Tag: Kedah

  • 15 direman dalam kes penyata akaun bank palsu

    15 direman dalam kes penyata akaun bank palsu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 15 individu termasuk seorang wanita direman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan terhadap kes mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat tertentu, yang mempunyai butiran palsu bagi memasuki tender pada 2018 dan 2019.

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Menurut sumber, kesemua 15 individu itu merupakan antara 21 individu berusia antara 31 hingga 77 tahun yang ditahan di sekitar Bangi dan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah semalam.

    SPRM 15
    Beberapa individu yang ditahan SPRM semalam dibawa keluar dari lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar setelah menerima perintah tahanan reman antara tiga hingga lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank palsu syarikat untuk mendapatkan tender pada 2018 dan 2019.

    “Tender yang dimaksudkan itu adalah berkaitan dengan penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di wilayah utara.

    “Kes ini melibatkan beberapa syarikat berbeza mereka yang ditahan terdiri daripada individu berjawatan pengarah syarikat, pemilik, pengurus, kontraktor dan individu bekerja sendiri,” katanya, hari ini.

    Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

    “SPRM memang sedang mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Jadi tidak mustahil akan ada lagi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan dibuat itu.

    Beliau turut memaklumkan kes tersebut kini masih disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Pegawai MPKK dituduh cuba dapatkan projek untuk syarikat keluarga

    Pegawai MPKK dituduh cuba dapatkan projek untuk syarikat keluarga

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi berdepan tiga pertuduhan kerana menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya serta menggunakan dokumen palsu, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Muhamad Tarmymy Che Ani, 41, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Menerusi pertuduhan pertama, Muhamad Tarmymy dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya apabila mencadangkan syarikat Sagur Ria Enterprise didakwa milik bapa dan adiknya, kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi menjalankan kerja-kerja menurap dan menyelenggara jalan di Taman Tiram, Kulim berjumlah RM200,000

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Disember 2019 di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah.

    Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, Muhamad Tarmymy yang merupakan pegawai pangkat awam iaitu jurutera Gred J48 didakwa mengemukakan dua dokumen sebagai tulen yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

    Dua dokumen itu ialah Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sebut Harga serta Minit Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga, Peruntukan Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) Tahun 2019, Fasa 2 MPKK yang kedua-duanya bertarikh 27 November 2019.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Aras 3, Blok E, Wisma Darul Aman di Kota Setar pada 5 Disember 2019 dan 26 Disember 2019.

    Kedua-dua pertuduhan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465, kanun sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, M. Puveneswaran.

    Hakim menetapkan jaminan pada kadar RM30,000 dengan seornag penjamin. Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula pula ditetapkan pada 9 Februari depan.

  • Penduduk Kg Baru Pulau Tiga diusir, Sanusi usaha cari tanah baharu

    Penduduk Kg Baru Pulau Tiga diusir, Sanusi usaha cari tanah baharu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PRIHATIN dengan nasib penduduk di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar dekat Jalan Lencongan Darat di Sungai Petani yang terpaksa mengosongkan rumah berikutan perintah mahkamah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor segera mengarahkan pegawai berwajib untuk mencari tanah kerajaan bagi membolehkan penduduk terlibat mempunyai tapak untuk membina rumah baharu dengan kadar segera.

    Menurut Muhammad Sanusi, beliau amat simpati dengan kesukaran dihadapi kira-kira 30 keluarga yang terlibat dan mahu memastikan mereka memiliki tapak untuk mendirikan rumah baharu bagi dijadikan tempat berteduh.

    “Saya sudah minta Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Hashim mencari lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian bagi membantu penduduk seramai 30 keluarga itu.

    “Menteri Besar pada tahun 2014 (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) ada berjanji mahu membantu tetapi tidak ada sebarang tindakan selama beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini penduduk terlibat merayu campur tangan kerajaan negeri setelah tanah yang diteroka untuk dijadikan tapak rumah sejak 40 tahun lalu kini, dikatakan telah menjadi hak milik seorang individu bergelar Datuk.

    Pada 19 Disember lalu, penduduk telah menerima notis dari Mahkamah Tinggi Alor Setar supaya mereka mengosongkan tanah tersebut selewat-lewatnya pada 3 Januari depan.

    Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, apabila Mahkamah Tinggi sudah membuat penghakiman, kerajaan tidak boleh lagi campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem di negara ini tidak membenarkan perkara itu daripada dilakukan.

    “DO bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda sedang berikhtiar. Saya berharap mereka dapat menemukan apa yang diperlukan untuk sama-sama kita membantu menyelesaikan masalah ini.

    “Semoga ada sinar yang cerah untuk semua penduduk terlibat. Begitu pun sementara proses ini diselesaikan, penduduk perlu berikhtiar sendiri mencari rumah sewa atau penempatan sementara di sekitar mereka,” katanya.

  • 2 meninggal dunia akibat jangkitan JE di Kota Setar

    2 meninggal dunia akibat jangkitan JE di Kota Setar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan dua kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar pada 18 dan 25 November lalu dengan kedua-duanya menyebabkan kematian kepada pesakit.

    Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, kematian dua individu tersebut yang tidak dinyatakan umur serta butirannya, menjadikan secara keseluruhannya terdapat tiga kematian akibat penyakit itu di Kedah pada tahun ini.

    Katanya, setakat 25 November lalu, jumlah kumulatif kes JE di negeri ini adalah 10 kes berbanding lapan dalam tempoh sama pada 2020.

    “Itu bermakna berlaku peningkatan sebanyak 25 peratus bagi kes JE di Kedah pada tahun ini dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

    “Berikutan itu aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta merta. Antaranya adalah dengan melakukan kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit serta tempat-tempat berisiko lokaliti wabak,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

    Japanese Encephalitis (JE) merupakan penyakit bawaan nyamuk dan disebarkan kepada manusia melalui gigitan yang membawa virus tersebut.

    Othman menambah, kajian entomologi turut dijalankan oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak selain pihaknya turut melakukan pengesanan kes secara aktif (ACD) di kawasan terlibat.

    “Orang ramai dinasihat mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala demam, sakit kepala dan muntah.

    “Dalam masa sama, pihak kami turut menjalankan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk melancarkan aktiviti kawalan vektor bersepadu,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, orang ramai turut diseru supaya membersihkan persekitaran selain mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing.

    “Inisiatif lain seperti menyembur aerosol dalam rumah pada kira-kira pukul 10 malam juga boleh dilakukan untuk membunuh nyamuk dewasa,” katanya.

    “Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan dengan sebatan yang tidak lebih dari enam kali,” katanya.

  • MB Kedah tak percaya P. Pinang tak mampu bayar air mentah

    MB Kedah tak percaya P. Pinang tak mampu bayar air mentah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Kesempatan bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam, digunakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk bercakap secara berterus terang mengenai tuntutan bayaran air mentah Kedah kepada negeri jiran tersebut.

    Menurut Muhammad Sanusi, Kedah menuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan negeri itu menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.

    Dari situ katanya, mengalir sungai-sungai yang membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan bagi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

    “Ketua Menteri bagaimanapun memberi jawapan bahawa Pulau Pinang tidak mampu membayarnya kerana hasil mereka tidak banyak.

    “Sukar sekali menghadam jawapan beliau kerana semua orang tahu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik menerusi air mentah yang berpunca dari Kedah,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi status dimuat naik di laman Facebook rasminya yang turut disertakan dengan gambar pertemuan tersebut.

    Membalas kenyataan Muhammad Sanusi, Kon Yeow menerusi laman Facebooknya pula terus bertegas bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tetap tidak akan memenuhi tuntutan tersebut.

    “Saya dengan ini menegaskan bahawa pendirian Pulau Pinang sudah banyak kali dinyatakan secara rasmi.

    “Kita tidak akan bayar kerana isu bayaran adalah tidak berbangkit. Ini kerana kita ambil air dari sempadan negeri dan Kedah nampaknya masih tidak mahu faham,” katanya.

  • DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

    DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

    TINDAKAN DAP mengheret isu pengharaman judi di Kedah ke mahkamah boleh menyebabkan kerajaan negeri tiada kuasa mengekang kegiatan yang menimbulkan pelbagai masalah sosial itu.

    Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, mereka mengambil tindakan tersebut ketika orang ramai menumpukan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Menurut beliau, mereka menggunakan alasan kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyalahgunakan kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

    “Biasanya isu-isu rakyat yang lain, mereka akan setakat bermain di media. Tetapi dalam situasi ini, sebegitu sekali serius judi dibela; iaitu ke mahkamah.

    “Apa yang diusahakan mereka di mahkamah ini bukan perkara kecil sekadar ‘pejudi vs Menteri Besar Kedah’ tetapi jauh lebih besar dari itu. Implikasinya boleh sehingga ke tahap semua kerajaan negeri tiada kuasa mengekang judi di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada 18 November lalu, DAP telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi mencabar keputusan kerajaan negeri Kedah tidak memperbaharui lesen judi di negeri itu.

    Terdahulu, pada 14 November, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Beliau berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

    “Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

    “Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah di Alor Setar.

    Aminuddin berpandangan, kerajaan negeri Kedah harus diberikan sokongan solidariti oleh rakyat yang mahu melihat Malaysia sejahtera dari gejala tidak sihat ini.

    :Alhamdulillah, kita lihat bukan sahaja orang Melayu yang menyokong agar judi disekat dan dikawal kerana ianya isu sejagat selain ianya adalah suatu yang diharamkan dalam Islam.

    “Ia memang terbukti bahawa perjudian merosakkan masyarakat dan institusi kekeluargaan dari pelbagai sudut.

    “Tahniah Menteri Besar Kedah atas usaha ini. Saya harap negeri-negeri lain juga mampu mengambil langkah sebegini demi kesejahteraan rakyat melangkaui kepentingan para taikun pemilik syarikat judi yang tidak patut dilayan,” jelasnya.

  • Kalau nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang

    Kalau nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang

    KERAJAAN negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

    “Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

    “Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah, hari ini.

    Beliau berharap semua pihak, termasuk penduduk negeri itu memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian.

    “Kerana bila ada premis, ada aktiviti, bukan saja bukan Islam (yang terlibat), jadi saya harap (keputusan ini) dapat difahami dengan seadil-adilnya.

    “Manfaat kepada premis judi tak banyak pun, melainkan hanya tauke saja yang untung, (selain itu) lebih banyak mudarat kepada orang ramai,” katanya.

    Sanusi berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kedah minggu lalu turut memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

    “Di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tiada permintaan, khususnya di luar bandar, penjualan di premis minuman keras juga akan dihadkan.

    “Kita juga telah berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak mempunyai lesen, tidak lagi menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras,” jelasnya.

  • Banjir Kedah: 821 mangsa, 217 keluarga di PPS

    Banjir Kedah: 821 mangsa, 217 keluarga di PPS

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SETAKAT pukul 12 tengah hari tadi, seramai 821 mangsa banjir terdiri daripada 217 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Kedah.

    Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 519 individu dari 138 keluarga.

    “Terdapat enam PPS dibuka di Kota Setar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala, SMK Convent, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, SK Darul Hikmah, SK Suka Menanti dan SK Langgar.

    “Mangsa teramai ditempatkan di SMK Convent iaitu berjumlah 163 orang dari 44 keluarga diikuti 114 individu dari 31 keluarga di SK Darul Hikmah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Tiga lagi daerah yang terlibat adalah Sik, Pendang dan Pokok Sena.

    Mengulas lanjut katanya, daerah kedua yang paling teruk terjejas adalah Pendang dengan 281 mangsa dari 74 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Cenderawasih dan Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah.

    “Di Sik cuma ada 17 keluarga dari empat keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di SK Sik dan SK Chepir.

    “Manakala di Pokok Sena hanya ada satu saja PPS yang masih dibuka iaitu di SK Tualang melibatkan empat individu dari satu keluarga,” katanya.

  • Projek iCON perkasa keusahawanan luar bandar

    Projek iCON perkasa keusahawanan luar bandar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) serta State Secretary Kedah (SSK) Incorporated hari ini melancarkan sebuah projek pembangunan menyeluruh baharu yang dikenali sebagai Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON).

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelancaran iCON yang diluluskan Kementerian Kewangan dalam Bajet 2021 di Guar Chempedak serta Baling bertujuan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

    Katanya, bakal menyediakan landasan lebih luas kepada kalangan usahawan serta komuniti luar bandar untuk lebih berdaya saing.

    “Dalam masa, iCON diyakini dapat memperkasakan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat tempatan melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.

    “Projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 600 perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan selain mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu di Kedah,” katanya dalam majlis pelancaran yang disempurnakan secara dalam talian, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, kerja-kerja pembinaan infrastruktur bagi kedua-dua tapak iCON tersebut akan dimulakan pada suku kedua 2022 dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada awal 2024.

    Sementara itu Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, aktiviti ekonomi menerusi projek iCON cukup berpotensi untuk disokong oleh program-program modal insan lain diketengahkan NCIA seperti entrepreneurNCER, Dana Usahawan (DU@NCER) dan empowerNCER.

    “Selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membasmi kemiskinan dan mengurangkan migrasi keluar penduduk, NCIA akan terus menerajui pelaksanaan projek-projek strategik berpaksikan rakyat.

    “Projek-projek sebegini diyakini akan menyumbang ke arah kesejahteraan sosioekonomi rakyat dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19,” katanya.

  • LKIM jamin bekalan ikan Kedah tidak terjejas

    LKIM jamin bekalan ikan Kedah tidak terjejas

    oleh RIZQI ZABIDI

    Bekalan ikan di Kedah dijamin tidak akan terjejas dengan kehadiran musim monsun timur laut yang dijangka akan bermula pada awal November depan.

    Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Dr. Abdul Halim Tajudin berkata, pihaknya sudah pun membuat persiapan dengan menyediakan sekurang-kurangnya 10 tan bekalan ikan sejuk beku (QFISH) di pelabuhan LKIM Kuala Kedah yang dikumpul dari nelayan di seluruh negeri ini.

    “Ikan-ikan itu kekal segar kerana dibekukan menggunakan teknik individual quick freezing (IQF). Antara jenis ikan yang disediakan adalah kembung, cencaru dan selayang.

    “Ini adalah jenis-jenis ‘ikan rakyat’ yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di Kedah. Jadi, kita menjangkakan bekalan ikan di negeri ini tidak akan terjejas menjelang musim monsun timur laut itu nanti,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita ketika ditemui pada Sambutan Jubli Emas LKIM dan gotong royong bersama nelayan di Tanjung Dawai, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin.

    Abdul Halim menambah, bekalan yang mencukupi itu juga dijangka akan membantu menstabilkan harga ikan apabila tibanya musim tengkujuh itu nanti.

    “Kualiti ikan sejuk beku itu dijamin dan akan dijual 20 eratus lebih murah berbanding harga pasaran. Sebagai contoh, harga ikan kembung dijangka tidak akan lebih daripada RM8 sekilogram.

    “Ikan-ikan ini akan disimpan di bilik sejuk beku yang mampu memuatkan hampir 100 tan ikan. Inilah yang akan membantu memenuhi permintaan tinggi pada musim tengkujuh nanti sekiranya pendaratan ikan berkurangan,” katanya.