guane

KADAR kematian di jalan raya sempena musim perayaan terus berlaku dan ia agak membimbangkan, seolah-olah menggambarkan bahawa nyawa manusia kini terlalu murah dan mudah untuk menghadapi kematian secara sia-sia.

Semuanya berlaku hanya gara-gara sikap manusia itu sendiri yang terlalu cuai dan sentiasa memandang remeh sewaktu memandu kenderaan sehingga ada di antaranya sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan.

Selain itu, sikap pemandu yang gemar menunjukkan aksi atau lagak melampau dengan memecut kenderaan masing-masing tanpa memikirkan keselamatan diri, keluarga dan juga orang lain merupakan antara penyumbang kepada kemalangan maut.

Penulis berpendapat, akibat pemanduan tidak berhemah itu, ia sekali gus menjadikan jalan raya kini seperti antara musuh utama bagi rakyat negara ini tanpa perlu menggadai nyawa memasuki ke medan perang.

Kalau sebelum ini kematian rakyat Malaysia terutamanya melibatkan golongan remaja Melayu seringkali dikaitkan dengan penagihan dadah dan sindrom HIV, kini jalan raya juga mencatatkan angka kematian terbesar.

Bayangkanlah betapa bimbangnya kita apabila terdapat seramai 113 kematian membabitkan 109 kemalangan maut dilaporkan di negara ini hanya dalam tempoh enam hari Op Selamat 18 dilancarkan sejak Jumaat lalu.

Malah, dalam tempoh berkenaan juga, polis turut mengeluarkan sebanyak 176,644 saman ke atas pemandu membabitkan pelbagai kesalahan.

Penulis turut terkesan dengan perkara ini kerana 113 pengguna jalan raya yang dilaporkan maut ‘secara percuma’ itu berlaku sewaktu mereka berada dalam suasana ‘mood’ untuk menyambut hari raya Aidilfitri.

Menurut polis, sebanyak 9,816 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh enam hari itu dan antara kesalahan dilakukan pemandu kenderaan pula ialah memandu di laluan kecemasan, memandu secara berbahaya, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan tamat tempoh LKM.

Daripada jumlah tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatatkan penyumbang terbesar iaitu 72 orang manakala pemandu dan penumpang kereta pula seramai 30 orang.

Persoalannya, kenapakah kematian akibat kemalangan jalan raya terus berlaku setiap tahun apabila tiba sahaja musim perayaan sedangkan Op Selamat masih terus dilaksanakan?

Apakah perkembangan ini menunjukkan pelaksanaan Op Selamat sudah tidak berkesan kepada pengguna jalan raya?

Kalau Op Selamat itu dilihat sebagai kurang berkesan agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mencari satu pendekatan lebih tegas dan terperinci.

Selain meningkatkan operasi pihak terbabit juga seharusnya kembali menempatkan anggotanya dengan cara berkhemah di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti sebagai kawasan maut.

Ini kerana, manusia (pemandu) kenderaan biasanya lebih berwaspada apabila terlihat kelibat anggota polis dan JPJ terpacak di jalan raya.

Begitu juga dengan kegiatan perlumbaan motosikal haram atau merempit, kebanyakan mereka mengambil kesempatan ketika ketiadaan sekatan jalan raya dilakukan pihak polis berbanding hanya rondaan berkereta.

Perkara ini berlaku kerana sikap pemandu atau penunggang motosikal yang masih tidak memiliki tahap kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan seolah-olah berasa seronok apabila melakukan kesalahan dan melanggar ubdang-undang.

Justeru, penulis percaya bagi menangani masalah ini, pihak berkuasa seharusnya mencari kaedah terbaik termasuk mempertingkatkan peraturan yang sedia ada ke atas pemandu yang sering melakukan kesalahan secara berulang kali.

Kita tidak mahu jalan raya di negara ini terus menjadi penyumbang utama kepada kematian dan jika perlu tindakan menggantung lesen pesalah tegar sepertimana dilaksanakan di Indonesia turut dipraktikkan juga di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here