolah-olah menggambarkan bahawa nyawa manusia kini terlalu murah dan mudah untuk menghadapi kematian secara sia-sia.

    Semuanya berlaku hanya gara-gara sikap manusia itu sendiri yang terlalu cuai dan sentiasa memandang remeh sewaktu memandu kenderaan sehingga ada di antaranya sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan.

    Selain itu, sikap pemandu yang gemar menunjukkan aksi atau lagak melampau dengan memecut kenderaan masing-masing tanpa memikirkan keselamatan diri, keluarga dan juga orang lain merupakan antara penyumbang kepada kemalangan maut.

    Penulis berpendapat, akibat pemanduan tidak berhemah itu, ia sekali gus menjadikan jalan raya kini seperti antara musuh utama bagi rakyat negara ini tanpa perlu menggadai nyawa memasuki ke medan perang.

    Kalau sebelum ini kematian rakyat Malaysia terutamanya melibatkan golongan remaja Melayu seringkali dikaitkan dengan penagihan dadah dan sindrom HIV, kini jalan raya juga mencatatkan angka kematian terbesar.

    Bayangkanlah betapa bimbangnya kita apabila terdapat seramai 113 kematian membabitkan 109 kemalangan maut dilaporkan di negara ini hanya dalam tempoh enam hari Op Selamat 18 dilancarkan sejak Jumaat lalu.

    Malah, dalam tempoh berkenaan juga, polis turut mengeluarkan sebanyak 176,644 saman ke atas pemandu membabitkan pelbagai kesalahan.

    Penulis turut terkesan dengan perkara ini kerana 113 pengguna jalan raya yang dilaporkan maut ‘secara percuma’ itu berlaku sewaktu mereka berada dalam suasana ‘mood’ untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

    Menurut polis, sebanyak 9,816 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh enam hari itu dan antara kesalahan dilakukan pemandu kenderaan pula ialah memandu di laluan kecemasan, memandu secara berbahaya, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan tamat tempoh LKM.

    Daripada jumlah tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatatkan penyumbang terbesar iaitu 72 orang manakala pemandu dan penumpang kereta pula seramai 30 orang.

    Persoalannya, kenapakah kematian akibat kemalangan jalan raya terus berlaku setiap tahun apabila tiba sahaja musim perayaan sedangkan Op Selamat masih terus dilaksanakan?

    Apakah perkembangan ini menunjukkan pelaksanaan Op Selamat sudah tidak berkesan kepada pengguna jalan raya?

    Kalau Op Selamat itu dilihat sebagai kurang berkesan agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencari satu pendekatan lebih tegas dan terperinci.

    Selain meningkatkan operasi pihak terbabit juga seharusnya kembali menempatkan anggotanya dengan cara berkhemah di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai kawasan maut.

    Ini kerana, manusia (pemandu) kenderaan biasanya lebih berwaspada apabila terlihat kelibat anggota polis dan JPJ terpacak di jalan raya.

    Begitu juga dengan kegiatan perlumbaan motosikal haram atau merempit, kebanyakan mereka mengambil kesempatan ketika ketiadaan sekatan jalan raya dilakukan pihak polis berbanding hanya rondaan berkereta.

    Perkara ini berlaku kerana sikap pemandu atau penunggang motosikal yang masih tidak memiliki tahap kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan seolah-olah berasa seronok apabila melakukan kesalahan dan melanggar ubdang-undang.

    Justeru, penulis percaya bagi menangani masalah ini, pihak berkuasa seharusnya mencari kaedah terbaik termasuk mempertingkatkan peraturan yang sedia ada ke atas pemandu yang sering melakukan kesalahan secara berulang kali.

    Kita tidak mahu jalan raya di negara ini terus menjadi penyumbang utama kepada kematian dan jika perlu tindakan menggantung lesen pesalah tegar sepertimana dilaksanakan di Indonesia turut dipraktikkan juga di negara ini.

  • Dua bot berlanggar, juragan maut selepas jatuh dalam laut

    Dua bot berlanggar, juragan maut selepas jatuh dalam laut

    SEORANG lelaki warga asing disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital di Semporna selepas terjatuh di laut selepas bot dikendalikannya dilanggar sebuah bot tambang berdekatan perairan Jeti Balimbang, Pulau Bum Bum semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika kejadian pada 7.20 malam itu, mangsa berusia 50 tahun mengendalikan sebuah bot kecil serta tidak berlampu sebelum dilanggar sebuah bot tambang dinaiki tujuh penumpang.

    “Pada 8.31 malam, polis bertugas di Balai Polis Pulau Bum Bum menerima laporan berhubung kejadian iaitu mangsa menaiki sebuah bot dari arah Pulau Bum Bum menuju ke Pekan Semporna sementara bot tambang dikendalikan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun itu dari Pekan Semporna ke Pulau Bum Bum.

    “Impak pelanggaran itu, bot mangsa pecah di bahagian belakang serta enjin bot jatuh ke laut termasuk mangsa, dan penumpang bot tambang bertindak pantas menyelamatkan mangsa, setelah kejadian itu mangsa dibawa ke hospital namun lebih sejam kemudian mangsa yang mengalami kecederaan lebam di perut selain di lengan kanan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, katanya, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan berhubung kejadian itu, selain juragan bot tambang berkenaan ditahan pada hari sama kejadian dan direman selama empat hari sehingga 10 Mei ini bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Nur Faez Hazreeq dengan menghubungi talian 089-781222 atau tampil ke balai polis berdekatan.

    Di samping itu, Mohd Farhan turut mengingatkan pemilik bot atau juragan supaya memastikan keselamatan bot terjamin termasuk memasang lampu bot pada waktu malam serta menyediakan jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Pemotong rumput maut dirempuh MPV dipandu remaja 16 tahun

    Pemotong rumput maut dirempuh MPV dipandu remaja 16 tahun

    SEORANG pekerja pemotong rumput maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pintasan Semeling, berhampiran Taman Malinja dekat Bedong, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata, mangsa yang maut itu lelaki dikenali sebagai Cinglowpa, 20, yang berasal dari Myanmar manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33, patah bahu bahagian kanan.

    “Sebelum kejadian kira-kira 11 pagi itu, Cinglowpa sedang berehat di bahu jalan manakala rakannya sedang duduk di atas motosikal jenis Honda Wave yang diparkir di situ selepas bekerja.

    Secara tiba-tiba, MPV jenis Perodua Alza yang dipandu laju remaja lelaki berusia 16 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok. MPV itu kemudian terus melanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera parah juga telah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

    Remaja berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    ENAM pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menikmati hidangan di sebuah restoran tom yam di Jalan Hang Li Po, Bukit Baru di Melaka berdepan detik cemas apabila sebuah kereta merempuh masuk restoran tersebut semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian 7.15 malam itu berpunca apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu warga emas lelaki berusia 66 tahun, tertekan pedal minyak lalu merempuh masuk ke dalam restoran tom yam tersebut.

    “Siasatan mendapati pemandu tersebut baru selesai makan di restoran itu dan hendak menghidupkan kenderaan yang diletakkan di ruang parkir di hadapan restoran berkenaan.

    “Bagaimanapun pemandu tersebut tertekan pedal minyak dan menyebabkan keretanya terus merempuh masuk ke dalam restoran lalu melanggar tembok dinding dan beberapa meja makan batu di dalam restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, insiden itu menyebabkan enam pelanggan berusia setahun hingga 56 tahun yang berasal dari Melaka, Johor dan Pulau Pinang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau Hospital Melaka manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    https://youtu.be/kimLoE2xoP4
    Kredit video: Saluran YouTube Viral Online Channel

    Jelasnya, ketika kejadian cuaca baik dan terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 maut dalam insiden tayar jentolak meletup

    [VIDEO] 2 maut dalam insiden tayar jentolak meletup

    DUA maut selepas tayar jentolak tiba-tiba meletup di sebuah bengkel kenderaan di Chhattisgarh, India.

    Menurut polis, kemalangan itu berlaku pada Selasa di daerah Raipur, Chhattisgarh dan kejadian turut dirakam kamera litar tertutup, lapor Xinhua.

    Rakaman video menunjukkan seorang pekerja duduk di atas tayar itu ketika sedang mengisi angin manakala seorang lagi lelaki menekan tayar itu beberapa kali.

    Mangsa dikenali pasti berasal dari daerah Rewa di Madhya Pradesh dan polis sedang menjalankan siasatan. – BERNAMA