DUA daripada lima mangsa yang rentung dalam kebakaran kereta selepas kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam semalam sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga menerusi proses bedah siasat.

Mereka ialah Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, yang beralamat di Parit Buntar, Perak dan dipercayai duduk di bahagian penumpang belakang serta Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu yang duduk di tempat penumpang hadapan.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar kira-kira 8.30 malam untuk dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) untuk disembahyangkan.

Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS Prof Madya Dr Anas Md Yusof berkata jenazah Ahmad Akmal dan Ahmad Naim Najmi kemudian akan dibawa pulang ke kediaman masing-masing di Parit Buntar dan Terengganu untuk dikebumikan.

“Tiga lagi jenazah yang tidak dapat dicam akan dihantar ke Hospital Taiping untuk semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Naim Najmi merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan kepujian manakala Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis pelajar Diploma Kaunseling Islami.

Dalam kemalangan di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, lima mangsa yang rentung dipercayai pelajar USAS yang juga rakan serumah.

Tiga lagi ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here