Tag: Kemalangan

  • Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    SEORANG pelajar tahfiz maut, manakala 11 lagi cedera apabila van dinaiki mereka terbabas memasuki parit dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu pada 11.32 pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, van jenis Ssangyong yang dinaiki pelajar tahfiz tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.

    Mangsa, Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia yang tinggal di Kampung Tapang, di sini mengetahui berita kemalangan itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

    “Saya sampai di tempat kejadian 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

    Wan Nor Azilah berkata sepatutnya dia akan menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.

    Katanya anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan yang lain ketika menelefonnya malam tadi.

    “Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

    Wan Nor Azilah berkata jenazah Wan Ahmad akan dibawa pulang petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Alam Nasut Ilias berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.

    Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Suami isteri maut kereta berlanggar dengan lori

    Suami isteri maut kereta berlanggar dengan lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEPASANG suami isteri maut setelah kereta dinaiki mereka kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 38.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Alor Setar, petang semalam.

    Dalam nahas pada pukul 6.29 petang itu, mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian merupakan lelaki berusia 35 tahun dan isterinya yang berumur 31 tahun.

    Ketika kejadian, kereta jenis Proton Preve tersebut dipandu wanita terbabit, manakala suaminya berada di tempat duduk penumpang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian terbabit dipercayai berpunca akibat daripada tayar sebuah lori yang pecah.

    “Siasatan awal mendapati lori tersebut berada di lorong kiri manakala kereta Proton Preve pula di lorong kanan. Secara tiba-tiba, tayar belakang sebelah kiri lori itu pecah dan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan kenderaan mangsa.

    “Ekoran itu, Proton Preve tersebut terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, pemandu lori itu turut mengalami kecederaan di kepala dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

    “Jenazah kedua-dua mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, kedua-dua mangsa yang maut didapati tersepit dalam kereta tersebut.

    “Pihak kami terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler rosak, yang diletakkan di tengah jalan di Kilometer 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku, ketika kedua-dua mangsa menaiki lori kecil membawa muatan cat dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu, pada 6.45 pagi.

    “Kejadian mengakibatkan pemandu lori Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindannya Nik Mohamad Nasrullah bin Mohd Nizam, 26, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan barangan besi itu berhenti di tengah-tengah jalan akibat mengalami kerosakan pada kotak gear,” katanya menerusi sebuah kenyataan di sini.

    Sik berkata jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    TIGA wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada 10.51 malam itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. 

    Mereka ialah pemandu kereta Suhada Ramli, 22, kakaknya Nazira, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta rakan mereka Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, dengan semuanya beralamat di Felda Selendang 1, Rompin. 

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan treler, menyebabkan kereta itu remuk sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

    Mohd Azahari berkata mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA 

  • Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    SEBANYAK 1,445 kemalangan direkodkan di seluruh negara pada hari kelima Op Selamat 19, semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata ia melibatkan 1,724 kenderaan dengan kereta mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 1,310 kes, diikuti pacuan empat roda dengan 230 kes, motosikal (144), lori (17), bas (11), van (sembilan), teksi (dua) dan ambulans (satu).

    Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

    “Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya selain mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mat Kasim berkata tumpuan lokasi advokasi adalah di stesen-stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, restoran dan pusat beli-belah.

    Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan ini di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – BERNAMA

  • Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

    Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

    SEBUAH treler membawa lebih 500 muatan tong gas kosong terbalik di Kilometer 17, Jalan Bahau-Rompin, dekat Jempol, 12.25 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku semasa pemandu treler itu dalam perjalanan dari Bahau menghala ke depoh Melaka untuk pengambilan gas.

    Katanya pemandu berusia 45 tahun itu tersepit di bahagian depan kenderaannya dan tong-tong gas bertaburan di atas jalan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar tebing jalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hoo berkata mangsa, yang dipercayai patah tangan kanan dan kaki kanan, dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

  • Nahas 6 maut: Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa

    Nahas 6 maut: Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa

    DUIT RM40 yang diberikan Mohd Ashraf Rafiq Mohd Arifin, 11, adalah kenangan terakhir bagi bapanya, Mohd Arifin Syamsuddin sebelum anaknya itu meninggal dunia dalam kemalangan maut yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang, petang semalam.

    Mohd Arifin, 32, berkata pada mulanya dia enggan menerimanya, namun anak sulungnya itu berkeras tetap mahu memberikan kepadanya dengan alasan boleh digunakan ketika mereka bercuti nanti.

    Selain pemberian itu, tiada perubahan sikap yang berlaku terhadap anaknya itu, cuma kanak-kanak itu meminta untuk menaiki kereta Perodua Myvi yang sama dengan sepupu mereka.

    “Selama ini kami sekeluarga tidak pernah menaiki kereta berasingan ketika bercuti, namun kali ini anak saya itu mahu menaiki kereta Myvi bersama sepupu mereka, kami berkonvoi tiga kereta menuju ke Mersing untuk bercuti.

    “Ketika kejadian, saya yang berada di hadapan terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang dan terkejut bila lihat ada kenderaan lain melintang di tengah jalan, sedangkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki anak saya tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital, malam tadi.

    Mohd Arifin berkata dia yang memandu kereta Perodua Bezza terus membuat pusingan U dan mendapati kereta Perodua Myvi terbabit sudah terbalik di bahu jalan dan terus meluru keluar menyelamatkan mereka.

    Dia berkata ketika usaha menyelamatkan mereka yang berada di dalam kereta itu, dia mendakwa terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada pagar yang berada di kawasan berkenaan, namun tidak mempedulikannya kerana nyawa ahli keluarga lebih penting.

    “Pada mulanya saya bersama pakcik berusaha untuk mengeluarkan mangsa, namun dia yang mempunyai penyakit jantung memberhentikan hasratnya itu.

    “Orang ramai yang berada di lokasi tidak berani turun ke kawasan itu tetapi saya terus nekad untuk menyelamatkan mangsa satu persatu bermula dengan mendukung anak saya,” katanya.

    Selain Mohd Ashraf Rafiq, mereka yang meninggal dunia ialah pasangan adik beradik Muhammad Zharfan Noramin, 16, dan Muhammad Syakir Noramin 11; Siti Nurzannah Kahdar, 26; Masrina Kahdar, 21 dan Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22.

    Terdahulu, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kluang ke Kahang untuk berkelah di Pantai Air Papan, Mersing, sebelum kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung kereta Honda Stream di lokasi berkenaan pada pukul 4.40 petang, semalam. – BERNAMA

  • Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    Ribuan telur ayam pecah, bertaburan atas lebuh raya

    RIBUAN telur ayam pecah dan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori membawa muatan itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 242.6 Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah utara dekat Rembau, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

    “Ia mengakibatkan lori itu terbalik dan muatan telur dibawanya bertaburan di atas jalan.

    “Pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

    Menurutnya, kesesakan lalu lintas bagi arah utara berpanjangan dalam tempoh kira-kira dua jam bagi tujuan pembersihan lokasi kemalangan.

  • Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di KM22 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifly Mahmood berkata sebelum itu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia 46 tahun itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira 2 petang semalam.

    “Rakan-rakan mangsa kemudian mencarinya selain memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gerik kira-kira 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat lelaki itu di kawasan kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX63 bergerak bersendirian dari arah Gerik menghala ke Banjaran Titiwangsa kira-kira 12 tengah hari Sabtu lepas. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan, terbabas sendiri lalu terjatuh ke bahu jalan dan terperosok ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat yang selesai dijalankan pagi tadi dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian. 

    Zulkifly berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. — BERNAMA 

  • Dua maut kereta terjunam dalam parit

    Dua maut kereta terjunam dalam parit

    DUA lelaki maut selepas kenderaan yang mereka naiki terhumban ke dalam parit berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Meru, awal pagi tadi.

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 5.19 pagi.

    “Kereta jenis Honda Accord dinaiki kedua-dua mangsa mengalami remuk di bahagian hadapan dan pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    “Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa 30 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Seorang daripada mangsa dikenali sebagai R Dhaarnish, 29, manakala seorang lagi tidak dapat dikenal pasti identitinya.

    Operasi tamat sepenuhnya pada 7.44 pagi